Si Pemotong Rumput 2

Salam...

Masih ingat kisah si pemotong rumput yang pernah saya tulis dulu? (klik sini kalau dah lupa)

Tadi sebaik selesai solat maghrib lelaki itu datang ke rumah. Kali ini dia datang mengayuh basikal. Beberapa kali dia memberi salam. Kedatangannya kali ini mahu mengajak Muhammad ke PERKESO di Kemaman untuk menuntut wang di sana. Terus daripada itu mahu membayar wang yang dipinjamnya dari kami dahulu. Dia tidak tahu tulis baca. Maka mahu minta bantuan Muhammad tentang selok belok menguruskan tuntutan. Sambil itu mahu memperkenalkan isterinya kepada saya.

"Kenapa dia mahu ke PERKESO, abang?" tanya saya pada Muhammad sebaik lelaki itu pulang.

"Anak dia yang sakit hari tu dah meninggal dunia dah..." jawab Muhammad

Innalillahi wa innalillahi rajiun.........

"Berapa umurnya?"

"5 bulan, agaknya sebab lambat ke hospital la kot. Agak-agaknya macam manalah dia hantar anak die ke hospital dalam hujan hari tu..."

Saya terdiam. Terfikir betapa bertuahnya kami. Sakit demam selsema sedikit pun sudah segera ke klinik mencari rawatan. Sedang ada insan yang tidak mampu bukan sahaja untuk ke klinik malah untuk mencari sesuap nasi pun.... Allah Ya Rabb... aku bersyukur pada Mu. Allah Ya Rabbi... ringankanlah bebanan mereka dan tabahkan hati mereka...

Al-Fatihah untuk si kecil... menanti pertemuan semula dengan ibu bapanya di syurga nanti.



0 kopi panas..: