Dear Ayyyash,
Saat ibu menulis ini Ayyash baru berusia 56 hari. Sudah tentu Ayyash masih belum boleh membaca apatah lagi memahami apa yang ibu tuliskan ini. (apatah lagi bukak blog ibu…huhu!). Tapi ibu tuliskan saja, supaya suatu hari nanti Ayyash tahu dan tidak lupa tentang hal ini.
Ayyash,
Baru 56 hari usia Ayyash, namun sudah 296 hari dia menjadi seorang bapa. Sejak dari hari kami melihat dua garisan merah yang mengkhabarkan berita gembira kedatangan kamu, sejak dari hari itu dia sudah menjadi seorang bapa. Fikirannya, perhatiannya dan hatinya adalah fikiran, perhatian dan hati seorang bapa.
Sepanjang tempoh kehamilan, dia menjaga ibu sebaik-baiknya dari segala segi. Bersabar dengan segala karenah bukan-bukan seorang perempuan hamil. Kerana katanya dia meminta perkahwinan untuk meningkatkan imannya dan bukankah kesabaran itu meningkatkan iman? Begitu katanya saat ibu mohon maaf atas karenah ibu. Semua itu dilakukannya penuh ikhlas ibu kira. Bukan hanya kerana kasih sayangnya sebagai seorang suami kepada isteri, tetapi juga kerana kasih sayangnya sebagai seorang bapa.
Ayyash anak ibu,
Dia sentiasa ada di sisi saat ibu bertarung nyawa melahirkan kamu. Sentiasa di sisi mengalunkan kata-kata yang bukan sahaja menenangkan, malah meyakinkan ibu bahawa ibu mampu melakukannya. Walau ketika itu hampir-hampir sahaja ibu berputus asa saat kesakitan tidak tertanggung lagi. (Hehe…lucu kalau diingatkan semula!) Tetapi genggaman tanggannya memberi kekuatan untuk ibu terus mencuba dan mencuba. Saat-saat manis ketika kali pertama kamu melihat dunia terakam sempurna bukan sahaja dalam ingatan, malah mampu dirakamnya dengan lensa kamera untuk kita tonton semula!
Dia sanggup mengambil seminggu cuti semata-mata mahu menjaga sendiri Ayyash dan ibu di rumah uwan. Ayyash tahu tak, dari hari kedua dia sudah berani memandikan Ayyash walaupun ibu sendiri masih gerun. (lepas sebulan baru ibu berani mandikan Ayyash, hehe!) Kata uwan, kalau dia ada di rumah, sampai kene berebut dengan dia nak menguruskan Ayyash. Dia juga ringan tulang membantu ibu berbarut, bertungku dan mengingatkan ibu makan jamu. Ringan sikit tugas uwan. Bila ibu cakap terima kasih, dia kata dia tak kisah buat semua itu sebab dia sayang kita. Sangat.
Ayyash sayang,
Percayalah dia sanggup berkorban apa saja untuk kamu. Malah dia sanggup berhabis untuk memastikan segalanya serba sempurna dan terbaik untuk kamu. Hari ini, ketika usia Ayyash 56 hari, buat pertama kalinya dia bergelar seorang bapa pada Hari Bapa. Nanti dia balik kerja, Ayyash ucapkanlah Selamat Hari Bapa pada dia, ye? Cakap terima kasih sebab susah payah selama ini menjaga kita sebaiknya. (takpe.. kalau dia tak paham Ayyash punya gugugaga ibu boleh tolong translatekan nanti. Ayyash cakap aje…).
Ibu doakan suatu hari nanti Ayyash membesar menjadi lelaki sebaik dia. Menjadi suami yang terbaik untuk isteri, anak dan menantu yang sangat menghormati ibu bapa dan menjadi ayah yang terbaik untuk anak-anak kamu nanti. Selamat Hari Bapa, Ayah Ayyash!
Yang sayang kamu seinfiniti,
Ibu
ps: Tak lupa Selamat Hari Bapa untuk Abah dan Ayah tercinta. Walau tak terucap dengan kata-kata tetapi ketahuilah kami amat sayang dan menghargai segala jasamu. Doa kami moga Abah dan Ayah dikurniakan keberkatan usia agar dapat sentiasa bersama kami meniti pengalaman sebagai ibu bapa dan menasihati kami dengan hikmah pengalaman. Terima kasih tak terhingga untuk segala pengorbananmu!
0 kopi panas..:
Catat Ulasan