Generasi Fantasi


Salam aleik..

Baru sudah makan tengahari bersama keluarga. Duduk berehat-rehat sebentar sambil menonton televisyen di ruang tamu. Menonton ulangan Akademi Fantasia kerana ada ahli rumah yang terlepas siaran langsungnya malam tadi kerana pulang lewat dari tempat kerja. Mahu tukar siaran lain pun tak boleh.. lepas ulangan siaran langsung ini adik mahu tonton Diari Akademi Fantasia pula. Uuh..saya bosan. Tidak boleh suka-suka ambil alat kawalan dan tukar siaran. Perlu ikut kata majoriti yang ingin menonton hari itu. Kalau tidak suka perlu cari alternatif lain untuk hilangkan kebosanan.

Lalu saya keluar ke halaman rumah saya yang kecil itu. Ada adik perempuan saya yang kecil di situ bermain bersama beberapa orang rakannya yang lain. Saya lihat adik perempuan saya sedang menulis di papan putih sambil rakannya yang lain khusyuk menyalin. Waah.. seronoknya main cikgu-cikgu. Teringat zaman saya kecil-kecil dahulu. Main cikgu-cikgu ni bagus tahu? Sambil bermain boleh ulangkaji pelajaran sekali. Yela..mahu berlakon jadi cikgu perlulah ada sedikit ilmu. Mahu tak mahu kena baca buku. Saya cuba baca apa yang ditulis adik saya di papan putih itu. Wah..hari ini dia jadi cikgu Bahasa Melayu, kerana nampak yang ditulisnya itu seperti sebuah puisi. Maju betul..saya dulu kalau main cikgu-cikgu hanya tahu tulis sifir dua di papan hitam dan kemudian kawan-kawan ikut menghafal. Selesai menulis dia ajak kawan-kawan sama membaca. Hairannya mereka boleh baca dengan lancar siap berlagu. Adeh.. saya silap! Itu bukan prosa puisi kajian sastera rupanya lirik lagu Elegi Sepi. Rupanya mereka cuba tiru-tiru kelas vokal seperti yang mereka lihat dalam Diari AF. Siap ada sesi latihan mengeluarkan suara dari perut dan membetulkan bukaan mulut supaya lontaran suaranya bagus. Belum masuk step tarian Menuju Puncak yang memang mereka ingat satu persatu.. Aduh..

Saya risau... amat risau. Sedar atau tidak rancangan seumpama itu umpama racun yang membunuh dalam diam generasi adik-adik kecil itu. Mungkin kesannya tidak kelihatan secara langsung sekarang. Tetapi akibatnya mungkin akan kita lihat sepuluh tahun dari sekarang. Apabila generasi itu membesar dan memegang kepimimpin negara. Tanpa kita sedar rancangan seumpama itu umpama gerakan halus yang menanam doktrinasi nilai yang banyak bercanggah dengan syariat Islam malah mungkin adat ketimuran kita. Tanpa kita sedar kita sedang dalam proses merosakkan satu generasi! Suatu kerosakan yang mungkin terlalu lambat untuk dibetulkan ketika itu.

"Ah..kecohlah kamu minah.. Rilekla.. kamu ni terlalu idealistik..macam plastik! Tonton seronok2 saja apa salahnya. Yang baik kita ambil yang tak elok kita buang. Takkanlah sebab rancangan ni boleh rosak umat kot..."

Aduh.. Sedang kita yang kononnya sudah tahu memisahkan baik buruk ini pun kadang-kadang larut dalam hedonisme yang jadi ramuan utama rancangan ini, apatah lagi adik-adik kecil yang baru mahu kenal dunia itu. Adik-adik itu mungkin berfikir tidak salah untuk lelaki dan perempuan yang bukan mahram tinggal serumah, makan bersama dan bergurau senda bertepuk tampar tanpa sebarang batas kerana itulah yang mereka saksikan setiap hari dalam Dairi AF. Hidup sehari-hari dengan segala keseronokan.. segalanya berpaksikan hiburan. Sepanjang hari dihabiskan belajar menyanyi, membetulkan langkah tarian dan menambah penghayatan lagu seolah-olah tiada perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan. Kalau ada pun kedukaan di AF mungkin kerana tertekan apabila tidak mampu menghafal lirik atau dapat lagu yang bukan kegemaran untuk konsert minggu itu. Kalau sahabat seusia kita di Palestin menangis kerana kehilangan ahli keluarga, pelajar AF menangis kerana sahabat mereka terkeluar di malam konsert. Tenaga, masa, fikiran dan kerisauan belia di AF ditumpukan untuk menghasilkan yang terbaik di malam konsert.
















Seingat saya sepanjang saya pernah menjadi peminat setia dan dungu rancangan itu, tidak pernah sekali pun ditayangkan pelajar-pelajarnya yang majoriti Melayu beragama Islam (berdasarkan nama yang ber'bin' dan 'binti' itu) solat jemaah bersama-sama apabila tiba waktu solat. Tidak cukup itu ada antara pelajar-pelajarnya yang digandingkan dan digossipkan lantas tersipu-sipu malu apabila digiat pengacara berambut perang di malam konsert. Dan adik-adik yang kecil ini akan terus setia menonton dengan penuh khusyuk fantasi-fantasi yang dimainkan di kaca televisyen mereka. Tanpa ada sesiapa pun yang menerangkan yang mana salah dan yang mana betul. Tidak dari si pengacara berambut perang atau pun ahli keluarga sendiri yang sama-sama menonton. Lantas mereka mungkin menerima segalanya bulat-bulat sebagai suatu nilai yang benar kerana dibenarkan oleh masyarakat dan semua di sekeliling mereka. Lalu apabila timbul masalah sosial remaja, semua mahu bising-bising mencari punca. Sedang punca yang besar dan jelas sekali merosakkan itu tidak langsung dipandang malah terus-terusan sahaja disiarkan hingga sudah beberapa musim pun kini.


Terbaca petikan berita Utusan Malaysia semalam (30 April) yang saya klik di status Y!M sahabat saya semalam. Aduh.. pemimpin negara kita sendiri rupanya sudah hanyut dengan kemelut hedonisme Akademi Fantasia. Dalam banyak-banyak permasalahan negara, isu akademia fantasia yang lebih mahu difikirkan. Sedang diluar sana angka 886 dari 887 itu mungkin sudah meningkat, gejala murtad yang makin menjadi-jadi pun belum selesai dan banyak lagi isu lain yang lebih berkeutamaan.. masih pula ada masa untuk merasa kecewa kerana pelajar kegemaran tersingkir..

______________________________________________________
MB Pahang komen tentang AF

KUANTAN 30 April – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut tertarik dengan perkembangan Akademi Fantasia (AF), menganggap peminat membuat tindakan tidak bijak apabila tidak mengundi penyanyi berbakat iaitu Muhammad Aizat Amdan (Aizat).

Adnan berkata, beliau memberikan sokongan kepada peserta AF5 berkenaan serta seorang lagi yang masih bertahan, Dafi kerana kedua-dua mereka adalah dari Pahang.

Namun beliau kecewa kerana masyarakat tidak memilih kedua-dua peserta berkenaan yang disifatkannya amat berbakat.

“Itulah... peminat kurang bijak apabila tidak mahu mengundi mereka,” katanya pada majlis makan malam anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini malam tadi.

Adnan berkata, beliau tidak pernah meminati program AF sebelum ini dan sokongannya kali ini adalah atas usaha membantu kenalan semata-mata.

“Bapa Aizat adalah bekas murid saya dan dia minta saya berikan sokongan, jadi sekarang ini mana saya pergi saya kempen sekali,” katanya.

Kata Adnan, beliau sebelum ini tidak pernah menonton AF apatah lagi mengundi, tetapi kehadiran dua anak Pahang menarik minatnya
________________________________________________________

Haih... apa sudah mahu jadi Malaysiaku?

(bersambung di entry akan datang..)

1 kopi panas..:

Tanpa Nama berkata...

astaghfirullah..
ya Allah,selamatkanlah Malaysiaku dan umatmu hari ini..