Denting Tangisan Mezquita

Sambungan catatan saya di hari ketiga di bumi Andalus..Cordoba

Masjid Cordoba dari pintu gerbangnya

Pagi itu awal2 pagi lagi kami sudah keluar dari tempat penginapan kami. Mahu tiba di Le Mezquita Cordoba (Masjid Cordoba dalam bahasa Spanish) seawal jam 8.30 pagi kerana dikatakan tiada bayaran untuk pengunjung yang datang sebelum jam 10 pagi. Mezquita cantik tersergam..pohon-pohon limau membarisi jalan sepanjang dari gerbang ke pintu masuk. Terbayang pula keadaannya di zaman kegemilangan Islam dahulu. Besarnya Mezquita bukan di bina untuk bermegah-megah..tetapi di bina atas pratikaliti. Keluasan asalnya sebenarnya hanya 20% daripada apa yang kita lihat sekarang. Mezquita lambang pesatnya Islam berkembang... 4 kali mengalami pertambahan keluasan kerana tidak mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah. Subhanallah.. terbayang bagaimana sibuknya Mezquita ketika itu..nadi kegiatan umat Islam di kota Cordoba sejak Islam bertapak di situ dengan kedatangan Abdul Rahman I pada tahun 784 M.

Tidak sabar mahu menikmati keindahan dalam masjid yang pernah menjadi masjid terbesar di dunia itu.. kami bersegera ke pintu masuk tetapi ditahan dua orang pengawal berbadan tegap berpakaian serba hitam di pintu. Kami tidak dibenarkan masuk sehingga jam sepuluh pagi malah perlu pula beratur membeli tiket berharga 8 euro! Alasannya kerana kami terlalu ramai jadi di kira sebagai pelawat berkumpulan. Bimbang jika kami dibenarkan masuk akan mengganggu orang-orang Kristian yang sedang ber'ibadah' di dalam ketika itu, menurut mereka. Kecewa benar saya kerana berpenat sahaja kami bergegas seawal pagi mengejar peluang masuk percuma ke Mezquita.. terpaksa pula menunggu sejam lebih di halaman masjid itu. Marah? Sedih? Bayangkan perasaan seperti anda dihalang masuk ke rumah sendiri kerana bimbang menggangu penceroboh yang sedang menggunakan kemudahan di dalam rumah anda. Perlu pula membayar cukai di pintu rumah sebelum dibenarkan masuk. Ya Allah..agaknya beginilah perasaan umat Islam ketika dihalang masuk ke rumah Allah ini saat kota mereka dijajah Kristian.

Bekas menara azan


Tidak mahu membuang masa kami berkumpul sambil mendengar pengisian dari ameerah jaulah kami di halaman masjid sementara menanti jam sepuluh. Cerita kegemilangan khilafah Islam di Kota Cordoba sehingga zaman kejatuhannya... Masing-masing khusyuk mendengar saat loceng besar di puncak menara tiba-tiba berdenting berkali-kali. Saya memandang ke puncak menara itu... di mana dahulunya di situlah muazzin melaungkan azan.. Allahuakbar! Memanggil umat Islam, menunaikan kewajipan kepada Allah. Dan loceng itu terus berdenting dengan dentingan yang menyesakkan dada saya... Dentingannya yang seolah-olah mengejek mentertawakan.. Tanpa sedar air mata saya mengalir... Sedih pada hakikat kekalahan ini. Tersedar akan hikmah apa yang terjadi kepada kami pagi itu. Diberi peluang oleh Allah mengalami dan menghayati suatu perasaan kehilangan. Mungkin jika mudah-mudah sahaja kami diberi masuk pagi itu..saya tidak berkesempatan merasai perasaan seumpama ini. Pasti lawatan saya hanya lawatan yang kosong..


Tapak tinggalan Medina al Zahra


Mezquita kami tinggalkan sebentar kerana mengejar masa ke Medina al- Zahra, 5km dari pusat bandar Cordoba. Medina Al-Zahra tidak ubah seperti bandar ideal Putrajaya di Malaysia di mana segalanya ada di sini. Pusat pemerintahan khalifah yang dibina selepas lapan tahun Abd Rahman III mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah pada tahun 929 M. Mengapa al-Zahra? Kerana katanya di bina untuk seseorang wanita bernama Azzahra..betul atau tidak Wallahualam... Allah lebih mengetahui . Tetapi Medina al-Zahra pada saya lambang kemakmuran khalifah Islam ketika itu. Di situlah pusat pentadbiran..dan sebuah masjid yang dikatakan hanya mengambil masa sebulan untuk disiapkan di bina. Medina al Zahra hari ini hanyalah runtuhan2 bagunan setelah beberapa kali melalui peperangan demi peperangan dalam abad ke 11. Berdiri di puncak tertinggi yang melihatkan keseluruhan kawasan bandar lama di kaki pergunungan Sierra Morena itu.. dapat kami bayangkan indahnya Medina al Zahra semasa sempurnanya. Tetapi saya tidak dapat menghayati sepenuhnya Medina al Zahra kerana mungkin hati saya masih tertinggal di Mezquita yang belum berjaya kami masuki pagi tadi. Tidak sabar mahu kembali ke pusat bandar Cordoba.

Selepas Zuhur kami kembali di Mezquita.. MasyaAllah di dalamnya lebih indah. Masih lagi kelihatan seperti sebuah masjid kecuali dengan chapel-chapel yang dibina sepanjang dindingnya dan dua bahagian dewan solat yang ditukar sebagai kawasan gereja utama. Cantuman batu bata merah putih membentuk gerbang-gerbang indah masjid itu. Bukan binaan yang sia-sia kerana fungsinya membalikkan bunyi agar suara imam kedengaran jelas di setiap pelosok masjid yang luas itu, menggantikan teknologi pembesar suara yang kita miliki hari ini.

Terus sahaja saya menuju ke mimbar yang masih dikekalkan binaannya. Sungguh, mimbar itu masih indah seperti dahulu.. dihiasi ukiran ayat al Quran. Cuma mengapa mereka masih mengekalkannya masih menjadi tanda tanya dalam fikiran saya.. Jika benar bencinya mereka kepada agama ini mengapa tidak dihapuskan terus kesan-kesan Islam di sini. Mungkin kekalnya mimbar itu..malah menara muazzin di luar sebagai tanda penghinaan untuk Islam. Supaya dunia tahu pernah wujud Islam di situ tetapi berjaya mereka kalahkan. Marah yang wujud di hati dengan keangkuhan mereka semakin bernyala dengan lukisan yang dipamer di suatu ruangan Mezquita... suatu penghinaan hebat untuk agamaku


Jelas dilukiskan gambar orang Islam yang tunduk sujud kepada pemerintah Kristian yang berdiri angkuh dengan hebat angkatan tentera di belakangnya.. saat penyerahan kunci kota tanda kekalahan Islam..disaksikan dan direstui kononnya oleh malaikat mereka di atas awanan. Kebetulan ketika itu sekumpulan pelawat Jepun barangkali berkumpul di hadapan lukisan itu sambil pemandu pelancongnya menerangkan sesuatu tentang lukisan itu dalam bahasa Jepun. Terangguk-angguk mereka mendengar omelan si pemandu pelancong di hadapan. Apa lagi ceritanya melainkan tentang kekalahan Islam seperti yang tergambar di situ... mahu saja saya mencelah di hadapan. Benar Islamku kalah di bumi Andalus ini tetapi mana mungkin kami tunduk sujud seperti itu? Tidak! Sujud kami hanya pada Allah yang satu..

Marah itu wujud dalam diri saya..tetapi kata seseorang saya tidak patut marah. Mana-mana kerajaan pun yang menakluk sesuatu kawasan akan menunjukkan kekuasaan mereka di tempat taklukan mereka. Dengan apa cara sekalipun kekuasaan itu perlu ditunjukkan. Dan itulah yang kerajaan Kristian lakukan saat berjaya menakluk Cordoba. Dengan menukar masjid kebanggaan umat Islam itu menjadi tempat ibadah mereka. So morally their action is justified? Malah katanya itu juga yang dilakukan Islam saat berjaya menakluk Cordoba. Tapak asal Masjid Cordoba itu pada mulanya merupakan kuil milik orang-orang Roman. Apabila Empayar Rom jatuh, pemerintah ketika itu telah menggantikannya dengan sebuah gereja Kristian. Datangnya Islam sebahagian gereja itu dijadikan masjid tempat umat Islam beribadah. Hasil perluasan kawasan masjid itu menyebabkan sebahagian kawasan gereja terpaksa diambil. Tetapi Islam melakukannya dengan menghormati hak mereka. Kawasan yang diambil untuk perluasan masjid itu dibayar dengan harga tertentu yang dikatakan dengan jumlah itu mereka malah mampu membina sebuah gereja yang baru. Islam tidak merampas..Islam tidak menghina. Tetapi mereka merampas.. mengambil hak kita dan mengubahnya sesuka hati mereka. Tidak cukup dengan itu ditambah dengan penghinaan untuk disaksikan dunia. Maka tidak wajarkah kemarahan saya? Marah kerana cinta bukan kerana benci.. Marah saya berasas kerana kecintaan saya dipijak dan dihina bukan kerana saya bencikan mereka. Marah yang membina semangat untuk bangkit dan berjuang bukan marah yang membawa kerosakan dan persengketaan.

Gereja di kiri dan kawasan masjid yang masih kekal di kanan


Mezquita mungkin masih seperti dahulu..menjadi kunjungan dan tumpuan ramai. Tetapi tempat yang pernah menjadi tempat manusia berkumpul untuk sujud kepada Allah sekarang menjadi tempat manusia menyekutukan Allah.. Dua kontras berbeza yang tidak mungkin bersatu.. antara keimanan dan kekufuran. Loceng diluar terus berdenting... dan hati ini terus menangis.. selagi belum ada pahlawan Islam membela maruah yang tercalar dan menegakkan Islam di bumi ini. Jangan menunggu dan mengharapkan sesiapa kerana bumi ini menanti diri aku sendiri untuk membela nasibnya..

Catatan dari Al-Hambra


Lorong ke Istana Al Hambra semangnya sangat indah dan mendamaikan..tetapi hati saya bergolak dengan bauran perasaan. Antara kagum dan 'izzah dengan peninggalan agung kerajaan Islam yang suatu masa dahulu pernah bertapak di bumi Andalus ini dan perasaan sayu yang membaluti sejarah kejatuhannya.

Ke mana-mana sahaja langkahan saya di dalam istana indah itu..mata pasti tertancap pada ukiran-ukiran ayat Al Quran yang terukir indah di dindingnya. Wa La Ghalib Ilallah..terukir di mana-mana. Kerajaan Islam di Granada ketika itu terpaksa bersekongkol dengan Ferdinand III menawan kota Seville kerana perjanjian feudalisme yang terpaksa ditandatangani demi keselamatan rakyat. Granada bukan lagi bandar merdeka ketika itu. Harga kebebasan Granada terpaksa dibayar dengan kejatuhan Seville di tangan Kristian. Tiada Penguasa Selain Allah..kepasrahan dan kebergantungan Sultan Muhammad Al Ahmar terhadap Allah terukir di setiap inci Istana Merah itu..

Mengimbau sejarah hitam Andalus..1492.. Menyaksikan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol itu akhirnya tumpas di tangan Ferdinand dan Isabella yang bersatu demi melihat kejatuhan Islam. Menangislah Sultan Abu Abdillah saat palang-palang salib didirikan di julangan menara Al-Hambra.. meranapkan kemegahan Islam yang pernah bertapak di situ. Saat itu menyaksikan sinar Islam yang terus memudar di Sepanyol

“Janganlah engkau menangisi kejatuhan kerajaan ini seperti seorang perempuan kerana engkau gagal mempertahankan maruah pemerintahan kerajaan Islam seperti seorang lelaki.” tajam kata si ibu melihatkan Sultan itu menangis..

Keindahan Al-Hambra sedikit sebanyak diselit dengan unsur2 Renaissance saat kota itu mengalami perubahan demi perubahan. Al-Hambra tidak terlepas menerima bahana kebencian mereka terhadap Islam. Ukiran memuji kebesaran Allah cuba dihancurkan dengan pelbagai cara. Namun Allah juga yang memelihara.. ia masih kekal utk kita tatapi sehingga ke hari ini. Charles V yang cuba menandingi kehebatan binaan Al-Hambra juga akhirnya berputus asa.. hilang minat lantas meningalkan istananya separuh siap. Manakan tidak..Al- Hambra di bina dengan rasa kecintaan kepada Tuhan yang menciptakan alam yang juga penuh dengan keindahan. Dekorasi Al-Hambra bukan yang sia-sia tetapi untuk mengingatkan pemiliknya kepada keagungan Allah SWT. Ilhamnya dari keindahan syurga yang dinyatakan dalam ayat-ayat Al-Quran..


Lewat dari satu ruang ke ruang yang lain di dalam istana ini akhirnya membawa saya keruangan ini. Menikmati tenangnya air di kolam yang membalikkan keindahan binaan di sekitarnya di permukaan. Namun tidak terkesan ketenangan itu di hati saya saat dada sebak memikirkan nasib umat Islam di bumi Andalus selepas terserahnya kunci Al Hambra ke tangan Ferdinand. Kehinaan dan penyeksaan berterusan saat Inquisition dilakukan oleh pemerintah Kristian.

Cuba membayangkan diri sebagai seorang Islam di zaman itu..saya tidak tahu sama ada saya tergolong dalam golongan yang sanggup dihalau keluar dari Sepanyol atau dicampak ke dalam unggun api kerana mempertahankan keimanan terhadap Allah Maha Esa atau mungkinkah saya ketika itu antara yang bergelar Moriscoues (gelaran untuk umat Islam yang menukar agama ketika itu). Nauzubillah hi min zalik.. Sesungguhnya Islam dan keimanan saya belum diuji sehebat itu.

'Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?' (Al-ankabut:2)

Al-Hambra saya tinggalkan dengan perasaan yang bercampur baur. Mengingatkan diri bahawa setiap apa yang terjadi adalah ketetapan daripada Allah SWT tidak kira sama ada kelihatan baik atau buruk oleh akal yang cetek ini. Segala yang berlaku adalah yang terbaik kerana Allah Maha Mengetahui. Hilangnya permata Al-Hambra juga ketetapan Allah. Makanya pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ketetapan itu.

Sempat kami singgah mengusaikan kewajipan sebagai hambaNya di Masjid Jami' Granada. Kesedihan yang terusung dari Kota Al-Hambra tadi sedikit terubat di rumah Allah yang serba sederhana ini. Seawal usia 3 tahun tiada apa yang boleh dimegahkan dengan binaannya jika dibandingkan dengan masjid2 yang tersergam hebat dan indah di tanah air kita sendiri apatah lagi dengan Istana Merah yang melatari pemandangannya. Tetapi mungkin sejarah dan pengorbanan yang dilakukan untuk melihat satu-satunya masjid di Granada ini tertegak yang mampu menumbuhkan harapan dan membaluti kesedihan. Moga wujudnya ia menjadi titik mula kepada kebangkitan Islam di bumi Andalus. Dan selama itu Al Hambra menjadi saksi setia. Menanti saat disucikan kembali dengan sinar Islam yang pernah menyinari setiap pelosok bumi itu..


Catatan saya di hari kedua di bumi Andalus.. di Granada.Nantikan catatan saya di Cordoba dan Seville selepas ini..

Motor Abah...

Entah kenapa hari ini saya betul-betul teringatkan abah. Tiba-tiba hati jadi sangat rindu pada abah. Memang diakui saya lebih rapat dengan emak berbanding abah. Emak sudah jadi seperti seorang sahabat saya yang paling rapat. Kepada emak saya akan ceritakan segalanya. Tiada rahsia di antara saya dan emak. Cuma dengan abah, bual-bual kami selalunya yang penting-penting saja. Tentang pelajaran, wang belanja, yuran sekolah dan masa depan.
Kebetulan suatu hari dalam salah satu panggilan mingguan saya ke rumah, abah yang menjawab panggilan:
"Assalamualaikum abah..Nana ni"
"Waalaikumsalam..Nana anak abah..ape khabar?"
"Alhamdulillah sihat. Mak ada?"
"Ada ni..mahu cakap dengan mak saja?Tak mahu cakap dengan abah?" tanya abah.
Saya terdiam. Selama ini kalau saya menelefon ke rumah, jika berkebetulan abah yang menjawab, pasti terus sahaja dipanggil emak untuk melayan saya berbual. Terasakah abah?Sungguh saya tidak ada niat mengenepikan abah. Cumanya biasanya perbualan saya, saya kira tidak sesuai untuk dicakapkan dengan abah. Bimbang nanti tidak mendapat respon sewajarnya. Abah orangnya kelakar dan suka berlucu. Tetapi abah biasanya tegas.
"Mahu kongsi rahsia dengan mak saja ya? Tak mahu kongsi dengan abah? Abah mahu tahu juga..." ujar abah seolah-olah merajuk.
"Eh tidaklah..mana ada rahsia..borak perkara biasa2 aje dengan emak"
Abah tergelak mendengar kekalutan saya di hujung talian. Dia seolah-olah menghidu keserba salahan saya. Dia faham mengapa anak perempuannya ini lebih rapat dengan ibu barangkali. Lalu abah segera menyerahkan telefon ke tangan emak. Abah selalu kata emak sentiasa tertunggu-tunggu di tepi telefon setiap hujung minggu menanti panggilan saya. Malah kalau abah bercakap lama sedikit di telefon dengan saya, abah katakan emak sudah melompat-lompat di sisinya cuba merampas telefon dari tangannya..huhu! Pasti terdengar suara emak sayup dibelakang menafikan kata abah. Dan akhirnya kami sama-sama ketawa saja.
Dahulu abah ada sebuah van besar untuk mengangkut kami adik beradik ke mana sahaja. Tiba saja hujung minggu pasti ada saja rancangan abah. Sama ada pulang ke kampung yang hanya setengah jam dari rumah kami, berjalan di bandar atau berkelah di pantai. Pulang saya selepas setahun di luar negara, saya lihat sudah tiada van putih yang banyak berjasa kepada kami itu. Kata abah, abah terpaksa jualkan kerana kesempitan wang. Saya tahu abah sedih dan susah hati. Pasti selepas ini susah mahu membawa anak-anak ke mana-mana. Yang tinggal hanya motor cabuk abah, yang abah tunggang ke tempat kerja. Atau jika sudah terlalu lama kami tidak keluar, abah akan pinjam kereta Abang Long. Melepaskan gian kami berjalan-jalan di pantai atau ke kampung.
Pernah suatu pagi saya meminta abah menghantarkan saya ke stesen bas untuk berprogram di Kuala Lumpur. Cuaca memang sudah sedia mendung dan hujan renyai sejak pagi lagi. Abah risau bagaimana mahu menghantar saya dengan motornya. Dia tidak mahu saya basah kuyup dalam hujan. Tetapi kami tiada pilihan..saya perlu juga mengejar bas yang berlepas awal pagi itu. Setelah hujan sedikit reda kami keluar. Emak membungkus beg pakaian saya dengan plastik agar tidak basah. Hujan semakin melebat dalam perjalanan ke stesen bas. Abah bertanya andai saya mahu berhenti berteduh. Namun masa sudah suntuk, saya bimbang terlepas bas.
"Teruskan saja abah. Nana boleh tahan.." ujar saya sambil terketar menahan sejuk yang mengigit.
Lalu abah melajukan pecutan motor agar segera sampai ke destinasi kami. Sepanjang jalan abah tidak henti bertanya keadaan saya yang membonceng di belakangnya. Sedang dia sendiri sudah basah kuyup meredah hujan. Manakan tidak baju hujannya diberikan kepada saya untuk dipakai tambah saya berlindung di belakang abah. Dada saya sebak mengenangkan pengorbanan abah. Dalam diam air mata saya bersatu dengan air hujan yang bertitisan di wajah saya. Abah.. Betapa dalam keadaan seperti itu abah masih hanya memikirkan keadaan anaknya ini tanpa sedikit pun mempedulikan keadaan dirinya sendiri. Akhirnya kami tiba ke stesen bas. Abah membukakan helmet dari kepala saya. Saya mencium tangan abah sebelum berkejar mendapatkan bas. Sempat abah meminta maaf melihatkan baju kurung saya yang basah kuyup itu. Abah..untuk apa maaf mu itu?
Saya sentiasa menjadi pembonceng setia abah apabila pulang bercuti. Pergi saya ke mana saja sentiasa di hantar dan di ambil abah. Malah sejak saya kecil lagi bagitu. Cuma bezanya dahulu dengan van putih itu dan sekarang di atas motor ini.
"Nana suka naik motor abah?" tanya abah suatu petang saat dia membonceng saya ke bandar.
"Suka..boleh main-main dgn angin. Naik kereta tak boleh cilok2. Lambat sampai sebab lekat kat trafik,"abah tergelak mendengar kata-kata saya.
"Nanti abah kumpul duit beli kereta. Senang Nana mahu ke mana-mana. Nana sabar ya.. doakan selalu abah murah rezeki untuk anak-anak" ujar abah.
Saya hanya tersenyum mendengar janji abah. Sedang saya tahu impian abah masih jauh dari jangkauan. Tetapi saya tahu abah sangat kuat berusaha ke arah itu. Saya sentiasa mendoakan abah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Eh Nana..kejap ye...abah dah balik,"ujar emak saat rancak berbual telefon dengan saya.
"Pulang dari mana mak?"
"Balik dari bawa Damia pusing-pusing naik motor tadi.. Damia suka benar kalau atuknya bawak pusing- pusing naik motor. Setiap petang mahu dibawa naik motor abah"
Saya hanya tersenyum. Benar..sangat seronok pusing-pusing ambil angin membonceng motor abah. Sedang si kecil itu pun menghargainya..apatah lagi anakmu ini... Baru saya sedar..saya merindukan saat-saat itu.
~Pertama kali menulis entry blog dengan linangan air mata~

10 sebab kenapa saya tak akan update blog saya..

~kedengaran kekecohan diluar Leamington House. Peminat2 blog mogok lapar. Kedengaran esak tangis dan jeritan tidak puas hati. Paramedik tiba untuk merawat mangsa yang pengsan akibat dihimpit dan polis sibuk mengawal keadaan..neenong..neenong!~

"Kenapa ni? Kenapa ni?apa yang telah terjadi?"tanya kakak flat saya apabila melihat ramai orang di luar flat sepulangnya dia dari kelas.
" Adik flat kamu tak nak update blog dah. Kami kecewa..kami mahu dia sambung tulis blog"kata peminat setia blog saya sambil menangis teresak-esak. (saya perasan best jap)

Tenang-tenang semua..saya belum lagi berputus asa menulis apatah lagi berniat untuk mendelete blog saya yang tak best ini dari ruang maya. Fenomena 'Tidak-Mengupdate-Blog-isme' ini hanya akan melanda selama 3 minggu dari sekarang. InsyaAllah selepas itu sistem pertahanan dan perjalanan hidup penulis akan kembali seperti sediakala setelah dirawat dengan intensif. (apakah saya melalut itu?) Disini saya listkan 10 sebab kenapa saya tidak akan berkesempatan mengupdate blog saya untuk 3 minggu yang akan datang:
  1. 8 Dis : Lab Report DEADLINE!
  2. 10 Dis : Artikel BK DEADLINE!
  3. 11 Dis : Engineering Design TEST!
  4. 12 Dis : C Programming Coursework DEADLINE!
  5. 14 Dis : Transport Phenomena+ Earth Materials TEST
  6. 16 Dis - 20 Dis : Saya pergi SPAIN!! (yeay!)
  7. 21 Dis - 28 Dis : Winter Retreat kat Conventry
  8. Saya sibuk horror hell gell cikeding beng2 piew piew punye sibuk.
  9. Saya sure tertekan sebab banyak sangat kerja
  10. Saya seorang yang unorganised lagi pemalas..huhu!
Kesimpulannya tak perlu bukak blog saya dah selepas ini kerana tiada sebarang jaminan akan ada entry baru..huhu.!Melainkan jika anda teringin nak dengar lagu Terima Kasih Tuhan yang kakak2 Mawaddah nyanyi tuh berulangkali maka boleh lah buka blog saya nih..haha!(sambil tu boleh menyanyi sekali sebab saya dah letak lirik kat salah satu entry tuh..la~la~. Atau pun jika anda merasa rindu yang amat terhadap penulis blog ini..haha!

"Eee..tolonglah..perasan gell ah die nih!"
"Dia ingat ramai sangat ah orang yang nak baca blog die tuh..boleh blah!"

Yela..yela..saya blah la ni. (huk!) Have to finish my lab report yang kene hantar esok nih. Doakan saya berjaya mengharungi lautan data dan nombor-nombor yang memeningkan ini..huk!Aite.. jumpa lagi 3 minggu dari sekarang..itupun kalau Allah masih benarkan saya bernafas dengan udaraNya. InsyaAllah jaga iman dan amal..wassalam..

Nota kaki: sure korg semua tertanya siapa yang selalu menyibuk menyampuk dalam entry2 saya kan? Nanti kalau saya ada masa saya kenalkan korg dgn 'dieorg'. Walaupun dieorg pengkritik tetap yang selalu kutuk saya..tapi saya sayang dieorg sebab selalu tegur salah saya.

Terima Kasih Tuhan..


Singgah sebentar di blog dalam kesibukan hari ini. Berkongsi lagu yang terngiang-ngiang di telinga sepanjang malam ini saat saya agak tertekan dek kerana beban tugasan yang terlalu+amat banyak..Maaf andai ada hati yang disakiti. Saya tak bermaksud menyakiti sesiapa..tanpa sedar keserabutan fikiran tergambar di wajah dan laku..maafkan saya..

Terimakasih wahai Tuhanku
Yang sentiasa melimpahkan Rahmat-Nya
Membenarkan aku menghadap-Mu Tuhan
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Untuk bercakap dengan-Mu Tuhan
Mengizinkan kuminta pada-Mu
Memuja-memuji sepenuh hatiku
Memohon munajat pada-Mu Ya Rabbi

Terimakasih wahai Tuhanku
Yang sentiasa melimpahkan Rohmat-Nya
Membenarkan aku menghadap-Mu Tuhan
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang

Untuk bercakap dengan-Mu Tuhan

Mengizinkan kuminta pada-Mu
Memuja-memuji sepenuh hatiku
Memohon munajat pada-Mu Ya Rabbi

Tapi aku khuatir ketika menghadap-Mu
Tidak pula pandai beradab dengan-Mu
Aku mula bimbang kalau aku derhaka
Dalam ketaatan bukan rahmat dari-MU yang kudapat
Tapi ku kan dapat kemarahan-Mu

Ya Rabbal Alamin Maafkanlah Aku
Ya Rabbal Alamin Maafkanlah Aku

oh~ tak lupa jugak..SELAMAT HARI JADI KAK AIN!!Moga bertambah keberkatan usiamu InsyaAllah.. (huhu..warna font ikut warna baju tema penganjur sambutan birthday kali ni)