Saya perasan sibuk!


BuZz!

"Anti sibuk?"

"Hee.. tak..insyaAllah ok je. Ada apa?"

Sibuk... saya cukup takut untuk mengucapkan perkataan sibuk. Tambah apabila rakan akhwat atau buah-buah hati kesayangan saya menegur di tetingkap Yahoo! Messenger. Pasti walau apa saja yang saya lakukan ketika itu, sama ada sedang menaip Design Report 80 muka yang perlu dihantar seawal pagi esoknya atau sedang menghabiskan bacaan journal yang berlambakan, saya pasti akan meluangkan sedikit masa untuk mereka yang menegur di tetingkap Y!M. Kerana saya tahu mereka bukan saja-saja menegur. Biasanya akan bertanyakan perkara penting atau memerlukan teman mengisi bicara dan nasihat. Saya cuba meletakkan diri di tempat mereka, di saat diri buntu dan perlukan teman yang sudi mendengar, alangkah patahnya hati apabila insan yang diharapkan membalas "Afwan... ana sibuk sekarang".

Saya tak layak mengucapkan perkataan sibuk, kerana saya tahu saya sebenarnya hanya PERASAN sibuk. Walaupun saya rasa saya sibuk, tapi saya masih ada masa untuk tidur lebih daripada 6 jam sehari, masih ada masa membaca blog orang lain, masih ada masa menulis secangkir kopi, mana mungkin saya bisa mengaku saya sebenarnya sibuk. Saya tidak ada hak untuk mengeluh kerana sibuk. Kerana sejak dari detik saya melangkahkan kaki ke jalan ini, saya seharusnya maklum yang saya tidak akan punya masa lapang lagi untuk diri sendiri.

"Al-waajibaat aktharu min al-auqaat......"
"Kewajipan itu lebih banyak daripada masa!!"

Tiada istilah 'tiada kerja' dalam kamus hidup seorang yang menggelarkan dirinya sebagai dai' e atau pejuang Islam kerana kewajipan sentiasa melambaki masa yang ada. Suatu kebohongan yang besar andai dia mengaku dia sudah kehabisan kerja lantas punya masa untuk bersenang-senang dengan menonton filem atau drama bersiri kegemaran.

'Maka apabila engkau telah selesai (dari sesuatu urusan), tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah engkau berharap' (Al-Insyirah: 7-8)

Kenapa kita sering berkompromi dengan liqo' yang hanya sekali seminggu atau program tarbiyah yang hanya sekali sebulan atas alasan kesibukan dengan urusan akademik atau urusan dunia yang lain? Mengapa kita tidak boleh mewajibkan diri kita hadir ke setiap program tarbiyah yang diaturkan seperti mana kita mewajibkan diri kita hadir ke setiap sesi kuliah? Owh, kalau tidak hadir kuliah, nanti terlepas subjek penting yang mungkin disoal dalam peperiksaankan? Macam mana nak cemerlang dalam pelajaran..nak jadi pelajar terbaik! Habis, kalau tidak hadir program tarbiyah, bukankah kita terlepas mengutip bekalan untuk lulus cemerlang dalam ujian di titian sirat? Macam mana nak cemerlang dalam hidup dunia akhirat... nak jadi orang yang terpilih ke syurga!

Hati saya sedih melihat wajah buah-buah hati kesayangan dalam pertemuan saban minggu kami. Di saat mereka semakin membutuhkan lebih perhatian dan masa, saya semakin dihimpit dengan kekangan akademik yang semakin mencengkam. Hati menjadi belas melihat mereka. Saya sudah jarang meluangkan masa menziarahi mereka dari bilik ke bilik seperti yang selalu saya lakukan suatu waktu dahulu. Tambah sedih apabila ada antaranya yang mengatakan saya tidak lagi seperti yang mereka kenali dahulu.

Adik...
Maafkan kakak kerana sudah terlalu jarang menziarahimu,
Maafkan kakak kerana sudah lama tidak bertanyakan apa mahumu,
Maafkan kakak kerana sudah jarang menyentuh hatimu,
Maafkan kakak andai hatimu terasa jauh dariku.

Adik...
Allah sahaja yang tahu betapa kakak merindukan,
Bual-bual mesra sepanjang malam denganmu seperti dahulu,
Percik sambal dan bau masakan di baju saat kita mencuba resepi baru,
Tangis kita saat mentadaburi ayat-ayat cintaNya.

Adik...
Percayalah aku sentiasa mencuba,
Memberikan yang terbaik untukmu semampuku,
Tidak kerana dirimu dan bukan juga kerana diriku,
Tetapi kerana redha Allah yang kita harap memayungi,
Ukhuwah kita yang indah ini...

Sudah terlalu panjang saya menulis. Cukuplah di sini dahulu...

Demi masa...


1 kopi panas..:

Shazrina berkata...

luv u kak yana!
maaf klu seketika shaz terdetik perasaan tu..tanpa meletakkan diri di bahu kak yana.