Salam,
Alhamdulillah Journey of Muslim (JOM!) yang kami usahakan sejak sebulan yang lepas akhirnya selamat di jalankan di SMI Al-Amin Kemaman. Jumlah peserta tidaklah menepati sasaran 50 orang, hanya 30 orang sahaja tetapi alhamdulillah, hikmahnya ukhuwah antara kami menjadi lebih rapat. Saya dan Muhammad diberi tanggungjawab membentuk modul untuk program kali ni. Penat juga memerah otak fikir pengisian dan aktiviti untuk adik-adik lepasan SPM/STPM ni. Kalau boleh tak naklah jadi program yang penuh dengan ceramah saja. Sebab saya fikir, kalau saya di tempat adik-adik ni mesti dah bosan sebab dah selalu dengar orang membebel suruh belajar sebelum SPM/STPM. Jadi kami cuba bentuk program yang 50% pengisian dan 50% aktiviti dalam kumpulan. Alhamdulillah Allah bagi ilham dan akhirnya terhasillah modul JOM!: The Journey Begins!
Program berjalan lancar, walaupun di saat-saat akhir sebelum program macam-macam masalah timbul. Dua tiga orang fasilitator tiba-tiba terpaksa tarik diri atas bermacam-macam sebab. Kelam kabut nak cari pengganti. Dua tiga malam sebelum program memang sangat tertekan sebab banyak lagi perkara yang perlu diselesaikan. Pengisian belum lengkap, slides belum siap, bahan LDK belum cetak...oh! Sampai adalah beberapa kali 'mental breakdown' sampai menitiskan air matalah juga. (Biasalah... sayakan ratu air mata!). Malam terakhir sebelum program, saya sangat tertekan sampaikan minta Muhammad batalkan saja program. Syaitan ni memang pandai ambil kesempatan bila kita lemah. Muhammad pujuk dan suruh istighfar banyak-banyak. Lepas beberapa ketika saya tenang sedikit dan buat keputusan untuk teruskan saja program. InsyaAllah Allah bantu. Alhamdulillah program berjalan lancar. Rasa gembira dan puas hati tengok peserta semua gembira. Hanya syukur yang mampu saya panjatkan pada Allah.
Dengan kesibukan sepanjang dua hari di program memang kurang ambil tahu tentang makan minum. Supplement untuk Fateh pun sampai terlupa nak makan. Rehat pun sempat sekejap-sekejap saja, di selang masa antara slot. Bila malam program baru sedar Fateh tak banyak sangat bergerak macam biasa. Malam tu sebelum tidur, saya cuba juga minum air banyak-banyak sebab ingatkan saya dengan Fateh dehydrated, jadi sebab tu Fateh kurang aktif. Sambil baring-baring menunggu lena, gosok-gosok perut minta Fateh respon. Biasanya Fateh akan tendang semula, tapi dia senyap saja. Kalau ada gerak pun, sangat perlahan dan tak sekuat biasa. Hanya doa banyak-banyak dalam hati, minta Allah jaga Fateh. Sehari lepas program pun masih rasa pergerakan Fateh macam sangat kurang daripada biasa. Malam semalam tidur pun kurang lena, kerap kali terjaga sambil tunggu Fateh gerak sebelum terlena semula. Muhammad pun cuba gosok-gosok perut Ibu sambil borak-borak dengan Fateh, tapi takde respon. Ada beberapa kali je terasa dia gerak tapi memang tak sekuat biasa. Hati dah makin cuak... Tak boleh jadi ni, esok kita kena pergi klinik!
Pagi tadi, sebelum Subuh, Muhammad kejutkan saya. "Jom bangun, kita solat hajat minta Allah tolong jagakan Fateh, nak?" Saya angguk saja...ambil wudhuk dan ikut solat sebelah Muhammad. Tiba-tiba rasa sebak pula dengar doa Muhammad lepas solat. Muhammad minta Allah kurniakan kami anak yang soleh dan sihat sejahtera. Minta Allah beri kekuatan pada Fateh, beri dia kesihatan untuk terus bertahan. Ameen...ameen ya rabbal alamin. Saya mohon dengan sangat dalam hati supaya Allah beri kesempatan untuk kami menimang cahaya mata yang telah kami nantikan sekian lama ini. Ibu teringin sangat nak tengok muka Fateh, main-main dengan Fateh. Rasa bersalah pula sebab macam cuai menjaga diri sendiri sampai mengabaikan kesihatan si Fateh juga. Maafkan Ibu, ye sayang?
Hari ini, pagi-pagi lagi sudah ke klinik. Muhammad ajak ke Kuantan saja jumpa Dr. Su macam biasa, tapi segan pula nak jumpa dia. Sebabnya banyak kali dah jumpa dia tanpa appointment sebab kerisauan-kerisauan yang sebenarnya tak ada apa-apa pun. Maklumlah, pertama kali bakal bergelar ibu. Pernah sekali jumpa sebab sakit perut dan kali terakhir jumpa Dr.Su sebab demam. Jadi, kami ke klinik biasa saja di Paka yang ada kemudahan scan. Asal dapat tengok Fateh cukuplah. Singgah sarapan sekejap di tepi jalan. Walaupun hati kerisauan, nasi goreng ayam habis juga sepinggan dan minum air coklat secawan. Dengan harapan si Fateh akan mengalami sugar rush lalu bergerak dengan aktif semasa scan nanti.
Sampai di klinik tak menunggu lama. Terus berterus terang dengan doktor, cakap kerisauan sebab reduce fetal movement. Doktor ajak scan. Nampaklah si Fateh tengah buat apa entahlah, tak jelas sangat. Tapi jantung dia sangat jelas kelihatan, doktor cuba kira heartbeat Fateh. 120 beats per min, can be considered normal and healthy. Kata doktor "His heartbeat is regular, I think your baby is fine." Saya angguk saja. Doktor suruh saya cuba buat fetal movement charting. Paling kurang perlu ada 10 pergerakan sehari. Tak kiralah menendang ke, menyiku ke, melibas ke... kira aje semua. Saya minta doktor periksa juga kedudukan Fateh. Fetal position juga okay, tak ada sebarang masalah. Masa tu nampak Fateh gerak-gerak malas macam baby tengah menggeliat bangun tidur. Doktor kata baby pun macam kita jugak ada lazy days, jadi mungkin dua tiga hari ni, he's just been a lazy baby. Malas main bola atau berlatih kung fu seperti biasa. Baiklah... Lain kali jangan buat macam ni ye Fateh? Ibu suspense kalau awak banyak sangat tidur. Sila jangan malas.
Balik ke pejabat, Fateh dah kembali aktif seperti biasa. Ooo.. rupanya anak Ibu ni merajuk dengan Ibu la kot, sibuk sangat sampai tak kasi attention kat dia, ya? Huhu! Buka email, ada satu email yang kawan sepejabat hantar. Kisah Aliff Hakimi, si kecil berumur tiga tahun yang meninggal dunia kerana tumor otak. Sedih betul baca catatan ayahnya, sampai rasa macam nak menitis air mata. Tak dapat nak bayangkan diri kalau berada di tempat mereka, menghadapi kematian anak yang disayangi. Sedangkan anak yang masih dalam rahim, yang belum pernah dilihat wajahnya ini pun kita dah sayang sangat-sangat apatah lagi yang dah tiga tahun hidup bersama. Tapi bila difikirkan semula, semua yang kita ada di dunia ini adalah pinjaman dari Allah semata-mata. Suami, anak, keluarga, harta benda, malah anggota badan dan nyawa kita sekalipun adalah milik mutlak Allah yang dipinjamkan sementara kepada kita untuk menguji kita. Sama ada kita menjadi hamba yang bersyukur atau kufur pada nikmat yang Allah beri percuma. Sampai masa, nikmat yang Allah pinjamkan ini akan ditarik semula dan kita sebagai hamba perlu redha dengan ujian Allah.
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan. (QS. al-Anbiya`: 35)
0 kopi panas..:
Catat Ulasan