Sudah masuk malam kedua Muhammad berpergian selama tiga minggu ke Jakarta atas urusan kerja. Malam semalam saya masih di rumah emak, jadi kuranglah terasa sunyinya kerana sentiasa riuh berteman mak, abah dan adik beradik. Malam ini pasti terasa sunyinya kerana saya bersendirian di rumah. Dua tiga hari sebelum Muhammad berangkat, kerap juga menitis air mata. Entahlah. Bukannya tidak biasa ditinggalkan, tapi kali ini melampau betul sensitifnya. Mungkin kerana memikirkan jangka masa yang diambil terlalu lama, maka jadi lebih sukar untuk menerima. Atau mungkin dengan keadaan kandungan yang semakin sarat, maka diri menuntut perhatian yang lebih. Entahlah….
Di surau sewaktu solat zuhur, saya mengeluh dengan kesunyian ini kepada teman-teman. Seorang kakak yang terdengar keluhan saya memberikan saya nasihat yang saya kira cukup berharga dan meresap jauh ke dalam hati saya,
“Setiap kali awak rasa sedih sebab suami jauh, jangan mengeluh dan menangis. Sebaliknya sebut innalillahi wa inna ilaihi roji’un… “ katanya dalam nada memujuk.
“Kenapa, kak?” tanya saya.
“Untuk ingatkan diri kita. Yang segalanya milik Allah dan kepadaNya ia dikembalikan. Sekarang ini mungkin suami kita jauh sebab kerja, siapa tahu takdirnya suami kita pergi untuk selama-lamanya?”
“Betul juga kan, kak…”
“Jangan lupa juga sujud syukur setiap kali lepas solat. Kerana Allah masih mengurniakan dia di sisi kita buat masa ni,” katanya sebelum kami berpisah sebaik keluar dari pintu lif.
ALAH BISA TEGAL BIASA
Berjauhan dengan Muhammad bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Seawal usia perkahwinan kami satu bulan, dengan inai yang masih bersisa dijari, saya terbang meninggalkannya bagi melunaskan tugas saya sebagai seorang pelajar di benua lain menyeberang lautan dan dia pula sudah memulakan kerjayanya di tanah air. Janji kami ketika itu, kami akan usahakan untuk bertemu setiap tiga bulan sekali. Mengapa tiga bulan? Dalilnya kami ambil panduan dari kisah Saidina Umar Al-Khattab: (saya petik dari blog Ummu Husna)
Suatu ketika Umar, sebagai seorang Khalifah yang amanah dan bertanggungjawab, melakukan rutin rondaan malam. Ketika beliau melewati sebuah rumah, tiba-tiba terdengar dari dalamnya, suara seorang perempuan sedang bermadah. Nadanya merintih, membayangkan jiwanya yang sedih dan pedih:
“Sungguh malam ini sangat panjang, sekelilingnya penuh kelam. Situasi ini menjadikan aku tidak baik, kerana tidak ada kekasih yang bisa kuajak bermain. Demi Allah, seandainya aku tidak takut azab dan akibat, sungguh ranjang ini akan bergoncang hebat.”
Mendengar itu, Umar berusaha untuk menyelidiki kisah si perempuan dengan rintihannya yang lirih. Akhirnya diketahui, bahawa suaminya telah meninggalkan rumah sekian lama sebagai mujahid di medan jihad.
Umar kemudian menanyakan puterinya Hafsah, berapa lama seorang isteri mampu bersabar diri dari suami? Jawab Hafsah: empat bulan. Waktu itulah Umar melaksanakan satu ketetapan dan peraturan, bahawa seorang suami tidak boleh meninggalkan isterinya lebih dari empat bulan.
Jadinya, setiap waktu kami mengira musim. Cuti musim panas dan musim bunga biasanya, akan membawa saya pulang ke tanah air. Cuti musim dingin pula giliran Muhammad untuk menjenguk saya di tanah Inggeris. Begitulah rutinnya sepanjang dua tahun perkahwinan sehinggalah saya menamatkan pengajian pada Julai 2009. Dalam tempoh berjauhan itu, hanya telefon, email dan Skype yang menjadi penghubung. Mujur kami disatukan pada zaman dunia didekatkan dengan teknologi komunikasi yang serba canggih.
ABSENCE MAKES HEART GROW FONDER
Awalnya memang diakui, saya bimbang bagaimana perkahwinan ini mampu bertahan sepanjang tempoh dua tahun tersebut. Dalam keadaan kami yang masih dalam fasa saling mengenal itu, saya khuatir hubungan kami akan semakin renggang kerana tidak kerap bersua muka. Tapi bila dilihat dari sudut lain, perhubungan jarak jauh seperti itu adalah suatu hikmah yang Allah kurniakan kepada kami.
Kami berkahwin dalam usia yang saya kira agak muda, saya ketika itu baru 21 tahun dan Muhammad 23 tahun. Berjauhannya kami ketika itu menyediakan ruang-ruang yang cukup untuk kami melengkapkan diri untuk menjadi isteri atau suami yang terbaik untuk pasangan. Ketika itulah, saya semakin bertungkus-lumus belajar memasak dan melengkapkan diri sebagai suri terbaik, sedang Muhammad pula menyusun perancangan kehidupan berumahtangga kami di tanah air. Tambah pula ketika itu kami baru mula bertatih membina kehidupan selepas masing-masing tamat pengajian. Dua tahun merupakan waktu yang cukup untuk kami mula menyusun hidup.
Tempoh berjauhan benar-benar menjadi waktu-waktu di mana perasaan rindu dibaja dan menambahkan lagi perasaan sayang antara suami isteri. Tempoh berjauhan yang lama membuatkan kami sangat menghargai masa-masa pertemuan berharga apabila Allah mentakdirkan kami untuk bertemu. Perhubungan lewat e-mail dan tulisan kadangkala lebih bermakna dan manis berbanding lisan. Cuma, ia memerlukan rasa tanggungjawab dari kedua-dua belah pihak untuk memastikan hubungan itu berjaya. Bayangkan email yang tidak berbalas dan panggilan yang tidak berjawab, pastinya mengundang kekecewaan dan tidak mustahil juga keraguan atas kesetiaan pasangan.
MEMAKNAKAN SEBUAH PERKAHWINAN
Seperti kata Ummu Husna dalam penulisannya, cabaran yang paling utama bagi yang menghadapi perhubungan jarak jauh (PJJ) ialah cabaran memaknakan perkahwinan. Bagaimana membezakan hidup selepas dan sesudah berkahwin tanpa pasangan di sisi. Pernah saya berbual dengan seorang wanita yang saya kenali dalam sebuah majlis. Kami berkongsi cerita dan rupanya dia juga sedang ber’PJJ’ dengan suami.
“Alhamdulillah saya dah tak perlu PJJ. Ini barulah nak merasa macam mana hidup berumah tangga yang sebenar,” kata saya.
“Eh, saya lagi suka PJJ. Hidup bebas aje, tak terkongkong dengan tanggungjawab di rumah. Kalau duk dengan suami, kene fikir pasal makan pakainya. Lagipun awal-awal lagi sebelum kahwin kami dah setuju tak akan campur urusan hidup masing-masing. Dia tak boleh nak halang saya keluar dan berkawan dengan siapa-siapa yang saya mahu dan saya pun macam tu.”
“Owh macam tu pula ye?”
“Yelah, ramai kawan-kawan yang lepas kahwin hilang. Nak ajak keluar pun susah. Asyik berkepit dengan suami. Especially perempuanlah.”
Kata-katanya membuatkan saya berfikir apa sebenarnya matlamat asal perkahwinan. Benarkah ikatan pernikahan itu hanyalah rantai yang akan mengikat dan menyekat kebebasan seseorang? Dengan fikiran sebegitu, tidak hairanlah jika ramai masyarakat di barat yang begitu fobia dengan komitmen perkahwinan lalu menjadikan mereka bebas untuk berhubungan dan tinggal bersama tanpa ikatan yang sah. Suatu trend yang membimbangkan yang semakin menular dikalangan masyarakat di negara ini juga. Bukan sedikit berita di akhbar tentang pasangan yang ditangkap bersekedudukan. Malah ada yang melibatkan suami atau isteri orang! Nauzubillahi min zalik…
“Kau tak rasa rugi ke kahwin muda-muda? Banyak lagi mende boleh buat. Dah kahwin nanti mulalah tersekat-sekat. Nak ke mana-mana perlu minta izin suami”
Itu kata-kata yang biasa saya dengar sewaktu saya sedang sibuk dengan persiapan perkahwinan dulu. Ketika itu saya hanya mengingatkan diri tentang matlamat asal perkahwinan kami. Yang perkahwinan itu bukannya sekadar memenuhi keperluan fizikal tetapi juga untuk membina dan melengkapkan agama kami. Jika berkahwin kerana rupa, cacat anggota maka hilanglah makna perkahwinannya. Jika berkahwin kerana harta, muflis si suami maka tiada makna lagi perkahwinannya. Tetapi perkahwinan atas dasar agama, menjadikan setiap masalah yang dihadapi dalam hidup berumah tangga dilihat sebagai peluang untuk meningkatkan keimanan dan tawakal pada Allah Ta’ala. Maka pernikahan itu tidak akan retak walaupun dilanda apa bentuk masalah pun.
Perasaan cinta tidak sepatutnya menjadikan seseorang itu lembik (seperti dalam lagu-lagu cinta lentok yang memujuk rayu pasangannya) tetapi sepatutnya menjadi sinergi yang memberi kekuatan kepada seseorang itu. Perasaan cinta kepada pasangan sepatutnya lebih mendekatkan diri pada si Pemilik Cinta, Allah S.W.T. Cinta kepada makhluk tidak sepatutnya melebihi kecintaan kita pada Yang Esa. Bagaimana mahu mencipta sebuah perkahwinan yang membina agama kalau dengan perpisahan dengan pasangan menjadikan kita seorang yang lembik longlai tidak mampu berbuat apa-apa. Bagaimana perkahwinan itu mampu membina agama andai ingatan kita kepada pasangan melalaikan kita daripada mengingati Allah dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim?
Tabahlah wahai diri… maknakan perkahwinanmu dengan sesuatu yang lebih bererti. Sandarkan cinta pada cinta yang abadi, cinta kepada Allahu Rabbi. Agar bertemu tidak jemu dan berpisah tidak gelisah…
3 kopi panas..:
walaupun sy tak paham akakk (sbb sy xde pnglmn)..hik2..
tp, sy doakan akak.. moga kuat semangat!!!
:)
takpe.. Allah ade~ baby pon ade.. ;)
dont worry, insyaAllah, Allah's with both of u.. praying that everything will be ok, menghitung waktu is not a bad thing to do really.. if u can do 2 years before this, 3 weeks is apa-lah-sangat-kan?
baby, please behave well, ur a little mujahid, one day to be the leader of the family (and ummah insyaAllah) so take care of ur mommy yeee?
bertemu tak jemu
berpisah tak gelisah :)
Catat Ulasan