Assalamualaikum adik,
Lama kakak berfikir-fikir. Telah sekian lama juga kakak menimbang-nimbang. Sudahnya setiap kali itu kakak terpaksa menyembunyikan hasrat yang telah sekian lama terpendam. Kerana... kakak merasakan diri ini belum cukup layak untuk melakukannya. Namun, malam ini kakak tekad. Kakak harus melakukannya. Kerana, semakin lama disimpan semakin diri ini merasa bersalah. Biarlah... biarlah apa katamu selepas membaca surat kakak ini. Kakak hanya mahu melaksanakan tanggungjawab yang selama ini membeban dalam diri. Maka hari ini, kakak menulis dengan segala kerendahan hati. Bukan kerana diriku lebih baik dari dirimu. Tetapi, kerana kakak mahu adik jadi lebih baik dari diriku yang serba kekurangan ini.
Adikku sayang,
Di saat ini kakak melihat kau sedang mengecapi keremajaanmu, yang datang dengan segala peluang dan kemanisannya. Sungguh, ini fasa yang manis untuk kau nikmati dan bakal menjadi kenangan berharga sepanjang hidupmu. Saat-saat ini hatimu berkobar dengan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba segala sesuatu. Dan sudah fitrahnya jiwa remaja ialah jiwa yang biasa berapi-api dengan keberanian. Keberanian untuk mencabar diri. Saat ini juga kau berada di kemuncak segalanya. Kemuncak semangatmu, kemuncak kecerdasanmu dan kemuncak kesempurnaan fizikalmu. Bagaimana kakak tahu? Sudah tentulah kerana kakak juga pernah melaluinya sebelummu. Malah kakak melihat diri kakak suatu masa dahulu dalam dirimu.
Adikku,
Di saat engkau membaluti dirimu dengan fesyen terkini dan merias wajahmu seindahnya, hatiku menjadi semakin gundah. Kerana jauh di sudut hati, kakak mengakui kecantikan yang Allah kurniakan kepadamu. Tahukah engkau kesempurnaan yang Allah kurniakan kepadamu itu merupakan satu dugaan maha hebat untukmu? Hatiku pedih saat melihat keindahanmu dipertontonkan kepada yang tidak berhak. Tidak, kakak tidak sekali-kali cemburu kepadamu. Kakak hanya tidak mahu engkau mengulangi kekhilafanku suatu masa dahulu.
Kakak dahulu juga sepertimu, yang tidak pernah mahu ketinggalan dari arus fesyen yang menggila. Berseluar ketat, berbaju singkat dan bertudung hanya pelengkap syarat, jangankan tidak memakainya. Merasakan diri terbebas dari belenggu syariat yang ketika itu dianggap kolot dan menjemukan. Sedangkan diri menjadi badut yang menggayakan telunjuk kafir laknatullah yang hanya mahu menjatuhkan kehormatan wanita Islam dengan menyingkap hijab dan rasa malu dari diri sang gadis. Yang kononnya dinamakan liberalisasi wanita. Sedangkan diri bagai sang merak yang hanya indah pada bulunya, sedang diri tidak mampu untuk terbang tinggi mengejar redha Allah. Sungguh, jangan kau ulangi kesilapanku.
Adikku yang amat dekat di hati,
Kerana kesempurnaan parasmu dan keramahanmu barangkali, ramai yang datang menagih cintamu. Dan pastinya mereka menjanjikan yang indah-indah untuk memikat hatimu. Dan fitrahnya jiwa wanita kita ini lembut. Mudah amat terlentur dengan pujuk rayu. Di saat keremajaanmu ini Allah memenuhi jiwamu dengan limpahan rasa cinta. Bukan untuk dihulurkan sesuka hati kepada sesiapa, tetapi untuk disalurkan dan diuruskan berlandas syariatnya. Jadilah seperti mawar. Yang cantik mewangi menarik hati. Tetapi hanya yang benar berani mampu memiliki, setelah sanggup meredah duri-duri yang membentengi dirinya. Bukan mudah dipetik dan dihidu sewenang-wenangnya.
Mungkin kau rasakan kakak tidak layak menasihatimu dalam hal ini. Kisah lampau tentang zaman kebodohanku menguruskan cinta menjadi senjata untuk kau menutup telinga dari mendengar nasihatku. Kerana kebodohan dan kesilapan-kesilapanku itulah yang menyebabkan aku tidak pernah jemu menasihatimu tentang cinta. Kerana dengan cinta yang fitrahnya suci ini boleh dicemari dengan noda yang akan menjerumuskanmu ke lembah kehinaan. Apabila cinta bercampur nafsu, segalanya terlihat indah di pandangan. Tanpa kau sedar dengan halus, syaitan memasukkan jarumnya satu persatu.
Mungkin dengan semudah berbalas mesej di telefon dan berlarutan dengan saling melihat gambar-gambar si buah hati di laman sosial kegemaranmu. Di mana malumu sebagai seorang muslimah, andai gambar pelbagai aksi engkau siarkan di laman sosialmu? Hati kembang dengan pujian yang dilantunkan teman-teman, tanpa kau sedar saham dosamu bertambah setiap detik setiap kali lelaki ajnabi bergetar hati melihat indahnya wajahmu dan moleknya senyumanmu. Lantas teringat-ingat dan hati mula rindu. Rindu pula bakal menghasilkan sebuah pertemuan. Nah, licik bukan si syaitan? Tiba masa engkau tersedar dari indahnya lamunan cinta itu, kakak bimbang engkau sudah terlambat. Terlalu jauh dibawa arus cintamu sehingga lemas dan karam, tidak mampu untuk kembali. Mengingatkan itu aku menjadi semakin gerun.
Adikku tercinta,
Cuba kau lihat wajah ayah dan ibu saat mereka tertidur kelelahan setelah melalui hari-hari yang panjang membesarkan kita? Tidakkah bergetar hatimu? Tidakkah menitis air matamu? Beruntunglah adikku andai pemandangan itu membuahkan titis jernih di matamu, kerana janji Allah air mata yang menitis itu bakal menjadi penghapus api neraka. Tetapi, adikku. Adakah dengan melihat mereka hatimu malah menjadi benci. Jiwamu merasa terkongkong dengan aturan dan nasihat mereka? Engkau merasakan mereka tidak mampu memahami jiwa remajamu yang perlukan sebuah kebebasan.
Tetapi, masihkah kau ingat adikku? Mereka yang engkau rasakan serba tidak memahami itulah yang pertama sekali memahami setiap inci kemahuanmu ketika engkau masih belum mampu bicara. Ketika engkau menangis, ibu tahu membezakan tangis laparmu, tangis gelisahmu dan tangis sakitmu. Ayah yang kau rasakan mengongkong hidupmu itu, merupakan yang pertama memberikan kau kebebasan dan membawa engkau melihat dunia. Masih ingatkah ketika dia meletakkan kau di keranjang motosikalnya untuk menikmati angin petang? Membebaskan kau dari kebosanan setelah kian lama terperuk kerana masih belum mampu bertatih.
Jangan kau balas suruhan mereka dengan suara yang meninggi. Jangan kau hadiahkan jelingan untuk setiap bebelan mereka. Jangan sekali-kali. Jika kau merasa dirimu benar, terangkan dengan penuh sabar kepada mereka. Jika masih berselisih, bawalah dirimu sebentar meraih kekuatan. Bukan dengan jalan keluar dari rumah mereka dan tidak kembali. Kerana itu hanya bakal menambah luka dan mungkin menempah jalan ke neraka. Kakak sungguh tidak mahu kau digelar anak derhaka. Tetapi carilah kekuatan itu dengan sabar dan solat. Berdoa moga engkau dan mereka dikurniakan petunjukNya. Kerana tanpa restu mereka, hilanglah rahmat dari Allah kepadamu. Maka ketika itu, di mana akan engkau cari kebahagiaan hidupmu.
Adikku sayang,
Sekali lagi ingin kakak tegaskan, kakak menulis surat buatmu ini bukan kerana kakak merasakan diriku lebih sempurna darimu. Bukan juga kerana merasakan imanku lebih tinggi dari imanmu. Tetapi hanya sebagai pesanan seorang kakak kepada seorang adik yang dikasihi. Yang telah melalui jalanmu dan melakukan kesilapan demi kesilapan itu. Kerana kasihku padamu adikku, kakak tidak mahu kau melakukan kesilapan yang sama. Kakak melakukan kesilapan itu kerana aku tidak pernah diberitahu. Malangnya aku kerana tidak mempunyai kakak yang mahu menasihati. Aku belajar satu-satu tentang hidup setelah menempuh jalan yang perit. Kalau mampu aku putar masa, mahu saja aku padamkan sejarah silam hidupku.
Sekarang segalanya terpulang kepadamu adik. Masih banyak yang mahu kakak luahkan namun cukuplah buat masa ini. Jikalau kau mendengar dan mengambil yang sedikit ini pun kakak sudah terlebih-lebih bahagia. Dalam doaku saban hari, aku berdoa moga petunjuk Ilahi sentiasa bersamamu.
Ikhlas dari,
Kakak

0 kopi panas..:
Catat Ulasan