
Semalam saya dijemput sebilangan rakan-rakan untuk membeli sarapan di McDonald. Katanya ada tawaran menarik, yang saya sendiri kurang pasti apa. Lebih kurang macam, kumpul sekian-sekian jumlah orang untuk membeli sarapan di McDonald, dan kemudian dapat harga sarapan yang lebih murah. Macam itulah agaknya, saya kurang ambil peduli. Yang saya tahu, sejak dari zaman kolej lagi saya sudah mula berpegang kepada pendirian memboikot McDonald.
Saya serba salah, mahu berterus terang tentang pendirian saya yang mungkin boleh menyinggung hati mereka, atau memberikan alasan lain yang saya kira tidak akan menyentuh sensitiviti mereka. Tapi saya fikir, kalau saya berdolak dalih untuk tidak menyertai dengan alasan lain selain boikot, saya tentu dapat menjaga hati mereka tetapi itu juga bermakna saya tidak menyampaikan tanggungjawab saya sebagai seorang muslim. Bagaimana kalau nanti di akhirat, saudara-saudara seakidah yang terkorban kerana peluru Israel di Palestin datang menyerbu saya dan bertanya “Kenapa kau tak ajar kawan-kawan kau boikot produk yang membekalkan peluru-peluru yang membunuh kami ini?? Kau hanya melihat kami dibunuh??!” Nauzubillah min zalik…
Lalu, tegas saya menyatakan,
“Maaflah, saya tak dapat join. Saya tak makan McD sebab saya boikot McD”
Semua yang ada di situ terdiam sebentar. Saya jadi agak ralat. Tiba-tiba terdengar salah seorang dari mereka berkata,
“Alah… kalau letak McD depan dia rasanya habis jugak tu nanti!”
Jujurnya, saya sedikit tersinggung. Tetapi saya malas mahu memanjangkan hujah lalu mencipta alasan mahu ke tandas. Tetapi sempat saya balas sindirannya tadi sambil berlalu pergi,
“Eh, mana boleh saya makan, kak. McD tu kan haraaam.”
Jelas sekali ulama’ besar seluruh dunia sudah mengeluarkan fatwa mengenai kewajipan umat Islam untuk memboikot apa-apa saja produk yang menyumbang kepada Israel. Imam Syed Ali Khamenei dari Iran, Syaikh Yusuf Al Qardawi, Ayatullah Sayyid Muhammad Husayn Fadhlullah dari Lebanon dan Ayatullah As-Sayyid Ali as Seestani dari Iraq masing-masing membentangkan fatwa berkaitan. (Boleh rujuk di sini). Petikan tulisan Syaikh Yusuf Al-Qardawi berkenaan isu ini:
‘Barangan Amerika, sepertimana barangan “Israel” adalah haram. Adalah haram untuk mengiklankan barangan mereka. Hari ini, Amerika adalah Israel kedua. Mereka membantu sepenuhnya entiti Zionis. Israel tidak mampu merampas tanpa bantuan Amerika. Semua pemusnahan yang dilakukan “Israel” adalah dengan menggunakan duit Amerika, senjata Amerika, dan veto Amerika. Amerika telah berkurun-kurun melakukan semua ini tanpa menerima kesan hukuman atau protes terhadap tekanan dan kedudukan mereka yang mencurigakan daripada dunia Islam’ -Syaikh Yusuf Al-Qardawi-
Segalanya sudah jelas dan nyata, maka terpulang kepada kita untuk membuat keputusan sendiri. Tepuk dada, tanya iman. Jangan tepuk dada tanya selera, kerana selera itu biasanya bersumberkan nafsu yang kalau diikut melulu hanya membawa kita kepada kerosakan dan kehinaan semata.
Percayalah, anda tidak akan mati kalau tak makan McD, anak-anak anda tak akan berkurap kalau tak guna Johnson&Johnson, masakan anda tetap akan sedap walaupun anda tak guna perencah Maggi dan anda tak akan mati dahaga sebab tak minum Coke. Satu sen yang anda belanjakan untuk memenuhi nafsu perut anda mungkin akan memburaikan isi perut saudara kita di Palestine. Satu sen yang anda belanjakan untuk menjaga kelembutan kulit anak anda, mungkin menyiat kulit anak-anak kecil di Palestine.
Baiklah, kalau pun anda tidak mahu boikot kerana rasa kewajipan boikot itu tidak ada pada anda sebagai seorang Islam, apa kata anda tanya pula rasa kemanusiaan anda. Pengalaman saya di UK sendiri menyaksikan orang bukan Islam sendiri sebilangannya begitu tegas memboikot produk-produk Amerika dan Israel bukan kerana isu agama, tetapi atas dasar perikemanusiaan. Mereka mahu menghentikan kekejaman Israel terhadap Palestine yang sungguh nyata bertentangan dengan hak asasi manusia. Saya masih ingat lagi papan tanda di kedai koperasi universiti saya sendiri, The University of Manchester, yang menyatakan mereka tidak menjual produk Nestle di kedai itu atas alasan boikot. Lalu disenaraikannya apa alasan mereka memboikot untuk mendidik masyarakat.
Pernah suatu hari saya mengikuti rombongan kolej saya ke suatu tempat. Di pertengahan jalan, warga bas sudah mula merungut kelaparan kerana masih belum makan tengahari. Kebetulan ketika itu, kelihatan restoran McDonald di pinggir jalan, lalu bas berhenti untuk peserta mengisi perut. Saya tidak turut serta kerana tentunya tiada yang halal untuk saya makan di McDonald di tanah Inggeris itu. Saya hanya menikmati bekalan sandwich yang saya bawa dari bilik. Beberapa ketika kemudian, penumpang bas akhirnya naik dengan sebungkus juadah McD di tangan masing-masing. Apabila bas hampir berjalan kedengaran suara Hatti, gadis Britain yang serumah dengan saya menjerit lantang,
“I can’t believe that Atlantic College student would stop and buy McD. It’s a shame!!! We all know very well all the bad things that McD has bring to the world!SHAAAMEE ON YOU!!”
Wajahnya cemberut. Saya sedikit terkejut, warga bas yang lain juga begitu. Mereka yang sedang asyik menikmati double cheese burger, terhenti kunyahannya. Kolej saya ketika itu merupakan sebuah kolej yang sangat aktif terlibat dalam kempen-kempen keamanan dunia. Tambah lagi statusnya sebagai pusat pendidikan yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dasar kemarahan Hatti adalah kerana kempen di kolej yang ketika itu memboikot McDonald. Kalau tak silap saya, ketika itu kempen itu dilancarkan bukan kerana perang Israel-Palestine, tetapi sebab McDonald yang membuka ladangnya secara besar-besaran sehingga mengancam hak penduduk pribumi di kawasan tersebut. Yang saya kagumi tentang Hatti ialah keberaniannya menyampaikan pendiriannya dan saya berharap saya juga mempunyai keberanian seperti itu.
Setiap hari pergi dan balik kerja saya mesti melalui restoran McDonald yang begitu gah di bandar Kerteh ini. Pernah juga tekak wanita mengandung ini terkecur melihatkan gambar Prosperity Burger yang enak dengan sos lada hitamnya yang meleleh. Uuuh!
“Sedapnya nampak Prosperity Burger tu abaaang… Boleh tak makan kalau dah mengidam sangat?” Ujar saya suatu hari apabila sudah tidak tertahan lagi dengan godaan poster yang hari-hari melambai nafsu perut saya.
“Huuu… cuba ayang bayangkan ayang tengah minta dengan abang nak makan burger daging khinzir sebab mengidam. Agak-agak abang bagi tak?” terus saya terdiam. Betul juga kan? Ganas jugak suami saya ni bagi analogi.
Jadi setiap kali lalu depan McD dan nampak iklan Prosperity Burger, saya akan bayangkan dagingnya itu digantikan dengan gambar seorang budak Palestine yang terkepit di celah roti dan salad. Sos lada hitam yang meleleh tu pulak, darah dia yang bercucuran kene tembak. Kamu rasa saya ada selera lagi tak nak makan Prosperity Burger lepas tu??
6 kopi panas..:
Sedang berusaha untuk memboikot ....bukan setakat makanan ttp juga beberapa produk lain...moga2 diberi kekuatan untuk lawan godaan...ameen.
salam..ni cadangan. letak la button "like" fb. (:
apa pendapat akak kalau kita makan sbb org belanja?
kita tak sumbangkan duit itu (if that is the main issue) + nak jaga hati kawan.
To K. Zazi: Go kak zazi!Mari kita slow2 melancarkan kempen boikot kat ofis pulak.Kene promote so that barang2 kat pantry tak beli brg2 boikot.insyaAllah.
To Mr. Ree: Macam mana nak buat tuh eh? Saya tak reti...
To Tanpa Nama:Entahler.. pada pendapat akak, whatever it is kita still kene kasi jugak kesedaran tu pada kawan kita tuh. Kalau tak sampai bile2 pun la die tak tau boikot tu wajib.Maybe kdg2 dgn ketegasan it works but make sure berhikmah la.. jgn sampai gaduh pulak..huhu!
assalamua'laikum wbt.saya berminat ngan entri ni..bleh saya share di fb?
Waalaikumsalam wmt.
Silakan kalau memberi manfaat :)
Catat Ulasan