Denting Tangisan Mezquita

Sambungan catatan saya di hari ketiga di bumi Andalus..Cordoba

Masjid Cordoba dari pintu gerbangnya

Pagi itu awal2 pagi lagi kami sudah keluar dari tempat penginapan kami. Mahu tiba di Le Mezquita Cordoba (Masjid Cordoba dalam bahasa Spanish) seawal jam 8.30 pagi kerana dikatakan tiada bayaran untuk pengunjung yang datang sebelum jam 10 pagi. Mezquita cantik tersergam..pohon-pohon limau membarisi jalan sepanjang dari gerbang ke pintu masuk. Terbayang pula keadaannya di zaman kegemilangan Islam dahulu. Besarnya Mezquita bukan di bina untuk bermegah-megah..tetapi di bina atas pratikaliti. Keluasan asalnya sebenarnya hanya 20% daripada apa yang kita lihat sekarang. Mezquita lambang pesatnya Islam berkembang... 4 kali mengalami pertambahan keluasan kerana tidak mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah. Subhanallah.. terbayang bagaimana sibuknya Mezquita ketika itu..nadi kegiatan umat Islam di kota Cordoba sejak Islam bertapak di situ dengan kedatangan Abdul Rahman I pada tahun 784 M.

Tidak sabar mahu menikmati keindahan dalam masjid yang pernah menjadi masjid terbesar di dunia itu.. kami bersegera ke pintu masuk tetapi ditahan dua orang pengawal berbadan tegap berpakaian serba hitam di pintu. Kami tidak dibenarkan masuk sehingga jam sepuluh pagi malah perlu pula beratur membeli tiket berharga 8 euro! Alasannya kerana kami terlalu ramai jadi di kira sebagai pelawat berkumpulan. Bimbang jika kami dibenarkan masuk akan mengganggu orang-orang Kristian yang sedang ber'ibadah' di dalam ketika itu, menurut mereka. Kecewa benar saya kerana berpenat sahaja kami bergegas seawal pagi mengejar peluang masuk percuma ke Mezquita.. terpaksa pula menunggu sejam lebih di halaman masjid itu. Marah? Sedih? Bayangkan perasaan seperti anda dihalang masuk ke rumah sendiri kerana bimbang menggangu penceroboh yang sedang menggunakan kemudahan di dalam rumah anda. Perlu pula membayar cukai di pintu rumah sebelum dibenarkan masuk. Ya Allah..agaknya beginilah perasaan umat Islam ketika dihalang masuk ke rumah Allah ini saat kota mereka dijajah Kristian.

Bekas menara azan


Tidak mahu membuang masa kami berkumpul sambil mendengar pengisian dari ameerah jaulah kami di halaman masjid sementara menanti jam sepuluh. Cerita kegemilangan khilafah Islam di Kota Cordoba sehingga zaman kejatuhannya... Masing-masing khusyuk mendengar saat loceng besar di puncak menara tiba-tiba berdenting berkali-kali. Saya memandang ke puncak menara itu... di mana dahulunya di situlah muazzin melaungkan azan.. Allahuakbar! Memanggil umat Islam, menunaikan kewajipan kepada Allah. Dan loceng itu terus berdenting dengan dentingan yang menyesakkan dada saya... Dentingannya yang seolah-olah mengejek mentertawakan.. Tanpa sedar air mata saya mengalir... Sedih pada hakikat kekalahan ini. Tersedar akan hikmah apa yang terjadi kepada kami pagi itu. Diberi peluang oleh Allah mengalami dan menghayati suatu perasaan kehilangan. Mungkin jika mudah-mudah sahaja kami diberi masuk pagi itu..saya tidak berkesempatan merasai perasaan seumpama ini. Pasti lawatan saya hanya lawatan yang kosong..


Tapak tinggalan Medina al Zahra


Mezquita kami tinggalkan sebentar kerana mengejar masa ke Medina al- Zahra, 5km dari pusat bandar Cordoba. Medina Al-Zahra tidak ubah seperti bandar ideal Putrajaya di Malaysia di mana segalanya ada di sini. Pusat pemerintahan khalifah yang dibina selepas lapan tahun Abd Rahman III mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah pada tahun 929 M. Mengapa al-Zahra? Kerana katanya di bina untuk seseorang wanita bernama Azzahra..betul atau tidak Wallahualam... Allah lebih mengetahui . Tetapi Medina al-Zahra pada saya lambang kemakmuran khalifah Islam ketika itu. Di situlah pusat pentadbiran..dan sebuah masjid yang dikatakan hanya mengambil masa sebulan untuk disiapkan di bina. Medina al Zahra hari ini hanyalah runtuhan2 bagunan setelah beberapa kali melalui peperangan demi peperangan dalam abad ke 11. Berdiri di puncak tertinggi yang melihatkan keseluruhan kawasan bandar lama di kaki pergunungan Sierra Morena itu.. dapat kami bayangkan indahnya Medina al Zahra semasa sempurnanya. Tetapi saya tidak dapat menghayati sepenuhnya Medina al Zahra kerana mungkin hati saya masih tertinggal di Mezquita yang belum berjaya kami masuki pagi tadi. Tidak sabar mahu kembali ke pusat bandar Cordoba.

Selepas Zuhur kami kembali di Mezquita.. MasyaAllah di dalamnya lebih indah. Masih lagi kelihatan seperti sebuah masjid kecuali dengan chapel-chapel yang dibina sepanjang dindingnya dan dua bahagian dewan solat yang ditukar sebagai kawasan gereja utama. Cantuman batu bata merah putih membentuk gerbang-gerbang indah masjid itu. Bukan binaan yang sia-sia kerana fungsinya membalikkan bunyi agar suara imam kedengaran jelas di setiap pelosok masjid yang luas itu, menggantikan teknologi pembesar suara yang kita miliki hari ini.

Terus sahaja saya menuju ke mimbar yang masih dikekalkan binaannya. Sungguh, mimbar itu masih indah seperti dahulu.. dihiasi ukiran ayat al Quran. Cuma mengapa mereka masih mengekalkannya masih menjadi tanda tanya dalam fikiran saya.. Jika benar bencinya mereka kepada agama ini mengapa tidak dihapuskan terus kesan-kesan Islam di sini. Mungkin kekalnya mimbar itu..malah menara muazzin di luar sebagai tanda penghinaan untuk Islam. Supaya dunia tahu pernah wujud Islam di situ tetapi berjaya mereka kalahkan. Marah yang wujud di hati dengan keangkuhan mereka semakin bernyala dengan lukisan yang dipamer di suatu ruangan Mezquita... suatu penghinaan hebat untuk agamaku


Jelas dilukiskan gambar orang Islam yang tunduk sujud kepada pemerintah Kristian yang berdiri angkuh dengan hebat angkatan tentera di belakangnya.. saat penyerahan kunci kota tanda kekalahan Islam..disaksikan dan direstui kononnya oleh malaikat mereka di atas awanan. Kebetulan ketika itu sekumpulan pelawat Jepun barangkali berkumpul di hadapan lukisan itu sambil pemandu pelancongnya menerangkan sesuatu tentang lukisan itu dalam bahasa Jepun. Terangguk-angguk mereka mendengar omelan si pemandu pelancong di hadapan. Apa lagi ceritanya melainkan tentang kekalahan Islam seperti yang tergambar di situ... mahu saja saya mencelah di hadapan. Benar Islamku kalah di bumi Andalus ini tetapi mana mungkin kami tunduk sujud seperti itu? Tidak! Sujud kami hanya pada Allah yang satu..

Marah itu wujud dalam diri saya..tetapi kata seseorang saya tidak patut marah. Mana-mana kerajaan pun yang menakluk sesuatu kawasan akan menunjukkan kekuasaan mereka di tempat taklukan mereka. Dengan apa cara sekalipun kekuasaan itu perlu ditunjukkan. Dan itulah yang kerajaan Kristian lakukan saat berjaya menakluk Cordoba. Dengan menukar masjid kebanggaan umat Islam itu menjadi tempat ibadah mereka. So morally their action is justified? Malah katanya itu juga yang dilakukan Islam saat berjaya menakluk Cordoba. Tapak asal Masjid Cordoba itu pada mulanya merupakan kuil milik orang-orang Roman. Apabila Empayar Rom jatuh, pemerintah ketika itu telah menggantikannya dengan sebuah gereja Kristian. Datangnya Islam sebahagian gereja itu dijadikan masjid tempat umat Islam beribadah. Hasil perluasan kawasan masjid itu menyebabkan sebahagian kawasan gereja terpaksa diambil. Tetapi Islam melakukannya dengan menghormati hak mereka. Kawasan yang diambil untuk perluasan masjid itu dibayar dengan harga tertentu yang dikatakan dengan jumlah itu mereka malah mampu membina sebuah gereja yang baru. Islam tidak merampas..Islam tidak menghina. Tetapi mereka merampas.. mengambil hak kita dan mengubahnya sesuka hati mereka. Tidak cukup dengan itu ditambah dengan penghinaan untuk disaksikan dunia. Maka tidak wajarkah kemarahan saya? Marah kerana cinta bukan kerana benci.. Marah saya berasas kerana kecintaan saya dipijak dan dihina bukan kerana saya bencikan mereka. Marah yang membina semangat untuk bangkit dan berjuang bukan marah yang membawa kerosakan dan persengketaan.

Gereja di kiri dan kawasan masjid yang masih kekal di kanan


Mezquita mungkin masih seperti dahulu..menjadi kunjungan dan tumpuan ramai. Tetapi tempat yang pernah menjadi tempat manusia berkumpul untuk sujud kepada Allah sekarang menjadi tempat manusia menyekutukan Allah.. Dua kontras berbeza yang tidak mungkin bersatu.. antara keimanan dan kekufuran. Loceng diluar terus berdenting... dan hati ini terus menangis.. selagi belum ada pahlawan Islam membela maruah yang tercalar dan menegakkan Islam di bumi ini. Jangan menunggu dan mengharapkan sesiapa kerana bumi ini menanti diri aku sendiri untuk membela nasibnya..

3 kopi panas..:

Tanpa Nama berkata...

Apa dah ayat awak tu?Yang kita terlalu marah sampai dah tak tau nak rasa apa.Lagi marah bila marah kita tu dikatakan tidak berasas.

Marah kita kerana apa yang mereka lakukan terhadap kita.Marah kita supaya kita boleh bangkit kembali.Marah kita melahirkan semangat untuk mengembalikan ubudiyyah di bumi Allah.

Tanpa Nama berkata...

Yana..tulislah lagi..dekat Sevilla pulak,dekat La Giralda dan Plaza Espana..

Tanpa Nama berkata...

perasaan kita sama...