Menjadi Yang Terbaik


Minggu ini kami masih berjauhan dengan Muhammad. Alhamdulillah, tugasnya di Jakarta telah selesai dan masih berbaki dua minggu untuk dia berulang alik antara Singapura dan Kuala Lumpur pula sebelum ‘perintah berkurung’ dikeluarkan. ‘Perintah berkurung’ kerana lagi dua minggu umur Fateh akan genap 36 minggu dalam kandungan, maka bila-bila masa sahaja Fateh mungkin keluar ke dunia. Jadinya, kalau diizinkan Allah, harapnya kedatangan Fateh nanti bakal disambut oleh ayahnya, Muhammad. Harapnya bila sampai saat istimewa itu, Muhammad ada di sisi menghantar saya ke hospital dan sudi menghulurkan tangannya untuk digenggam oleh saya yang menahan kesakitan. Memberi kata-kata semangat supaya saya tidak berputus asa berusaha melahirkan zuriat kami, insyaAllah.

Minggu ini sepanjang minggu Muhammad di Kuala Lumpur. Alhamdulillah lebih mudah kami berhubung melalui internet. Di Jakarta, panggilan harus bercatu kerana memikirkan kosnya tambah pula tiada perkhidmatan internet di tempat penginapannya. Minggu ini tidak terlalu terasa berseorangan kerana boleh berhubung sepanjang masa dengan Skype. Teringat pula zaman-zaman berjauhan dulu. Setiap hari beginilah rutinnya…

Semalam semasa ber’Skype’ dengan Muhammad, saya terperasan satu perbezaan yang cukup ketara dari zaman-zaman berjauhan dulu. Dengan wajah sedikit membengkak seperti disengat tebuan dan tubuh yang lebih berisi, saya hampir tidak mengenali wajah saya sendiri di skrin Skype. Terasa lucu memandang wajah sendiri di skrin komputer.

“Ya Allah… gemuknya saya!!”

“Haha! Kan ke ayang pregnant… logik la badan naik sikit.”

Tiba-tiba terasa kekurangan diri. Saya sudah tidak ‘secantik’ awal-awal perkahwinan dulu lagi.

“Nanti, lepas bersalin kurusla ni kan, abang? Abang tunggu tau, jangan cari lain!”

“Haha! Okey, lepas bersalin kita diet sama-sama ye?” kata Muhammad sambil ketawa.

ADAKAH AKU MASIH YANG TERBAIK?

Fitrah manusia, dalam apa pun urusan yang kita lakukan, kita pasti mahukan yang terbaik untuk diri kita. Dari sekecil urusan seperti membeli ikan di pasar sehinggalah sebesar memilih pasangan hidup, sudah pasti kita mahu memilih hanya yang terbaik. Kerana fitrah kita yang cintakan kesempurnaan. Kalaupun tidak terbaik di mata dunia, paling kurang terbaik di mata kita sendiri.

Ada banyak sisi-sisi yang menentukan terbaik atau tidak seseorang itu pada pandangan kita. Antara sisi-sisinya ada disebutkan Rasulullah S.A.W dalam hadith baginda:

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya….

Secara idealnya calon pasangan terbaik tentulah yang mempunyai pakej yang lengkap: kaya berharta, berdarjat tinggi dan pastinya cantik jelita. Teringat drama yang sempat saya tonton semalam. Sang isteri cantik jelita, hidupnya kaya raya dilimpahi harta. Sedang si suami tidak kurang kacaknya, tetapi terlalu sibuk ke sana sini mencari harta untuk membahagiakan si isteri dan keluarga. Kerana sangkanya dengan harta itu, dia mampu menjamin kesetiaan si isteri padanya. Sehingga akhirnya dia menyedari tanggapannya itu silap, apabila sepulangnya dia dari urusan perniagaan di luar negara dia mendapati si isteri menjalin hubungan terlarang dengan lelaki lain. Di akhir cerita, isterinya ditangkap bersekedudukan dengan lelaki tersebut dan si suami menceraikan si isteri dengan talak tiga! Apa kesudahan si isteri cantik jelita itu? Kerana tekanan perasaan dia akhirnya hidup bergelandangan dan mati dilanggar kereta yang kebetulan dipandu lelaki simpanannya dahulu. Tragis, bukan?

Walau hanya drama rekaan, tetapi soalan yang bermain di fikiran saya ketika itu ialah mengapa mereka masih tidak bahagia? Bukankah segalanya serba sempurna dan terbaik untuk mereka?

“…. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sambungan hadith Rasulullah tadi menjadi jawapan kepada persoalan saya tadi. Banyak perkara yang menjadi pertimbangan dalam menentukan terbaik atau tidak seseorang itu untuk kita. Kita boleh memilih untuk menggunakan sama ada neraca dunia atau neraca akhirat untuk membuat pertimbangan. Neraca dunia, mungkin mendatangkan kepuasan kepada kita di dunia tetapi tidak menjamin kebahagiaan berpanjangan sehingga ke akhirat.

Saya mungkin bukan yang terbaik dari segi rupa untuk suami kerana masih ramai wanita cantik di luar sana. Tambah pula dalam keadaan perut yang memboyot dan jalan pun lagak penguin sekarang. Tiada apa yang dapat saya lakukan untuk mengubah kenyataan itu. Saya juga tidak mampu mengumpul harta untuk mengikat kesetiaannya. Tetapi saya ada motivasi lain untuk jadi isteri yang terbaik!

“Orang yang paling baik dikalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku” (Hadis riwayat Ibnu Majjah dan Ibnu Hibban)

“Hal terbaik bagi seorang mukmin setelah ketakwaan kepada Allah S.W.T adalah (memiliki) seorang isteri solehah, iaitu yang patuh jika disuruh, menyenangkan bila dipandang, membenarkan jika suami bersumpah ke atasnya, dan pandai menjaga diri dan harta jika suami tidak ada” (Hadis riwayat Thabrani dan Abdullah bin Salam)

“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah” (Hadis riwayat Muslim)

“Yang terbaik daripada kaum muslimin adalah yang menahan tangan dan lidahnya daripada menyakiti Muslim yang lain” (Hadis riwayat Muslim)

Bukankah sarana-sarana di atas semuanya boleh saya usahakan dan masih ada ruang untuk saya perbaiki dari masa ke masa? Masih ada harapan untuk saya jadi yang terbaik. Malah saya juga ada model-model yang boleh saya teladani dalam usaha saya untuk menjadi wanita yang terbaik! Siapa,ya?

“Yang terbaik daripada wanita di dunia, ada empat: Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad dan Asiah isteri Firaun” (Hadis riwayat Ahmad)

MAAFKAN BILA AKU TAK SEMPURNA

Teringat bait-bait lirik lagu Ayat-Ayat Cinta:

“Maafkan bila ku tak sempurna… cinta ini tak mungkin kucegah..”

Suami dan isteri seharusnya saling bersabar dan memaafkan dalam usaha masing-masing untuk jadi yang terbaik pasangan masing-masing. Masing-masing perlu memperbaiki kelemahan diri dan meraikan kelebihan-kelebihan pasangan. Yang terpenting sekali, niat kita dalam melakukan segala perkara untuk memastikan kebahagiaan rumah tangga bukanlah untuk mendapatkan cinta dan kesetiaan pasangan kita semata-mata. Malah kita ada matlamat yang lebih tinggi daripada itu.

Cinta yang tak mampu dicegah… cinta yang mendalam kepada Allah Yang Esa sepatutnya menjadikan kita berusaha sehabis baik untuk menjadi yang terbaik. Kita berusaha menjadi isteri yang terbaik bukan kerana mahu mencegah suami kita daripada mencari yang lain. Tetapi kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri itu adalah tuntutan agama, sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah S.W.T.

Indah bukan? Usaha yang satu, membuahkan dua hasil. Cinta dari suami dan yang paling penting, cinta dari Ilahi.

JOM BERUSAHA JADI YANG TERBAIK!!

1 kopi panas..:

kakak perlis berkata...

acik yana.. baby ikram dh balik rumah..