Malam ini.. saya tiba-tiba jadi sangat rindu pada dia.. Terfikir apa yang sedang dia lakukan sekarang.. bagaimana hidup dia sekarang.. bahagiakah dia? Lalu air mata saya tumpah buat kesekian kalinya. Bila dikira-kira sudah setahun lebih kami terpisah. Jika mahu dipadamkan kenangan antara saya dan dia atau memadamkan terus dirinya dari ingatan saya.. samalah seperti memadam sejarah dua puluh tahun hidup saya. Seperti memadamkan terus kewujudan saya di dunia ini. Kerana sejauh ingatan saya.. sejak sedari saya mula tahu berfikir dan mengingat... dia sudah sedia ada bersama. Menjadi sahabat paling rapat... dan dalam masa yang sama pesaing saya yang paling hebat.
Tiada satu pun kenangan zaman kanak-kanak dalam ingatan saya tanpa kehadiran dia. Malah jarang sekali saya mengingati zaman kanak-kanak saya sebagai 'kisah saya' tetapi hampir kesemuanya menjadi 'kisah kami'. Kami suka amat berangan-angan. Kami selalu angankan hidup yang sempurna bersama apabila dewasa nanti. Kami mahu sebuah rumah yang besar..yang dapat kami hias seenak rasa kami seperti bagaimana kami menghias kamar kecil milik kami ketika itu. Malah janji kami, kami tidak akan pernah berpisah. Kami yakin benar kami akan sentiasa bersama walau apa pun yang terjadi. Dalam pada itu hampir setiap hari ada sahaja hal yang remeh yang kami gaduhkan. Tetapi tidak lama.. sebelum salah seorang mengajak bermain semula. Dan kami menjadi sahabat yang paling rapat seperti tiada apa yang penah berlaku.
Begitu banyak sahabat bersilih ganti sepanjang hidup saya.. baru saya sedar tiada yang dapat mengambil tempatnya. Dia sahabat yang paling baik.. pendengar setia cerita dan omelan saya sebelum tidur saban malam. Malangnya saya tidak menjadi sahabatnya yang paling baik.. Saya tiada di sisinya di saat dia memerlukan. Saya tidak cuba memahami di saat dia mahu seseorang mengerti. Saya mementingkan diri sendiri. Saya pada masa itu hanya memikirkan hal hidup saya sendiri. Dan dia masih tersenyum mendengar omelan saya tentang hal-hal gembira yang berlaku hari demi hari.. masih sudi memeluk saya apabila saat-saat sedih bertandang. Tanpa saya sedar dia juga memendam. Dia belum cukup terbuka dengan saya kerana bimbang saya tidak memahami dan menerima. Kerana katanya hidup saya terlalu ideal... hanya penuh dengan kejayaan dan kisah-kisah yang indah. Sedang hidupnya katanya sangat jauh dari sempurna...
Kepulangan saya yang lepas berlainan dari kepulangan saya sebelumnya. Di tangan saya ada hadiah yang berbalut kemas istimewa untuknya. Dan yang lebih penting daripada itu.. saya mahu berkongsi sesuatu yang amat berharga yang baru saya temui di bumi asing ini. Dan itulah rasanya hadiah yang terbaik tanda kasih sayang saya untuknya. Dan saya tahu lembut hatinya..dia akan menerima. Saya mahu bersamanya ke Jannah. Impian baru saya yang lebih besar untuk kami menggantikan impian zaman kanak-kanak kami.
"Cepat balik.. banyak cerita mahu kongsi"
"Di sini pun..banyak cerita dan perkara mahu dikongsi. Tak bolehkah cerita di telefon ini saja?"
"Tak boleh.. cerita ini hanya untuk awak.. Balik cepat ya.. kita cerita panjang"
Dan kini saya telah pulang.. tidak sabar mahu melunaskan rindu saya padanya. Tetapi sedikit kecewa saat tidak terlihat kelibatnya menyambut kepulangan saya ketika itu. Sibuk barangkali.. saya cuba menenangkan hati. Saya sangat yakin dia masih menunggu saya.
Rupanya saya tiba terlalu lewat. Saya tiba sewaktu sakitnya sudah parah. Dan dia sendiri tidak tertahan dengan kesakitan itu. Tidak sanggup lagi menanti kepulangan saya untuk merawat sakitnya. Lalu dia cuba merawatnya sendiri-sendiri tanpa sedar perbuatannya menambah parah sakit itu. Dan ketika itu saya lihat air mata yang menitis dari semua di sekeliling saya. Entah mengapa ketika itu saya tidak menangis. Kerana apa yang saya dengar ketika itu terlalu buruk untuk menjadi sebuah realiti. Sesuatu yang tidak pernah terjangkau oleh akal saya. Ketika itu saya berharap semuanya hanya sebuah mimpi yang buruk dan apabila saya terjaga semuanya akan seperti sediakala. Seperti yang saya tinggalkan hampir setahun yang dulu.
Rupanya sakit itu sudah lama. Malah simptomnya sudah kelihatan oleh saya sejak sebelum saya pergi jauh meninggalkannya. Cuma ketika itu saya terlalu buta untuk melihat dan mengerti. Saya fikir semua itu sesuatu yang biasa yang akan pulih dengan masa. Malah ketika sakitnya semakin parah pun semua yang mengetahui cuba menyembunyikan daripada pengetahuan saya. Kerana masing-masing bimbang bakal mengganggu konsentrasi saya dalam menghadapi peperiksaan akhir ketika itu. Dan pemergiannya juga dirahsiakan daripada saya. Saya di sini ketika itu hanya disuapkan dengan khabar yang indah-indah tanpa sedikit pun saya sedar ada ujian maha hebat yang sedang dia hadapi. Bersalahnya saya kerana tidak pernah cuba mengerti.
Tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan untuknya di kejauhan ini melainkan doa yang tidak putus untuknya. Semoga setiap derap langkahnya di atas bumi Allah ini sentiasa di bawah redhaNya dan semoga hatinya sentiasa dipandu untuk yang terbaik. Saya mahu dia tahu yang setiap kesilapan itu masih boleh dibaiki dan Allah itu Maha Pengampun. Saya sentiasa cuba tanamkan dalam hati yang ini hanya satu babak dalam kisah kami yang panjang yang telah siap diaturkanNya dan hikmah itu pasti ada di sebaliknya.
....hadiah itu masih terbalut kemas untuknya dan khazanah berharga yang mahu saya kongsikan ini juga masih saya simpan. Andai suatu hari nanti dia kembali... dan saya yakin dia pasti kembali menuntut janji-janji kami dahulu. Saya mahu menyeka air matanya dan merawat sakitnya..
0 kopi panas..:
Catat Ulasan