Ukhuwah itu umpama kaca. Cantik, jernih dan telus. Cantiknya ukhuwah itu menyenangkan mata dan melapangkan hati. Jernih kaca boleh tercemar dengan kotoran yang terpalit. Tetapi kotornya kaca itu bukanlah susah untuk dibersihkan. Cuma perlu sedikit usaha.. ambil kain dan lapkan kotoran itu, pasti ia bersinar kembali. Biar selalu dibersihkan, jangan kotorannya berkumpul lantas terlalu degil untuk dibersihkan. Kaca ukhuwah itu telus... Seorang sahabat boleh memahami isi hati sahabatnya walau tidak ada sebarang kata yang terucap. Seorang sahabat seharusnya menjadi cerminan kepada sahabatnya. Menegur jika salah dan membetulkan yang tersilap. Menjadi cerminan yang jujur, yang memantulkan imej yang tepat sebagaimana jatuhnya. Bukan mengangkat dengan pujian palsu yang merosakkan. Namun kaca ukhuwah itu juga rapuh. Perlu dijaga rapi jangan pernah terhentak atau yang lebih buruk terlepas ke tanah. Bimbang nanti retak atau pecah.
Namun ingatan pada sesuatu membuatkan saya mengeluh panjang. Bagaimana dengan satu saat, sesuatu yang dengan susah payah di bina berdikit-dikit untuk suatu tempoh, boleh musnah berderai. Derai yang jika dicantum pun masih terlihat kesan retaknya dan tidak mungkin secantik dulu lagi. Sungguh saya tidak tahu punca. Saya mencuba dan saya tahu dia juga mencuba insyaAllah.. tidak mustahil kaca ukhuwah yg dulu amat rapuh itu kami leburkan kembali dalam panasnya api dan dibentuk semula secantik dulu. Sedikit..demi sedikit. Biar langsung tidak terlihat retak yg pernah membelah..insyaAllah..insyaAllah. Allah mudahkanlah dan lapangkanlah hati-hati kami...
Hari sebelumnya saya ke Plattfield meneruskan larian yang sejak bulan kebelakangan ini menjadi rutin saya. Setiap kali ke sana teman saya bertukar ganti, bergantung kepada sesiapa yang sudi meneman dan berkesempatan. Petang itu saya bersama Kak Sheila dan Kak Ain... Subhanallah..sudah beberapa hari tidak menjengah, taman rosnya makin cantik bila bunga-bunganya sudah berkembang. Kata Kak Shiela, masa yang diambil untuk kami bergambar sama banyak dengan masa yang diambil utk beriadah..huhu! Saya suka berlari-lari setiap petang di Plattfield. Bila berlari fikiran saya kosong... saya lupakan sebentar kesibukan di bilik dan di kelas. Nasyid dan zikir menjadi halwa telinga. Haha..kata mereka saya sudah terkena aura yang sama seperti yang Kak Mum alami tahun lepas.


Owh..sebut tentang Kak Mum saya terlupa menceritakan bertambah seorang ahli baru keluarga kami di Manchester ini. SUMAYYAH MUJAHID! Alhamdulillah akhirnya dapat tatap wajah 'Mujahid' yang kami nantikan dahulu. Kelahiran Sumayyah saya tahu lewat mesej ringkas dari umminya. Ketika itu saya sedang ber'field trip' di Devon. Sudah 2 minggu usianya baru saya berkesempatan melawat Sumayyah. Usia Sumayyah tiga minggu, Sumayyah kembali ke hospital kerana jaundice. Alhamdulillah Sumayyah sudah sihat semula. Waah..tiba-tiba rindu pulak pada Damia Adrianna di rumah sana. Setiap minggu hanya mampu dengar suaranya yang makin keletah dan banyak ragam. Huu..esok lusa sudah boleh jumpa Damia pula. Makcik nak peluk cium lepas rindu pada Damia (si ubi berbentuk bayi..huhu!).

Hu..apa-apalah yang saya bebelkan di atas tadi.Kepala saya pusing... di luar sana manusia berambut perang bermata biru sedang berpesta. Meraikan tamatnya ujian dunia. Muziknya benar amat-amat membingitkan. Mendendangkan lagu yang tidak dapat saya tangkap apa butirnya. Kalaulah mereka itu dalam kaca televisyen, mahu saja saya tekan butang merah yang mematikan langsung suara bingit itu. Kepala saya makin pusing dan badan penat amat... Mata memberat dan terlelap juga akhirnya..