Coret-coret Malaysia

AMARAN: Entry jiwa-jiwa..read at ur own risk...hehe!

Assalamualaikum..

Alhamdulillah..kurang 10 hari genap sebulan saya di tanah air.. melunaskan kerinduan pada yang tersayang dan menunaikan tanggungjawab yang tertunggak di sini. Alhamdulillah.. alhamdulillah.. hari-hari yang saya lalui sejak di sini terasa cepatnya berlalu dan setiap detik terisi dengan kenangan yang amat manis untuk saya simpan dalam ingatan sepanjang berjauhan semula nanti. Kepulangan sebulan ini umpana mengecas semula semangat dalam diri saya sendiri sebelum menghadapi masa-masa yang lebih getir selepas ini. Ada ujian dunia yang menanti sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke bumi asing yang dingin itu. Mujur dia amat memahami malah dia yang selalu mengingatkan saya tentang studi dan buku-buku pelajaran. Dan dengan ditemaninya (meski dia seringnya tertidur lena di sebelah setelah seharian kepenatan bekerja… ) saya gagahkan diri menelaah pelajaran hingga larut malam. Moga Allah berkati usaha yang kecil ini dan mengurniakan yang terbaik untuk kami.. insyaAllah.

Alhamdulillah… walau amat sederhana kami punya teratak kecil milik kami sendiri. Pertama kali memandu saya ke rumah kami wajahnya berkerut risau. Sepanjang perjalanan (mungkin tanpa sedarnya) dia berkali-kali mengingatkan agar jangan saya menyimpan harap terlalu tinggi. Katanya rumah kami itu nanti hanya rumah papan yang tidaklah seindah mana…

“Macam rumah ni ke?” ujar saya sambil jari menuding pada rumah papan putih yg cantik di pinggir jalan.

“Tidaklah...lebih kecil daripada itu”

“Macam yang ini ke?” saya menuding pada rumah seterusnya.

“Tidak sayang… besarnya macam itulah tapi lagi usang” katanya lagi.

Kereta terus meluncur ke destinasi dan saya sendiri semakin tidak sabar mahu melihat rumah pertama kami. Pagi masih gelap..sempat kami menyertai jemaah subuh di sebuah masjid kecil sepanjang perjalanan itu. Sebelum subuh lagi kami sudah bertolak dari rumah emak, kerana pukul 8 nanti dia perlu masuk kerja. Akhirnya setelah sejam lebih perjalanan, kami sampai ke Kemasik. Matahari sembunyi-sembunyi memancarkan cahayanya. Pagi-pagi dalam waktu-waktu begini, Pantai Timur biasanya mendung- mendung sahaja. Monsun Timur Laut masih belum mahu surut. Dari jalan besar itu sudah kelihatan laut yang terbentang luas dengan pasir pantai yang memutih. Subhanallah indahnya… Saya memang sudah sejak kecil mengimpikan rumah yang hampir dengan pantai… malah kalau bisa anjungnya terus menganjur ke laut.

Kereta membelok masuk ke simpang ke Jalan Gong Chengal. Dari jalan yang besar tadi membawa kami menyusuri jalan kampung yang lebih kecil, terjalur antara rumah-rumah papan di kiri kanan jalan.

“Dah nak sampai dah” ujarnya.

Saya mengangguk saja. Dalam hati makin tidak sabar mahu melihat rumah kami. Yang mana satu antara barisan-barisan rumah itu nanti yang akan menjadi tempat saya dinobatkan menjadi surinya. Akhirnya kereta berhenti dihadapan sebuah rumah berpagar hijau. Saya tersenyum sendiri. Ini rumah pertama kami..alhamdulillah. Tidaklah seteruk yang dia gambarkan. Dia tidak mahu expectation saya terlalu tinggi barangkali. Rumah itu sederhana besarnya, terbina di atas sebuah laman yang agak luas. Ada pokok-pokok mangga merimbun di laman kiri rumah yang di bawah rimbunnya dibinakan pangkin kayu tempat bersantai-santai di petang hari. Lamannya perlu dibersihkan sedikit barangkali… pastinya akan indah semula. Pantai Kemasik sejauh 5-10 minit berjalan kaki saja dari rumah. Alhamdulillah… sederhana tapi pada saya cukup indah. Mana mungkin saya tidak bersyukur.

Jadi suri rumah pun bukan mudah rupanya. Itu baru berdua, belum lagi ada si kecil. Tak terbayang bagaimana nanti menjadi suri rumah andai sudah ada si kecil dan saya pula bekerja (hee..abang kene gajikan orang gaji nih..). Doakan rezeki saya juga di Kerteh ini nanti, tak sanggup lagi berjauhan dan jadi ‘weekend husband and wife’ saja (macam kebanyakan pasangan suami isteri yang berkerja di syarikat minyak ini). Saya... kalau boleh mahu membina putera puteri saya nanti dengan tangan saya sendiri. Mahu melihat mereka membesar di depan mata, melihat langkah pertama mereka dan mendengar perkataan pertama mereka dengan mata dan telinga sendiri... insyaAllah.

Selainnya… masa kami banyak dihabiskan dalam kereta kecil kami. Ke sana dan ke mari…menunaikan tanggungjawab diri dan hak2 orang-orang lain ke atas kami. Ke Kuantan menziarahi emak dan abah saban minggu, berhari raya Qurban di Teluk Intan (pertama kali merasa disengat tebuan semasa mengait rambutan di laman rumah..hehe!) dan hujung minggu biasanya diperuntukkan untuk dakwah. Tambah pula musim-musim menunggu keputusan SPM ini. Setiap minggu pasti kami terlibat membantu dalam program lepasan SPM untuk adik-adik. Dia di depan sana memberi pengisian dan saya hanya menjadi ‘panadol’ merawat kepeningan adik-adik di bahagian akhowat. Pastinya pengalaman ini jauh berbeza dengan medan di luar negara sana. Terasa diri keluar sebentar dari kelompok insan-insan terpilih, si bijak pandai di bumi asing itu. Dan masuk pula ke dalam kelompok adik-adik yang baru mahu kenal dunia selepas keluar dari lingkungan pagar sekolah.

“Akak.. baru sekarang saya faham konsep Qada’ dan Qadar. InsyaAllah lepas ni saya dah takkan takut-takut lagi dah bile fikir tentang hidup… Allah dah atur semua kan?”

“Ya Allah akak..bayangkan.. dah 17 tahun saya hidup dengan hidup yang tak ada tujuan yg jelas. Yang kalau ada pun bengkok sama sekali. Baru hari ni akak… baru hari ni selepas 17 tahun saya lahir saya akhirnya baru tahu apa tujuan hidup saya…”

“Hari ni saya rasa… sesuatu yang saya bina sikit-sikit sejak dari 17 tahun lepas dihancurkan macam tu saja akak… dan di atas kehancuran tu terbina binaan baru yang lebih indah dan benar. Rupanya selama ini saya tidak sedar yang saya bina selama 17 tahun itu salah sama sekali”


Air mata berlinangan di pipi halus mereka. Hembusan angin Laut Cina Selatan seakan-akan menghembus pergi segala jahiliyah yang ada dan membawa bersamanya suatu permulaan yang baru untuk adik-adik ini. Allah Ya Rabbi… pandulah hati-hati kecil yang suci ini. Saya perhatikan satu-satu wajah-wajah itu dan membiarkan mereka sebentar melayan perasaan. Ada yang menguis-nguis pasir pantai yang halus dan putih itu. Ada yang jauh lontaran pandangannya ke laut lepas. Ada yang masih tekun menulis muhasabah diri di atas kepingan kertas. Pasti nanti rindu hati ini pada mereka. Bagaimana lagi mahu bertemu sedang saya perlu pulang semula ke medan juang di barat sana dan mereka terus di sini dengan haluan masing-masing selepas ini. Hanya doa yang mampu saya panjatkan, moga hidayah dan petunjukNya terus bersama kami semua. Selagi semua di jalan ini, insyaAllah suatu hari nanti kami pasti bertemu lagi. Jika tidak di dunia ini insyaAllah dengan izin Allah di syurga nanti. Masing-masing sudah janji mahu sentiasa berutus khabar selepas ini.

“Saya mahu jadi macam akak nanti” kata si comel itu sambil tersenyum-senyum selepas saya memeluknya erat sebelum berpisah.

“Tidak… kalau boleh akak tak mahu sesiapa pun dari kamu semua jadi macam akak.”

“Kenapa?” soalnya dengan wajah berkerut. Saya hanya tersenyum.

“Akak nak tengok kamu semua jadi jaaaauh lebih baik daripada akak insyaAllah”
Siapa tahu suatu hari nanti, mereka inilah yang bakal duduk2 begini bersama anak-anak saya... menyampaikan ilmu dan kefahaman Islam yang mereka peroleh hari ini? InsyaAllah...

"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa" ( Al-Furqan:74)










4 kopi panas..:

Tanpa Nama berkata...

slm,pengalaman yang menarik with budak2 spm...keep on writing,i like reading your blog, interesting point of view plus style of writing(maaf terpuji plak)hehe...

Umi Kalthum Ngah berkata...

Assalamualaikum Liyana,

Sudah balik ke Manchester semula kah?

Ehm...Mengapa tak contact makcik masa kat Malaysia tempoh hari?

Fikir balik..tak mengapalah...makcik faham.

Mesti mahu habiskan waktu dengan orang tersayang...

Jaga diri baik-baik...

Wasalam,

Makcik Umi

Tanpa Nama berkata...

Isk... Takleh jadi ni... Akak pun nak rumah jugak!

Hehehe.

Be prepared untuk selalu ditanya soalan cepu mas macam YM hari tu ya Yana.

XXngantuk studyXX

Tanpa Nama berkata...

ha ah..i dunno u can write sis..

pls keep writing with ur heart ya?sgt mneyentuh hati saye..

kadang2 kite tak sedarkan usaha kecil kite utk memanggil insan lain kepadaNya boleh membuahkan hasil yg besar..terima kasih kerana mengingatkan saya utk terus bersabar dan jgn berputus asa di atas jalan ini..

Allah yg pegang hati2 manusia..kite hanya perlu berusaha dan bulatkan niat lillahi taala..

May Allah give us all the strength to stay 'tsabat' on this path..
bi iznillah...