Jadilah Ulul Albab, Bukan Pemilik Fikiran Lembap

Assalamualaikum wmt wbt..



Hari ni membaca ruangan bicara agama di Utusan Malaysia. Kali ini Dr.Mohd Asri Zainal Abidin, mufti negeri Perlis menulis artikel yang bertajuk “ Jadilah Ulul Albab bukan pemilik fikiran lembap”. Hati tertarik untuk membacanya kerana semasa pulang bercuti pada cuti musim dingin yang lepas, di tempat tinggal saya Terengganu banyak memaparkan papan-papan iklan yang tertulis slogan “ KE ARAH MELAHIRKAN GENERASI ULUL ALBAB”. Ketika itu hati saya terdetik, apakah yang dimaksudkan dengan generasi Ulul Albab? Tidak dapat tidak hati teringat akan ‘Ahmad Albab’ dalam filem seniman P. Ramlee. Dalam berfikir itu kami melintasi pula papan iklan yang lain. Papan iklan yang seterusnya memaparkan kejayaan anak-anak kecil Terengganu. Hati makin melonjak-lonjak ingin tahu tentang Ulul Albab.


Lalu saya bertanyakan pada suami yang sedang memandu tentang maksud Ulul Albab itu. Maklumlah sekali-sekala pulang ke Malaysia, saya mungkin ketinggalan dalam mengikuti isu atau agenda terbaru negara. Lantas dia teringatkan sepotong ayat al-Quran yang ada menyebut tentang Ulul Albab lewat hafazan di dalam kepala. Katanya Ulul Albab itu bermaksud golongan yang berfikir. Lalu kami berbincang-bincang tentang apa yang cuba dimaksudkan dengan slogan di papan iklan itu sehingga akhirnya kami tiba di rumah. Setibanya di rumah itu saya lalu membelek al-Quran mencari ayat-ayat yang menyebut kalimah Ulul Albab bagi memastikan keraguan yang bermain di minda. Kalau dalam terjemahan Al-Quran yang saya miliki ini, Ulul Albab yang saya temui dalam surah Az-Zumar membawa maksud ‘golongan yang mempunyai akal sehat’. Kelemahan saya, pencarian saya tentang Ulul Albab berakhir di situ lantas terus hilang dari ingatan hingga hari ini diingatkan semula lewat membaca penulisan Dr. Mohd Asri. Lantas saya serba sedikit lebih faham tentang Generasi Ulul Albab seperti yang dilaung-laungkan di Malaysia lewat akhir-akhir ini.


‘Perkataan ‘Ulul Albab’ disebut dalam al- Quran sebanyak 16 kali. Ahli-ahli tafsir hampir keseluruhan bersepakat bahawa perkataan Ulul Albab yang digunakan oleh al-Quran ini merujuk kepada golongan yang memiliki akal dan kefahaman yang matang sehingga mampu membuat penilaian yang tepat. Kemuncaknya mereka akan menemui hakikat kebenaran yang menyelamatkan kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Apabila kita menyebut tentang pemikiran yang matang dan berkemampuan membuat penilaian yang betul bukanlah semestinya bermaksud pemikiran mereka yang berkelulusan pusat pengajian tinggi. Walaupun itu satu langkah untuk mematangkan fikiran, namun entah berapa ramai yang berkelulusan tinggi tetapi berakal dangkal. Maka membina golongan Ulul Albab bukan sekadar membanyakkan universiti atau pondok, atau penghafal buku dan matan tanpa kematangan fikiran. Sebaliknya adalah dengan mewujudkan persekitaran negara dan masyarakat, dasar dan falsafah yang membina akal yang matang sehingga dapat membezakan antara yang benar dan salah, antara yang buruk dan baik, antara yang berfaedah dan sia-sia dan seterusnya. Lihat Allah sifatkan golongan Ulul Albab ini;


‘Oleh itu gembirakanlah hamba-hamba- Ku. (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab’
(al-Zumar: 17-18)’


Tulis Dr.Mohd Asri lagi. tidak termasuk dalam golongan Ulul Albab mereka yang menelan apa saja yang disampaikan kepada mereka tanpa membuat penilaian yang baik. Lalu ia langsung reflek kepada diri saya sendiri. Adakah kita tergolong dalam golongan Ulul Albab? Benar kita ini belajarnya tinggi, malah lebih daripada itu sampai ke luar negara kita menuntut ilmu tetapi belum pasti kita tergolong dalam generasi Ulul Albab seperti yang dimaksudkan dalam Al-Quran. Ada antara kita yang hanya belajar dan belajar tanpa mempersoalkan apa yang di pelajari. Malah ada sesetengahnya di antara kita yang tidak tahu mengapa dia perlu belajar sesetengah perkara yang dijadualkan dalam jadual waktu kelasnya sehari-hari. Kita menerima segala apa yang di ajarkan kerana itu sudah tertulis dalam buku oleh mereka yang bertauliah dalam bidangnya. Kita menerima segala yang di ajarkan kerana mahu mencukupkan nilai kredit agar di akhirnya nanti kita memperolehi segulung ijazah. Tetapi apakah kita pasti bahawa di hujung kembara ilmu kita di bumi asing ini nanti mampu melahirkan kita yang tergolong dalam generasi Ulul Albab? Kerana golongan Ulul Albab itu hanyalah ‘mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang disampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik’. Bukanlah maksud saya kita perlu mempersoalkan setiap fakta yang tertulis dalam buku-buku teks itu. Tetapi setidak-tidaknya kita berfikir bagaimana mungkin mampu kita memanipulasi segala apa yang kita pelajari dalam menambah nilaian kita sebagai seorang Muslim yang belajar dan berfikir.


Pernah atau tidak terfikir bagaimana ilmuan Islam dahulu mampu jadi hebat sehingga melahirkan hasil-hasil garapan ilmu yang amat dikagumi dalam bidang ilmu masing-masing? Imbas kembali zaman kegemilangan Islam di mana Islam menjadi ustaziatul alam. Tidak dinafikan sumber ilmu ketika itu juga datangnya daripada Greek, Rom, Mesir Kuno, India dan China, tetapi ilmu-ilmu tersebut disadur dan ditapis dengan kefahaman Islam sehingga melahirkan tamadun Islam yang unggul. Ketika itu lahir tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina dalam bidang perubatan, Khawarizmi dalam Matematik, Ibnu Rusyd dalam bidang perubatan dan falsasah serta ramai lagi. Mereka inilah yang layak digelar golongan Ulul Albab. Mereka belajar dan mendalami ilmu kerana semangat cintakan ilmu dan mahu mengetahui. Bukan hanya sekadar ke sekolah kerana semua orang ke sekolah. Ke universiti kerana mahukan penghormatan masyarakat yang memandang tinggi orang yang berijazah.


Apakah kita mengira bahawa kita tergolong dalam golongan Ulul Albab andai kita sebagai pelajar dan generasi muda sering terikut-ikut dengan gaya artis-artis barat yang tidak bersempadankan agama. Mungkin kita menafikan kita terpengaruh dengan budaya yang mereka bawa, sedang tanpa kita sedari kadang-kadang kita mengkagumi dan menganggap apa yang dibawa mereka adalah yang terbaik. Lihatlah sekeliling dan nilailah semula diri sendiri. Adakah kita tidak sedikit pun terjejas dengan arus budaya barat yang menggila di sekeliling kita. Tambah lagi kita ini yang sememangnya sudah berada di tempat mereka. Menjadi generasi Ulul Albab bukan hanya terletak pada diri yang mampu menguasai ilmu dan memiliki segulung ijazah. Tetapi, untuk menjadi golongan yang disebutkan Allah itu, kita harus mampu untuk berfikir dengan kritis tentang apa yang diterima dari sekeliling kita lantas memilih apa yang terbaik dan menolak segala yang buruk tanpa mengikut secara membuta tuli.


Banyak lagi yang ditulis dengan menarik oleh Dr. Mohd Asri dalam artikelnya. Mahu baca lebih lanjut? Saya sertakan disini pautan untuk ke laman Bicara Agama tersebut. Maaf andai ada tersilap kata. Sesungguhnya ia lebih sebagai peringatan untuk diri sendiri yang serba kekurangan ini. Wallahualam…

2 kopi panas..:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum,

Bukankah pelajar semua telah dilatih supaya selalu menjadi 'critical minded'? Supaya tidaklah menjadi seperti kebanyakan manusia terutama di Malaysia sekarang ini (bendera semakin banyak dipasang), bersikap seperti kerbau dicucuk hidung...

Umi Kalthum Ngah berkata...

Assalamualaikum warahmatullah,

Pada pandangan makcik, memang elok sangat jika dapat dilatih dari peringkat sedang belajar ini..pelajar-pelajar membiasakan diri berfikiran kritikal..tidak menerima sesuatu secara bulat-bulat..mengkaji fakta dan membuat sedikit semakan..supaya nanti tidak menjadi seperti sesetengah orang itu...sampai ke usia senja pun asyik menerima dan menelan semuanya tanpa fikir panjang...Mudah pula digula-gula dengan janji dan kata-kata kosong, apatah lagi dengan buah tangan yang tidak seberapa..

Makcik Umi

PS. Sekarang ini sudah 'demam bendera' di sini sana...