A wake up call...

Hari pertama saya menjadi guru di sekolah ini, saya sangat teringin untuk menulis setiap hari. Kononnya mahu bercerita tentang pengalaman saya menjadi seorang guru. Malah lebih 'ambitious' lagi, saya kononnya mahu menulis dalam Bahasa Inggeris yang lengkap memandangkan saya mengajar subjek tersebut. Sangka saya masih punya banyak masa yang terluang untuk terus menulis. Nyatanya sangkaan saya meleset sama sekali. Menjadi seorang guru ini rupanya, tugas tidak terhenti setakat di sekolah sahaja. Begitu susah untuk 'swith off' otak daripada terus berfikir tentang pelajar-pelajar di sekolah. Dan saya fikir menulis dalam bahasa orang merencatkan kelancaran saya menulis dan apa yang saya luahkan seolah-olah tidak sampai maksudnya. Maka saya kembali menjadi Khadeeja yang asal, yang menulis dengan bahasa ibundanya.

Beberapa bulan di tanah air, saya hampir saja hilang semangat. Tanah yang saya harapkan lebih subur dengan limpahan tarbiyah dan basahan iman ini rupa-rupanya tidaklah seindah atau sesempurna yang disangka. Mengharapkan segalanya datang bergolek sudah tentunya tidak akan menghasilkan apa-apa, bukan? Buat sementara saya menjadi seorang yang biasa-biasa. Saya sepertinya sudah hilang 'drive' untuk mentarbiyah diri dan mengislahkan orang lain. Setiap masa saya menyalahkan mereka-mereka yang di sekeliling saya kerana saya fikir mereka tidak pernah peduli! Ditambah dengan tekanan untuk menjawab 'Frequently Asked Questions' : Belum ada anak? Bila nak ada anak? Dah dapat kerja? Bukankah patutnya kena kerja dengan P**R***S ke?

Anak-anak seakidahku..

Sungguh aturan Allah itu cantik sekali. Menjadi seorang guru di sini rupanya bukanlah suatu yang sia-sia, bukan sekadar mengisi masa lapang sementara dalam tempoh pengangguran. Melihat anak-anak di sini, saya dibebani rasa bersalah kerana tergamak mengambil masa bersenang-senang atau kononnya merajuk kerana merasa tidak dipeduli. Melihat anak-anak di sini saya tidak mampu tidur lena kerana memikirkan betapa kemaksiatan yang telah saya lakukan kerana berdiam-diam dan membeku di dalam rumah. Otak yang sekian lama kering dan lembap, perlahan-lahan kembali bekerja memikirkan formula terbaik untuk membantu anak-anak yang berpotensi ini. Allah memperlihatkan kepada saya secara langsung akan realiti masyakarat, realiti mereka yang belum disentuh oleh dakwah ini.

Betapa saya seolah-olah mengalami 'culture shock'. Baru tersedar selama ini saya hanya berlegar-legar dikalangan orang yang digelar 'cream of the society' dan beria-ia mengejar 'the cherry of the cake'. Berlegar-legar di situ telah sesungguhnya membatasi perbendaharaan sosial saya. Menjadikan saya kekok dan kaget apabila diletakkan dalam golongan 'cake'nya. Maka di sini 'communication skills' saya benar-benar telah teruji (bahkan kesabaran juga!). Apa yang terbukti berhasil ketika bersama 'cream', kadang-kadang tidak berhasil di sini. Lelucu yang mampu menghamburkan gelak ketawa di sana, kadangkala tidak mampu menimbulkan walau senyuman di sini. Modal-modal yang sering saya guna di sana, tidak laku di sini. Bukankah seorang daie itu sepatutnya menjadi universal? Tidak terhad hanya kepada golongan atau kaumnya sahaja? Seperti Rasulullah yang boleh menyebarkan syahadah kepada mana-mana golongan pun. Dari orang-orang yang hebat seperti Abu Bakar dan Umar, hinggalah kepada golongan hamba seperti Bilal.

Saya mahu ke angkasa!

Suasana tengah hari di pantai timur ini panas terik. Tengah hari itu saya menggantikan seorang guru yang tidak hadir mengajar di kelas tingkatan satu ini. Bahang panas dari luar meruap masuk ke dalam kelas, membuatkan kami yang di dalamnya berkuap kepanasan. Kipasnya statik tidak berputar. Rosak, kata ketua kelas yang baru sudah memberi salam dan membacakan doa tadi. Pandangan saya menyapu keseluruhan kelas. Meja guru yang saya gunakan bukanlah meja tulis besar seperti lazimnya meja guru, tetapi hanyalah meja tulis kecil pelajar yang digabung dua. Beberapa buah tingkap di kiri dan kanan kelas sudah tidak ada cerminnya. Baru tadi seorang pelajar bertubuh kecil bergegas masuk ke kelas melalui tingkap yang lompong itu apabila melihatkan saya melangkah masuk. Tersengih-sengih dia apabila saya mengarahkan di masuk semula ke kelas melalui pintu dan memberi salam seperti yang sepatutnya.

"Saya mahu kamu memperkenalkan diri dan sebutkan juga cita-cita kamu." pinta saya kepada pelajar-pelajar di hadapan saya. Kalau dahulu antara saya dan rakan-rakan, cita-cita yang paling popular adalah jurutera dan doktor.

Rupanya sangka saya meleset. Hanya seorang sahaja pelajar perempuan di kelas itu yang mahu menjadi doktor. Cita-cita yang paling popular di sini ialah pegawai bomba dan polis. Ada beberapa orang yang mahu menjadi peneroka dan nelayan seperti bapa mereka. Di kalangan pelajar perempuan pula kebanyakannya mahu menjadi guru atau jururawat. Sehinggalah tiba giliran seorang pelajar lelaki yang saya kira dari segi fizikalnya paling kecil dikelas itu. Dan di antara pelajar lelaki dialah yang paling pendiam dan sering dibuli rakan-rakan yang lain. Biar saya namakan dia sebagai Ahmad. Ahmad bangun lambat-lambat. Suara Ahmad kecil, sehingga saya perlu berdiri di sebelahnya untuk mendengarkan Ahmad memperkenalkan dirinya. Walau suaranya kecil, fizikalnya kecil dan dialah 'the punching bag of the class', tapi Ahmad punya cita-cita yang tinggi.

"Saya mahu jadi angkasawan, cikgu!"

Serentak itu terhambur gelak dan ejekan dari rakan-rakannya yang lain. Ahmad serba salah. Cepat-cepat dia kembali duduk dan menyorokkan kepalanya di balik meja. Saya kembali menenangkan kelas. Mengingatkan mereka untuk menghormati cita-cita orang lain. Mengingatkan bahawa semua orang perlu berani bermimpi dan bekerja keras untuk mencapai impian masing-masing. Ahmad angguk-angguk. Rakan-rakannya yang lain turut sama. Saya memandang wajah mereka satu persatu. Subhanallah.... mereka ini sebenarnya insan-insan yang hebat. Tinggal lagi perlu dicungkil potensi diri mereka dan dimanfaatkan sepenuhnya. Jika wajah-wajah ini tidak dimanfaatkan oleh Islam, maka tentunya jahiliah akan mempergunakan mereka. Saya sesungguhnya....

... tiada masa bersenang-senang lagi!

... tiada masa untuk berjauh hati!

BANGUN!

BANGUN!

BANGUN!

BANYAK TANGGUNGJAWAB MENANTI!

2 kopi panas..:

Maryam AA berkata...

ya, sila bangun. sesungguhnya lapangan kerja memerlukan orang-orang yang benar-benar mahu bekerja. :)

Arifah berkata...

Salam sis,

Awak tidak pernah di"tidak-peduli"kan. You are always remembered in my Rabithah Hati! =)

Teruskan mujahadah menyebarkan yang haq. Jumpa di syurga nanti ya? ;)