Fitnah..

Assalamualaikum wmt wbt..

Kalau kita selalu tengok drama atau filem Melayu.. atau dalam kehidupan kita sehari-hari pun, tentu kita selalu dengar perkataan FITNAH kan? Contohnya macam..

"Tidak bang..itu semua FITNAH semata-mata.. saya tidak bersalah. Saya tidak pernah keluar dengan mamat X" (petikan skrip Cerekarama yang saya tonton semalam)

"Saya mangsa FITNAH.. saya akan saman siapa saja yang bertanggungjawab menyebarkan FITNAH ini" (komen artis Y bila diminta mengulas tentang gossipnya dgn Dato' Z)

Perkataan FITNAH ni diambil daripada Bahasa Arab. Bahasa Melayu kita memang banyak dipengaruhi Bahasa Arab. Mungkin pengaruh kedatangan pedagang Arab zaman dulu yang juga membawa Islam di Tanah Melayu ni. (pandai2 saya jek..) Trend artis-artis di Malaysia sekarang, kalau nak dilihat sebagai membawa mesej Islamik sikit.. nyanyi jek lagu-lagu yang ada selit perkataan Bahasa Arab sikit-sikit. Walaupun lagu yang dinyanyikan tuh takdelah Islamik sangat tapi kalau ada dengar muzik dia ala-ala Arabic disulami dengan beberapa perkataan Arab, mesti masyarakat akan kata..

"Waa..baguslah dia nih..bawak mesej Islam pada masyarakat. Wasssiiinniiiii!!"

Haha~ tiba-tiba teringat suatu insiden, semasa saya masih belajar di Atlantic College. Saya seorang yang selalu studi dengan iringan muzik-muzik ringan yang menenangkan, bagi mengelakkan kebosanan yang akan mendorong saya untuk tidur. Kononnya nak jadikan studi itu lebih berkat saya pun cuba-cubalah dengar lagu Arab untuk elakkan daripada mendengar lagu-lagu lagha. Suatu hari sedang saya sedang studi sambil mendengar lagu Arab dari komputer saya, tiba-tiba masuk seorang kawan saya yang berasal dari Jordan. Dia seorang yang tentunya fasih berbahasa Arab. Haha~ terkejut benar dia mendengarkan lagu yang sedang berkumandang di bilik studi saya. "I never expect a person like you to listen to this kind of song!" katanya. Saya sangkakan, kerana bunyi Arabnya, lagu itu bawa mesej Islamik. Rupa-rupanya kata kawan saya itu bait liriknya kotor dan lagi video clip lagu itu yang ditayangkan di Timur Tengah, memaparkan perempuan seksi sedang menyanyi di dalam tandas!!! Aduss... Sebenarnya kadang-kadang di radio IKIM itu pun ada juga menyiarkan lagu-lagu Arab yang liriknya sebenarnya langsung tidak Islamik dan melaghakan. (Pengajaran: tidak semua yang bunyinya Arab itu Islamik!..*sigh*)

Wah..wah..ape saya melalut kat atas tadi tu. Tujuan utama saya tulis entry hari ni sebab nak cerita pasal perkataan FITNAH tadi. (Mari pulang ke pangkal jalan) Dari contoh konteks ayat yang saya berikan kat atas tu tadi, secara umumnya dari sudut Bahasa Melayu, kita faham FITNAH itu bermaksud suatu berita yang tidak benar (biasanya berita buruklah) tentang seseorang yang membawa keburukan kepada orang tersebut. Tanpa kita sedar sebenarnya penggunaan perkataan FITNAH dalam Bahasa Melayu kita sehari-hari itu telah mengubah makna sebenar perkataan FITNAH itu.

Masa usrah semalam barulah saya faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan FITNAH tu. Kalau kita tengok asal-usul perkataan FITNAH tu.. ia merujuk kepada perbuatan si tukang besi yang 'membakar' atau 'masuk'kan logam ke dalam api untuk memisahkan logam itu dengan 'impurities'nya. Mengikut buku yang kami kupas semalam, seorang dai'e yang mahu menegakkan kebaikan, salah satu daripada ciri-cirinya adalah menjauhkan diri daripada FITNAH. FITNAH itu juga sebenarnya membawa maksud UJIAN yang melalaikan kita dari prioriti. Faham tak? Contoh mudah.. buat masa sekarang ni YOUTUBE tu adalah FITNAH terhadap saya sebab dia melalaikan saya daripada prioriti saya sekarang iaitu belajar bersungguh-sungguh untuk peperiksaan saya minggu depan. (huk..semalam saya membazir masa sejam setengah tengok Cerekarama kat YOUTUBE) Seorang yang mahu menegakkan kebaikan perlu jauhkan diri daripada apa saja yang melalaikan dia daripada prioriti utamanya iatu mengajak orang lain kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Kalau dianalogikan asal-usul perkataan FITNAH tu dalam konteks seorang da'ie, FITNAH tu saya rasa macam proses saringanlah. Dalam dunia sekarang yang serba kelabu asap dan dah tak nampak hitam putih ni, kita tak dapat mengelak daripada FITNAH-FITNAH ini. Kita cubalah sedaya upaya untuk jauhkan diri daripada FITNAH tapi kalau ditakdirkan kita perlu juga menghadapi FITNAH, kita lihat pula macam mana kita menghadapinya. Si tukang besi memasukkan logam yang penuh disaluti impuritites tuh ke dalam api yang marak untuk mendapatkan logam yang paling tulen dan berharga. Sebab key properties logam itu yang memang tak akan terjejas dengan panasnya api itu maka dia akan preserve sampai ke akhir proses itu tapi impurities yang tak diperlukan itu akan hilang/teroksida apabila dibakar lama. Ke akhir proses, kita akan dapat logam berharga yang kita idamkan walaupun logam tu terpaksa melalui proses yang 'menyakitkan' dengan panasnya api tuh. (Waah.. berguna jugak ilmu Earth Resource yang saya sedang baca untuk exam ni). Saya tak tau la kamu semua faham ke tak analogi yang bermain-main kat kepala saya ni..

Jadi nampak tak apa yang saya cuba umpamakan? Seorang dai'e yang baik dan mantap akan menghadapi FITNAH terhadap dirinya dan kerja dakwahnya dengan sabar dan tidak akan terjejas sedikit pun dengan FITNAH tersebut. Walau dilanda apa-apa FITNAH pun, kualitinya sebagai seorang pendakwah yang mengajak kepada kebaikan akan terus kekal dan kualiti itulah sebenarnya yang mengekalkannnya. Tapi kalau seorang itu hanya menyatakan dia mahu mengajak kepada kebaikan tetapi bila dilanda FITNAH dia hanyut dan kalah mungkin kerana dia memang tak ada ciri-ciri yang mampu mengekalkan dia dengan matlamat asalnya itu tadi itu tadi atau ciri-ciri kekuatan itu hilang di tengah jalan. Dan FITNAH itu sendiri sememangnya 'menyakitkan'lah bagi orang yang menghadapinya. Walaupun kadang-kadang orang tu tak sedar dia dilanda fitnah dan asyik dalam fitnah tuh.

Kalau fitnah yang kita maksudkan dalam Bahasa Melayu itu, sebenarnya lebih tepat dengan perkataan 'buhtan' dalam Bahasa Arab...

Dalam sebuah hadith, Rasulullah SAW pernah bertanya kepada para sahabat: "Tahukah kamu apa itu mengumpat?" "Tidak," jawab sahabat. Balas baginda, "Mengumpat adalah apabila kamu menyebut tentang kawan kamu apa yang dibencinya" Para sahabat bertanya lagi, "Bagaimanakah jika sesuatu yang disebutkan itu ada padanya?". Jawab Rasulullah SAW, "Itulah maksudnya mengumpat." Nabi berkata lagi, "Kalau kamu menyebut apa yang tidak ada padanya, itu adalah buhtan" (Riwayat Tirmizi)

Jadi FITNAH dalam konteks Bahasa Melayu kita diistilahkan di sini sebagai 'buhtan', berbeza dengan dimensi FITNAH dalam ayat-ayat al-Quran. Di mana FITNAH dalam ayat-ayat Al-Quran lebih merujuk kepada maksud yang lain yang saya nyatakan sebelum ini. Jadi sebab itu antara cara nak untuk tadabbur dan faham al-Quran dengan baik ialah dengan belajar Bahasa Arab. Kadang-kadang kita boleh jadi keliru kalau baca terjemahan al-Quran dalam bahasa kita sendiri sebab boleh lari maksudnya. Belajar Bahasa Arab tu kan salah satu syiar Islam. Jadi marilah sama-sama kita join KIBAR 2007 cuti musim panas ni. Best woo!! (iklan kejap)

Waah..lama pulak saya berblogging di musim-musim exam ni. Baik-baik.. saya perlu berhenti sekarang sebelum blog nih menjadi FITNAH kepada saya..hukhuk! Saya menulis berdasarkan kefahaman saya daripada usrah dan pembacaan, jadi kalau ada silap dan salah tolooonglah (minta tolong sangat2 ni) betulkan ya? Hantar email ke..tinggal mesej ke..komen ke..ape2 jek la. Saya budak baru belajar.. Wallahualam..




Nilai

Salaam..

Malam ini saya sedang duduk di meja studi sambil cuba menghadamkan nota kuliah dan bacaan dari buku rujukan. Tak dapat tumpu perhatian.. Saya memang selalunya begini. Maksimum attention span saya dalam melakukan sesuatu pekerjaan paling lama pun hanya sejam. Selepas itu saya akan mula bosan dan mula berfikir mahu buat kerja lain. Lalu saya jenguk-jenguk tetingkap Y!M. Saya memang suka baca status orang.. kalau boleh di click saya click pada link status itu. Ada satu status yang menarik perhatian lalu saya click pada baris ayat berwarna biru itu.. dan membawa saya ke tetingkap baru.

Rupanya di'link'kan ke blog Saifulislam. Blog yang sudah sekian lama tidak berkesempatan saya membukanya.. entry bertajuk Kenapa Mahu Jadi Doktor? Ahh..rasanya tiada kaitan dengan saya. Saya mahu jadi orang minyak..bukan mahu jadi doktor. Tidak relevan.. maka hampir saja menekan tanda pangkah mahu menutup tetingkap itu sebelum mahu mula studi semula. Tapi saya fikir apa salahnya kalau saya baca hingga habis. Saya pun mahu tahu kenapa orang mahu jadi doktor sebab dahulu pun saya sangat kepingin mahu jadi doktor.. tapi tak kesampaian.

Rupanya 2/3 bahagian akhir artikel itu sangat berkaitan dengan diri saya sendiri..
_________________________________________________________
PERSOALAN NILAI

Kuliah kali ini adalah tentang nilai. Apa nilai yang dibawa dalam sebuah pekerjaan? Dalam sebuah kehidupan.

Jika seorang isteri mengungkit di hadapan suami, bahawa kerja rumahnya, kerjanya ’melayan suami’, tidak mungkin mampu dibalas walaupun dengan bayaran RM2000 sebulan, maka nilai apakah yang ada pada dirinya? Saya tidak bermaksud membela lelaki yang tidak tahu menghargai isterinya, tetapi dalam kes ini, si perempuan itu sudah menjatuhkan dirinya.

Hanya ‘bibik’ sahaja yang buat kerja rumah untuk duit. Maafkan saya, hanya pelacur sahaja yang meletakkan harga pada layanannya terhadap seorang lelaki.

Seorang ibu membuat kerja rumah kerana NILAI KASIH SAYANG. Seorang isteri juga melakukan apa yang ia lakukan atas NILAI KASIH SAYANG. Maka tanpa kasih sayang, perkahwinan adalah beban. Malah sumber kebencian.

Menentukan nilai, sebagai pendorong kita melakukan sesuatu adalah sangat penting. Nilai itu akan mencorakkan tingkah laku kita terhadap pekerjaan yang kita lakukan.

NILAI DUIT

Kalau pekerjaan diukur dengan nilai wang, maka kita akan berhadapan dengan banyak masalah, walaupun wang berjaya diperolehi.

Sekarang ni sudah menjadi satu trend kepada dua industri, kalau boleh saya katakan industri. Yang pertamanya adalah industri perubatan, dan yang keduanya, industri berkaitan petroleum. Trend yang saya maksudkan di sini, adalah perpisahan di antara seorang suami atau isteri dengan pasangannya, serta anak-anak, kerana prospek kerjaya dan desakan nilai wang itu tadi.

Sudah menjadi kebiasaan, pasangan yang sudah berumahtangga, berpisah sementara (bukan calang-calang sementara) demi melepaskan isteri yang bekerja sebagai jururawat di luar negara, khususnya di negara Teluk. Begitu juga dengan mereka yang terbabit dengan industri petroleum, bekerja di negara Teluk dan Afrika, menyahut saranan majikan untuk meningkatkan kerjaya dan pendapatan dengan berhijrah ke negara yang menagih kepakaran kita. Ia hebat, menggiurkan… tetapi output daripadanya merunsingkan saya.

Itu, belum lagi dikorek kisah suami di Johor, isteri di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur.

Trend ini berlaku dan merebak di dalam masyarakat, dan saya ditakdirkan Allah bertemu dengan outputnya. Saya bertemu dengan anak-anak remaja, yang ayah mereka pulang ke Malaysia 4 kali setahun. Saya bertemu dengan kes, suami main kayu tiga ketika isteri meninggalkannya gersang setahun di tanah air. Saya juga bertemu dengan kes isteri yang mem’poligami’kan suaminya dengan bersuamikan orang lain semasa di perantauan. Dan kes-kes ini membiak dari semasa ke semasa. Tidak pernah menjadi tajuk berita.

Tentu sahaja, hasil kewangan dari kenaikan pangkat dengan bekerja jauh dari pasangan dan anak-anak, boleh mengubah nasib keluarga. Tetapi perubahan itu apakah ke arah positif atau negatif? Maka yang dikejar dalam sebuah rumah tangga dan perkahwinan, apakah boleh disandarkan pada nilai material?

NILAI - HARGA - KORBAN

Nilai berkadar terus dengan harga. Tinggi nilai, tinggilah harga. Tinggi harga, banyaklah korban dan pengorbanan yang diperlukan bagi mendapatkannya. Untuk bekerja dengan gaji RM10,000 sebulan, apakah harga yang perlu dibayar untuk nilai material RM10K itu? Kehancuran rumah tangga, kepincangan emosi dan identiti anak-anak, dosa… itulah harga yang mungkin perlu dibayar untuk nilai material yang dijadikan asas bekerja.

Anak-anak yang mewah dengan nilai material ini, gersang dan menderita pada nilai kasih sayang dan perhatian ibu bapanya. Sering saya ulang, ’mereka adalah generasi yang kesunyian’.
Jangan terkejut, dengan hanya 3 hari perkenalan, seorang remaja boleh menjadi mangsa lelaki yang berniat jahat. Mengapa begitu mudah? Lelaki itu memberi sesuatu yang tiada diperolehi remaja tersebut di dalam keluarganya iaitu KASIH SAYANG dan PERHATIAN.

Malam ini saya mahu pelajar-pelajar yang hadir ke kuliah ini, melatih diri mereka dengan tabiat ”Begin With the End in Mind”. Lihatlah apa yang menanti di hujung perjalanan mereka sebagai seorang doktor perubatan.

TENTUKAN NILAI SEAWAL PERJALANAN

Maka, semenjak mereka di bangku pengajian, soal nilai yang ingin dibawa pada kerjaya di masa hadapan, mesti ditentukan.

Anda boleh mengambil sikap tidak mengendahkan hal ini, bekerjalah selagi mampu, kejarlah habuan material yang dikejar selama ini, tetapi anda perlu meneliti harga yang perlu dibayar. Perhatikan di mana korbannya? Harga dan korban itu mungkin rumah tangga, mungkin pesakit, dan yang paling besar, mungkin sistem itu sendiri.

Hati saya amat terhiris, mendengar kawan-kawan saya dan isteri, mengeluh tentang satu demi satu penceraian yang menimpa pasangan doktor. Sama ada kedua-dua suami dan isteri itu doktor, atau salah seorang daripada mereka.

PROVOKASI DEMI MASA DEPAN

Atas provokasi inilah, saya mengajak adik-adik di bangku pengajian perubatan, untuk menyemak hubung kait bidang ini dengan Tujuan Hidup mereka. Kenang kembali siapa mereka di alam ini? Kenal diri, dan kenallah Ilahi.

Kita sebagai hamba Allah, menjaga tali kita dengan Dia yang disembah. Yang diabdikan diri kepada-Nya. Ia hablun minaLlah.

Kita sebagai khalifah, menjaga tali kita dengan manusia ciptaan-Nya, kerana kita ditugaskan menjadi saluran kebaikan-Nya ke alam ini. Ia hablun minannaas.

Buat baik kepada sesama manusia, boleh dengan sedekah, boleh dengan memimpin tangan si buta di pinggir jalan. Namun sedekah hanya sekali sekala, orang buta bukan setiap hari kita jumpa. Jalan kebaikan yang paling utama, adalah pada menjadikan kerja sebagai ibadah. Memberi kebaikan kepada manusia, melalui pekerjaan yang dikurniakan Allah kepada kita.

JIKA KERJA JADI IBADAH

Jika kerja jadi ibadah, CEO kita adalah Allah. The unsung hero beroleh quwwah, untuk terus membuat kebaikan, biar sekecil mana pun di mata insan.

Jika kerja jadi ibadah, ia jalan Taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, kerja dibuat sebaik yang upaya.

Jika kerja jadi ibadah, biar sempit jalan KEPERLUAN, asalkan luas perjalanan mencapai TUJUAN.

Ubah paradigma, betulkan nilai pada kerja.

Teruskan cita-cita kalian menjadi doktor. Ia cara terbesar, kamu zahirkan syukur kepada-Nya.

Kita hamba-Nya, kita Khalifah-Nya.
_________________________________________________________

Ke akhir bacaan saya.. pipi saya basah. Saya menangis entah mengapa. Mungkin hati kalut dan saya mula kecut perut. Mampukah nantinya saya memberi nilai pada sebuah perkongsian itu? Atau paling kurang pun bernilaikah saya sebagai manusia jika hampir seluruh masa, tenaga dan fikiran dikerah dan dicurah untuk habuan empat angka saban bulan? Kadang-kadang saya cuba menjustifikasikan diri. Cuba meyakinkan bahawa semuanya yang saya lakukan kini dan nantinya Lillahi ta'ala.. tetapi saya masih buntu. Kadang-kadang saya rasakan hidup saya sebenarnya telah secara tidak sengaja telah saya jualkan dengan sebuah tandatangan di atas sekeping kontrak lebih kurang 3 tahun yang lampau.

Seorang gadis yang baru sahaja tamat sekolah.. baru lewat usia 17 tahun.. yang sangat berkeinginan membela nasib keluarganya... hingga sanggup menerima sebuah tawaran lumayan meski terpaksa menguburkan sebuah cita-cita yang sejak dari dulu dia impi. Ketika itu fikirnya minat itu boleh dicambah..yang penting perlu rebut peluang ini..bimbang tidak ada lagi peluang yang lain. Lucunya ketika itu dia masih belum pun ada tandatangan sendiri. Lalu dimintanya abah menciptakan sebuah tandatangan untuknya (yang masih digunakan hingga kini). Diterima tawaran itu tanpa sebarang perasaan .. niatnya cuma satu ketika itu.. mahu bantu ayah ibu.

Seiring dengan masa yang berlalu saya kenal prioriti hidup.. saya tahu apa mahunya hati saya ini sebetul-betulnya. Saya tahu apa kecenderungan dan minat saya kini.. Namun sudah terlambat. Saya terlupa hidup itu sudah saya jualkan dahulu.. Apa lagi pilihan yang saya ada untuk diri saya sendiri? Masa depan untuk lebih kurang 12 ke 15 tahun dari sekarang sudah di dalam genggaman orang. Mereka berhak mengaturkan kerana mereka sudah 'membeli' saya dahulu. Mahu lari? Mahu lepaskan diri? Fikirkan pula mereka yang berharap di sana..mereka yang akan menanggung kesan jika saya melanggar perjanjian jual beli itu... Kata mereka saya amat beruntung kerana masa depan sudah terjamin. Kilauan cerahnya sudah kelihatan pun sekarang. Tetapi yang tidak tampak pada mereka ialah hati saya yang menjerit. Saya amat ingin lakukan sesuatu yang saya akan gembira melakukannya. Melakukan sesuatu dengan rela hati.

Astaghfirullah jauh benar saya larut dengan kekalutan hati saya. Saya lupa sebentar ada kuasa lebih besar di sana. Yang berhak dan berkuasa mengaturkan segalanya. Tiada yang lebih baik daripada apa yang telah terjadi. Bukankah sejak dari saat 'jual beli' itu sehingga sekarang sudah banyak nikmat yang saya kutip? Yang jika tidak kerana 'jual beli' itu mungkin saya tidak akan bertemu dengan nikmat yang saya kecapi kini. Sepanjang perjalanan yang penuh paksa itu saya ditemukan dengan jual beli yang lebih menguntungkan..

"Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurag untuk mereka" (At-Taubah:111)

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Yaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan jiwamu. itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui" ( Ash-Shaff: 10-11)

Dan sepanjang perjalanan itu menemukan saya dengan pengalaman yang berharga.. mengenalkan dengan insan-insan yang memberi makna dalam hidup. Saya berkenalan semula dengan deen ini yang saya kira sudah saya kenal dahulu. Astaghfirullah saya tidak layak berkeluh-kesah.. Allah Maha Mengetahui. Jika benarpun mereka berhak menentukan jalan hidup saya selepas ini.. segalanya tidak akan berlaku jika tidak dalam rencana Allah itu sendiri. Jika benar pun hidup saya mengikut acuan yang mereka tetapkan makanya itu tarbiyah dan ujian untuk saya.. dan ujian untuk sesiapa saja yang terkesan dengan aturan hidup saya. Kerana saya tahu hidup ini satu jalinan yang kompleks. Saya tahu saya tidak berdiri sendiri-sendiri. Segala apa yang terjadi ke atas diri saya.. segala apa yang saya lakukan.. akan memberi kesan.. akan memberi nilai pada yang lain.

Saya cuba mencari nilai..dan dengan harga apa perlu saya bayar untuk nilai itu...

Dan seperti kamu juga.. dalam gusar... saya redha dengan perjalanan yang ditetapkanNya untuk hidup saya...

Moga tidak dengan 'jual beli dunia' itu melalaikan saya dari tanggung jawab dan kewajipan terhadap pemilik mutlak diri saya.. Allah SWT... yang telah menjanjikan saya sesuatu yang lebih menguntungkan.. insyaAllah..amiin.

Generasi Fantasi


Salam aleik..

Baru sudah makan tengahari bersama keluarga. Duduk berehat-rehat sebentar sambil menonton televisyen di ruang tamu. Menonton ulangan Akademi Fantasia kerana ada ahli rumah yang terlepas siaran langsungnya malam tadi kerana pulang lewat dari tempat kerja. Mahu tukar siaran lain pun tak boleh.. lepas ulangan siaran langsung ini adik mahu tonton Diari Akademi Fantasia pula. Uuh..saya bosan. Tidak boleh suka-suka ambil alat kawalan dan tukar siaran. Perlu ikut kata majoriti yang ingin menonton hari itu. Kalau tidak suka perlu cari alternatif lain untuk hilangkan kebosanan.

Lalu saya keluar ke halaman rumah saya yang kecil itu. Ada adik perempuan saya yang kecil di situ bermain bersama beberapa orang rakannya yang lain. Saya lihat adik perempuan saya sedang menulis di papan putih sambil rakannya yang lain khusyuk menyalin. Waah.. seronoknya main cikgu-cikgu. Teringat zaman saya kecil-kecil dahulu. Main cikgu-cikgu ni bagus tahu? Sambil bermain boleh ulangkaji pelajaran sekali. Yela..mahu berlakon jadi cikgu perlulah ada sedikit ilmu. Mahu tak mahu kena baca buku. Saya cuba baca apa yang ditulis adik saya di papan putih itu. Wah..hari ini dia jadi cikgu Bahasa Melayu, kerana nampak yang ditulisnya itu seperti sebuah puisi. Maju betul..saya dulu kalau main cikgu-cikgu hanya tahu tulis sifir dua di papan hitam dan kemudian kawan-kawan ikut menghafal. Selesai menulis dia ajak kawan-kawan sama membaca. Hairannya mereka boleh baca dengan lancar siap berlagu. Adeh.. saya silap! Itu bukan prosa puisi kajian sastera rupanya lirik lagu Elegi Sepi. Rupanya mereka cuba tiru-tiru kelas vokal seperti yang mereka lihat dalam Diari AF. Siap ada sesi latihan mengeluarkan suara dari perut dan membetulkan bukaan mulut supaya lontaran suaranya bagus. Belum masuk step tarian Menuju Puncak yang memang mereka ingat satu persatu.. Aduh..

Saya risau... amat risau. Sedar atau tidak rancangan seumpama itu umpama racun yang membunuh dalam diam generasi adik-adik kecil itu. Mungkin kesannya tidak kelihatan secara langsung sekarang. Tetapi akibatnya mungkin akan kita lihat sepuluh tahun dari sekarang. Apabila generasi itu membesar dan memegang kepimimpin negara. Tanpa kita sedar rancangan seumpama itu umpama gerakan halus yang menanam doktrinasi nilai yang banyak bercanggah dengan syariat Islam malah mungkin adat ketimuran kita. Tanpa kita sedar kita sedang dalam proses merosakkan satu generasi! Suatu kerosakan yang mungkin terlalu lambat untuk dibetulkan ketika itu.

"Ah..kecohlah kamu minah.. Rilekla.. kamu ni terlalu idealistik..macam plastik! Tonton seronok2 saja apa salahnya. Yang baik kita ambil yang tak elok kita buang. Takkanlah sebab rancangan ni boleh rosak umat kot..."

Aduh.. Sedang kita yang kononnya sudah tahu memisahkan baik buruk ini pun kadang-kadang larut dalam hedonisme yang jadi ramuan utama rancangan ini, apatah lagi adik-adik kecil yang baru mahu kenal dunia itu. Adik-adik itu mungkin berfikir tidak salah untuk lelaki dan perempuan yang bukan mahram tinggal serumah, makan bersama dan bergurau senda bertepuk tampar tanpa sebarang batas kerana itulah yang mereka saksikan setiap hari dalam Dairi AF. Hidup sehari-hari dengan segala keseronokan.. segalanya berpaksikan hiburan. Sepanjang hari dihabiskan belajar menyanyi, membetulkan langkah tarian dan menambah penghayatan lagu seolah-olah tiada perkara lain yang lebih penting untuk difikirkan. Kalau ada pun kedukaan di AF mungkin kerana tertekan apabila tidak mampu menghafal lirik atau dapat lagu yang bukan kegemaran untuk konsert minggu itu. Kalau sahabat seusia kita di Palestin menangis kerana kehilangan ahli keluarga, pelajar AF menangis kerana sahabat mereka terkeluar di malam konsert. Tenaga, masa, fikiran dan kerisauan belia di AF ditumpukan untuk menghasilkan yang terbaik di malam konsert.
















Seingat saya sepanjang saya pernah menjadi peminat setia dan dungu rancangan itu, tidak pernah sekali pun ditayangkan pelajar-pelajarnya yang majoriti Melayu beragama Islam (berdasarkan nama yang ber'bin' dan 'binti' itu) solat jemaah bersama-sama apabila tiba waktu solat. Tidak cukup itu ada antara pelajar-pelajarnya yang digandingkan dan digossipkan lantas tersipu-sipu malu apabila digiat pengacara berambut perang di malam konsert. Dan adik-adik yang kecil ini akan terus setia menonton dengan penuh khusyuk fantasi-fantasi yang dimainkan di kaca televisyen mereka. Tanpa ada sesiapa pun yang menerangkan yang mana salah dan yang mana betul. Tidak dari si pengacara berambut perang atau pun ahli keluarga sendiri yang sama-sama menonton. Lantas mereka mungkin menerima segalanya bulat-bulat sebagai suatu nilai yang benar kerana dibenarkan oleh masyarakat dan semua di sekeliling mereka. Lalu apabila timbul masalah sosial remaja, semua mahu bising-bising mencari punca. Sedang punca yang besar dan jelas sekali merosakkan itu tidak langsung dipandang malah terus-terusan sahaja disiarkan hingga sudah beberapa musim pun kini.


Terbaca petikan berita Utusan Malaysia semalam (30 April) yang saya klik di status Y!M sahabat saya semalam. Aduh.. pemimpin negara kita sendiri rupanya sudah hanyut dengan kemelut hedonisme Akademi Fantasia. Dalam banyak-banyak permasalahan negara, isu akademia fantasia yang lebih mahu difikirkan. Sedang diluar sana angka 886 dari 887 itu mungkin sudah meningkat, gejala murtad yang makin menjadi-jadi pun belum selesai dan banyak lagi isu lain yang lebih berkeutamaan.. masih pula ada masa untuk merasa kecewa kerana pelajar kegemaran tersingkir..

______________________________________________________
MB Pahang komen tentang AF

KUANTAN 30 April – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut tertarik dengan perkembangan Akademi Fantasia (AF), menganggap peminat membuat tindakan tidak bijak apabila tidak mengundi penyanyi berbakat iaitu Muhammad Aizat Amdan (Aizat).

Adnan berkata, beliau memberikan sokongan kepada peserta AF5 berkenaan serta seorang lagi yang masih bertahan, Dafi kerana kedua-dua mereka adalah dari Pahang.

Namun beliau kecewa kerana masyarakat tidak memilih kedua-dua peserta berkenaan yang disifatkannya amat berbakat.

“Itulah... peminat kurang bijak apabila tidak mahu mengundi mereka,” katanya pada majlis makan malam anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB), di sini malam tadi.

Adnan berkata, beliau tidak pernah meminati program AF sebelum ini dan sokongannya kali ini adalah atas usaha membantu kenalan semata-mata.

“Bapa Aizat adalah bekas murid saya dan dia minta saya berikan sokongan, jadi sekarang ini mana saya pergi saya kempen sekali,” katanya.

Kata Adnan, beliau sebelum ini tidak pernah menonton AF apatah lagi mengundi, tetapi kehadiran dua anak Pahang menarik minatnya
________________________________________________________

Haih... apa sudah mahu jadi Malaysiaku?

(bersambung di entry akan datang..)