Flash of Genius


Sempat tonton 'Flash of Genius' dengan Muhammad malam semalam. Filem yang berdasarkan kisah benar tentang seorang jurutera yang telah mencipta 'intermittent windshield wiper', seperti mana yang kita lihat pada semua kenderaan zaman sekarang. Pada mulanya, saya dan Muhammad fikir, tiada apa sangat pun yang boleh dikagumkan dengan rekaan Robert Kearns ini. Wiper telah dicipta sebelumnya oleh Mary Anderson tapi perlu dikawal secara manual dengan tenaga manusia. Kemudian Folberths brothers cipta wiper yang dikuasakan oleh 'air engine' sebelum Bosch mencipta 'electric windshield wiper' yang bergerak secara berterusan. Berilhamkan daripada mekanisme mata manusia yang berkelip setiap beberapa saat dan tidak secara berterusan, Robert Kearns akhirnya mencipta wiper yang ada delay bagi setiap pergerakan kiri dan kanannya. Tiada apa yang baru dicipta oleh Kearns, tetapi dia hanya mengubah susunan litar sedia ada.

Bukan ciptaan Kearns yang menjadi persoalan tetapi nilai-nilai yang boleh dikutip sepanjang 2 jam menonton filem ini. Tentang konsep penemuan baru itu. Kadang-kadang kita tidak dapat mengelakkan rasa ta'jub dengan hasil kerja kita. Berapa ramai mad'u yang berjaya kita kumpul dalam tempoh setahun misalnya. Ini kerja syaitan yang jika tidak mampu merosak amal kita, dia akan merosakkan pahala kita. Kita merasa gembira apabila dengan sedikit usaha seorang mad'u sudah tertarik hati untuk bersama kita. Jarang kita sedar yang entah berapa ramai sebelum kita yang berusaha menyentuh hatinya dengan Islam sedang kita mungkin ditakdirkan berada di akhir sebelum dia tersentak dengan Islam. Kita merasa bangga apabila anak didik kita menjadi seorang yang hebat. Tetapi jarang kita sedar kehebatannya itu bukan semata-mata kerana tarbiyah yang kita berikan kepadanya, tetapi kerana nilai hebatnya yang memang sudah tersedia dikurniakan Allah untuknya. Tinggal lagi kita hanya mencungkil dan menggilap nilai itu saja. Seperti Kearns yang mungkin tidak mampu muncul dengan ciptaannya sekiranya sebelum itu tidak ada yang mencipta litar elektrik untuk menggerakkan wiper itu atau malah dia mungkin tidak terfikir pun bagaimana mahu mencipta wiper.



Kami lebih kagum melihat cara Robert Kearns mendidik anak-anaknya supaya mempunyai cara berfikir seperti beliau. Bagaimana penemuan terbarunya itu dilakukan bersama anak-anak lelakinya di 'basement' rumah mereka. Bagaimana mereka sekeluarga keluar meraikan kejayaan mereka dan bersama-sama menunggu hujan untuk keluar menyaksikan kehebatan wiper mereka. Kearns malah membiarkan anak-anaknya sendiri berunding dengan si penjual kilang untuk memutuskan kesesuaian kilang tersebut sebagai tempat penghasilan produk mereka. Hakikatnya Kearns sebenarnya mampu melakukan segalanya sendirian walaupun tanpa bantuan anak-anaknya, tetapi segalanya dilakukan bersama-sama demi memberi 'on hand experience' kepada anak-anak muda itu.


Saya mengumpamakan kaedah Kearns mendidik anak-anaknya dengan kaedah mentarbiyah anak-anak usrah. Bagaimana seorang naqib/ naqibah sepatutnya memberikan 'on hand experience' kepada anak-anak usrah mereka. Tidak cukup dengan sekadar memberi arahan atau bercerita tentang teori dakwah dalam usrah, kemudian hanya menanti laporan dari anak-anak usrah saban minggu akan keberhasilannya. Tetapi naqib/ naqibah sepatutnya sama-sama turun padang bersama anak-anak usrahnya. Sama-sama belajar cara mana yang berhasil dan cara mana yang tidak. Sebagai orang yang baru di medan dakwah sudah tentunya anak-anak ini merasa kekok dan tidak tahu bagaimana memulakan. Tetapi kalau mereka melihat sendiri bagaimana naqib/ naqibah mereka melakukannya, sudah pasti mereka paling kurang sudah ada 'general idea' dalam minda mereka. Dan bagaimana untuk mencorakkan yang selebihnya itu, barulah kita serahkan kepada mereka berfikir mengikut kreativiti mereka.

Apabila naqib/ naqibah dan anak-anak usrah sama-sama turun padang, akan wujud rasa kebersamaan. Rasa kebersamaan yang akan menambahkan lagi keberkesanan tarbiyah. Anak-anak ini akan menyaksikan bagaimana si naqib/ naqibah mengotakan segala apa yang dikatakannya semasa dalam halaqah. Bagaimana si naqib/ naqibah ini benar-benar menegakkan perjuangan yang dilaungkannya dalam halaqah. Bukan berdegar-degar sebagai cakap-cakap kosong. Apabila Kearns akhirnya mendapati ciptaannya telah dicuri oleh Ford, dia bermati-matian berusaha untuk mendapatkan haknya sebagai pemilik rekaan itu. Oleh kerana anak-anaknya ini menyaksikan bagaimana Kearns bertungkus lumus siang dan malam menyudahkan rekaan itu, mereka menjadi penyokong terkuat untuk ayah mereka. Bagaimana anak-anak itu sentiasa hadir di sisi Kearns yang terpaksa berdiri sendiri di mahkamah kerana tidak diwakili oleh mana-mana peguam, sedang ramai yang meninggalkan Kearns ketika itu kerana merasakan usahanya itu hanya sia-sia.

Kesudahannya Kearns akhirnya menang apabila juri memutuskan Ford Motor Company didapati bersalah kerana mencuri hasil ciptaan Kearns. Kearns mendapat pampasan USD 10.1 juta dari Ford dan USD 18.7 juta dari Chrysler Corp. Kearns mungkin mendapat habuan yang lebih lumayan USD 30 juta sekiranya dia menerima rasuah yang cuba disuapkan supaya dia menutup kes tersebut. Tetapi Kearns bertegas mahu menegakkan kebenaran. Boleh tonton sendiri filem ini. Ini mungkin bukan filem terbaik dari segi sinematografinya tetapi dari segi nilai mungkin banyak yang boleh dipelajari.

Walau bagaimanapun ulasan ini bukanlah untuk membenarkan masa kami yang terbuang selama 2 jam menonton filem yang sepatutnya digunakan untuk sesuatu yang lebih bermanfaat... haih...





2 kopi panas..:

Tanpa Nama berkata...

Jazakillah sis... sgt best tulisan kamu... n sgt2 setuju...

Unknown berkata...

Time kasih...