Catatan di hari ke-4 di bumi Anbia'....
Muhammad awal-awal pagi lagi sudah menelefon minta saya bersedia. Lebih kurang setengah jam selepas jam enam, dia dan Amin tiba di hadapan rumah yang saya tumpangi dengan sebuah teksi yang disewa 80 dinar. Pagi itu kami akan ke bandar Damsyik (atau Damascus dalam bahasa Inggeris dan Dimash dalam bahasa Arab) di Syria, negara jiran Jordan. Matlamat utamanya mahu melawat business partner yang beroperasi di sana dan selain itu mahu bersiar-siar melihat kota tertua yang masih didiami itu. Pagi itu cuacanya tidak sesejuk seperti hari-hari sebelumnya. Dan saya bersyukur kerana cuaca tidak terlalu sejuk kerana sepanjang perjalanan, kerap kali kami terpaksa membuka tingkap bagi mengelakkan asap rokok yang berkepul-kepul dari kerusi pemandu, yang menyesakkan nafas dan mencemarkan paru-paru kami. Kata adik-adik di Irbid, itu memang lazimnya tabiat pemandu teksi di Jordan, kopi dan rokok memang tidak dapat dipisahkan daripada mereka. Perjalanan kami ke Syria mengambil masa kira-kira 2 jam, termasuk masa-masa menunggu untuk urusan visa dan pasport di sempadan. Ada dalam 2-3 checkpoint yang perlu dilepasi sebelum kami selamat merentasi sempadan Jordan-Syria.
Selepas bersarapan pagi, kami melangkah ke Masjid Agung Damsyik atau lebih dikenali sebagai Masjid Umayyad yang terkenal sebagai masjid yang tertua dan terbesar di dunia. Untuk sampai ke masjid itu, pengunjung perlu melalui sebuah pasar yang juga antara yang terpanjang (di dunia?) yang digelar Souk Hamidi. Melewati kedai-kedai di sepanjang bazaar itu sudah tentunya menguji nafsu kewanitaan saya yang gemar membeli-belah. Tambah pula melihatkan jubah-jubah yang sangat cantik dan berpatutan harganya. Belum lagi membelek-belek sarung bantal bermanik-manik dan permaidani, hasil buatan khusus warga Syria. Rambang mata! Muhammad yang mungkin dapat membaca fikiran saya ketika itu cepat-cepat menarik tangan saya supaya berjalan terus, jangan tersinggah-singgah. Entah berapa lama pula masa akan terbuang kalau sudah tersinggah dan memilih-milih. (huhu!)
Sampai ke hujung bazaar membawa kami ke sebuah lapangan terbuka dan di situ tersergam pintu gerbang ke Masjid Umayyad. Subhanallah seperti ada suatu perasaan yang menyelinap masuk dalam hati saya ketika itu. Saya membayangkan keadaan masjid itu di zaman kegemilangan Damsyik sebagai ibu kota kerajaan Bani Umayyah. Saya membayangkan bagaimana sibuknya lapangan ini suatu ketika dahulu dengan umat Islam yang berpusu-pusu keluar masuk dari masjid ini yang tentunya menjadi pusat gerakan masyarakat ketika itu. Saya membayangkan saya sedang berjalan di atas jejak kaki para sahabat yang bermati-matian menyebarkan Islam dan membangunkan sebuah empayar suatu ketika dahulu. Masjid ini hanya dibina pada 706 M, lebih kurang 71 tahun selepas kota itu di bebaskan oleh pahlawan Islam, Khalid Al-Walid semasa zaman pemerintahan Umar Al-Khattab (634 M).
Masjid Umayyad dimulakan pembinaannya pada zaman Khalifah Al-Walid yang menjadi pengganti Khalifah Abd Malik dan mengambil masa 9 tahun untuk disiapkan. Di bahagian solat muslimah ada sebuah binaan menyerupai perigi yang dikatakan sebagai tempat pembatisan Kristian, yang membuktikan tapak masjid ini sebelumnya adalah sebuah Gereja Kristian St. John. Masjid Umayyad yang menjadi simbol kemegahan Kerajaan Islam Bani Umayyah masih tersergam indah di hadapan mata kami, menjadi bukti kehebatan generasi Islam terdahulu. Sungguh apa yang tersergam di hadapan mata saya ketika itu membangkitkan izzah saya sebagai seorang Islam. Walaupun realitinya kini.... di manakah letaknya Islam di mata umat dunia? Masjid ini mempunyai kisah yang lebih baik jika dibandingkan dengan Mezquita de Cordoba di Spain, kerana masih menjadi hak milik orang Islam sedang Mezquita itu sudah bertukar fungsinya sebagai sebuah gereja pada hari ini. Menara yang dahulunya menjadi tempat si muazzin melaungkan azan kini dipasang sebuah loceng besar menandakan Kristian sudah mengambil alih fungsinya.
Hiasan dalaman masjid juga mengagumkan. Ketika kami masuk, seorang sheikh sedang menyampaikan kuliah. Pastinya dalam bahasa Arab yang kurang saya fahami. Di bahagian tengah, ada sebuah kotak kaca hijau besar yang bertulis:

Yang membawa maksud 'Ini ialah makam kepala Nabi Allah Yahya A.S'. Dikisahkan ketika itu, Hirodus Penguasa Palestin, mahu mengahwini anak saudaranya sendiri yang cantik jelita bernama Herodia. Nabi Yahya yang berpegang kepada Kitab Taurat ketika itu, mengeluarkan fatwa yang mengharamkan perkahwinan antara ayah saudara dan anak saudara, lalu fatwa itu tersebar ke segenap pelosok negeri. Herodia tidak berpuas hati dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Nabi Yahya kerana dianggap merosakkan rancangannya untuk bergelar seorang permaisuri raja. Maka dengan kecantikannya itu, dia telah menggoda Hirodus untuk membuktikan kecintaannya kepada Herodia dengan menghadiahkan Herodia kepala Nabi Yahya yang dianggap menghalang cinta mereka. Hirodus yang terpedaya dengan pujukan seorang wanita akur dan mengerahkan orang suruhannya untuk membawa kepala Nabi Yahya kepadanya. Maka wafatlah Nabi Allah Yahya dalam mempertahankan agamanya. Laknat Allah untuk bukan saja Hirodus dan kekasihnya, bahkan untuk seluruh Bani Israel yang telah membunuh nabi-nabi Allah. Di satu bilik lain pula terdiri makam kepala Husin.
Di taman sebelah luar Masjid Umayyad ada makam Salahudin Al-Ayubi, pahlawan Islam yang membebaskan BaitulMaqdis lewat Perang Hittin. Tugu memperingati keperwiraan Salahudin dalam perang itu didirkan juga di hadapan pintu masuk ke kawasan Masjid Umayyad. Salahudin menjadi pemerintah di Damsyik untuk menumpukan perhatiannya kepada wilayah-wilayah di Syria dan akhirnya wafat di kota ini sekitar tahun 1193 M.
Hari sudah semakin lewat, waktu pula semakin suntuk... kami nampaknya perlu bergegas ke Jisreen di mana tempat temu janji kami pada hari itu... Dan pertemuan kami dengan dia di Jisreen membuka lembaran baru dalam hidup kami....insyaAllah..
(bersambung)
0 kopi panas..:
Catat Ulasan