STUDENT LIFE IN MANCHESTER

Assalamualaikum...

Saya terjumpa video ni di youtube masa pusing-pusing kat situ cari video yang best dan latest untuk tatapan adik-adik saya di mukhayyam hujung minggu ni. Alhamdulillah...lepas ni kalau orang tanya "Macam mana ya agaknya hidup di Manchester?", boleh saya kasi je terus tengok video ni.



The daily routine that they showed was very true and similar to mine since pelakon-pelakon utamanya coursemate saya... haha! Jadi rutin harian mereka lebih kurang rutin sayalah. (cume saya tak main tennis petang2..saya pegi jogging jek..kui2). Pastu siap ajar masak spaghetti bolognaise lagik tu...mantap tul coursemate saya ini.

Untuk adik-adik yang bakal ke Manchester September ini. Saya ucapkan selamat datang ke Manchester Darul Aman...

Wassalam

Tentang Sumpah

Assalamualaikum...

Saya teringat zaman saya kecil-kecil dahulu...

Cerita 1:

"Tau tak semalamkan saya pergi Sunway Lagoon! Best!Jangan jeles..."
"Ish..tipulah. Sumpah?"
"Sumpaaah! Wallahi..wabillahi saya pergi Sunway Lagoon dengan mak saya"
"Ish...bestnye!"

Cerita 2:

"Eh..berani aw duduk dalam kelas sorang-sorang? Semalam kite nampak lembaga hitam dalam kelas tu," kata kawan saya yang mahu ajak saya ponteng kelas tambahan pada hari itu.
"Tipulah...mana ada hantu siang-siang hari. Sumpah awak nampak hantu?" kata saya.
"Ish awak ni..main sumpah-sumpah pulak. Mak kite kata tak baik main sumpah-sumpah nanti kene makan sumpah tau," wajah kawan saya tu pucat sikit. Tak tahulah sebab dia tipu ke atau memang betul die nampak hantu..huhu!

Cerita 3:

"Saya dah bayarlah duit awak tu..."
"Mana ada! Awak belum bayar lagi la!"
"Thumpah saya dah bayar" (kunun-kunun bile sebut thumpah tu tak dikire bersumpah la)
"Tak baek awak sumpah-sumpah palsu. Nanti jadi sumpah-sumpah baru awak tau!"

Ha.. yang di atas itu semua insiden zaman kita kanak-kanak tak mumayyiz. Kalau dahulu nak tahu kawan bercakap benar atau bohong, minta saja die bersumpah. Kalau mahu lagi yakin suruh bersumpah dengan wallahi wabillahi. Kalau dia berani sebut dua-dua tu, pasti dia tak cakap bohong. Kalau gaduh pun, bila dua-dua berdegil tak mahu mengaku salah, mulalah masing-masing bersumpah. Tapi masa kecil dulu yang saya tahu kalau sumpah bohong nanti kena makan sumpah. Kena makan sumpah tu yang saya faham masa tu, kalau kita sumpah bohong nanti apa yang kita sumpahkan itu jatuh pada kita semula. Yang paling mengarut saya dengar, kalau kita sumpah bohong nanti kita disumpah jadi sumpah-sumpah. Sumpah-sumpah dalam Bahasa Inggeris orang panggil 'chameleon'. Huhu! Tapi saya pun tak tahu macam mana rupa sumpah-sumpah. Sat saya 'google' kan ye?

Ini sumpah-sumpah. Dia boleh tukar2 warna kulit die ikut suka dia.

Itu tadi kisah kanak-kanak belum baligh. Kanak-kanak yang belum faham dan tak tahu betul salah. Mana kanak-kanak macam itu dapat idea bersumpah-sumpah macam itu? Tentu bukan mereka pandai-pandai reka sendiri tapi ikut-ikutan dari orang-orang yang lebih tua yang lebih tahu. Itu zaman saya kecik-kecik dahulu. Kanak-kanak zaman sekarang mesti lagi pakar bab-bab bersumpah ni. Sebab di televisyen dalam berita perdana, hampir setiap hari ada berita tentang sumpah. Hari ini si polan bersumpah kata dia betul, hari ini si polan yang lain bersumpah kata dia tak bersalah, hari esok orang ini bersumpah kata dia bercakap benar, tulat pihak yang lagi satu pula bersumpah yang dia tidak berbohong. Sumpah bersumpah ni nampak macam trend pula sekarang, terutama di kalangan ahli politik dalam musim-musim pilihanraya ni. Masing-masing bersumpah mahu buktikan diri sendiri benar. Pening kepala rakyat... oh..oh!

Bila tengok berita, nampak macam senang saja bersumpah. Tak sampai pun berapa minit. Kata mufti Perlis, sebenarnya tak perlu pun beria-ia buat di masjid sambil mengadap kiblat dan memegang al-Quran (atau panggil surat khabar dan TV..oops!). Tapi bila dengar dan hayati lafaz sumpah mereka saya pun takut. Lafaz sumpahnya bukan calang-calang. Kalau bohong kesannya bakal mendapat azab dan laknat Allah sampai ke hari kiamat. Nauzubillah... Jadi tidak mungkin ada orang yang siuman mahu membohongi sumpah mereka. Melainkan mereka yang tidak percaya yang Allah S.W.T Maha Berkuasa. Siapa-siapa pun boleh bersumpah. Kita hanya mampu melihat yang dizahirkan "Oh...si polan telah bersumpah." Tapi apa yang ada di dalam hati yang bersumpah hanya Allah yang tahu. Maka kita serah saja pada Allah untuk mengadili, kerana Dia Yang Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Tapi ada hikmah juga berlaku semua ini. Paling kurang saya sudah kenal perkataan mubahalah yang saya tidak pernah dengar sebelum ini. Lalu saya cari bacaan tentang mubahalah ini. Sebab kalau kita tidak tahu kita perlu ambil tahu. Jangan dengar saja lebih kurang, lalu pengetahuan yang sedikit dan cetek itu jadi modal untuk di canang sana sini. Dengan pengetahuan yang lebih kurang itu jugalah yang menjadi asas untuk menghukum orang ini salah, orang ini betul. Bukan dipengaruhi fikiran rasional tetapi lebih kepada emosional. Hanya ambil tahu maklumat yang dihidang di depan mata tanpa ada usaha mahu cari lebih dalam dan buat pertimbangan adil. Baca sana sini, saya rasa artikel tulisan mufti Perlis dalam laman peribadinya adalah antara yang terbaik dan mudah untuk difahami tentang hukum sumpah, qazaf dan mubahalah. Penerangannya saya rasakan tidak bias kepada mana-mana pihak tetapi khusus untuk beri kefahaman Islam tentang isu sumpah yang jadi trend popular kini. Kalau mahu ambil peduli, boleh cuba klik pada capaian di bawah ini:

Mubahalah Agar Umat Tidak Berbalah

Hilang Hala Tuju Tenggelam Dalam Isu

Terbaca satu ayat di dalam artikel kedua yang begitu terkesan pada hati saya. Sungguh, selepas ini saya tidak lagi mahu berkata apa-apa tentang apa yang di luar pengetahuan dan tidak pasti sama sekali. Saya hanya mahu tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi. Berbekal keyakinan bahawa Allah itu Maha Adil dan Dia Maha Berkuasa memelihara agamaNya.

Allah menyebut: (maksudnya): “Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah al-Nur ayat 15).

Wallahualam...

Selepas Setahun Perjanjian Itu...


Sudah setahun berlalu sejak hari bersejarah itu. Alhamdulillah sehingga kini tidak berkurang walau sedikit rasa cinta dan kasih sayang yang mula bercambah sejak lafaz ijab kabul itu. Malah dengan rahmat Allah perasaan itu semakin bertambah dari hari ke hari antara kami. Ikatan ini , bukan ikatan yang biasa-biasa. Ada kesenangan-kesenangan yang datang bersamanya yang boleh sama-sama dirasa. Tetapi bersamanya juga hadir amanah yang besar. Ikatan ini datang bersama 'mitsaqan ghalizan'. Ada yang harus dijaga dalam perjanjian yang berat ini. Ada yang harus diperjuangkan kerana amanah ini. Untuk itu, ikatan ini memerlukan hati yang sama-sama menerima, jiwa yang rela, sikap yang menenteramkan dan kesiapan untuk berjuang bersama.

Setahun yang lepas, perjanjian yang berat itu telah kami ikrarkan. Bersaksikan Allah, para malaikat dan juga tetamu yang hadir. Perjanjian yang bukan main-main. Jika tidak masakan Rasulullah menyebut tentang amanah ini dalam peringatan suci terakhirnya semasa haji wida' baginda.

"Aku nasihatkan kalian untuk selalu berbuat baik" kata-kata terakhir dari Rasulullah itu terus tersemat dalam hati sebagai bekal mengendali bahtera perkahwinan yang bukan selamanya indah-indah saja. Kerana kami maklum lautan yang terbentang untuk diharungi itu nanti tidak selamanya tenang. Saat badai datang melanda, perlu tenang dan lapang dada. Perkahwinan bukan sekadar melunaskan fitrah tetapi perkahwinan juga membentuk akhlak. Selepas setahun mengharunginya, saya akur dengan kata-kata seorang ukhti saat sebelum saya menikah. Bahawa pernikahan itu adalah universitas tertinggi kehidupan. Merupakan universitas yang paling lengkap, yang di dalamnya ada pelbagai fakulti yang mendidik kita. Fakulti kesabaran, fakulti toleransi, fakulti keredhaan dan berbagai-bagai lagi. Tinggal lagi kita sahaja, sama ada jiwa kita sedia ditarbiyah atau tidak. Jika sedia, maka apa saja ujian yang datang daripadanya akan kita harungi satu-satu tanpa pernah putus asa langsung menarik diri dari institusi ini. Nauzubillah..

Beberapa hari yang lepas, genap setahun sejak perjanjian itu kami ikrarkan. Tiada apa yang istimewa kami lakukan. Pagi-pagi lagi ibu saya sudah mengusik "Tak ada 'candle light dinner' ke malam ni?" Kami senyum-senyum saja. Cukuplah dengan sujud tanda syukur kami kerana masih diizinkan Allah dalam cinta dan berkasih sayang antara satu sama lain. Malah pada hari itu saya meninggalkannya untuk berpergian selama 2 hari ke program tarbiyah. Alhamdulillah... sejak di bawah tanggungjawabnya saya tiada masalah untuk keluar atas urusan tarbiyah. Kadangkala berseorangan saja seperti hari itu, apabila dia terpaksa memenuhi tuntutan kerja tetapi dalam kebanyakannya kami hadir bersama-sama.

Menjadi suri kepadanya tidaklah sesukar mana. "Suami kamu inikan ikhwah?" katanya saat saya menyatakan kerisauan meninggalkan makan pakainya untuk berprogram selama seminggu. Setiap hari saya belajar perkara baru tentang urusan rumah tangga sambil dia sendiri bersabar menerima andai ada kekurangan dan kerap membantu tanpa diminta. Menjaga makan dan pakainya menjadi satu tugas yang dilakukan penuh rela dengan tiada sedikit pun keberatan. Malah menjadi satu kepuasan kepada diri apabila segalanya terlihat terjaga dengan baik.

"Pahala menghidangkan suami segelas air itu sama seperti pahalanya menunaikan ibadah haji" kata ibu mertua sambil tersenyum saat saya menghulurkan suami secawan teh. Saya senyum kembali.
"Mana aci macam tu mak... Kalau macam tu sudah berapa kali Yana haji? Abang sekali pun belum ni" Kami sama-sama tergelak melihat wajahnya yang cemberut kecemburuan.

Alhamdulillah... cuti musim panas kali ini juga menyaksikan ramai sahabat ikhwah dan akhawat melangkah ke alam perkahwinan. Afwan belum ada satu pun yang kami mampu hadir kerana pelbagai kekangan. Namun doa kami sentiasa mengiringi antum. Semoga dikurniakan keluarga yang sakinah dan mawaddah.

Allah..moga dengan cinta antara kami ini dapat kami meraih cintamu dan jangan sekali-kali kau biarkan cinta ini melebihi kecintaan kami kepada Mu dan kekasih Mu, Rasulullah S.A.W. Semoga kami bertemu lagi nanti di syurga dengan aku sebagai ketua bidadarinya...



Menjadi seorang asing....

Assalamualaikum wmt wbt...

Dah lama tak menulis. Dikurung selama enam hari di dunia yang serba asing dan serba menguji ketahanan mental, spiritual dan fizikal saya. Nampak macam hebat saja dunia itu kan? Sehingga begitu sekali teruji tahanannya. Suami menghantar sehingga ke laman menara berkembar dan dari situ saya dan tahanan lain beramai-ramai menaiki bas ke tempat asing itu. Sejak dari dalam bas lagi saya sudah mula merasa asing dengan sekitar saya. Sepanjang jalan saya berfikir... merekakah yang pelik-pelik atau saya ini yang ganjil? Saya lihat mereka riang bergelak ketawa, barangkali gembira bertemu rakan-rakan lain yang sudah sekian lama tidak ketemu. Tetapi dalam hati saya tidak sedikit pun terkuit kegembiraan.. Entah. Saya membuang pandang ke luar tingkap cuba-cuba menenangkan hati yang tak keruan sambil telinga disumbatkan dengan lagu-lagu pilihan sendiri. Cuba menghiburkan hati sendiri walau tiada satu pun melodi dan bait lirik dari pemain kecil itu melekat di hati apatah lagi menghiburkan. Tiba-tiba berkumandang Ghuraba'. Hati saya merintih. Sungguh itu apa yang saya rasa ketika itu.

Hari-hari yang saya lalui selepas itu tidak menjanjikan yang indah-indah. Hari pertama diisi dengan permainan kanak-kanak yang menjengkelkan dengan objektif memecahkan kebekuan antara rakan-rakan sekumpulan yang baru saja dikenali. Batas hubungan lelaki perempuan langsung tidak terjaga. Semuanya main langgar saja.

"Buat satu bulatan dengan ahli kumpulan kamu!"

Saya berlari-lari menempatkan diri di antara ahli kumpulan yang perempuan supaya tidak terhimpit antara lelaki.

"Okey sekarang rapat-rapat sikit... Pegang tangan orang yg berhadapan dengan kamu. Pastikan orangnya lain-lain untuk kedua-dua belah tangan!"

Saya kaget. Di hadapan saya kebanyakannya ahli kumpulan yang lelaki. Cepat-cepat tarik lengan baju supaya telapak tangan beralas. Mahu dibantah, saya tidak mampu kerana hampir semua peserta di padang itu sudah mula menghulurkan tangan ke tengah bulatan tanpa banyak soal . Saya pejam mata. Dalam hati tawakkal pada Allah moga diampunkan dosa saya dan diselamatkan saya dari dosa bersentuhan dengan yang bukan mahram seperti ini. Tangan saya turut hulurkan ke tengah bulatan sambil cuba sedaya mungkin menggapai tangan peserta perempuan yang lain. Alhamdulillah Allah selamatkan, tangan kiri dan kanan mengenggam tangan rakan sekumpulan yang perempuan. Tangan-tangan kami berselirat dalam satu simpulan yang memeningkan yang perlu dirungkai untuk menghasilkan semula sebuah bulatan. Kami ikut berhimpit dan tersepit antara lelaki dan perempuan bersama tangan yang bersimpul. Hati rasa ingin menangis. Ini bukan pertama kali saya bermain permainan seumpama ini malah telah berulangkali. Tapi ini kali pertama bercampur antara lelaki dan perempuan seperti ini...

Entah bagaimana, Allah membantu.. awal-awal lagi saya berjaya meleraikan simpulan langsung terkeluar dari kusutan itu. Dari luar saya melihat mereka bersungguh meleraikan simpulan. Ada yang terangkul, ada yang tergesel. Sungguh merimaskan. Saya lihat mereka ketawa gembira. Entah mengapa saya tidak turut merasakan kegembiraan itu kerana pada saya semua itu salah. Ini tidak Islami... Tidak salah bermain seperti itu sesama satu jantina malah itu permainan yang sangat bagus untuk menautkan ukhuwah. Tapi apabila bercampur begini ia menjadi pintu masuk syaitan untuk merosakkan insan. Tidak terlihatkah?

Keesokannya kami merentas hutan dalam dakian empat puncak dan malamnya kami berkhemah di tepi tasik. Alhamdulillah kumpulan kami tiba awal dan kami berpeluang memilih tapak mendirikan khemah. Khemah perempuan dan lelaki kami asingkan sejauh yang mungkin dalam tapak yang terhad itu. Saya cuba menyaran kumpulan-kumpulan selepas itu turut mengasing khemah lelaki dan perempuan tetapi tidak berhasil. Khemah lelaki dan perempuan dibina berjajar antara satu sama lain, pintunya hadap berhadap dan kalau tidak pun sebelah menyebelah. Bukan silap mereka juga kerana mereka tiada pilihan. Kawasan perkhemahannya terhad. Malamnya ramai-ramai berkumpul mengeliling unggun api sambil main teka-teki. Gelak ketawa lagi. Aduh!

Sudahlah sudah... Apa-apa saja yang saya bebelkan di sini. Saya tidak mahu mengingati walau sesaat pun hari-hari saya di sana. Tiada satu pun foto yang saya simpan untuk kenang-kenangan. Cukuplah kulit yang makin gelap dibakar matahari setelah hampir seharian berkayak dari Lumut dan mengelilingi Pangkor. Cukuplah merasa bagaimana mabuk laut kerana dilambung ombak sepanjang berkayak. Saya bukanlah seorang yang anti aktiviti outdoor. Saya malah suka mencabar kemampuan fizikal dan ketahanan mental saya dengan aktiviti seumpama itu. Menjadi pelajar Geologi membuatkan saya harus selalu turun naik bukit semasa ber'field trip' setiap tahun. Saya malah punya sijil sebagai juru ajar renang, 'rock climbing', kayak dan memanah sepanjang belajar di Atlantic College Wales. Bukan mahu menunjuk kebolehan cuma mahu membuktikan bebel2 saya di atas itu bukan kerana benci di penat-penatkan dengan aktiviti fizikal tetapi saya benci pada bagaimana ia dilaksanakan tidak di atas garis syariat di sana. Rasulullah malah menggalakkan umatnya menjaga fizikal dengan beriadah dan menguasai kemahiran-kemahiran tertentu seperti menunggang kuda, renang dan memanah. Semua aktivitii yang dijalankan di sana langsung tidak salah malah begitu bermanfaat andai mereka mengambil kira batas-batas islami. Seperti menjaga batas hubungan peserta lelaki dan wanita atau paling tidak mengatur jadual aktiviti agar peserta boleh menunaikan solat pada waktunya. Kalau pun itu semua tidak penting bagi mereka paling kurang perlu sensitif pada peserta yang mahu menjaga.

Allah tidak meletakkan saya di situ sekadar sia-sia. Banyak yang saya balajar sepanjang enam hari di situ. Bagaimana dalam keadaan tertentu kita tidak selamanya mampu menarik yang lain untuk melihat apa yang kita lihat. Bagaimana dalam keadaan tertentu kita tidak mampu mengajak orang lain kepada apa yang kita fikirkan benar andai antara kita dan mereka tidak berpegang pada nilai yang sama. Bagaimana dalam keadaan-keadaan seperti itu kita menjadi lebih mementingkan diri sendiri dengan cuba sedaya upaya menyelamatkan diri sendiri dari 'terkorban'. Bagaimana mahu menyelamatkan yang lain dari panasnya api andai diri sendiri terbakar bukan? Saya belajar bagaimana perlu diri tidak boleh merasa selesa dengan lingkungan yang ideal tetapi apabila tercampak dalam kelompok yang asing, saya hilang arah dan ikut hanyut dalam rentak mereka. Saya belajar berfikir bagaimana untuk mempertahankan prinsip yang saya pegang tanpa membuatkan orang sekeliling yang berpegang pada prinsip dan nilai yang berbeza merasa tidak selesa dan malah menimbulkan rasa hormat mereka walau prinsip kami berbeza.

Langsung teringat hadis Rasulullah....

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

(H.R. Muslim)

Moga kita termasuk dalam golongan yang beruntung itu. Mohon ampun tersalah kata.