Aku Mahu Jadi Spt Khansa'

Assalamualaikum...

Lamanya tidak menulis dari hati. Masuk hari ini sudah sepuluh hari saya bercuti sakit kerana menjalani pembedahan kecil. Sebelumnya, doktor masih memberi pilihan lain selain pembedahan. Ubat yang saya makan setiap hari masih belum pada dos maksimum. Kata doktor kalau saya mahu, saya masih boleh mencuba lagi sebulan dengan dos maksimum. Saya pandang Muhammad yang berdiri di sebelah saya. Bilik Dr. Sue itu sudah amat biasa pada pandangan mata kami, kerana lawatan yang sekerap hampir setiap bulan. Setiap kali masuk, saya pasti akan melihat jambangan-jambangan bunga yang diatur kemas di tepi tingkap berhadapan dengan pintu masuk. Di celah-celah jambangan bunga itu ada foto bayi-bayi comel dengan kad-kad ucapan yang dikepil bersama. Tanda terima kasih atas ikhtiar doktor sehingga mereka mampu menimang cahaya mata setelah sekian lama menanti. Semuanya kurnia Allah.

Setiap kali melihat itu semua saya tersenyum. Bahagianya mereka, saya dapat bayangkan. Suatu hari, sambil menanti preskripsi ubat, saya katakan pada Muhammad,

"Kalau Fateh dah datang nanti, kita beri bunga pada Dr.Sue juga ya?"

Muhammad senyum. InsyaAllah.... katanya sambil menyeka air mata yang kelihatan bergenang di mata saya ketika itu. Oh, saya tidak sedar saya menitiskan air mata. Malah saya tidak tahu air mata itu untuk apa. Sedang ketika itu saya asyik melihat anak-anak kecil bermain dengan di sudut bermain yang disediakan di ruang menunggu itu. Comel dan riang.

Ketika saya kembali sedar, saya sedang disorong kembali ke wad daripada bilik pembedahan. Rasa amat ngilu di perut dan kepala amat pusing. Muhammad berdiri di sisi katil penuh prihatin. "Sakit..." kata saya pada Muhammad sebelum saya kembali melelapkan mata selepas diberikan pil oleh seorang jururawat yang datang ketika itu. Bangun saja dari lena, Dr.Sue datang melawat bertanyakan keadaan saya. Dr. Sue menerangkan prosedur yang telah dilakukannya tadi. Alhamdulillah katanya tiada yang abnormal pada uterus dan tiub fallopio cuma seperti yang dijangka, ovary saya saiznya agak besar. Kami menonton video pembedahan yang diberikan doktor. Begini rupanya prosedur ovarian drilling.

"Kalau diikutkan, sungguh akak rasa melahirkan dan membesarkan anak ini cukup payah. Malah kalau mungkin akak tak nak melaluinya lagi. Manakan lagi sakitnya, tidak cukup tidurnya. Lagi pula mahu mencari masa menelaah dalam kesibukan menguruskan anak"

Kata ukhti dalam halaqah mingguan kami yang kembali saya sertai setelah seminggu bercuti. Ukhti yang saya amat kagumi ini sudah punya seorang anak sedang dia di tahun akhir pengajian perubatan. Malah apa yang lebih saya kagumi, kesibukannya itu tidak pernah menjadi alasan untuk dia terus komited dengan program tarbiyah dan dakwah. Kerap kali saya katakan pada Muhammad saya mahu jadi ibu sebaik ukhti ini.

"Tapi kita melahirkan bukan untuk dibalas jasa oleh mereka kelak bila mereka dah dewasa, tapi kita melahirkan dan terus melahirkan kerana kita mahu melahirkan ISLAM! Kalau kita sudah tiada nanti mereka inilah yang akan menyambung perjuangan kita" sambung ukhti itu lagi.

"Betul... dan itulah satu penghormatan tertinggi untuk wanita," sampuk seorang lagi ukhti fillah yang lain. Saya mengangguk-angguk dan tersenyum. Terdetik rasa kekurangan kerana saya belum dikurniakan penghormatan bergelar seorang ibu lagi. Astaghfirullah... sungguh itu semua rahsia Allah.

"Tapi, kalau ditakdirkan kita tidak punya zuriat, jangan sedih pula kerana tidak mampu melahirkan Islam. Itu tandanya Allah mahu kita mentarbiah anak-anak lain supaya mampu mewarisi perjuangan itu. Lihat saja Aisyah R.A. Aisyah sendiri tidak punya anak tetapi lihat bagaimana dia menyampaikan ilmunya pada yang lain selepas ketiadaan Rasulullah S.A.W" kata ukhti itu lagi sambil tersenyum kepada saya. Mungkin dia memahami apa yang bermain difikiran saya ketika itu.

Jauh di sudut hati, saya teringin untuk suatu hari nanti saya mengucapkan kata-kata yang diucapkan Khansa' dengan tenang saat menerima berita syahidnya keempat-empat puteranya di medan jihad

“Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka, dan aku mengharapkan dari Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengar mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!”

InsyaAllah...insyaAllah... moga Allah mengabulkan. Dan saya akan tetap menanti dengan sabar.


Mari lihat muka bayi comel supaya dpt anak comel juga!

We are LAUNCHING!!


Assalamualaikum...


Maybe you have been to Muslim retail shops before, looking for decent Islamic clothing, only to be disappointed by either its lack of availability or by the poor quality and styles of what limited selection there is. We at Ar-Raqaiq believe that you deserve the opportunity to buy quality, stylish garments which meet the requirement of modesty. We found the solution in SHUKR collections and here we bring you the fashionable Islamic clothing that you can wear with pride! SHUKR is a high quality producer of Islamic and modest clothing for women, men and children from Syria. Famous for creating unique designs, SHUKR was the first to introduce contemporary styled Islamic clothing for a new generation. Alhamdulillah... I would like to invite my fellow readers and bloggers to our boutique blog at

http://raqaiqclothing.blogspot.com

-Or-

http://www.facebook.com/raqaiqclothing

The stock that we currently have in our blog now are very limited. (only one or 2 piece per design!) So, HURRY! I already sold one upon the launching few minutes ago! Alhamdulillah! If your really like us and would like to promote on your site or blog, we happily provide you with the banner below. Copy it and LINK US! Jazakallah khayr!



-Khadeeja-







Suatu Ketika...


Catatan di hari ke-4 di bumi Anbia'....

Muhammad awal-awal pagi lagi sudah menelefon minta saya bersedia. Lebih kurang setengah jam selepas jam enam, dia dan Amin tiba di hadapan rumah yang saya tumpangi dengan sebuah teksi yang disewa 80 dinar. Pagi itu kami akan ke bandar Damsyik (atau Damascus dalam bahasa Inggeris dan Dimash dalam bahasa Arab) di Syria, negara jiran Jordan. Matlamat utamanya mahu melawat business partner yang beroperasi di sana dan selain itu mahu bersiar-siar melihat kota tertua yang masih didiami itu. Pagi itu cuacanya tidak sesejuk seperti hari-hari sebelumnya. Dan saya bersyukur kerana cuaca tidak terlalu sejuk kerana sepanjang perjalanan, kerap kali kami terpaksa membuka tingkap bagi mengelakkan asap rokok yang berkepul-kepul dari kerusi pemandu, yang menyesakkan nafas dan mencemarkan paru-paru kami. Kata adik-adik di Irbid, itu memang lazimnya tabiat pemandu teksi di Jordan, kopi dan rokok memang tidak dapat dipisahkan daripada mereka. Perjalanan kami ke Syria mengambil masa kira-kira 2 jam, termasuk masa-masa menunggu untuk urusan visa dan pasport di sempadan. Ada dalam 2-3 checkpoint yang perlu dilepasi sebelum kami selamat merentasi sempadan Jordan-Syria.

Selepas bersarapan pagi, kami melangkah ke Masjid Agung Damsyik atau lebih dikenali sebagai Masjid Umayyad yang terkenal sebagai masjid yang tertua dan terbesar di dunia. Untuk sampai ke masjid itu, pengunjung perlu melalui sebuah pasar yang juga antara yang terpanjang (di dunia?) yang digelar Souk Hamidi. Melewati kedai-kedai di sepanjang bazaar itu sudah tentunya menguji nafsu kewanitaan saya yang gemar membeli-belah. Tambah pula melihatkan jubah-jubah yang sangat cantik dan berpatutan harganya. Belum lagi membelek-belek sarung bantal bermanik-manik dan permaidani, hasil buatan khusus warga Syria. Rambang mata! Muhammad yang mungkin dapat membaca fikiran saya ketika itu cepat-cepat menarik tangan saya supaya berjalan terus, jangan tersinggah-singgah. Entah berapa lama pula masa akan terbuang kalau sudah tersinggah dan memilih-milih. (huhu!)

Salah sebuah kedai di Souk Hamidi

Kredit kpd Amin untuk gambar ini :)

Sampai ke hujung bazaar membawa kami ke sebuah lapangan terbuka dan di situ tersergam pintu gerbang ke Masjid Umayyad. Subhanallah seperti ada suatu perasaan yang menyelinap masuk dalam hati saya ketika itu. Saya membayangkan keadaan masjid itu di zaman kegemilangan Damsyik sebagai ibu kota kerajaan Bani Umayyah. Saya membayangkan bagaimana sibuknya lapangan ini suatu ketika dahulu dengan umat Islam yang berpusu-pusu keluar masuk dari masjid ini yang tentunya menjadi pusat gerakan masyarakat ketika itu. Saya membayangkan saya sedang berjalan di atas jejak kaki para sahabat yang bermati-matian menyebarkan Islam dan membangunkan sebuah empayar suatu ketika dahulu. Masjid ini hanya dibina pada 706 M, lebih kurang 71 tahun selepas kota itu di bebaskan oleh pahlawan Islam, Khalid Al-Walid semasa zaman pemerintahan Umar Al-Khattab (634 M).

Perkarangan Masjid Umayyad

Masjid Umayyad dimulakan pembinaannya pada zaman Khalifah Al-Walid yang menjadi pengganti Khalifah Abd Malik dan mengambil masa 9 tahun untuk disiapkan. Di bahagian solat muslimah ada sebuah binaan menyerupai perigi yang dikatakan sebagai tempat pembatisan Kristian, yang membuktikan tapak masjid ini sebelumnya adalah sebuah Gereja Kristian St. John. Masjid Umayyad yang menjadi simbol kemegahan Kerajaan Islam Bani Umayyah masih tersergam indah di hadapan mata kami, menjadi bukti kehebatan generasi Islam terdahulu. Sungguh apa yang tersergam di hadapan mata saya ketika itu membangkitkan izzah saya sebagai seorang Islam. Walaupun realitinya kini.... di manakah letaknya Islam di mata umat dunia? Masjid ini mempunyai kisah yang lebih baik jika dibandingkan dengan Mezquita de Cordoba di Spain, kerana masih menjadi hak milik orang Islam sedang Mezquita itu sudah bertukar fungsinya sebagai sebuah gereja pada hari ini. Menara yang dahulunya menjadi tempat si muazzin melaungkan azan kini dipasang sebuah loceng besar menandakan Kristian sudah mengambil alih fungsinya.

Hiasan dalaman masjid juga mengagumkan. Ketika kami masuk, seorang sheikh sedang menyampaikan kuliah. Pastinya dalam bahasa Arab yang kurang saya fahami. Di bahagian tengah, ada sebuah kotak kaca hijau besar yang bertulis:


Yang membawa maksud 'Ini ialah makam kepala Nabi Allah Yahya A.S'. Dikisahkan ketika itu, Hirodus Penguasa Palestin, mahu mengahwini anak saudaranya sendiri yang cantik jelita bernama Herodia. Nabi Yahya yang berpegang kepada Kitab Taurat ketika itu, mengeluarkan fatwa yang mengharamkan perkahwinan antara ayah saudara dan anak saudara, lalu fatwa itu tersebar ke segenap pelosok negeri. Herodia tidak berpuas hati dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Nabi Yahya kerana dianggap merosakkan rancangannya untuk bergelar seorang permaisuri raja. Maka dengan kecantikannya itu, dia telah menggoda Hirodus untuk membuktikan kecintaannya kepada Herodia dengan menghadiahkan Herodia kepala Nabi Yahya yang dianggap menghalang cinta mereka. Hirodus yang terpedaya dengan pujukan seorang wanita akur dan mengerahkan orang suruhannya untuk membawa kepala Nabi Yahya kepadanya. Maka wafatlah Nabi Allah Yahya dalam mempertahankan agamanya. Laknat Allah untuk bukan saja Hirodus dan kekasihnya, bahkan untuk seluruh Bani Israel yang telah membunuh nabi-nabi Allah. Di satu bilik lain pula terdiri makam kepala Husin.

Makam Nabi Yahya A.S

Di taman sebelah luar Masjid Umayyad ada makam Salahudin Al-Ayubi, pahlawan Islam yang membebaskan BaitulMaqdis lewat Perang Hittin. Tugu memperingati keperwiraan Salahudin dalam perang itu didirkan juga di hadapan pintu masuk ke kawasan Masjid Umayyad. Salahudin menjadi pemerintah di Damsyik untuk menumpukan perhatiannya kepada wilayah-wilayah di Syria dan akhirnya wafat di kota ini sekitar tahun 1193 M.

Tugu Salahudin Al-Ayubi

Hari sudah semakin lewat, waktu pula semakin suntuk... kami nampaknya perlu bergegas ke Jisreen di mana tempat temu janji kami pada hari itu... Dan pertemuan kami dengan dia di Jisreen membuka lembaran baru dalam hidup kami....insyaAllah..

(bersambung)