Manusia...

Assalamualaikum wmt wbt...


Hari ini saya mengisytiharkan hari rehat untuk diri saya sendiri. Rehat untuk mengemaskini apa yang berteraburan dalam fikiran saya. Tambah buah-buah hati saya di sini semuanya berjalan-jalan di tempat indah hari ini. Maka tiada sesiapa yang boleh saya tuju untuk menghilangkan sunyi dan mengumpul secebis redha Allah. Mahu bual-bual dengan suami, dia pula nun jauh di tengah laut sana. Email terbaru katanya dia sedang menyelenggara kontraktor di atas platform. Tak sabar mahu tunggu kepulangan, kerana saya di sini punya banyak modal untuk dikongsi dan diceritakan. Masih ingat pesanannya sebelum meninggalkan saya untuk terbang ke platform beberapa hari yang lepas, "Sibukkan diri awak dengan 'buah-buah hati' kesayangan, gunakan kekosongan ketiadaan saya untuk rapatkan ukhuwah dengan mereka, jadikan alQuran sebagai teman menghilang sunyi... kalau pun tidak berkesempatan membaca, cukuplah mendengar tilawahnya. Kalau ada masa tadabbur maksudnya... " Dan sekarang bila buah-buah hati saya berpergian, saya bersendirian di bilik. Dengan tilawah Mishary Efasy sebagai halwa telinga...

Lewat beberapa duduk sembang-sembang dengan adik-adik kebelakangan ini, kami sempat kupas dua surah yang apabila diturunkan, Rasulullah SAW amat gembira. Sehinggakan apabila bertemu Jabir, Rasulullah lantas menyuruh dia membacakan kedua surah ini yang Rasulullah katakan tiada surah yang seumpama dengannya. (diriwayatkan dari Imam Malik, Muslim, At-Tirmizi, Abu Daud dan An-Nasai'). Rasulullah gembira kerana merasakan naungan kasih sayang Allah melalui surah ini. Allah dengan kasih sayangNya membuka perlindungan dan naungan kepada hambaNya yang serba lemah ini untuk berlindung dari kejahatan yang jelas atau terang. Qul a'uzubirabbil falaq dan Qul a'uzubirabbin nas adalah seruan kasih dari Allah.

Sungguh kedua surah ini sungguh signifikan di hati saya lewat tempoh kebelakangan ini. Di saat saya rasakan syaitan umpama mencucuk2 hati untuk berenak-enak. Lantas diri kadangkala terasa amat lemah lalu tunduk kepada acuhan syaitan laknatullah. Malah kadang-kadang tanpa cuba melawan saya akur. Bermalas-malasan sedang terlalu banyak tanggungjawab lain yang tertangguh, menjadi hamba kepada hawa nafsu sendiri. ya Allah ampunkan hambaMu ini. Bila tersedar baru tengadah, cepat-cepat mohon taubat tetapi bukan sekali taubat itu saya mungkiri. Di waktu yang lain perkara yang sama berulang lagi. Dan syaitan melompat kegirangan kerana anak adam ini berjaya diperdayakan. Astaghfirullah...

An-Nas menceritakan hakikat musuh yang paling utama untuk umat manusia. Analoginya jelas. Anda tahu siapa musuh anda yang perlu anda perangi. Bukan sahaja anda tahu itu musuh anda, malah anda juga tahu dari arah mana dia akan mula menyerang dan melemahkan pasukan anda. Tidak cukup itu diceritakan kepada anda titik kelemahan musuh itu dan anda dilengkapkan dengan senjata yang paling canggih untuk mengalahkan musuh itu. Pastinya mudah anda mengatur strategi untuk memenangi pertempuran yang dikatakan akan berlangsung sepanjang zaman sehingga hari kiamat ini. Anda tahu pintu masuk serangan mereka adalah pada hati yang lalai, maka segera persiapkan bala tenteramu untuk mengawal hatimu dengan zikrullah... sentiasa mengingati Allah. Anda tahu musuhmu itu akan lari bergelimpangan apabila berhadapan dengan senjata orang mukmin di medan pertempuran. Tetapi jangan sekali lalai, kerana musuh itu akan cuba menyerang semula apabila bala tentera anda sudah mula leka. Dan dia tidak akan pernah jemu, akan datang dan pergi sehingga bila-bila pun. Kerana musuh itu telah mengisytiharkan perang dengan anda sejak dari Adam diciptakan sehingga nanti bumi ini bakal dihancurkan untuk hari perhitungan. Namun jangan gusar, kerana Allah tidak akan membiarkan anda sendirian mengharungi pertempuran yang hebat ini. Bukan hanya dengan keris dan tombak. Allah malah membekali setiap tenteranya dengan iman sebagai perisai, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa sebagai senjata.

Tetapi terpulang kepada anda sama ada untuk kekal bertahan melawan atau mengaku kalah saja. Jadi tawanan mereka dan secara tak langsung jadi ejen mereka untuk melemahkan bala tentera manusia. Ganjarannya lumayan dan tunai di dunia... iaitu segala jenis kenikmatannya. Walau mungkin ganjaran mereka itu tidak selumayan ganjaran menjadi tentera Allah yang setia, yang bakal dinikmati di hari pembalasan kelak. Syurga yang indah tiada taranya. Dan ketika itu manusia yang sudah menikmati dunia sepuas hati dan sekehendak mereka akan merasai hukuman atas kebelotannya. Manusia tawanan musuh ini adalah ejen yang lebih berkesan untuk melemahkan bala tentera manusia dari dalam. Kalau musuh itu ya sudah jelas kaum manusia tahu akan kejahatannya dan betapa dia wajib diperangi. Tetapi kalau manusia yang berjiwakan motto musuh-musuh ini, siapa pun yang akan mengesyaki mereka? Kerana mereka kelihatan sama saja seperti kita. Malah mungkin terdiri dari orang-orang yang rapat di sekeliling kita, yang kita sayangi dan percayai. Tetapi mereka mungkin menjadi ejen pembisik kejahatan kepada hati kita. Kerana harus ingat, musuh kita yang utama itu ada dari golongan jin dan juga manusia. Lalu mereka mempergunakan kepercayaan kita itu untuk melaksanakan agenda musuh yang utama. Menarik manusia jauh dari Allah dan menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.

.......... sebak....................

Hanya Allah sebagai sandaran. Kepada Allah kita pulangkan. ya Allah cekalkan hati ini menghadapi godaan musuh-musuhMu ini ya Allah... Moga hatiku ini lebih teguh dengan ingatan padaMu ya Allah. Peliharakan insan-insan di sekelilingku juga ya Allah. Moga mereka menarik aku ke arah mengingatiMu dan bukan menjadi wakil musuh yang cuba memikatku dengan keindahan palsu dunia yang sementara ini ya Allah. Aku mohon perlindungan Engkau ya Allah.

(to be continue...)


Hati ini lemah saat ini...

0 kopi panas..: