Menjadi seorang asing....

Assalamualaikum wmt wbt...

Dah lama tak menulis. Dikurung selama enam hari di dunia yang serba asing dan serba menguji ketahanan mental, spiritual dan fizikal saya. Nampak macam hebat saja dunia itu kan? Sehingga begitu sekali teruji tahanannya. Suami menghantar sehingga ke laman menara berkembar dan dari situ saya dan tahanan lain beramai-ramai menaiki bas ke tempat asing itu. Sejak dari dalam bas lagi saya sudah mula merasa asing dengan sekitar saya. Sepanjang jalan saya berfikir... merekakah yang pelik-pelik atau saya ini yang ganjil? Saya lihat mereka riang bergelak ketawa, barangkali gembira bertemu rakan-rakan lain yang sudah sekian lama tidak ketemu. Tetapi dalam hati saya tidak sedikit pun terkuit kegembiraan.. Entah. Saya membuang pandang ke luar tingkap cuba-cuba menenangkan hati yang tak keruan sambil telinga disumbatkan dengan lagu-lagu pilihan sendiri. Cuba menghiburkan hati sendiri walau tiada satu pun melodi dan bait lirik dari pemain kecil itu melekat di hati apatah lagi menghiburkan. Tiba-tiba berkumandang Ghuraba'. Hati saya merintih. Sungguh itu apa yang saya rasa ketika itu.

Hari-hari yang saya lalui selepas itu tidak menjanjikan yang indah-indah. Hari pertama diisi dengan permainan kanak-kanak yang menjengkelkan dengan objektif memecahkan kebekuan antara rakan-rakan sekumpulan yang baru saja dikenali. Batas hubungan lelaki perempuan langsung tidak terjaga. Semuanya main langgar saja.

"Buat satu bulatan dengan ahli kumpulan kamu!"

Saya berlari-lari menempatkan diri di antara ahli kumpulan yang perempuan supaya tidak terhimpit antara lelaki.

"Okey sekarang rapat-rapat sikit... Pegang tangan orang yg berhadapan dengan kamu. Pastikan orangnya lain-lain untuk kedua-dua belah tangan!"

Saya kaget. Di hadapan saya kebanyakannya ahli kumpulan yang lelaki. Cepat-cepat tarik lengan baju supaya telapak tangan beralas. Mahu dibantah, saya tidak mampu kerana hampir semua peserta di padang itu sudah mula menghulurkan tangan ke tengah bulatan tanpa banyak soal . Saya pejam mata. Dalam hati tawakkal pada Allah moga diampunkan dosa saya dan diselamatkan saya dari dosa bersentuhan dengan yang bukan mahram seperti ini. Tangan saya turut hulurkan ke tengah bulatan sambil cuba sedaya mungkin menggapai tangan peserta perempuan yang lain. Alhamdulillah Allah selamatkan, tangan kiri dan kanan mengenggam tangan rakan sekumpulan yang perempuan. Tangan-tangan kami berselirat dalam satu simpulan yang memeningkan yang perlu dirungkai untuk menghasilkan semula sebuah bulatan. Kami ikut berhimpit dan tersepit antara lelaki dan perempuan bersama tangan yang bersimpul. Hati rasa ingin menangis. Ini bukan pertama kali saya bermain permainan seumpama ini malah telah berulangkali. Tapi ini kali pertama bercampur antara lelaki dan perempuan seperti ini...

Entah bagaimana, Allah membantu.. awal-awal lagi saya berjaya meleraikan simpulan langsung terkeluar dari kusutan itu. Dari luar saya melihat mereka bersungguh meleraikan simpulan. Ada yang terangkul, ada yang tergesel. Sungguh merimaskan. Saya lihat mereka ketawa gembira. Entah mengapa saya tidak turut merasakan kegembiraan itu kerana pada saya semua itu salah. Ini tidak Islami... Tidak salah bermain seperti itu sesama satu jantina malah itu permainan yang sangat bagus untuk menautkan ukhuwah. Tapi apabila bercampur begini ia menjadi pintu masuk syaitan untuk merosakkan insan. Tidak terlihatkah?

Keesokannya kami merentas hutan dalam dakian empat puncak dan malamnya kami berkhemah di tepi tasik. Alhamdulillah kumpulan kami tiba awal dan kami berpeluang memilih tapak mendirikan khemah. Khemah perempuan dan lelaki kami asingkan sejauh yang mungkin dalam tapak yang terhad itu. Saya cuba menyaran kumpulan-kumpulan selepas itu turut mengasing khemah lelaki dan perempuan tetapi tidak berhasil. Khemah lelaki dan perempuan dibina berjajar antara satu sama lain, pintunya hadap berhadap dan kalau tidak pun sebelah menyebelah. Bukan silap mereka juga kerana mereka tiada pilihan. Kawasan perkhemahannya terhad. Malamnya ramai-ramai berkumpul mengeliling unggun api sambil main teka-teki. Gelak ketawa lagi. Aduh!

Sudahlah sudah... Apa-apa saja yang saya bebelkan di sini. Saya tidak mahu mengingati walau sesaat pun hari-hari saya di sana. Tiada satu pun foto yang saya simpan untuk kenang-kenangan. Cukuplah kulit yang makin gelap dibakar matahari setelah hampir seharian berkayak dari Lumut dan mengelilingi Pangkor. Cukuplah merasa bagaimana mabuk laut kerana dilambung ombak sepanjang berkayak. Saya bukanlah seorang yang anti aktiviti outdoor. Saya malah suka mencabar kemampuan fizikal dan ketahanan mental saya dengan aktiviti seumpama itu. Menjadi pelajar Geologi membuatkan saya harus selalu turun naik bukit semasa ber'field trip' setiap tahun. Saya malah punya sijil sebagai juru ajar renang, 'rock climbing', kayak dan memanah sepanjang belajar di Atlantic College Wales. Bukan mahu menunjuk kebolehan cuma mahu membuktikan bebel2 saya di atas itu bukan kerana benci di penat-penatkan dengan aktiviti fizikal tetapi saya benci pada bagaimana ia dilaksanakan tidak di atas garis syariat di sana. Rasulullah malah menggalakkan umatnya menjaga fizikal dengan beriadah dan menguasai kemahiran-kemahiran tertentu seperti menunggang kuda, renang dan memanah. Semua aktivitii yang dijalankan di sana langsung tidak salah malah begitu bermanfaat andai mereka mengambil kira batas-batas islami. Seperti menjaga batas hubungan peserta lelaki dan wanita atau paling tidak mengatur jadual aktiviti agar peserta boleh menunaikan solat pada waktunya. Kalau pun itu semua tidak penting bagi mereka paling kurang perlu sensitif pada peserta yang mahu menjaga.

Allah tidak meletakkan saya di situ sekadar sia-sia. Banyak yang saya balajar sepanjang enam hari di situ. Bagaimana dalam keadaan tertentu kita tidak selamanya mampu menarik yang lain untuk melihat apa yang kita lihat. Bagaimana dalam keadaan tertentu kita tidak mampu mengajak orang lain kepada apa yang kita fikirkan benar andai antara kita dan mereka tidak berpegang pada nilai yang sama. Bagaimana dalam keadaan-keadaan seperti itu kita menjadi lebih mementingkan diri sendiri dengan cuba sedaya upaya menyelamatkan diri sendiri dari 'terkorban'. Bagaimana mahu menyelamatkan yang lain dari panasnya api andai diri sendiri terbakar bukan? Saya belajar bagaimana perlu diri tidak boleh merasa selesa dengan lingkungan yang ideal tetapi apabila tercampak dalam kelompok yang asing, saya hilang arah dan ikut hanyut dalam rentak mereka. Saya belajar berfikir bagaimana untuk mempertahankan prinsip yang saya pegang tanpa membuatkan orang sekeliling yang berpegang pada prinsip dan nilai yang berbeza merasa tidak selesa dan malah menimbulkan rasa hormat mereka walau prinsip kami berbeza.

Langsung teringat hadis Rasulullah....

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

(H.R. Muslim)

Moga kita termasuk dalam golongan yang beruntung itu. Mohon ampun tersalah kata.

0 kopi panas..: