Kisah saya dan kawan lama...


Sejak-sejak mengandungkan si kecil ini, saya baru tersedar rupanya saya mula berjinak-jinak semula dgn 'kawan' lama yang telah sekian lama saya tinggalkan. Kalau zaman-zaman sekolah atau sebelum kahwin dulu, 'kawan' lama inilah yang setia menemani waktu-waktu senggang saya. Tapi setelah ke universiti dan mendirikan rumahtangga, 'kawan' lama saya ini perlahan-lahan meninggalkan saya, entah ke mana (atau lebih tepat perlahan-lahan saya tinggalkan). Mungkin merajuk hati dengan saya yang semakin sibuk dengan komitmen perkahwinan, tambah pula waktu itu saya sudah di tahun-tahun akhir pengajian. Sudah kurang memberi masa untuk 'kawan' lama saya ini.

Saya mula berkenalan semula dengan 'kawan' lama saya ini dalam sekitar penghujung tahun lepas. Waktu itu saya kekontangan kerja-kerja di pejabat, maklumlah musim tengkujuh di pantai timur. Musim-musim begitu biasanya tidak banyak projek yang berjalan dan selaku jurutera projek yang dinyawakan tugasnya dengan projek-projek, sudah tentu saya mati kutu di pejabat. Hati tergerak untuk menyapa semula 'kawan' lama saya apabila melihat rakan sepejabat di hadapan meja saya kadang-kadang asyik dengan 'kawan' beliau yang sungguh mirip 'kawan' lama saya. Hati terus jadi rindu padanya.

Mujur berhampiran kawasan pejabat saya ada sebuah perpustakaan kecil. Maka suatu hari, saya bertemu janji dengannya di sana untuk menghulurkan semula salam persahabatan. Jangan keliru. 'Kawan lama' yang saya maksudkan ialah hobi yang telah sekian lama saya tinggalkan. Membaca. Saya pernah sangat suka membaca. Malangnya, saya kurang cenderung pada pembacaan bahan-bahan yang serius dan ilmiah tetapi lebih kepada fiksyen. Senang kata, saya 'hantu novel'. Kalau zaman sekolah dulu, saya kerap menumpang novel-novel yang dipinjam emak daripada kakak jiran. Ataupun, saya pinjam novel-novel Inggeris yang mudah-mudah bahasanya daripada perpustakaan sekolah.


Novel pertama yang saya baca ialah 'Budak Rimba' (saya tidak ingat siapa penulisnya) sebuah adaptasi daripada novel 'The Jungle Book'. Ketika itu saya berumur 6 tahun. Masih di tadika! Saya masih ingat lagi, buku pertama yang saya berjaya baca sendiri ialah 'Jack dan Kacang Ajaib' (Jack and The Bean Stalk) yang dibelikan emak. Sejak daripada itu, setiap kali mengikut emak ke bandar saya pasti akan merengek minta dibelikan buku cerita yang baru, yang biasanya akan dihabiskan dalam masa sehari saja sebelum saya kembali meminta dibelikan buku baru lagi. Sehinggalah suatu hari, abah pulang dari tampat kerja dengan sebuah buku cerita tebal berwarna kuning. Tajuknya 'Koleksi Cerita-Cerita Dongeng'. Wah! Betapa gembiranya saya. Entah berapa kali saya mengulang baca!

Dalam masa beberapa bulan ini entah sudah beberapa buah novel saya langsaikan. Awalnya hanya untuk mengisi masa lapang. Tetapi, kebiasaannya apabila sudah mula membaca saya susah mahu melepaskan buku di tangan sehinggalah saya sampai ke muka terakhir. Tambah pula di rumah tiada peti televisyen, maka semakin asyiklah saya membaca. Tidak dinafikan rasa bersalah menghantui kerana membaca novel tentunya memakan masa yang sepatutnya dihabiskan untuk sesuatu yang lebih produktif. Muhammad pun kadang-kadang membebel menyuruh saya mencari bahan bacaan yang lebih bagus.

Saya tak suka membaca novel cinta meleleh... Bahkan melihat tajuk novel yang ada perkataan yang berbau cinta dan kasih pun saya enggan. Kalau dahulu novel beginilah yang saya buru. Tapi sekarang semacam geli geleman pula membaca novel cinta. Lalu nak mengurangkan rasa bersalah, saya pilih novel yang saya kira ‘ilmiah’. Novel-novel Faisal Tehrani misalnya, menepati citarasa pembacaan saya. ‘Surat-surat Perempuan Johor’ karyanya sarat dengan mesej betapa perlunya umat Islam menceduk sejarah bagi mengembalikan kegemilangan zaman khalifah. ‘Cinta Hari-Hari Rusuhan’ mengisahkan kebangkitan suara mahasiswa di Tanah Melayu sekitar zaman 70-an. Dan yang tak kurang menarik ‘Manikam Kalbu’ kisah si kucing yang menghubungkan dua zaman. Kisahnya berkisar sekitar busana Melayu, bagaimana sebenarnya Islam membentuk budaya dan adat orang Melayu dan bagaimana nilai itu sudah jauh terhakis di zaman sekarang.

Baru-baru ini pula saya menghabiskan novel karya penulis muda, Ummu Hani Abu Hassan yang berjudul ‘Baromkeh: Matamu di Mataku’. Kisah suka duka tarbiyah kehidupan pelajar Malaysia di Syria. Lantas mengingatkan saya kenangan-kenangan ketika menjejaki bumi Syria pertengahan tahun lepas, menjadikan saya semakin asyik membaca novel tersebut. Terbayang kemegahan Masjid Umawi dan kesibukan kota tua itu. Rindunya! Moga Allah mengabulkan doa kami untuk menjejaki semula bumi anbia’ itu akhir tahun ini insyaAllah. Kali ini biarlah bersama si kecil Fateh pula! Biar si Fateh kenal kehebatan Salahuddin Al-Ayubi, lantas terinspirasi menjejak kegemilangan Sultan Muhammad Al-Fateh yang membuka Constantinapole. InsyaAllah.. amen!

Membaca novel Baromkeh membawa saya kepada blog penulisnya, Ummu Hani. Membaca blog beliau tentang penulisan benar-benar menumbuhkan semula keinginan saya untuk kembali menulis. Saya selalu berangan-angan untuk menghasilkan novel sendiri. Kalau di zaman sekolah dulu, saya menulis beberapa siri novel mini. Muka suratnya dari kertas kajang bergaris-garis yang ditulis dengan tulisan tangan dan reka bentuk kulitnya daripada gambar-gambar keratan majalah. Lalu novel itu berpindah tangan antara rakan-rakan. Lucu! Malah malu mengingatkan semula bagaimana saya boleh mengarang kisah-kisah cinta monyet yang saya reka lewat imaginasi.


Saya kira pengalaman-pengalaman yang telah saya lalui akan terbazir begitu sahaja jika tidak diabadikan dalam bentuk penulisan. Tapi saya selalu putus asa apabila memikirkan kisah hidup sendiri yang jauh dari ideal, lalu menjadikan saya seorang heroin yang tak sempurna untuk novel itu nanti. Untuk saya menulis kisah lain selain daripada kisah hidup sendiri, saya tidak punya imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Menulis novel juga memerlukan kesungguhan, bukan boleh dibuat sambil lewa. Jalan cerita perlu bermesej, jika tidak hasil penulisan kita hanya menambahkan lagi novel-novel picisan yang menjadi santapan remaja zaman sekarang. Terlalu banyak perkara yang perlu difikirkan untuk menghasilkan sebuah penulisan bermutu. Jadi, seringnya saya pendamkan saja hasrat saya itu.

Namun minat menulis memang tidak dapat saya hilangkan, lantas tahun 2006 saya mula menulis di blog dan Alhamdulillah masih bertahan sehingga sekarang. Pernah Muhammad menawarkan mahu men’dotcom’kan blog saya ini. Tapi saya kira hanya akan membazirkan wang saja. Saya menulis bermusim, kalau musimnya saya rajin maka keraplah entri baru keluar. Jika tidak, bersawanglah blog ini. Bahasa penulisan yang saya gunakan juga tidak konsisten. Kadang-kadang saya cenderung menulis dalam bahasa Inggeris, kadang-kadang saya menulis dalam bahasa Melayu. Kadang-kadang saya menulis dalam bahasa yang amat santai dan rojak, kadang-kadang bahasa yang saya gunakan lebih formal (seperti entri inilah, tanpa ‘huhu!’ dan ‘haha!’). Bergantung kepada apa yang sedang saya lalui ketika menulis itu.

Pada saya, untuk memiliki sebuah laman ‘dotcom’ cara penulisan juga perlu mencapai standard tertentu. Perlu tetap gaya bahasanya supaya peminat dan pembaca jelas letak duduk penulisnya. Perlu tetap temanya, sama ada mahu menjadi laman ilmiah, laman sastera, laman santai, laman fesyen atau apa-apa lagilah. Buat masa ini saya selesa menjadi penulis yang macam-macam. Yang menulis mengikut rasa hati. Cuma yang saya ingatkan pada diri setiap kali menulis ialah, janganlah terlalu leka menurut rasa hati menulis sehingga dengan penulisan itu menerbangkan dosa-dosa percuma. Lalu, seringnya saya elakkan menulis apabila saya dalam emosi negatif. Sedang marah pada seseorang misalnya yang boleh membuatkan saya menulis tentang keburukan orang tersebut. Muhammadlah yang seringkali berperanan sebagai badan penapis. Menapis bahan-bahan yang saya siarkan di blog ini.Moga tabiat membaca di musim-musim mengandungkan si kecil ini akan tumpah juga kepadanya. Cumanya harapnya dia tidaklah seperti ibunya yang hanya gemar membaca novel tetapi juga bahan-bahan ilmiah yang lebih membentuk fikrahnya. Bahan tarbiyah pun ibunya belum habis baca! Perlu latih diri juga untuk itu!

Untuk anda yang sedang membaca sehingga ke perenggan terakhir entri ini, saya kira anda juga ‘kaki baca’. Jika tidak, tak mungkin anda berjaya sampai sehingga ke perenggan terakhir entri yang panjang dan membosankan ini. Tahniah! Kalau anda murah hati, bolehlah ‘click’ di ruang komen. Saya mahu tahu apa pendapat anda tentang blog yang sedang anda baca ini. Apa yang menarik dan apa yang perlu diubah. Atau lebih mudah, mengapa hari ini anda memilih untuk singgah di blog cabuk ini, apa yang menarik anda di sini. Tulislah... saya ingin tahu! Terima kasih daun keladi, kalau sudi singgahlah lagi!

7 kopi panas..:

Aziah Nor berkata...

ohh....saya memang 'mata yang membaca' dan 'tangan yang menulis'..tapi kadang2 sempat baca tapi tak sempat menulis...sampai kadang2 benda yang nak ditulis hilang dari 'random access memory' ...apo nak dikata..

yin berkata...

kak, maybe akak tak kenal saya, tapi saya kenal akak, akak penah jadi penyampai kuliah tujuh minit dekat satu program SH dulu2, beberapa tahun lalu. saya sangat suka baca blog akak, sebab cara akak cerita sangat santai dan best! I really enjoy it. keep it up ye kak. moga akak dan fateh sihat-sihat selalu. :)

Unknown berkata...

Kak Zazi: Haha... kalau ikutkan mmg semua mende rs macam nak tulih... tapi daya ingatanku setaraf orang tua ini tidak mengizinkan. br nak menulis dah lupa apa point..huhu!

Yin: Time kasih Yin! Teringin pulak nak kenal Yin. Kalau ade blog silelah tinggalkan link ye? Akak usually a silent follower to others blog..hehe!

Mengkuang berduri berkata...

yeeah...berjaya baca ke perenggan akhir = kak sita pun 'kaki baca'.. suka baca apa saje yang yana tulis. bak kata yin santai, best. kalau boleh nak semua penulis blog macam yana, ayat yang bagus dan tulis perkataan penuh. sesuai utk dijadikan rujukan pelajar dalam menulis karangan. hehehe... tanpa 'hehe','huhu' dan 'haha'....hahahah...

kak sita pun sebenarnya ingin jadi penulis yang hebat... huhuhu...perkara yang perlu diasah dengan penuh kesabaran....adeii..

ok lah... terukan usaha mu..
moga yana dan fateh sentiasa sihat, selamat. amin...

Unknown berkata...

Kak Marsita: Haha... tahniah2. Akak mmg terer kerana berjaya baca sampai akhir entry yg panjang ni. Yana pun selalu baca blog akak jugak, tapi Yana ni jenis silent reader. Suke melompat2 blog tapi jarang tinggal jejak. Hehe!Tak dpt pegi jepun, baca experience org pun jadilaaa... Teruskan menulis kak, insyaAllah mana tahu impian kita satu hr nnt jd kenyataan ameen!

waniey twin berkata...

salam kak yana....silent reader blog akak..hehe.....semoga selamat melahirkan ya

sya-shan berkata...

berjaya baca sampai laman habis!
i love 'surat perempuan johor' too!!!

lepas ni, bolehlah saya cari 'Baromkeh: Matamu di Mataku' untuk dibaca! terima kasih!