Aidilfitri..

Malam ini malam satu Syawal...iftar terakhir saya sambut bersama kakak2 seflat, berbuka puasa di Nandos. Muka saya yang cemberut kerana mengenangkan ada ujian matematik di pagi Syawal esok dan kuliah dari pagi ke petang pada Hari Raya saya kali ini menyebabkan Kak Ain bersimpati lantas membayarkan makan malam saya malam ini. Terlalu sedikit makanan yang saya jamah dan tidak mampu saya habiskan. Nyata perasaan saya tidak mengizinkan makanan itu mengisi perut..otak benar2 berserabut mengenangkan subjek yang belum habis di ulangkaji dan coursework yang memeningkan. Oh~ beginikah satu Syawal saya pada kali ini? Sempat kami singgah sebentar ke rumah kakak2 senior di Rusholme..menumpang kasih dan kemeriahan hari raya mereka. Bertakbir bersama rakan-rakan di rumah itu sebelum dihidang lagi dengan juadah enak. Perut sudah terlalu kenyang! Terpaksa pula pulang awal mengenangkan ulangkaji yang belum disudahkan.

Satu jam juga masa yang dihabiskan bermenung di hadapan komputer sebelum saya mula membuka buku dan mengulangkaji. Benar-benar tidak bersemangat untuk belajar. Lagu raya berkumandang di corong speaker komputer saya. Tiba-tiba terkenang sambutan Hari Raya di tanah air bersama keluarga. Masuk tahun ini sudah tahun ketiga saya berjauhan daripada mereka di satu syawal. Sungguh..saya rindu suasana berhari raya bersama keluarga.

Keluarga saya keluarga yang sederhana sahaja..emak mengambil upah menjahit baju membantu menambah pendapatan abah. Bila tiba musim hari raya seperti ini biasanya emak tidak menang tangan menyiapkan tempahan baju. Dan biasanya urusan membuat kuih raya diserahkan sepenuhnya kepada anak perempuan sulungnya ini. Sayalah biasanya yang merancang juadah hari raya kami. Biasanya malam raya seperti ini saya dan emak bersengkang mata. Emak di mesin jahit menyiapkan baju raya kami adik beradik yang terpaksa dikemudiankan demi menyiapkan tempahan jiran dan saya yang terbongkok-bongkok menguli tepung di dapur..menambah jenis kuih untuk hidangan di pagi raya. Saya hanya pandai mengadun dan menguli tetapi belum pandai menjaga api pembakar. Dan biasanya emaklah yang berulang alik dari dapur ke mesin jahitnya..menjaga api agar tidak hangus biskut-biskut raya kami. Dan biasanya sambil itu kami berbual diiringi lagu dari corong radio, berselang seli dengan bunyi mesin jahit emak. Ahli keluarga yang lain sudah nyenyak tidur, tidak sedikit pun terganggu dengan bunyi mesin jahit itu kerana sudah kalih. Ini saat-saat istimewa saya dan emak di Aidilfitri saban tahun. Dan sedar tidak sedar azan subuh berkumandang. Emak akan mengejutkan semua untuk solat subuh dan solat Aidilfitri di masjid. Pagi raya emak akan sibuk menyiapkan anak-anak dengan pakaian baru..dan saya pasti dapat melihat senyum puas emak bila melihat kami gembira di pagi raya. Senyuman yang sangat saya rindui.

Aidilfitri tahun ini kata emak sangat berbeza dari tahun-tahun yang lepas. Saya tahu emak sayu..anak-anak, sebahagiannya tidak dapat bersamanya di pagi raya. Kata emak sudah masuk tahun ketiga kuih raya tunjuk-tunjuk saja kerana penguli tepungnya sudah tidak ada. Kata emak sudah tiada yang menemankannya menjahit sehingga jauh malam. Malah abah juga sudah menjadi terlalu sensitif akhir-akhir ini. Tersentuh hati mendengarkan cerita emak semasa saya menelefonnya minggu lepas. Cerita emak, hari itu seperti biasa posmen datang menghantar surat. Musim-musim raya seperti ini..emak bertanyakan abah kad raya siapa yang tiba hari ini.Abah katakan hanya ada sekeping kad raya untuknya lalu segera dia hilang ke dalam bilik bersama kad raya itu. Lama dia di bilik tidak keluar-keluar walau puas emak bertanya dari luar kad raya siapa yang diterimanya. Saat emak masuk ke bilik emak lihat abah teresak menangis. Di tangannya ada sekeping kad ucapan hari raya kiriman saya. Maaf abah..tidak terniat menuntut air mata abah.

Aidilfitri saya sejak dua tahun lepas berlalu begitu sahaja tanpa apa yang istimewa. Malah saya mungkin sudah immune dengan kesyahduan di pagi raya.Cuma Aidilfitri tahun lepas saya kira meninggalkan kesan yang sedikit signifikan dalam hidup saya. Insiden air mata saya pada 2 Syawal tahun lepas membawa sesuatu yang istimewa untuk hidup saya kini. Suatu perasaan yang tidak dapat saya jelaskan ketika itu kini sudah jelas letak duduknya. Sungguh..saya bersyukur dengan segala apa yang ditentukanNya. InsyaAllah semoga ditetapkan hati untuk sesuatu yang lebih diredhai..

Salam Aidilfitri untuk semua..Maaf zahir batin..

2 kopi panas..:

aRie berkata...

salaam nana..
cne hari raye?? bz eh?
huhu.. insiden air mata?? huu..
aku ingat.. takpe nana ko x raye ngan femily.. i'allah one day u'll get the chance again.. ok??
take care..

Tanpa Nama berkata...

salam yana...

sedihla saya baca crita yana nih...

"... Kesusahan dan kesulitan adalah laksana musim dingin.. basah dan lembab & tidak disukai insan.Tetapi sesudah musim sejuk itulah tumbuh bunga-bunga yang harum dan buah-buahan yang subur... "