Nilai

Salaam..

Malam ini saya sedang duduk di meja studi sambil cuba menghadamkan nota kuliah dan bacaan dari buku rujukan. Tak dapat tumpu perhatian.. Saya memang selalunya begini. Maksimum attention span saya dalam melakukan sesuatu pekerjaan paling lama pun hanya sejam. Selepas itu saya akan mula bosan dan mula berfikir mahu buat kerja lain. Lalu saya jenguk-jenguk tetingkap Y!M. Saya memang suka baca status orang.. kalau boleh di click saya click pada link status itu. Ada satu status yang menarik perhatian lalu saya click pada baris ayat berwarna biru itu.. dan membawa saya ke tetingkap baru.

Rupanya di'link'kan ke blog Saifulislam. Blog yang sudah sekian lama tidak berkesempatan saya membukanya.. entry bertajuk Kenapa Mahu Jadi Doktor? Ahh..rasanya tiada kaitan dengan saya. Saya mahu jadi orang minyak..bukan mahu jadi doktor. Tidak relevan.. maka hampir saja menekan tanda pangkah mahu menutup tetingkap itu sebelum mahu mula studi semula. Tapi saya fikir apa salahnya kalau saya baca hingga habis. Saya pun mahu tahu kenapa orang mahu jadi doktor sebab dahulu pun saya sangat kepingin mahu jadi doktor.. tapi tak kesampaian.

Rupanya 2/3 bahagian akhir artikel itu sangat berkaitan dengan diri saya sendiri..
_________________________________________________________
PERSOALAN NILAI

Kuliah kali ini adalah tentang nilai. Apa nilai yang dibawa dalam sebuah pekerjaan? Dalam sebuah kehidupan.

Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya, kerjanya ’melayan suami’, tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya? Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya.

Hanya ‘bibik’ sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Maafkan saya, hanya pelacur sahaja yang meletakkan harga pada layanannya terhadap seorang lelaki.

Seorang ibu membuat kerja rumah kerana NILAI KASIH SAYANG. Seorang isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian.

Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.

NILAI DUIT

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperolehi.

Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri. Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum. Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi.

Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk. Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan… tetapi output daripadanya merunsingkan saya.

Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun. Saya bertemu dengan kes, suami main kayu tiga ketika isteri meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mem’poligami’kan suaminya dengan bersuamikan orang lain semasa di perantauan. Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita.

Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?

NILAI - HARGA - KORBAN

Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga. Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? Kehancuran rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa… itulah harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.

Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang, ’mereka adalah generasi yang kesunyian’.
Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.

Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih diri mereka dengan tabiat ”Begin With the End in Mind”. Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan.

TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN

Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya di masa hadapan, mesti ditentukan.

Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana korbannya? Harga dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit, dan yang paling besar, mungkin sistem itu sendiri.

Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri, mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada mereka.

PROVOKASI DEMI MASA DEPAN

Atas provokasi inilah, saya mengajak adik-adik di bangku pengajian perubatan, untuk menyemak hubung kait bidang ini dengan Tujuan Hidup mereka. Kenang kembali siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.

Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah. Yang diabdikan diri kepada-Nya. Ia hablun minaLlah.

Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya, kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. Ia hablun minannaas.

Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita.

JIKA KERJA JADI IBADAH

Jika kerja jadi ibadah, CEO kita adalah Allah. The unsung hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.

Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.

Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.

Teruskan cita-cita kalian menjadi doktor. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya.

Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya.
_________________________________________________________

Ke akhir bacaan saya.. pipi saya basah. Saya menangis entah mengapa. Mungkin hati kalut dan saya mula kecut perut. Mampukah nantinya saya memberi nilai pada sebuah perkongsian itu? Atau paling kurang pun bernilaikah saya sebagai manusia jika hampir seluruh masa, tenaga dan fikiran dikerah dan dicurah untuk habuan empat angka saban bulan? Kadang-kadang saya cuba menjustifikasikan diri. Cuba meyakinkan bahawa semuanya yang saya lakukan kini dan nantinya Lillahi ta'ala.. tetapi saya masih buntu. Kadang-kadang saya rasakan hidup saya sebenarnya telah secara tidak sengaja telah saya jualkan dengan sebuah tandatangan di atas sekeping kontrak lebih kurang 3 tahun yang lampau.

Seorang gadis yang baru sahaja tamat sekolah.. baru lewat usia 17 tahun.. yang sangat berkeinginan membela nasib keluarganya... hingga sanggup menerima sebuah tawaran lumayan meski terpaksa menguburkan sebuah cita-cita yang sejak dari dulu dia impi. Ketika itu fikirnya minat itu boleh dicambah..yang penting perlu rebut peluang ini..bimbang tidak ada lagi peluang yang lain. Lucunya ketika itu dia masih belum pun ada tandatangan sendiri. Lalu dimintanya abah menciptakan sebuah tandatangan untuknya (yang masih digunakan hingga kini). Diterima tawaran itu tanpa sebarang perasaan .. niatnya cuma satu ketika itu.. mahu bantu ayah ibu.

Seiring dengan masa yang berlalu saya kenal prioriti hidup.. saya tahu apa mahunya hati saya ini sebetul-betulnya. Saya tahu apa kecenderungan dan minat saya kini.. Namun sudah terlambat. Saya terlupa hidup itu sudah saya jualkan dahulu.. Apa lagi pilihan yang saya ada untuk diri saya sendiri? Masa depan untuk lebih kurang 12 ke 15 tahun dari sekarang sudah di dalam genggaman orang. Mereka berhak mengaturkan kerana mereka sudah 'membeli' saya dahulu. Mahu lari? Mahu lepaskan diri? Fikirkan pula mereka yang berharap di sana..mereka yang akan menanggung kesan jika saya melanggar perjanjian jual beli itu... Kata mereka saya amat beruntung kerana masa depan sudah terjamin. Kilauan cerahnya sudah kelihatan pun sekarang. Tetapi yang tidak tampak pada mereka ialah hati saya yang menjerit. Saya amat ingin lakukan sesuatu yang saya akan gembira melakukannya. Melakukan sesuatu dengan rela hati.

Astaghfirullah jauh benar saya larut dengan kekalutan hati saya. Saya lupa sebentar ada kuasa lebih besar di sana. Yang berhak dan berkuasa mengaturkan segalanya. Tiada yang lebih baik daripada apa yang telah terjadi. Bukankah sejak dari saat 'jual beli' itu sehingga sekarang sudah banyak nikmat yang saya kutip? Yang jika tidak kerana 'jual beli' itu mungkin saya tidak akan bertemu dengan nikmat yang saya kecapi kini. Sepanjang perjalanan yang penuh paksa itu saya ditemukan dengan jual beli yang lebih menguntungkan..

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurag untuk mereka" (At-Taubah:111)

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan jiwamu. itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui" ( Ash-Shaff: 10-11)

Dan sepanjang perjalanan itu menemukan saya dengan pengalaman yang berharga.. mengenalkan dengan insan-insan yang memberi makna dalam hidup. Saya berkenalan semula dengan deen ini yang saya kira sudah saya kenal dahulu. Astaghfirullah saya tidak layak berkeluh-kesah.. Allah Maha Mengetahui. Jika benarpun mereka berhak menentukan jalan hidup saya selepas ini.. segalanya tidak akan berlaku jika tidak dalam rencana Allah itu sendiri. Jika benar pun hidup saya mengikut acuan yang mereka tetapkan makanya itu tarbiyah dan ujian untuk saya.. dan ujian untuk sesiapa saja yang terkesan dengan aturan hidup saya. Kerana saya tahu hidup ini satu jalinan yang kompleks. Saya tahu saya tidak berdiri sendiri-sendiri. Segala apa yang terjadi ke atas diri saya.. segala apa yang saya lakukan.. akan memberi kesan.. akan memberi nilai pada yang lain.

Saya cuba mencari nilai..dan dengan harga apa perlu saya bayar untuk nilai itu...

Dan seperti kamu juga.. dalam gusar... saya redha dengan perjalanan yang ditetapkanNya untuk hidup saya...

Moga tidak dengan 'jual beli dunia' itu melalaikan saya dari tanggung jawab dan kewajipan terhadap pemilik mutlak diri saya.. Allah SWT... yang telah menjanjikan saya sesuatu yang lebih menguntungkan.. insyaAllah..amiin.

1 kopi panas..:

NadraNadia berkata...

Anda tandatangan kontrak itu kerana anda rasa itu tanggungjawab anda..
Saya tandatangan kontrak itu kerana saya mahu apa yang ditawarkan oleh kontrak itu,tapi saya ada tanggungjawab yang bertentangan dengan kontrak itu.
Anda bingung memikirkan bagaimana anda ingin melakukan benda yang anda mahu,sedangkan anda telah terperangkap..
Saya juga serabut memikirkan bagaimana saya mahu keluar dari perangkap ini supaya saya boleh tunaikan tugas saya..
Tapi saya tahu anda dan saya percaya satu benda yang sama..
Bahawa perangkap ini telah ditakdirkan untuk anda..
Bahawa perangkap ini yang akan membawa kebaikan kepada anda..
Mana tahu kalau saya dapat kebahagiaan yang lebih lagi dalam perangkap ini..
Mana tahu kalau anda boleh buat benda yang anda inginkan di pelantar minyak? :)