Memaparkan catatan dengan label Nukilan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Nukilan. Papar semua catatan

Masyarakat Meja

Di dalam sebuah masyarakat meja, tinggallah si pemadam, si pensil, si pembaris, si pengasah dan si pen. Mereka hidup rukun damai di atas meja itu. Hari-hari, ada sahaja warkah yang dihasilkan oleh mereka. Hari-hari hidup mereka ceria dan penuh senyuman. Cuma kadang-kadang si pensil dan pen bertelingkah, siapakah yang patut menulis? Dan kadang-kadang si pen, mahupun si pensil berkeras membuat garisan lurus tanpa pembaris. Dan kadang-kadang si pensil enggan dirinya ditajamkan si pengasah. Dan kadang-kadang si pembaris mahu berehat dan enggan membantu si pen mahupun si pensil. Dan kadang-kadang juga si pemadam begitu rapat dengan si pen, hingga kalau-kalau si pen tersalah tulis pun mahu di padamnya juga. Begitulah kerukunan mereka, hingga kalaupun tiada komputer dan internet di atas meja itu, mereka mampu hidup bergembira, berutusan dengan dunia lain melalui warkah yang mereka hasilkan.

Antara yang paling rapat di antara mereka, tidak lain dan tidak bukan pastinya si pensil dengan si pemadam. Kemesraan mereka, hingga kadang-kadang membuat yang lain cemburu. Kerapnya si pen yang selalu cemburu dengan mereka. Tapi mereka terus bekerjasama. Andai si pensil menulis, pastinya si pemadam berada di sisi melihat hasil tulisannya yang menawan. Andai ada yang tersilap, lalu si pensil terus memanggil si pemadam untuk membantunya. Andai ada yang tercomot yang tidak disedari dek si pensil, si pemadam tolong memadamnya. Dan andai si pensil lihat si pemadam letih dan sudah haus, silap tulisannya di garisnya sendiri agar orang tahu itu kesalahannya.

Suatu hari masyarakat meja mahu menulis diari mereka. Mereka sama-sama bergandingan menghasilkan rentak tulisan yang terbaik. Sambil mencorak kehidupan mereka, mereka berpakat menulis lagu-lagu puisi agar catatan mereka tidak hambar. Si pensil dan si pen bergantian menulis catatan mereka. Kalau ada yang tercomot, si pemadam tampil kehadapan mengemaskan diari mereka. Kalau si pensil tumpul, si pengasah dengan gembira menawarkan diri untuk berkhidmat. Kalau si pen ingin membuat garisan, si pembaris tampil kehadapan menghulurkan bantuan.

Sambil menulis, si pen membunyikan irama yang seiring dengan puisi mereka. Si pensil pula melagukan puisi karya mereka tanda menyahut dendangan irama si pen. Disuruhnya teman-teman yang lain; si pemadam, si pengasah dan si pembaris ikut melagukan puisi karya mereka.

Si pemadam menyanyi sama. Si pemadam yang kadang-kadang berkhayal, tiba-tiba tersalah melagukan bait puisi mereka. Disangkanya puisi itu yang salah, lalu dipadamnya bait puisi itu.

Si pen kehairanan, “Eh apsal awak padam baris ni,betul la si pensil tulis macam tu?”

“Eh ye ke? Lagu ni sebenarnya macam mana ye? Boleh tak tolong nyanyi semula untuk saya?” pinta si pemadam.

“Ape la awak ni pemadam, lagu best ni pun awak tak tau? Penat-penat jek saya tulis. Tak larat saya nak nyanyi untuk awak dah” Marah si pensil pada si pemadam.

“Hmmm… saya tak tau… saya baru jek lagi tulis puisi. Lagipun saya memang lembap.” Si pemadam cuba menjelaskan kesalahannya. Perlahan-lahan, wajahnya berubah kemerahan. Sikit-sikit, dia agak terguris mendengar herdikan marah si pensil.

“Awak dah lama dengan kami tulis atas meja ni. Lagu tu kita dah selalu nyanyi. Awak bukan orang baru lagi… Awak tak patut berkhayal sampai tersilap” tambah si pensil lagi.

“Hmm… saya tak la baru sangat. Lagipun kalau saya lama di sini pun, saya tetap kadang-kadang buat silap.” Si pemadam menokok lagi membalas. Walaupun tiada tangisan di mata, hatinya sudah menangis teresak-esak.

Risau takut-takut matanya pula yang berair, si pemadam cuba mencari alasan beredar dari situ. “Saya rindu nak masuk laci. Saya nak rehat-rehat dalam pensil box.” Terus si pemadam bergerak menuju laci untuk mengadu pada si pensil box.

Si pensil tiba-tiba perasan kata-katanya sudah mengguris hati halus si pemadam… Dia kaget sebentar. Difikirkan apa-apa tindakan yang patut dilakukannya. Didorong dek rasa bersalah, diambilnya sehelai nota kecil, ditulisnya dengan ungkapan maaf, "Maaf si pemadam... Saya tidak sengaja... Saya terkasar dengan awak..."

Lalu nota itu dibentuknya menjadi pesawat kertas dan dilemparkannya pada si pemadam. Si pemadam membacanya. Tapi dia tetap terdiam. Luka hatinya yang terguris agak dalam. Dia tetap ingin masuk ke dalam laci berjumpa si pensil box.

Tapi sayang laci itu terkunci. Dan pensil box masih di dalamnya. Si pemadam menjerit-jerit dari luar. “Pensil box, saya nak jumpa awak… saya nak rehat-rehat dalam awak” ujar si pemadam dengan suara serba kemurungan. Matanya kini sudah berair kemerahan.

“Kenapa ni si pemadam? Bukan awak seronok main tulis-tulis atas meja ke?” si pensil box cuba menyiasat kemurungan si pemadam dengan jeritan dalam laci.

“Saya kena marah. Awak tahu saya lembap. Saya kena marah. Saya lembap.”

“Awak kena marah? Awak kena marah sebab apa?”

“Kawan saya marah saya” ujar si pemadam yang masih agak keberatan menceritakan hal sebenar.

“Dulu masa belajar dengan awak, saya selalu lupa apa yang awak ajar, tapi awak tak marah saya. Awak ajar saya satu-satu. Saya tak nak duduk atas meja dah. Nanti saya kena marah sebab saya lembap...”

“Hmm… siapa yang marah awak ni? Awak tak nak cerita elok-elok?”

“Tak nak.. saya tak nak…”

Cuba awak cerita satu-satu kat saya. Kalau tak nanti saya salah faham.”

“Tak nak.. saya tak nak… saya nak masuk laci! Saya nak jumpa awak!” Bunyi tangis si pemadam makin kuat... Sedunya makin menyelangi bait-bait kata-katanya...

"Huhu... Cerita la sayang... Cerita la... nanti saya pening"

Akhirnya si pemadam akur lalu membuka cerita sebenar, “Hmm… saya berkhayal masa tulis lagu puisi. Saya ingat saya salah. Lepas tu saya padam. Lepas tu diorang marah saya”

“Sebab tu jek diorg marah awak?”

“Lepas tu saya minta diorang ajar saya balik lagu tu, tapi diorg marah saya”

“Diorg marah awak macam mana?”

“Diorang cakap saya suka berkhayal. Diorang cakap saya suka tak ambil peduli lagu apa yang kami tengah nyanyi”

“Hmm… siapa yang marah awak ni? Si pen ke?” Si pensil box cuba juga untuk mengetahui perkara sebenar yang membenihkan manik-manik air mata si pemadam.

“Hmm.. saya tak nak bagitau… Nanti awak ingat dia jahat… tapi dia tak jahat… saya yang lembap”

“Eh tak la… awak kena bagitau kat saya, supaya saya tak salah faham… sebab awak nangis teruk sangat ni... Dan saya tau sebab apa dia marah awak.”

“Hmmm… si pensil...” Pujuk rayu si pensil box sedikit membuka muka hati si pemadam untuk menyuarakan pokok pangkal hatinya terguris.

“Oh… si pensil… patutlah awak merajuk sampai nak masuk laci. Sebab si pensil tu yang marah awak. Kan dia yang paling rapat dengan awak kan?”

“Hmm… saya nak masuk laci! Saya nak jumpa awak!” Si pemadam menjerit kebudak-budakan.

“Dia tak minta maaf balik pada awak?”

“Hmm.. Ada… dia baling kertas roket macam budak-budak tulis minta maaf kat saya”

“Oh… hmmm… memang dia tak sengaja tu… lagipun saya yakin dia sayang gila kat awak… sebab itu dia marah kalau awak selalu tersilap”

“Hmmm… saya nak masuk laci! Saya nak jumpa awak!!!”

“Hmmm… sudahlah… kuncinya tak pada saya… kalau tak dapat masuk pun, awak masih dapat dengar suara saya kan?”

“Hmmm… saya nak masuk laci!!! Saya nak jumpa awak!!!!!”

“Hmm… kalau boleh saya juga mahu awak ke sini… tapi laci ini berkunci. Biar saya nyanyi dari sini ye?”

“Hmm…” si pemadam mahu tidak mahu terpaksa menganguk mendengar nasihat si pensil box… lalu didendangkannya lagu kegemaran si pemadam. Perlahan-lahan mata yang berair itu mula kuyu dan si pemadam terlelap perlahan-lahan. Satu kata terungkap dari bibirnya sebelum dia hanyut dalam lautan mimpi, “Maaf si pensil… saya lembap… awak jangan marah saya ye…” dan akhirnya si pemadam terlena.

"Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula si pensil dengan si pemadam"

Si Pengembala Kambing dengan Si Penunggang Unta

Hmm... aku menarik nafas separa kepenatan.Padang ragut terdekat, masih sekitar dua tiga perhentian... Namun, tiada apa yang mampu aku lakukan melainkan terus memerhatikan kambing-kambing gembalaan di atas kuda pacuanku. Risau kalau-kalau di makan serigala.

Dalam serba ketidak tentuan itu, terasa seolah-olah ada tempias yang merembes. Kupandang ke langit,

"Pelik... hari nampak cerah.. takkan sudah mahu berhujan panas?" degusku dalam hati.

Aku berhenti seketika. Menoleh ke langit kiri dan kanan. Kalau-kalau nampak awan hitam yg berkejaran kepadaku. Hampa.. Tiba-tiba, entah bagaimana, pandanganku terarah pada titisan air mata seorang penunggang unta yang membawa beban, cuba mengawal untanya. Walau dia tampak lebih muda daripadaku, azamnya mengawal unta itu kuat tidak terkata. Namun aku kaget melihat pacuannya yang diiringi air mata serta raut wajah bermuram duka...

Ingin kutegurinya dan bertanya, namun gusar bahasa kami tidak sama. Ingin kuselami wajah duka itu, namun gusar kalau-kalau aku teman tidak diundang.
Aku cuba memikirkan daripada manakah datangnya tangisan itu... "Oh... kakinya tergari pada unta yang ditungganginya... mungkin sebab inikah dia menangis?" Aku cuba menduga. Nampak seaakan-akan tepat tekaanku.
Aku memberanikan diri bertanya.. "Mengapa menangis?"

"Unta ini liar sangat... susah aku mengawalnya... aku sudah tersimpang jauh dari hala tujuku.. teman-temanku sudah tidak kelihatan.. aku kini berpergian seorang diri.. " Balas si penunggang unta.

"Mengapa kakimu bergari?" aku cuba menjelaskan kehairanan diriku.
Lalu dia menjawab, "Awal perjalanan tadi, aku takut kejatuhan... aku belum pandai menunggang... tambah lagi unta ini membawa beban dan amanah orang padaku.. jadi aku menambat kaki ku dengan gari tadi."

"Mengapa tidak bebaskan sahaja tambatan kakimu jika sudah kejauhan?" aku bertanya kehairanan..

"Kuncinya sudah hilang... tiada siapa tahu membukanya lagi... aku tidak risau tambatan ini... aku risau keseorangan... Aku risau isi yang kubawa ini, cuma nanti jadi beban dan membusuk.."

Sedih aku mendengar keluhan itu. Ingin ku melompat sahaja memanjat unta itu. Kalaupun aku tidak mampu membuka simpulan kakinya, setidak-tidaknya biar aku tolong mengawal unta itu. Liarnya bukan calang-calang. Kudaku juga liar, tapi aku tidak kisah kerana sudah lama bersama kuda ini. Sudah ku tahu karenahnya. Tapi mampukah unta itu menampung dua penumpang? Apatah lagi sudah sarat dengan muatan. Atau.. baikkah jika aku cuba tambat kudaku pada untanya? Hmm... agak sukar... kudaku terlalu liar. Manakan suka ditambat-tambat. Rentaknya juga tidak sama dengan rentak unta itu.

Hmm... mungkin perlu aku paksakan juga menambat si kuda liarku pada untanya itu. Tampak sudah tiada pilihan. Tapi nanti pengembara yang lain dibelakang pasti berbisikan.. "Eh.. tak malu pengembala itu... tadi ada kuda sendiri.. kini mahu menagih unta orang." Pasti tercalar egoku... sejak dahulu aku gah menjadi pengembala yang berkelana dengan kuda liar. Apakah kata mereka jika melihat aku cuba menambat unta orang?
Semakin lama, jarak aku dan penunggang unta itu semakin dekat. Aku serba tidak kena. Perlukah aku membantunya? Aku sudah semakin sukar menahan sebak. Kambing-kambing gembalaanku, perlu juga aku fikirkan. Hampir juga aku menangis walau bukan aku yang ditimpa musibah. Aku berfikir sejenak... benakku buntu.

Aku terdiam. lalu si penunggang unta bertanya, "Kamu mahu kemana?"

"Ke padang ragut terdekat itu. Sebelum sampai hala tuju ku" aku membalas meneruskan dialog kami.

"Aku mahu ikut, boleh?"

"Bagaimana mampu kau ikut?"

"Aku tidak kisah.. bagaimana saja.. tapi tolong aku kawal unta ini..."

"Aku boleh naik tolong pacu untamu.. tapi jalanku dan jalanmu tidak sama.. dan tak mungkin untamu mampu menampungku"

"Aku tak tahu.. aku tidak kisah.. apa-apa sahaja.. "

"Atau mungkin lebih baik aku tambat untamu pada kudaku... "

"Asal boleh aku ikut..."

"Tapi untamu itu liar... kudaku juga liar... mustahil dapat diatur rentak lari yang sama"

"Aku tidak tahu... aku nak ikut..."

"Jalanku jauh... hujungnya tidak nampak..."

"Aku tolong kamu cari arah"

"Tapi ia banyak duri"

"Tidak mengapa.. aku tolong kamu kalau kena duri..."

"Mungkin kau juga luka nanti"

"Tolonglah aku.. aku sudah tidak mahu keseorangan.. beban itu juga aku perlu teman menjaganya.. tolonglah aku..."

Hmm... aku termenung lagi. Namun, kini aku sudah membuat keputusan. Padang ragut terdekat sudah tidak jauh. Selepas sahaja padang ragut itu, jalannya tampak lebih sukar. Pasti unta itu perlahankan geraknya dan kudaku sudah tidak begitu laju. Saat itu, akan kutambat agar terkawal kedua-duanya. Aku sudah berkeputusan. Pedulikan cakap-cakap di belakang sana..

Pembetulan @ Correction


Salam Malaysia..

Sudah lebih kurang seminggu rasanya saya berada di tanah air. Bandar Kuantan masih sama seperti dulu kecuali dengan pertambahan beberapa bangunan dan pusat membeli-belah yang baru. Al-maklumlah dengar khabarnya mahu dinobatkan sebagai bandaraya bulan hadapan. Jalan-jalannya dan lorongnya masih tidak berubah dan begitu juga anak-anak mudanya. Saya makin risaukan adik-adik saya yang semakin membesar itu. Kuantan meski tidak sesibuk dan semaju Kuala Lumpur tetap ada ancaman untuk akal dan semangat muda mereka. Tambah pula dengan siaran rancangan macam-macam yang diterima dari satelit oleh kuali kelabu di atas bumbung rumah kami. Saya dahulu alhamdulillah terselamat kerana sejak umur 13 tahun, terjaga dalam lingkungan pagar sekolah berasrama di Bandar Diraja Pekan.

Owh..tidaklah saya mengatakan saya bagus amat kerana bersekolah asrama itu. Cuma saya rasa didikan hidup di asrama itu banyak membentuk diri saya yang hari ini. Kita tak boleh perasan kita bagus sebab nantinya kita susah mahu terima teguran orang dan kita bakal memandang rendah pada orang lain yang tidak kita kira tidak sebagus kita barangkali. Itu sudah boleh dikira takabbur kamu tahu? Rasulullah SAW bersabda, tidak akan masuk syurga seseorang itu jika ada padanya perasaan takabbur walau sebesar biji sawi. Contoh katalah kita duduk makan semeja dengan Bush. Tengah asyik makan tu kita tak sedar la lengan baju kita terselak sikit masa nak ceduk lauk. Pastu die tegur la kita sebab nampak aurat. Bush pun cakaplah,

"Eyy..apsal you tak pakai itu handcover? Kan dah nampak you punya aurat?" (katanya dlm Bahasa Melayu yang pelat2 Inggeris)

"Eleh kau ni Bush! Sudahlah.. nak tegur2 aku bab2 aurat pulak. Sedar diri sikit..dah kau tu pegi bunuh beribu-ribu umat Islam yang tak berdosa kat Palestin nun takpe pulak?"

Huu...tu dah ade sikap takabbur tu sebab kita rasa kita lagi bagus daripada Encik George Bush sehingga kita tak nak terima teguran dia walaupun teguran dia tu betul jek sebenarnya. (tu contoh je..) Halus kan akhlak Islam? Entah-entah dalam tak sedar saya ada je sifat takabbur tu kadang-kadang. Astaghfirullah... mohon Allah ampunkan dosa yang saya sedari atau yang tidak saya sedari.

Kenapa kita kadang-kadang tak boleh terima teguran orang ye? Bukankah teguran itu boleh bantu kita baiki apa yang tak betul untuk bantu kita tingkatkan diri kita? Cuba bayangkan kalau dalam ujian bulanan, cikgu kita cuma beritahu kita markah kita saja. Tapi cikgu kita tak beritahu pun soalan ape yang kita silap, soalan apa yang kita betul. Jadi macam mana kita nak betulkan apa yang silap dan tingkatkan markah ujian kita saban bulan? Bila dapat markah tinggi kita puas hati, bila dapat markah rendah kita sedih. Akhirnya bila sampai ujian akhir penentuan, kita gagal hasilkan yang terbaik.. Kalau dari awal kita tahu apa yang salah bolehlah kita betulkan dan belajar dari kesilapan kita bukan? Masa tu nangis air mata darah pun tak guna sebab segalanya sudah berakhir.

Kita manusia tentu ada perasaan. Ada pula kalau tak banyak pun, sedikit ego dalam diri masing-masing. Bukan senang mahu terima teguran dan mengaku kesilapan sendiri. Paling kurang kalau tidak nampak cebik di wajah, ada juga terasa sedikit dalam hati. Itu antara kita dengan manusia. Kalau dengan Allah pula bagaimana? Mampukah kita sujud dan menangis mengakui dosa dan kesilapan kita? Saya menulis untuk diri saya sendiri, dalam larut malam ini di saat mata saya tidak mahu lelap walau puas dipaksa. Bukankah lebih baik jika saya sujud dalam tahajjud daripada melalut dan membebel dalam blog ini?





Taubat...

Assalamualaikum..

Lagi dua hari.. akan genap sebulan saya tidak menulis. Bukan sudah jemu berblog tetapi entah kenapa terasa sudah kering dengan perkongsian untuk semua. Wajarlah saya katakan, jika mahu menulis sesuatu yang bermanfaat untuk mereka yang membaca, hati ini perlu bersih. Amat bersih. Tidaklah saya katakan selama ini hati saya bersih amat. Cuma lewat beberapa minggu kebelakangan ini saya kurang menjaga. Maksud saya menjaga dalam segala segi. Oh~ tak perlu saya terangkan dengan lebih lanjut lagi kerana itu seperti membuka pekung di dada sendiri. Cukuplah saya ucapkan maaf kerana tidak menitipkan apa-apa untuk sekian lama. Maaf kerana menghampakan usaha kamu mengupload page ini dan tiada penambahan yang dilihat. (haha~ macamlah ramai sangat yang membaca.. saya perasan bagus)

Saya akhirnya kembali di bilik kecil ini setelah hampir seminggu ke sana sini. Mungkin boleh juga saya katakan kembali dari sesi-sesi pembersihan diri yang saya rasakan amat kotor itu tadi. Seperti jatuh dalam lumpur yang busuk dan jijik. Tiba-tiba rasa kebersalutan dengan lumpur jijik itu sungguh membahagiakan. Bau busuknya terasa amat harum dan melalaikan. Lalu terus-terus sahaja ingin duduk bergelumang dengannya... walau sering ada sahaja manusia yang melintasi lopak lumpur itu menegur,

"Keluar..sampai bila kamu mahu terus-terusan bermain lumpur itu. Tidak jijikkah?"

Tetapi saya degil. Mungkin bau yang busuk itu telah memabuk dan mengkhayalkan saya. Saya fikir, apa salahnya sekali sekala berseronok, sudah puas nanti basuhlah saja lumpur itu dari badan. Mudah. Namun dalam keseronokan dan kelalaian itu saya tersedar, jika terlalu berlama di dalamnya mungkin bau busuk itu sudah tidak mampu dihilangkan lagi. Walau sekuat mana badan disental dengan berus dawai.. walau berbotol haruman dicurahkan bau itu mungkin terus melekat. Tambah menakutkan jika bau itu terus melekat seumur hidup. Memualkan sesiapa yang berdekatan dengan saya. Malah mungkin yang rapat pun akan menjauhkan diri. Lalu saya cemas.. cepat-cepat mahu keluar.

Berpergian selama seminggu... memberi helaian baru yang bersih untuk saya lukis semula. Dengan kuasaNya ada beberapa perkara yang tidak saya sangka mampu pulih semula. Di hujung gagang saya dengar suara itu riang menyapa. Dan suara-suara yang disekitarnya turut berkongsi kegembiraan. Apa lagi yang saya mampu ucapkan selain dari Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah. Dia yang Maha Berkuasa membuka hati manusia.. Dia Yang Maha Pemurah memandu hati itu untuk pulang kepangkuan kami. Hanya doa yang mampu saya panjatkan. Semoga hatinya terus tetap dan tenang dengan keputusannya kali ini. Hadiah yang mahu saya berikan perlu saya kemas kini semula.. Bagaimana mampu saya menyampaikan kefahaman untuknya andai di kepala dan hati ini sendiri segalanya berselirat dan tersimpul. Malah simpulan itu menjerat dan menjerut diri saya sendiri.

Berpergian selama seminggu... menyaksikan saya merungkaikan simpulan itu satu-satu dan merapikan selirat kefahaman dalam diri saya. Di situ saya merasakan hati yang gelap mula disimbahi cahaya. Hati yang selama ini umpama najis lembu yang kering.. gelap, keras, kering dan rapuh. Mungkin seperti melampau perbandingan saya tetapi itu yang benar saya rasa. Setuju atau tidak itu terpulang kamu. Saya sekarang bercakap tentang hati saya bukan hati orang lain. Hati itu sudah hitam likat dipenuhi titik dan tompokan dosa. Walau dosa kecil-kecil tapi apabila kerap dilakukan.. akhirnya tompok itu menyelaputi juga segenap ruang hati. Bila itu keadaannya, hati sudah tidak lagi sensitif pada perbuatan dosa. Hati sudah tidak lagi sensitif pada kemungkaran. Malah tambah menakutkan dosa yang besar pun nanti sudah tidak terlihat sebagai dosa oleh hati yang hitam itu.. nauzubillahi min zalik.

Allah itu Maha Penyayang.. dicampakkannya ilham taubat. Subhanallah Maha Suci Allah.. bukan sekadar itu.. pengisian program yang lepas ini pun banyak berkisar tentang taubat. Bagaimana mencari taubat nasuha. Terdengar esakan dari rakan di sebelah saya. Dia menangis.. Saat itu saya merenung dan bermenung, mengingat-ingat dosa sendiri. Dalam qiam dan tahajjud saya memaksa hati ini menangis kerana dosa yang bertimbun itu. Tiba-tiba suatu rasa ketakutan menyelinap.. Keras..hati ini sudah terlalu keras. Saya sudah tidak mampu menangis dengan dosa dan kebersalahan itu.. Solat wajib lima waktu terasa ditunaikan sekadar kerana wajibnya bukan kerana rindu pada Ilahi.. Doa yang dipanjatkan saban kali selepas solat serasa hanya lahir dari hafalan di mulut bukan pengharapan dan pengaduan dari hati.. Ya Allah sudah jauh benar aku dari rahmatMu...

Kala senja itu tiba
Ku termenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan

Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan

Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran

Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan

Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali

Azan maghrib sudah berkumandang kini di corong komputer saya.. tinggal dahulu semua. Saya mahu mencari taubat... saya mahu mencari semula cinta Ilahi..



Lebihan..

Sana: but a take home message
Sana: awak pakai spec kn?
Sini : a'a
Sana: hmm
Sana: apa jadi kalau awak pakai spec, tapi dekat spec awak tu ada lumpur
Sana: boleh nampak tak?
Sini : tak nampak
Sana: hmm
Sana: tapi kalau lumpur tu bersih
Sana: sure lg clear kn?
Sana: even lebih clear drpd x pakai
Sana: kadang2 kita tak sedar kita pakai spec yg berlumpur
Sana: akhirnya kita nampak segala kotoran jek dlm pandangan kita
Sana: spec yg bersih tu, ibarat pandangan dan neraca awak yg bersih
Sana: atau penilaian awak terhadap sesuatu yg bersih
Sana: ok
Sana: gtg
Sana: wassalamu'alaikum
Sini : waalaikumsalam

--------------------------- Sana signed out ----------------------------------

Saya tersandar mengeluh. Benar katanya... Terfikir betapa akhir-akhir ini saya menjadi seorang yang sangat negatif dalam semua perkara. Banyak bersangka buruk daripada yang baik. Orang tidak mampu tersenyum kerana penat kerja atau sibuk belajar saya fikir sedang marahkan saya... lalu saya berjauh hati. Orang tidak membalas mesej saya di Y!M saya fikir menyombong diri lalu saya benci. Orang tidak menegur saya di jalanan saya fikir sudah lupakan saya lalu saya merajuk. Sensitif benar! Sedang mereka yang terlibat tidak tahu pun saya berkecil hati dengan mereka. Entah apa yang merasuk sehingga buruk benar sikap saya.

Sempit dada dengan masalah.. masalah saya rasakan seperti datang bertimpa-timpa dan sungguh menyesakkan. Apabila duduk semula dan benar-benar berfikir dengan akal yang waras, segala masalah sebenarnya bermula dengan diri saya sendiri. Kerana kurang mampunya saya berlapang dada. Tidak seperti lapangnya tasik..yang jika dicampak batu kocaknya sedikit, tetapi tidak lama sebelum kembali tenang. Hati secetek dan sesempit lopak air dijalanan..yang dengan debu pun mampu dicemar dan dikotorkan. Tiada ruang untuk menerima kekurangan sahabat dan memaafkan kesalahan orang. Bahkan yang lebih teruk lagi buta dengan kekurangan sendiri dalam berukhuwah.. ishk.. Asyik menyalahkan orang lain.

Lewat beberapa hari ini saya sedikit kecewa.. kerana merasakan saya hanya lebihan. Kamu faham bagaimana perasaan menjadi seorang lebihan? Cuba lihat nasi di pinggan yang tidak mampu kamu habiskan. Nasi itu sebelumnya sama sedapnya sahaja dengan nasi-nasi lain yang telah masuk ke perut kamu. Tetapi oleh kerana perut sudah penuh dan sebu, nasi lebihan di pinggan itu sudah tidak mampu lagi kamu masukkan ke perut. Siapa lagi yang mahu makan lebihan kamu? Sudahnya tentu kamu buang saja bukan? Kasihan lebihan itu.. bukankah dia sama sedap dan sama mengenyangkan seperti nasi yang di dalam perut kamu itu?

Tetapi fikir-fikir.. nasi lebihan masih ada gunanya. Bukan hanya menjadi habuan tong sampah. Kalau di rumah saya, emak selalu beri nasi lebihan kepada kucing-kucing kami yang semuanya 15 ekor itu. Berebut-rebut kucing mengerumuni nasi lebihan itu seperti mengerumuni butir-butir emas. Akhirnya tidak sedikit pun bersisa..semuanya langsai mengenyangkan perut-perut kucing. Tiada beza taraf nasi yang mengisi perut kamu dengan nasi yang mengisi perut kucing itu tadi. Kamu makhluk Allah dan begitu juga kucing. Butir-butir nasi itu berjaya mengenyangkan makhluk-makluk Allah... menjadi sumber tenaga untuk masing-masing terus hidup di bumi Allah. Sama sahajakan akhirnya?

Haha~ tentu kamu semua sudah pening dengan apa yang saya bebelkan. Abaikan jika kamu tidak faham. Saya mahu terus.. terus thabat di jalan ini. Tiada sebab untuk saya berjauh hati dengan sesiapa. Saya mahu halau terus perasaan-perasaan busuk yang datang menganggu hati saya. Saya mungkin hanya sebutir pasir di pantai.. atau setitis air di lautan. Tetapi saya juga sebahagian daripada pantai dan lautan itu. Saya mahu sumbang apa yang termampu.. saya mahu jadi kader-kader yang sentiasa sedia dipanggil ke medan juang saat diperlukan. Untuk itu saya perlu sedia dengan segala kelengkapan perang saya. Iman sebagai perisai... ilmu sebagai kelengkapan. Owh..tak lupa doa sebagai senjata.. Saya tidak mahu menjadi lebihan dunia jadi saya perlu memberi sesuatu kepada dunia. InsyaAllah..insyaAllah..

Saya sudah tersenyum semula... menggeleng-geleng kepala mengenangkan keanak-anakan saya lewat beberapa hari ini. Baru usai usrah dengan kakak-kakak dan rakan-rakan tadi. Malam ini liqa' paling besar pernah saya hadiri. Dua puluh tiga orang duduk dalam bulatan.. lutut bertemu lutut. Bagaimana saya boleh rasa keseorangan sedang wajah-wajah ini sentiasa mengambil tahu antara satu sama lain. Saya lihat satu persatu wajah mereka.....dan buat pertama kali saya benar-benar yakin.. Saya sayangkan mereka semua.. amat sayang. Alhamdulillah... syaitan yang mencangkung di hati sudah saya halau jauh-jauh dan kaca mata yang berlumpur itu sudah saya bersihkan ;) Maafkan saya jika menyakiti hati kalian akhir-akhir ini..

Owh..tak lupa..

"SELAMAT HARI JADI KAK MUM (ye..ye Mujahid juga..teehee!)"

Doakan Kak Mum dan Mujahid sentiasa sihat..sentiasa di dalam redha Allah :))

Ruh

Sempat saya menghadirkan diri ke talk sempena ISOC Islamic Awareness Week kerana tertarik dengan tajuknya. 'From Vatican To Al-Azhar' disampaikan oleh Bro Idris Tawfiq, seorang paderi gereja Christian Catholic di London yang baru memeluk Islam setahun dua yang lepas (saya kurang ingat tarikh sebenar). Dalam ceramahnya sempat die menyelitkan pengalamannya sebagai paderi menguruskan upacara pengebumian. Kata Bro Idris, jasad yang sudah tidak bernyawa itu diletak di dalam keranda di hadapan gereja. Kemudian ahli keluarga akan datang seorang demi seorang, masing-masing meletakkan kuntuman bunga atas si mati dan memberi sepatah dua kata penghormatan kepada si mati. Ucapan-ucapan biasa yang di dengar dari keluarga dan sahabat handai:

"He has been a good husband and also a good father for his five children" kata si isteri.
"He has been a dear friend who always bring happiness to other" kata sahabatnya.
"Never has he failed to make me happy since the day he was born" kata si ibu.

Kata Bro Idris lagi tidak pernah sekali dalam pengalamannya sebagai paderi, hadirin yang datang memberi penghormatan terakhir berkata:

"He leave me and his five children with a very big house and cars," kata si isteri dengan bangga.
"He has been a very successful businessman and has a big company," kata rakan kongsi perniagaannya.
"He has a very good look and good job," kata si ibu.

Apa yang dikenang selepas mati hanya budi dan amalan bukan material atau fizikal. Teringat kata-kata seorang ustaz dalam satu ceramah..jelasnya nilai diri manusia terletak pada ruhiyyah dan bukan lahiriah. Manusia menjadi insan dengan tiupan roh ciptaan Allah.

'Mak sudah tak ada..mak sudah pergi" tangis seorang anak di sisi jasad ibunya. Jika difikirkan.. jasad ibunya masih di hadapan mata malah masih boleh dipeluk dan dicium. Tetapi mengapa si anak menangis meratapi ketiadaan ibunya. Apa yang sudah tiadanya? Apa yang sudah pergi? Ruh yang sudah tiada.. ruh itu yang sudah pergi meninggalkan alam dunia. Jasad itu tidak membawa apa-apa makna tanpa ruh. Jadi ruh yang membawa nilai kepada jasad. Manusia menjadi mulia berbanding makhluk Allah yang lain kerana ruhnya. Jika mulianya itu pada fizikal.. kalau dari segi saiz, ikan paus lebih besar daripada manusia jadi sepatutnya ikan paus lebih mulia. Dari segi cantik, si merak lebih cantik dari manusia maka si merak lebih mulia. Dari segi tangkas, si harimau bintang lebih tangkas dari manusia tetapi adakah si harimau lebih mulia? Tidak.. kerana dengan tiupan ruh manusia dilantik menjadi khalifah di muka bumi. Menjadikan kedudukannya lebih dimuliakan berbanding makhluk yang lain. Hingga malaikat pun perlu sujud kepada Adam.

Ruh itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Seperti angin yang oleh dirasakan tiupannya tetapi tidak dapat dilihat apetah lagi dipegang. Ruh itu fungsinya pelbagai dan namanya berbeza ikut peranan yang dimainkan. Tak faham? Ambil contoh seorang wanita. Seorang wanita itu berbeza panggilannya mengikut peranan. Dia dipanggil kakak oleh si adik kerana peranannya sebagai kakak. Di panggil ibu oleh si anak..di panggil isteri oleh si suami..di panggil nenek oleh si cucu..di panggil makcik oleh anak2 jiran. Tetapi hakikatnya die tetap seorang wanita yang sama. Yang namanya sama ada Sheila atau Ain.. (huhu takde kaitan). Ruh juga macam itu.. dipanggil akal apabila ruh itu berfikir dengan menggunakan otak sebagai alat. Dipanggil nafsu apabila ruh itu menguruskan fizikal dan dipanggil hati apabila ruh itu merasa. Semuanya perlu ikut peranan masing-masing jika tidak mahu berlaku kebinasaan..


Kerana akal yang bijak Stephen William Hawking diangkat dan dihormati sebagai among most intelligent men in the world walaupun secara fizikalnya dia serba kekurangan kerana penyakit Motor Neurone Disease and Amyotrophic Lateral Sclerosis yang dihidapinya (tanye budak medic ape maksudnya saya tak tau..huhu!). Tapi.. Stephen Hawking dengan akalnya yang bijak itu tidak percaya kewujudan Tuhan. Jadi mulianya dia di mata dan akal cetek manusia tetapi bagaimana kedudukannya di sisi Tuhan?

Jasad hanya akan mengalami kehidupan di dunia yang sementara ini. Sedangkan roh itu akan kekal selamanya untuk merasai kehidupan seterusnya dan menghadapi perhitungan di hari kemudian..


Dia..


Malam ini.. saya tiba-tiba jadi sangat rindu pada dia.. Terfikir apa yang sedang dia lakukan sekarang.. bagaimana hidup dia sekarang.. bahagiakah dia? Lalu air mata saya tumpah buat kesekian kalinya. Bila dikira-kira sudah setahun lebih kami terpisah. Jika mahu dipadamkan kenangan antara saya dan dia atau memadamkan terus dirinya dari ingatan saya.. samalah seperti memadam sejarah dua puluh tahun hidup saya. Seperti memadamkan terus kewujudan saya di dunia ini. Kerana sejauh ingatan saya.. sejak sedari saya mula tahu berfikir dan mengingat... dia sudah sedia ada bersama. Menjadi sahabat paling rapat... dan dalam masa yang sama pesaing saya yang paling hebat.

Tiada satu pun kenangan zaman kanak-kanak dalam ingatan saya tanpa kehadiran dia. Malah jarang sekali saya mengingati zaman kanak-kanak saya sebagai 'kisah saya' tetapi hampir kesemuanya menjadi 'kisah kami'. Kami suka amat berangan-angan. Kami selalu angankan hidup yang sempurna bersama apabila dewasa nanti. Kami mahu sebuah rumah yang besar..yang dapat kami hias seenak rasa kami seperti bagaimana kami menghias kamar kecil milik kami ketika itu. Malah janji kami, kami tidak akan pernah berpisah. Kami yakin benar kami akan sentiasa bersama walau apa pun yang terjadi. Dalam pada itu hampir setiap hari ada sahaja hal yang remeh yang kami gaduhkan. Tetapi tidak lama.. sebelum salah seorang mengajak bermain semula. Dan kami menjadi sahabat yang paling rapat seperti tiada apa yang penah berlaku.

Begitu banyak sahabat bersilih ganti sepanjang hidup saya.. baru saya sedar tiada yang dapat mengambil tempatnya. Dia sahabat yang paling baik.. pendengar setia cerita dan omelan saya sebelum tidur saban malam. Malangnya saya tidak menjadi sahabatnya yang paling baik.. Saya tiada di sisinya di saat dia memerlukan. Saya tidak cuba memahami di saat dia mahu seseorang mengerti. Saya mementingkan diri sendiri. Saya pada masa itu hanya memikirkan hal hidup saya sendiri. Dan dia masih tersenyum mendengar omelan saya tentang hal-hal gembira yang berlaku hari demi hari.. masih sudi memeluk saya apabila saat-saat sedih bertandang. Tanpa saya sedar dia juga memendam. Dia belum cukup terbuka dengan saya kerana bimbang saya tidak memahami dan menerima. Kerana katanya hidup saya terlalu ideal... hanya penuh dengan kejayaan dan kisah-kisah yang indah. Sedang hidupnya katanya sangat jauh dari sempurna...

Kepulangan saya yang lepas berlainan dari kepulangan saya sebelumnya. Di tangan saya ada hadiah yang berbalut kemas istimewa untuknya. Dan yang lebih penting daripada itu.. saya mahu berkongsi sesuatu yang amat berharga yang baru saya temui di bumi asing ini. Dan itulah rasanya hadiah yang terbaik tanda kasih sayang saya untuknya. Dan saya tahu lembut hatinya..dia akan menerima. Saya mahu bersamanya ke Jannah. Impian baru saya yang lebih besar untuk kami menggantikan impian zaman kanak-kanak kami.

"Cepat balik.. banyak cerita mahu kongsi"
"Di sini pun..banyak cerita dan perkara mahu dikongsi. Tak bolehkah cerita di telefon ini saja?"
"Tak boleh.. cerita ini hanya untuk awak.. Balik cepat ya.. kita cerita panjang"

Dan kini saya telah pulang.. tidak sabar mahu melunaskan rindu saya padanya. Tetapi sedikit kecewa saat tidak terlihat kelibatnya menyambut kepulangan saya ketika itu. Sibuk barangkali.. saya cuba menenangkan hati. Saya sangat yakin dia masih menunggu saya.

Rupanya saya tiba terlalu lewat. Saya tiba sewaktu sakitnya sudah parah. Dan dia sendiri tidak tertahan dengan kesakitan itu. Tidak sanggup lagi menanti kepulangan saya untuk merawat sakitnya. Lalu dia cuba merawatnya sendiri-sendiri tanpa sedar perbuatannya menambah parah sakit itu. Dan ketika itu saya lihat air mata yang menitis dari semua di sekeliling saya. Entah mengapa ketika itu saya tidak menangis. Kerana apa yang saya dengar ketika itu terlalu buruk untuk menjadi sebuah realiti. Sesuatu yang tidak pernah terjangkau oleh akal saya. Ketika itu saya berharap semuanya hanya sebuah mimpi yang buruk dan apabila saya terjaga semuanya akan seperti sediakala. Seperti yang saya tinggalkan hampir setahun yang dulu.

Rupanya sakit itu sudah lama. Malah simptomnya sudah kelihatan oleh saya sejak sebelum saya pergi jauh meninggalkannya. Cuma ketika itu saya terlalu buta untuk melihat dan mengerti. Saya fikir semua itu sesuatu yang biasa yang akan pulih dengan masa. Malah ketika sakitnya semakin parah pun semua yang mengetahui cuba menyembunyikan daripada pengetahuan saya. Kerana masing-masing bimbang bakal mengganggu konsentrasi saya dalam menghadapi peperiksaan akhir ketika itu. Dan pemergiannya juga dirahsiakan daripada saya. Saya di sini ketika itu hanya disuapkan dengan khabar yang indah-indah tanpa sedikit pun saya sedar ada ujian maha hebat yang sedang dia hadapi. Bersalahnya saya kerana tidak pernah cuba mengerti.

Tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan untuknya di kejauhan ini melainkan doa yang tidak putus untuknya. Semoga setiap derap langkahnya di atas bumi Allah ini sentiasa di bawah redhaNya dan semoga hatinya sentiasa dipandu untuk yang terbaik. Saya mahu dia tahu yang setiap kesilapan itu masih boleh dibaiki dan Allah itu Maha Pengampun. Saya sentiasa cuba tanamkan dalam hati yang ini hanya satu babak dalam kisah kami yang panjang yang telah siap diaturkanNya dan hikmah itu pasti ada di sebaliknya.

....hadiah itu masih terbalut kemas untuknya dan khazanah berharga yang mahu saya kongsikan ini juga masih saya simpan. Andai suatu hari nanti dia kembali... dan saya yakin dia pasti kembali menuntut janji-janji kami dahulu. Saya mahu menyeka air matanya dan merawat sakitnya..

Layar..


"Tunggu! Mahu ke mana?"

"Sambung berlayar."

"Angin sudah bertiup semulakah?"

"Belum."

"Layar sudah baiki?"

"Belum."

"Jadi?"

"Masih boleh berdayung."

"Tak mahu tunggu angin?"

"Mahu tetap arah sendiri."

"Ikut arus?"

"Mungkin ya..Mungkin tidak."

"Kalau ada angin nanti bagaimana?"

"Bersejuk saja.. baju ini jadi layar."

"Oh.. saya mahu ikut.. boleh?"

"Sanggup?"

"Mengapa tidak?"

"Bot ini kecil."

"Asal kamu sanggup terima."

"Tak takut?"

"Takut apa?"

"Sanggup bersejuk?"

"Sanggup."

"Ada bawa bekalan?"

"Sedikit.. Kamu ada bawa jugakah?"

"Mungkin tak cukup."

"Tak apalah.. kitakan saling melengkapi."

"Kalau ribut nanti mudah karam.. bot ini kecil"

"Itu semua kuasa Tuhan bukan? Sedang yang besar pun boleh karam."

"Hmm.."

"Masih ada ruang lagi?"

"Kenapa?"

"Penumpang yang lain menyusul nanti.."

Saya rindu.. amat..

A New Start!

Assalamualaikum..

Alhamdulillah.. hari demi hari terus berlalu meninggalkan kenangan persinggahan saya di bumi Al-Manchesteri Darul Aman ini. Baru sahaja tamat peperiksaan akhir semester satu.. dan sudah bermula hari pertama di semester baru. Bagaimana exam saya yang lepas? Alhamdulillah.. hanya syukur yang mampu saya ucap. Tidaklah cemerlang seperti yang saya harapkan tetapi insyaAllah sekarang masanya untuk berdoa dan bertawakkal kepada Allah setelah berusaha sehabis yang termampu. Yakin yang ketentuan Allah itu yang terbaik..

Kadangkala terdetik suatu pemikiran yang serong dan jahat sepanjang menjalani peperiksaan yang lepas. Saat keluar dari dewan peperiksaan kadang-kadang saya masih mengeluh dan merintih.. Mengapa setelah aku bersungguh dan bersengkang mata belajar saban malam..masih begini juga hasilnya? Malah timbul lagi fikiran yang lebih negatif apabila hasad melihatkan rakan-rakan yang lain lebih tenang dan yakin apabila tamatnya peperiksaan. Tidak cukupkah waktu yang saya peruntukkan untuk mengulangkaji selama ini? Mengapa tidak mampu jadi sebijak mereka? Mengapa begini dan mengapa begitu?

"Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana dia diperintahkan berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilanNya kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmuNya itulah satu-saunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaaan syaitan"

Astaghfirullah...rasanya saya perlu lebih belajar bagaimana untuk memisahkan muqadimah dan natijah kerana diri saya masih belum terpisah daripada konkongan rantaian yang mengaitkan sebab dan kesan. Jumlah masa yang diperuntukkan untuk mengulangkaji dan jumlah buku yang dibaca tidak dapat memastikan kejayaan dalam peperiksaan jika tidak dengan iradat Allah. Segalanya sudah Allah tentukan bukan? Apa hak kamu sebagai hamba untuk mempersoalkan urusan Allah yang menciptakan kamu? Saya perlu lebih muhasabah diri dan membetulkan niat. Belajar dan berusaha kerana menurut perintah Allah bukan kerana mahu cemerlang exam.

Alhamdulillah..hari-hari selepas musim peperiksaan ini setakat ini terisi sebaiknya. Kembali menyibukkan diri dengan berbagai urusan dan program. Planner di dinding sudah penuh terisi sehingga akhir bulan Februari ini. Hujung minggu lepas sempat saya ke Platfield dengan naqibah dan kakak-kakak saya, melepaskan gian bermain basketball yang sudah sekian lama saya tinggalkan sejak cuti musim panas yang lepas. Haha~ stamina saya sudah teruk benar. Baru berlari sedikit sudah termengah - mengah. Hari sebelumnya kami berkumpul mendengar majlis ilmu sepanjang hari di flat saya. InsyaAllah saya benar-benar mahu mengisi masa sebaik yang mungkin. Kerana waktu lapang yang terluang akan memberi ruang kepada syaitan untuk mencelah. Lantas lompong itu bakal dipenuhi pengisiannya yang bakal merosakkan.

Jadual kuliah dan praktikal di semester baru ini juga sedikit lapang dari semester lepas. Di semester dua ini kami sudah mula lebih fokus kepada the geological side of the course. Hanya ada satu kelas dengan Chemical Engineering Department. Saya rasa minat saya untuk bidang ini sudah mula bercambah sedikit demi sedikit. Bukan kerana banyak masa kosongnya..tetapi kerana apa yang bakal kami pelajari nanti. Seronok2! Alhamdulillah saya tidak pernah akan menyesal dengan pilihan saya untuk menukar kursus dahulu.Hampir setiap hari kelas saya hanya sehingga jam 12 atau 1 petang kecuali hari Khamis dan tiada kelas langsung setiap hari Selasa. Bermakna setiap minggu saya ada tiga hari yang kosong. Wah! Alhamdulillah..ujian ni.. Allah nak tengok bagaimana saya memanfaatkan masa kosong saya. Sudah macam-macam rancangan dalam fikiran saya sekarang ni..hehe!

Nih jadual hidup saya ni..huhu..konon2 ikutlah tuh!Istiqamah Yana..istiqamah!hehe!

Mahu memulakan permulaan semester dua ini dengan permulaan yang baik..insyaAllah.. Owh terima kasih juga untuk sesiapa yang menghulur tangan mahu memimpin saya semula lewat entry saya yang lepas. Tangan kalian saya sambut dengan rasa syukur yang tidak terhingga. Benarlah ukhuwah kita ini rahmat Allah yang sangat berharga.. Jazakumullah.. Saya benar-benar gembira kini.. dan saya sudah mampu tersenyum semula bersama kalian di jalan yang kita pilih ini.. Saya saayaang semua sisters fillah!!

Hijrah

Salam kembali..

Pernah kamu semua rasa apa yang saya rasa? Perasaan mahu meninggalkan sesuatu yang kamu tahu salahnya tetapi amat berat untuk kamu tinggalkan. Oh~..kamu tidak dapat bayangkan apa yang saya rasa? Cuba tanyakan seorang perokok mengapa susah mahu meninggalkan candu itu? Sedang dia tahu betapa asapnya menyesakkan nafas dan menghitamkan peparu malah mungkin memendekkan nyawanya.

Sepi..dia diam..
Tiada jawapan..kerana soalnya dia sudah ketagihan..

Sungguh dahulu saya tidak faham mengapa dia ketagihan kepada sesuatu yang merosakkan. Mungkin seperti itu juga kamu tidak faham apa yang saya rasa sekarang kan?. Tetapi mungkin si perokok itu faham (Jangan cuba merokok..membahayakan kesihatan) Dan kini saya mula faham si perokok. Begini.. kamu sedar apa yang kamu perbuat itu membawa hanya kepada keburukan dan kemurkaan Tuhan.. tetapi mengapa berat untuk kamu tinggalkan? Saya malu amat dengan Tuhan. Berkali memohon ampun.. menyatakan taubat, tetapi setiap kali itu juga saya memungkiri janji saya padaNya.

"Allah itukan Ash-Shakur (Maha Pengampun).. tenanglah.. masih boleh bertaubat mohon keampunan setiap kali kesalahan."
"Tetapi lupakah kamu sifat Al-Hakam (Maha Penghukum) dan Al-Muntaqim (Maha Penyiksa) Nya? Andai setiap taubatmu tidak disertai keazaman untuk meninggalkan?"

Sekarang sudah kamu faham apa yang saya rasa? Hmm..saya kira mungkin kamu masih belum faham. Tahukah kamu saya malu dengan diri sendiri dan dengan semua di sekeliling saya. Mengaku mahu menjadi daiyah.. mengajak yang lain kepada kebaikan sedangkan diri sendiri pun belum diislahkan. Benar orang di sekeliling tidak tahu apa di dalam hati saya.. jadi mengapa mesti saya rasa malu sendiri. Perasaan seperti penjenayah yang bimbang rahsia jenayahnya di ketahui orang. Hidup sembunyi-sembunyi. Tapi saya tahu Allah Maha Mengetahui.. dia Maha Melihat.. Malah dia lebih dekat dari urat leher saya sendiri. Lalu bagaimana lagi mahu sembunyi?

Seperti buah yang kulitnya cantik tetapi isinya membusuk. Adakah saya menipu dunia? Kamu percayakan saya selama ini? Seringkali saya cuba memecut dalam mencari redha Allah. Namun kadang-kadang terjatuh.. bangun pula lambat-lambat sebelum cuba memecut semula. Pastinya pecutan sudah tidak sama kerana langkah sudah pincang kerana kaki saya sudah cedera. Kadang- kadang sudah penat jatuh bangun.. saya hampir putus asa. Saya terfikir.. ada sesiapa di luar sana mahu pegang tangan saya? Mahu pimpin saya supaya tidak terkeluar dari jalan yang saya pilih ini? Atau perlu saya tabah sendiri-sendiri?

Sudah masuk tahun baru Hijrah malam ini. Mungkin ini masa yang terbaik untuk suatu perubahan..untuk suatu azam yang baru. Tidaklah saya mengatakan yang kita perlu tunggu masa dan hari tertentu sahaja untuk memulakan suatu perubahan. Perubahan bukan suatu proses yang ada mula dan akhirnya tetapi berterusan bukan? Mengapa mahu mulakan tahun yang baru ini dengan kesedihan dan penyesalan seperti ini? Mengingati apa yang telah lepas dan menghadirkannya semula dalam fikiran, lantas bersedih di atasnya hanyalah sesuatu yang sia-sia. Bukankah itu hanya membunuh semangat? Saya ingin membina azam.. mahu mulakan diri saya yang baru. Mahu tahu apa azam baru saya? Biar apa yang saya azamkan itu antara saya dengan Dia saja.. bolehkan?

Selama ini saya rasakan saya terlalu banyak mengagak dan meramal. Apa yang bakal terjadi pada saya esok, minggu hadapan, tahun hadapan, dekad hadapan..semuanya saya persoalkan. Akhirnya saya lemas sendiri dalam fikiran dan kemungkinan sedang saya belum pun pasti adakah minit selepas ini saya masih bernafas. Bukankah dakwat sudah kering dan pena sudah diangkat? Apabila hari esok terlalu saya sebukkan dan mencemaskan diri dengan segala kemungkinan yang datang bersamanya maka secara tidak langsung kesedihan yang menimpa semalam akan kembali datang dalam fikiran. Dalam kecemasan dan kekalutan itu jarang sekali saya melihat bagaimana saya yang hari ini. Masih dengan segala lautan nikmat Allah yang tidak terbanding harganya. Kesihatan tubuh badan, orang-orang yang sangat saya sayangi di sekeliling saya dan yang paling berharga nikmat Islam dan iman. Kekesalan hari semalam dan kerisauan untuk hari esok melalaikan saya daripada mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan untuk saya hari ini...

Jangan pernah berputus asa dari rahmat Tuhan..

Selamat Tahun Baru Hijrah..

~Tuhanku.. apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu~

Motor Abah...

Entah kenapa hari ini saya betul-betul teringatkan abah. Tiba-tiba hati jadi sangat rindu pada abah. Memang diakui saya lebih rapat dengan emak berbanding abah. Emak sudah jadi seperti seorang sahabat saya yang paling rapat. Kepada emak saya akan ceritakan segalanya. Tiada rahsia di antara saya dan emak. Cuma dengan abah, bual-bual kami selalunya yang penting-penting saja. Tentang pelajaran, wang belanja, yuran sekolah dan masa depan.
Kebetulan suatu hari dalam salah satu panggilan mingguan saya ke rumah, abah yang menjawab panggilan:
"Assalamualaikum abah..Nana ni"
"Waalaikumsalam..Nana anak abah..ape khabar?"
"Alhamdulillah sihat. Mak ada?"
"Ada ni..mahu cakap dengan mak saja?Tak mahu cakap dengan abah?" tanya abah.
Saya terdiam. Selama ini kalau saya menelefon ke rumah, jika berkebetulan abah yang menjawab, pasti terus sahaja dipanggil emak untuk melayan saya berbual. Terasakah abah?Sungguh saya tidak ada niat mengenepikan abah. Cumanya biasanya perbualan saya, saya kira tidak sesuai untuk dicakapkan dengan abah. Bimbang nanti tidak mendapat respon sewajarnya. Abah orangnya kelakar dan suka berlucu. Tetapi abah biasanya tegas.
"Mahu kongsi rahsia dengan mak saja ya? Tak mahu kongsi dengan abah? Abah mahu tahu juga..." ujar abah seolah-olah merajuk.
"Eh tidaklah..mana ada rahsia..borak perkara biasa2 aje dengan emak"
Abah tergelak mendengar kekalutan saya di hujung talian. Dia seolah-olah menghidu keserba salahan saya. Dia faham mengapa anak perempuannya ini lebih rapat dengan ibu barangkali. Lalu abah segera menyerahkan telefon ke tangan emak. Abah selalu kata emak sentiasa tertunggu-tunggu di tepi telefon setiap hujung minggu menanti panggilan saya. Malah kalau abah bercakap lama sedikit di telefon dengan saya, abah katakan emak sudah melompat-lompat di sisinya cuba merampas telefon dari tangannya..huhu! Pasti terdengar suara emak sayup dibelakang menafikan kata abah. Dan akhirnya kami sama-sama ketawa saja.
Dahulu abah ada sebuah van besar untuk mengangkut kami adik beradik ke mana sahaja. Tiba saja hujung minggu pasti ada saja rancangan abah. Sama ada pulang ke kampung yang hanya setengah jam dari rumah kami, berjalan di bandar atau berkelah di pantai. Pulang saya selepas setahun di luar negara, saya lihat sudah tiada van putih yang banyak berjasa kepada kami itu. Kata abah, abah terpaksa jualkan kerana kesempitan wang. Saya tahu abah sedih dan susah hati. Pasti selepas ini susah mahu membawa anak-anak ke mana-mana. Yang tinggal hanya motor cabuk abah, yang abah tunggang ke tempat kerja. Atau jika sudah terlalu lama kami tidak keluar, abah akan pinjam kereta Abang Long. Melepaskan gian kami berjalan-jalan di pantai atau ke kampung.
Pernah suatu pagi saya meminta abah menghantarkan saya ke stesen bas untuk berprogram di Kuala Lumpur. Cuaca memang sudah sedia mendung dan hujan renyai sejak pagi lagi. Abah risau bagaimana mahu menghantar saya dengan motornya. Dia tidak mahu saya basah kuyup dalam hujan. Tetapi kami tiada pilihan..saya perlu juga mengejar bas yang berlepas awal pagi itu. Setelah hujan sedikit reda kami keluar. Emak membungkus beg pakaian saya dengan plastik agar tidak basah. Hujan semakin melebat dalam perjalanan ke stesen bas. Abah bertanya andai saya mahu berhenti berteduh. Namun masa sudah suntuk, saya bimbang terlepas bas.
"Teruskan saja abah. Nana boleh tahan.." ujar saya sambil terketar menahan sejuk yang mengigit.
Lalu abah melajukan pecutan motor agar segera sampai ke destinasi kami. Sepanjang jalan abah tidak henti bertanya keadaan saya yang membonceng di belakangnya. Sedang dia sendiri sudah basah kuyup meredah hujan. Manakan tidak baju hujannya diberikan kepada saya untuk dipakai tambah saya berlindung di belakang abah. Dada saya sebak mengenangkan pengorbanan abah. Dalam diam air mata saya bersatu dengan air hujan yang bertitisan di wajah saya. Abah.. Betapa dalam keadaan seperti itu abah masih hanya memikirkan keadaan anaknya ini tanpa sedikit pun mempedulikan keadaan dirinya sendiri. Akhirnya kami tiba ke stesen bas. Abah membukakan helmet dari kepala saya. Saya mencium tangan abah sebelum berkejar mendapatkan bas. Sempat abah meminta maaf melihatkan baju kurung saya yang basah kuyup itu. Abah..untuk apa maaf mu itu?
Saya sentiasa menjadi pembonceng setia abah apabila pulang bercuti. Pergi saya ke mana saja sentiasa di hantar dan di ambil abah. Malah sejak saya kecil lagi bagitu. Cuma bezanya dahulu dengan van putih itu dan sekarang di atas motor ini.
"Nana suka naik motor abah?" tanya abah suatu petang saat dia membonceng saya ke bandar.
"Suka..boleh main-main dgn angin. Naik kereta tak boleh cilok2. Lambat sampai sebab lekat kat trafik,"abah tergelak mendengar kata-kata saya.
"Nanti abah kumpul duit beli kereta. Senang Nana mahu ke mana-mana. Nana sabar ya.. doakan selalu abah murah rezeki untuk anak-anak" ujar abah.
Saya hanya tersenyum mendengar janji abah. Sedang saya tahu impian abah masih jauh dari jangkauan. Tetapi saya tahu abah sangat kuat berusaha ke arah itu. Saya sentiasa mendoakan abah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Eh Nana..kejap ye...abah dah balik,"ujar emak saat rancak berbual telefon dengan saya.
"Pulang dari mana mak?"
"Balik dari bawa Damia pusing-pusing naik motor tadi.. Damia suka benar kalau atuknya bawak pusing- pusing naik motor. Setiap petang mahu dibawa naik motor abah"
Saya hanya tersenyum. Benar..sangat seronok pusing-pusing ambil angin membonceng motor abah. Sedang si kecil itu pun menghargainya..apatah lagi anakmu ini... Baru saya sedar..saya merindukan saat-saat itu.
~Pertama kali menulis entry blog dengan linangan air mata~

Mata Hati

Assalamualaikum..masih lagi di bulan Syawal yang mulia..maka Salam Aidilfitri juga untuk semua..

Sebenarnya ada kerja kuliah yang masih tertangguh untuk disiapkan tapi hati sangat teringin pula untuk menulis lagi malam ini. Hari ini seharian keluar bersama flatmate..memenuhi undangan open house di sana sini. Baru hari ini terasa sedikit suasana Aidilfitri yang meriah..Alhamdulillah. Di mana-mana kelihatan jejaka2 segak berbaju Melayu dan gadis2 anggun berbaju tradisional..masing2 tidak melepaskan peluang beramai-ramai memeriahkan majlis sambutan tersebut. Sedikit sebanyak hidup suasana sambutan Aidilfitri seperti di Malaysia yang sekian lama saya rindui. Makanan pun yang enak2 dihidangkan.. Alhamdulillah tidak lupa pujian untuk Allah atas nikmat kurnianNya.. Sungguh, Dia Maha Pemurah.

Di awal majlis saya sangat gembira beramah mesra merapatkan ukhuwah sesama kami.. Ada wajah yang sudah agak lama tidak kelihatan dan tidak kurang wajah-wajah baru yang belum saya kenali. Salam dihulur dan bersambut, saling bertanya khabar dan sangat2 terasa kemanisan ukhuwah antara semua.. Dalam kemeriahan itu saya meminggir sebentar ke penjuru dewan.. demi menghilangkan sebu perut yang kekenyangan. Apabila kita keluar dari satu suasana..kita akan menjadi seorang penonton dan pemerhati yang sgt teliti. Minda dan perasaan akan menjadi sangat particular tentang apa sahaja yang kita perhatikan di depan mata. Benar kesempatan bersendirian di penjuru dewan saya ambil untuk melihat gelagat mereka yang hadir.. Entah.. saat itu suatu perasaan gelisah menyelinap ke dalam diri saya. Suatu perasaan kurang senang tiba2 mengganggu keamanan fikiran saya. Saya tiba2 tersedar.. Saya mahu segera meninggalkan majlis itu..

Majlis itu bagus aturcaranya..cuma mungkin ada beberapa perkara yang perlu dinilai dan difikirkan semula pada pendapat saya. Contohnya dalam menjaga pergaulan muslimin dan muslimat. Atau mungkin saya sahaja yang meletakkan expectation yang terlalu tinggi untuk majlis seperti itu..mengharapkan majlis yang ideal seperti yang saya bayangkan. Oh jangan salah anggap..saya bukan sengaja mencari2 salah dan kekurangan orang jauh lagi untuk menghukum. Ini refleksi untuk diri saya sendiri mungkin.. Kesempatan bersendirian bersama seorang ukht di majlis rumah terbuka lainnya selepas itu saya ambil untuk menghilangkan kekusutan di hati saya. Bertubi soalan2 yang saya tanyakan kepadanya meminta penjelasan. Dia arif membaca keadaan..dapat mengesan kegelisahan hati saya. Kata ukht itu..hati itu fitrahnya suci. Hati akan tenang kepada kebaikan dan gelisah kepada kemungkaran. Biasanya apabila melakukan kemungkaran, hati yang sensitif akan dapat mengesan dan wujud rasa kurang senang dengan apa yang dilakukan. Cumanya kita biasanya akan mencari sebab dan alasan, untuk menyedapkan hati dan membenarkan perbuatan. Jadinya kata ukht itu lagi perlakuan saya yang bertanya ketika itu adalah lahir dari hati saya yang gelisah terhadap sesuatu.Katanya:

" Usah pusing2 soal hukum hakam tentang satu2 perbuatan kerana kita bukanlah seorang yang fakih untuk menjatuhkan hukum.. cukuplah jika hati kamu kurang senang dengan sesuatu perkara, maka segera tinggalkan. Itu adalah yang lebih baik buat kamu"

Tiba2 teringat pulak bait2 lirik lagu Mata Hati..

Pandangan mata selalu menipu
Pandangan akal selalu tersalah
Pandangan nafsu selalu melulu
Pandangan hati itu yang hakiki
Kalau hati itu bersih

Hati kalau selalu bersih
Pandangannya akan menembusi hijab
Hati jika sudah bersih
Firasatnya tepat kehendak Allah

Tapi hati bila dikotori
Bisikannya bukan lagi kebenaran

Hati tempat jatuhnya pandangan Allah
Jasad lahir tumpuan manusia
Utamakanlah pandangan Allah
Daripada pandangan manusia

Sangat sesuai pula lirik lagu ini dengan apa yang saya hadapi hari ini. Benarlah.. hati yang bersih itu sentiasa cenderung ke arah kebaikan dan sensitif mengesan apa2 yang tidak baik.. Jika hati kita merasa kurang senang terhadap sesuatu yang kurang baik..insyaAllah..itu tandanya hati kita masih berfungsi untuk memandu kita ke arah yang benar. Maka berbahagialah orang2 yang sihat hatinya..Tetapi jika tidak..wallahualam..moga Allah pandu hati2 kita..amiin.. Bukan maksud saya untuk mengaku hati saya bersih di sini..cuma mungkin tiada yang salahnya pada majlis itu. Saya yang merasa kurang senang jadi mungkin hanya pada saya sahaja masalahnya. Apa yang penting ialah pandangan Allah pada kita dan bukan pandangan manusia yang kita ambil kira... Secebis ingatan untuk diri sendiri kerana seringnya saya banyak akur dalam memenuhi kehendak hati orang dikeliling saya meski bertentangan dengan kehendak hati saya.

Kalau saya jadi pembaca blog ini kan..saya pasti akan terfikir: (sengaja mahu jadi kritis terhadap blog sendiri)
"Dia ni kan..asyik kasi lirik nasyid jek kat blog die nih..takde idea nak tulih dah la tu. Pastu nak nampak entry die cam panjang2 dia tulih jek lirik nasyid panjang2"

Huhu..bukan ape.. nasyid kan salah satu method dakwah..Kalau kita dengar je tapi kita tak hayati makna yang cuba disampaikan dari nasyid tu maka tak tercapai la matlamat asal nasyid tu kan...Jadi selain daripada sebagai hiburan untuk kita..kita boleh la ambil sedikit sebanyak pengajaran kan..bak kata abang2 Raihan,

Berhibur tiada salahnya
Kerna hiburan itu indah
Hanya pabila salah memilihnya
Membuat kita jadi bersalah

("Alamak..lirik nasyid lagi die nih..adeh")

Hehe..A'la kulli hal...kita pun kenelah pandai pilih nasyid jugak..Tak semua yang dipanggil nasyid dan dinyanyikan oleh jejaka berkopiah dan gadis bertudung manis itu boleh meningkatkan iman. Jadi kita selaku orang2 yang bijak memilih yang baik dan buruk ini perlu juga pandai memilih apa yang bermanfaat untuk halwa telinga kita. Kalau boleh biarlah nasyid yang kita pilih tu boleh meningkatkan semangat kita untuk terus berjuang menegakkan agama Allah.. bukan cuma nasyid yang..

"Kutahu kau merinduiku..kau tahuku merinduimu..oh kasih~" (maafkan saya abang2 in-team..hehe)

Tapi tak cukup lah dengan mendengar nasyid kita boleh dapat kefahaman agama dan meningkatkan iman kita. Kita kenalah juga ambil inisiatif pegi kelas agama ke..belajar bahasa arab ke.. cari ustaz ke..untuk tambah kefahaman agama kita. Hiburan macam ubat yang kalau overdose boleh kasi kesan sampingan yang memudaratkan. Malah apa2 pun yang kalau berlebihan akan mendatangkan kemudaratan. Sebab itulah hikmahnya Islam menganjurkan kesederhanaan dalam apa2 juga yang kita lakukan.

Alamak jauhnya saya divert topik asal entry ni..dari soal hati ke soal nasyid pulak.. mungkin malam yang sudah lewat ini sedikit menjejaskan tumpuan saya. Makanya perlu untuk saya tidur sekarang. InsyaAllah bertemu lagi di lain entry.. terima kasih kerana meluangkan masa membaca bebelan dan omelan saya yang tidak sepertinya ini.. InsyaAllah saya menulis bukan untuk orang lain tetapi lebih kepada diri sendiri.. wassalam..

~Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada mengalir sungai-sungai daripadanya. Dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluar mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan~ (Al-Baqarah:74)

Doa Untuk Dia..

Ya Rahman Rahim, Tuhan Maha Penyayang...

Dengan luasnya kasih sayangMu yang tak terperi, rahmatilah dirinya,

Dekaplah ia dengan hangatnya kasihMu,

Cengkeram ia dengan cintaMu hingga larut seluruh kediriannya.

Sematkanlah dikedalaman kalbunya

Bahawa cinta dan kasih sayang yang akan ia taburkan,

Hanyalah manifestasi dari agungnya Rahman RahimMu.

Hadiahkan ia indahnya ketulusan mengabdi padaMu dan kepada makhlukMu.


Tuhan Maha Mendengar...

Rawatlah pendengarannya,

Hingga al-Qurâan dan Hadis kekasihMu Muhammad,

Adalah gelombang suara terindah yang direkam gegendang telinganya,

Jarakkan ia dari suara-suara yang menumpulkan hati

Dan hanya membimbing kepada permusuhan dan fitnah.


Ya Bashir, Tuhan Maha Melihat...

Karuniakan ia mata yang menangis melihat kerapuhan dan kedzaliman dirinya,

Mata yang berlinang ketika melihat penderitaan hamba-hambaMu,

Mata yang basah karena merinduiMu,rindu untuk menatap wajahMu.

Jauhkan pandangannya dari maksiat yang menggoda,

Luruskan tatapannya pada keadilan, ketulusan dan kebenaran.

Bukakan tabir bagi matanya untuk mampu melihat bahwa di setiap apapun saja,

Ayat-ayatMu bersembunyi dibaliknya menawarkan kearifan


Tuhan Maha Perkasa...

Buatlah darahnya bergolak untuk berjuang dijalanMu,

Panaskan darahnya untuk bersegara

Menjemput dan melakukan kebaikan serta pengabdian.

Bekukan darahnya agar tidak mampu melakukan kesalahan dan maksiat


Ya Allah Ya Muqallibal Qulub...

Mantapkan hatinya meniti jalanMu.

Kuatkan batinnya untuk mensetiaiMu dalam kesedihan dan kegembiraan.

Lembutkan hatinya untuk melembuti makhlukMu,

Jadikan hatinya taman bagiMu,

Selalu gembirakan pula hatinya dengan mengingatMu tanpa waktu.

Kirimkan kesabaran dikala musibah dan duka menindihnya,

Serta bukalah pintu pemecahan dengan selalu bergantung pada cinta dan kekuasaanMu


Ya Mannan, Pemberi anugerah...

Anugerahkan ia jiwa qonaah, rendah hati, dan tawakkal,

Jiwa damai dan khusyuk disetiap detak nadinya..


Semoga Allah Robbul Alamin mengabulkan Doa ku.

Ameen ya rabbal alameen

Maafkan saya andai saya pernah melalaikan..Semoga kita sentiasa dalam keredhaan Allah SWT..

Hati versus Akal

Assalamualaikum wmt wbt

Pernah suatu petang saya duduk2 berbual bersama emak di ruang tamu. Adik2 saya yang kecil turut di situ, menyiapkan kerja rumah masing2. Abah sudah berpesan jangan dibenarkan mereka keluar bermain selagi belum disiapkan kerja sekolah tambah pula mentari masih terik di luar. Adik saya yang bongsu saya lihat sangat bersungguh menyiapkan kerja rumahnya, mungkin sudah berjanji dengan rakan-rakannya untuk keluar bermain petang itu. Sesekali dia menggaru kepalanya yang separa botak itu apabila ada soalan latihan yang tidak mampu dijawab. Tiba-tiba saya lihat adik menumbuk-numbuk dadanya dan menampar-nampar mulutnya sendiri. Hairan saya melihat perlakuan adik. Saya cuit emak yang sedang ralit menjahit lalu menunjuk ke arah adik..

" Adik kenapa tumbuk2 dada macam tu? Buat kerja rumah elok2..soalan yang tak tahu tanya pd kak chik" ujar emak.
" Selalu dia buat macam tu..tak tahulah kenapa budak ni? " emak berbisik kepada saya.

Adik diam, wajahnya mencuka. Saya pandang adik..Rasa ingin benar tahu kenapa sehingga begitu dia memperlakukan dirinya. Pasti itu bukan sekadar hukuman untuk dirinya kerana tidak mampu menjawab soalan latihan yang ditugaskan. Saya bertanya kepadanya apabila saya lihat dia sekali lagi menumbuk2 dadanya dan diikuti dengan tamparan kecil di mulutnya. Apa yang tidak kena dengan adik??

" Adik geram la kak chik..hati adik tak mahu berhenti-henti bercakap sebab tu adik tumbuk2 dada ni suruh dia berhenti"
" Dia cakap apa? " tanya saya yang hairan mendengar pengakuan adik.
" Dia selalu cakap..mak jahat..mak jahat..jangan ikut cakap mak..mak tak sayang adik.." kata dia perlahan.
" Jadi kenapa tampar mulut? "
" Takut apa yang hati adik cakap keluar kat mulut. "

Masya Allah..Saya masih ingat lagi ketika itu adik baru berumur 8 tahun (sekarang dia sudah berumur 10 tahun). Sayangnya masa itu saya tidak ambil pusing tentang hal itu.. memikirkan remeh perasaan seorang budak kecil seperti adik. Entah kenapa tiba2 malam ini saya teringat semula tengahari yang terik itu.. Mungkin kerana sekarang saya sedang mengalami situasi yang sama dengan apa yang adik alami. Bila kehendak dan keinginan hati meminta sesuatu yang bertentangan dengan waras akal. Tapi saya selalunya tidak sekuat adik yang kecil itu. Saya tidak mampu menumbuk2 dada seperti adik, demi melatih hati supaya mengikut kata akal yang waras. Sering juga mulut saya menuturkan kata sebelum berfikir. Saya tidak seperti adik yang mampu menampar-nampar mulutnya memberi peringatan jangan terlalu becok berkata. Maka seringnya saya menyerah saja kepada keinginan hati walau saya tahu salahnya. Mungkin tidak tepat jika saya katakan keinginan itu dari hati tetapi lebih kepada nafsu mungkin. Nafsu yang sentiasa mendesak untuk dipenuhi dan selalunya amat sukar dikawal. Saya selalunya kalah..

Ramadhan ini buktinya. Jika hari2 lain mungkin boleh diletakkan kesalahan itu kepada syaitan yang menghasut.
" Oh~ aku buat salah ni mesti sebab syaitan yang goda2 aku ni " ialah kata-kata untuk membuang rasa berdosa dalam diri.
Jika begitu di bulan mulia ini sepatutnya saya tidak langsung terniat melakukan dosa kerana syaitan semua diikat dan tiada lagi yang menghasut ke arah dosa. Bila memuhasabah diri, kenapa masih ada keinginan melakukan dosa?? Saya tahu sesuatu perkara itu salah dan tidak harus saya lakukan tetapi masih berkeinginan melakukannya. Oh~ rupanya saya terlupa akan kewujudan nafsu. Nafsu yang telah melalui latihan intensif oleh syaitan sepanjang tahun sebelum mereka diikat sebulan di bulan Ramadhan. Nafsu yang telah melalui keterbiasaan melakukan dosa akan terus berfungsi merosakkan manusia walau dengan tiada wujud syaitan untuk mengendalikannya. Ia sudah jadi automatik!! Bahaya..bahaya!! Saya dalam bahaya! Lalu bagaimana saya dapat meng'switch off' kan nafsu yang sudah jadi automatik ini??

Sepatutnya Ramadhan ini medan latihan saya untuk menjinakkan semula nafsu.. Kerana cabarannya sepatutnya semakin berkurangan tanpa wujudnya syaitan. Ramadhan semakin meninggalkan sedang tidak banyak kemajuan dalam latihan diri yang mampu saya sempurnakan. Keluarnya dari Ramadhan ini sepatutnya sebagai hamba Allah yang lebih baik dari segala segi..amalnya dan akhlaknya. Jika masih sama seperti sebelumnya maka jelas tiada apa yang dimanfaatkan daripada Ramadhan itu melainkan sekadar berlapar dahaga kosong sahaja... Tinggal berbaki beberapa hari saja dan saya tidak pasti akan bertemu lagi dengan Ramadhan seperti ini.. Masih berkesempatankah saya?

~Tuhan..leraikanlah dunia yang mendiam di dalam hatiku. Kerana di situ tidak ku mampu menghirup dua cinta..Hanya cinta mu ku harap tumbuh..dibajai bangkai nafsu yang ku bunuh..~

Dear Saudari Pelik binti Ajaib

Assalamualaikum..

Sungguh saya tidak sangka yang tahun pertama di universiti (bahkan minggu pertama ini!) akan jadi sesibuk ini. Saya tidak langsung berkesempatan untuk duduk2 di hadapan komputer, menitipkan entry terbaru untuk blog ini. Barangkali juga kerana bulan Ramadhan, jadi malam2 saya biasa terisi dengan aktiviti bersama kawan2 dan kakak2..mengimarahkan Villa Leaminton kami yang indah permai ini. =)) Hari ini kelas hanya separuh hari, jadi petang ini dapatlah saya meluangkan sedikit masa menulis untuk blog ini. Hmm...kejap..nak fikir sebentar apa yang dapat saya kongsi kali ini *thinking...*

Sebenarnya saya berasa pelik...kenape saya berasa pelik? Sebab dunia ini sememangnya sudah pelik. Mentaliti penghuninya juga sudah ikut2 pelik. Perkara-perkara baik sudah dipandang sebagai sangat pelik sebab manusia pun sudah jadi pelik. Manusia jadi pelik sebab nilai2 kurang baik sudah sangat bersebati dalam masyarakat. Sudah berakar umbi dan diterima sebagai norma hidup kini. Kalau dahulu perkara-perkara tak elok ini dipandang pelik tetapi sekarang tidak lagi. Sebab itulah saya katakan masyarakat sekarang sudah pelik sebab nilai2 yang pelik sudah dianggap sangat biasa.

(eh minah!ape yang ko merapik kat atas tuh..ape ko wat perangai pelik2 nih?)

Saya teringat apabila saya pulang bercuti musim panas tahun ini, ramai yang anggap saya sudah menjadi semakin pelik. Kenapa? Kerana baju saya sudah longgar..dan tudung saya sudah besar. Lantas saya di pandang seperti makhluk bermata satu. Oh~kenapa ni? Apa yang tidak kena dengan saya?

Terkenang perbualan dengan seorang kakak semasa menghadiri kem motivasi dengan adik2 pusat2 persediaan:
"Kamu nih peserta program apa kat cni?" (kebetulan pada masa yang sama ada beberapa program berasingan berlangsung serentak di situ)
"Oh..saya dengan kawan2 join program motivasi untuk persediaan pelajar ke luar negara"
"Owh..persediaan ke mane ye? ke Mesir ke?"
"Eh tak..ke UK insyaAllah" (lalu kakak itu memandang saya dengan pelik)

Lantas teringat perbualan dengan saudara saya yang masih kecil:
"Seingat saya..akak nih dulu belajar kat UK..kenapa bila balik nih macam balik dari Mesir?" (oh~ Mesir lagi)

Oh..barulah saya faham..rupanya saya telah menongkah arus normaliti. Kalau belajar di UK perlu la kena gayanya. Patutlah bila saya pulang bercuti tahun lepas tiada yang mengatakan saya pelik. Kerana waktu itu saya dianggap seorang pelajar yang 'normal'. Kerana baju saya yang singkat dan seluar saya yang ketat bertepatan dengan persepsi mereka tentang orang yang belajar di luar negara mungkin. Sepatutnya ketika itulah saya di pandang pelik..Bertudung konon menutup aurat tetapi ada bahagian yang terdedah dan kelihatan susuk tubuh yang tidak seberapa indah. Tak ubah seperti tudung lauk atas meja bimbang dihinggap lalat tapi tudung saji yang diguna berlubang sana sini. (tak ke pelik tu?) Lalat pun suka2 hati masuk hinggap pada makanan lalu berpesta pora (ayat edisi siasat sket..hehe!) mengisi perut sehingga kenyang. Tinggallah makanan itu basi saja di situ, tiada sesiapa yang sudi menjamah lagi akhirnya (hiperbola sangatkah analogi saya?) Lantas tercapaikah matlamat sebenar makanan itu tadi ditudungkan?

Bercakap tentang perubahan, teringat perbualan saya dengan kakak2 semasa moreh semalam. Berbincang tentang betapa pentingnya istiqamah dengan apa yang kita lakukan. Kerana itu perubahan perlu sedikit-sedikit dan jangan terus drastik. Para sahabat contohnya belajar, faham dan yakin melalui satu proses yang panjang. Jadi keyakinan mereka itu mantap dan kuat lantas kerana itu mereka sanggup menghadapi apa juga cabaran dalam mempertahankan keimanan mereka. Proses penanaman iman itu merupakan suatu proses yang panjang. Apa yang menyebabkan kita mahu berubah sebenarnya? Adakah kerana ikut-ikutan dan mahukan pujian orang atau sememangnya kita sudah faham dan yakin bahawa kita berubah kerana semata-mata mengharap rehda Allah? Uuh..ketika itu hati sedikit tersentuh. Memuhasabah diri sendiri. Memang secara luarannya saya banyak berubah tetapi adakah proses perubahan itu turut berlaku di dalam diri saya? Saya lihat masih ada lagi perkara2 yang sepatutnya saya tinggalkan masih belum mampu saya halau terus dari diri saya. Saya kadangkala masih seperti saya yang dulu..masih ada sifat mazmumah yang belum mampu dibuang. Jadi sebenarnya berjayakah proses transformasi ini? Umpama kulit sahaja yang berganti baru sedang isi di dalam belum disembuhkan.. masih bernanah dan berulat. oh~ Sepatutnya apa yang terlihat di luar adalah refleksi daripada apa yang terhasil di dalam hati.

Tapi seorang ukht menambah.. yang ini sedikit melegakan hati saya.
"Ada sesetengah orang yang perlukan sesuatu yang ekstrim. Contohnya mengubah seluruhnya dirinya secara mendadak dan kemudian dengan itu secara tidak langsung dia membaiki sedikit demi sedikit dalamannya. Rasanya tidak salah cara ini..at least i think it works well for me"

Saya fikir ada betulnya juga. Apabila kita sudah berkeputusan untuk membawa perubahan pada luaran kita walau dalamnya belum cukup mantap, paling kurang kita ada rasa kepeluan untuk membangunkan dalaman kita supaya seiring dengan perubahan yang kita telah lakukan. Proses yang dinamakan PERUBAHAN itu bukanlah suatu proses yang statik yang akan berhenti apabila selesai. Saya rasa ia adalah suatu proses yang dinamik dan berterusan. InsyaAllah selagi kita rasa diri kita belum cukup baik..selagi itu pasti ada usaha untuk kita membaikkan diri. Semoga saya terus istiqamah dengan apa yang saya usahakan sekarang. Doakan saya ye, semua?

wassalam..

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (Surah As Shaff ayat 2-3)

Kembali Di Sini

Assalamualaikum..

Sudah agak lama saya tidak menulis..barangkali rakan-rakan yang baru berjinak-jinak dengan blog cabuk saya ini sudah terfikir yang saya sudah jemu barangkali. Sebenarnya sejak entry yang terakhir itu saya disibukkan dengan persiapan untuk pulang semula ke bumi United Kingdom ini. Meluangkan lebih masa bersama keluarga dan mencukupkan apa yang kurang. Alhamdulillah saya sudah selamat sampai di sini bandar Manchester ini setelah melalui perjalanan yang sangat menguji kesabaran saya.

Manakan tidak, setibanya di kaunter check in (setelah hampir dua jam menunggu kaunter dibuka) saya diberitahu penerbangan pada hari itu sudah penuh jadi tiada tempat lagi untuk saya kerana kebetulan ada rombongan besar pelajar Malaysia ke Mesir pada malam itu. Mahu tidak mahu terpaksa saya menunggu sehingga jam 2.30 pagi bagi mengetahui untung nasib saya. Sama ada berjaya untuk menyelitkan diri dalam penerbangan pada malam itu atau esok pagi sahaja saya berlepas. Alhamdulillah rezeki saya..masih ada tempat untuk saya pada malam itu meski hati ini sedikit berharap agar dapat saja saya ditukarkan ke penerbangan pagi esok. Dapatlah saya meluangkan sedikit lagi masa bersama keluarga malam itu. Tepat jam 3 pagi saya berlepas meninggalkan tanah air tercinta.

Dari Heathrow saya perlu mengambil bas ke Manchester dan perjalanan memakan masa selama dua jam. Saya bersendirian kini kerana Sarah terpaksa meneruskan perjalanannya ke Glasgow. Badan sudah sangat letih setelah 14 jam di dalam penerbangan di tambah dengan transit di Doha. Setibanya di Birmingham saya perlu menukar bas lain untuk sampai ke Manchester. Perut pula sudah berbunyi minta di isi...melihatkan vendor machine saya segera menyelongkar beg tangan saya mencari dompet. Muka saya pucat tidak berdarah..Purse saya hilang!!! Sempat saya beristighfar perlahan dan cuba menenangkan diri sendiri. Saya cuba juga mencari di dalam beg-beg yang lain tapi jelas mengecewakan. Air mata sudah bergenang...saya panik.! Sudahlah bersendirian di tempat asing itu, tiada satu sen pun dalam poket saya ketika itu. Dalam telefon bimbit saya pula tiada nombor sesiapa yang dapat saya hubungi untuk meminta bantuan..(oh~~). Saya sudah mula teresak di situ. Yang ada dalam kepala saya cuma dua nombor telefon..ayah saya dan seorang yang lain di Malaysia.

Mahu tidak mahu terpaksa saya menghubunginya mengadu nasib dan meminta bantuan kerana saya sudah benar-benar buntu..Kasihan dia yang saya ganggu tidurnya seawal2 pagi di tanah air. Tidak lama selepas itu ada akhawat yang menghubungi saya selepas itu..menenangkan saya dan mencadangkan tindakan yang selanjutnya (Thanx a lot!!). Segera saya menelefon bank membatalkan kad debit saya. Saya cuba bertenang dan berfikir semula di mana mungkin saya purse saya itu tercicir..mustahil pula di curi orang sedang beg tangan saya itu sentiasa tersangkut di bahu. Mungkin di dalam bas kerana tabiat saya tidak pernah menutup beg tangan saya..jadi barangkali sudah tercicir. Lantas teringat bebelan emak ketika berjalan di pasar dengannya, mengingatkan saya supaya sentiasa menutup beg tangan saya. (Oh~inilah akibat ingkar cakap ibu) Saya cuba2 nasib bertanya di kaunter andai ada insan yang baik hati terjumpa purse saya lantas di pulangkannya ke kaunter National Express itu. Belum sempat saya habis bertanya, wanita di kaunter itu mengunjukkan purse merah jambu itu kepada saya. Alhamdulillah..syukur sangat-sangat..Semoga dikurniakan kebaikan kepada insan yang baik hati itu..amiin..

Lewat jam 11 malam akhirnya saya selamat sampai ke Manchester. Alhamdulillah hati sangat lega apabila melihatkan wajah-wajah yang saya kenali setibanya di tempat tinggal saya. Saya sudah sangat penat malam itu..tetapi masih belum juga dapat melelapkan mata. Hanya berbaring di katil sambil merenung siling. Sedar tidak sedar sudah kembali semula saya di sini. Sudah berakhir 4 bulan yang sangat menyeronokkan (kadang2 sedikit bosan) dan saya kembali meneruskan perjuangan saya yang belum selesai di bumi asing ini. Kembali memuhasabah diri akan bagaimana terisinya masa-masa kosong saya ketika bercuti di tanah air. Waktu peralihan dari zaman kolej ke universiti..Banyak yang saya kutip sepanjang 4 bulan itu..cuma semuanya masih tersimpan berlonggok di dalam guni khazanah dalam kepala saya. Belum lagi dikeluarkan satu persatu untuk dinilai dan digunakan mana yang baik.

Melihat kembali cuti saya kali ini rasanya jauh lebih baik daripada cuti yang lepas. Alhamdulillah.. masa yang lapang saya gunakan untuk mencari sebanyak mungkin ilmu dan proses tarbiyah diri juga berterusan. Cuti saya juga tidak sunyi kerana sering sahaja ditemani rakan-rakan dan kakak-kakak yang mempunyai keinginan yang sama dan berjuang di jalan yang sama. Abah dan emak yang pada mulanya berat melepaskan setiap kali saya meminta izin keluar akhirnya sudah mula faham akan keinginan dan kecenderungan saya. Cuma tidak dapat di elak ada juga masa yang saya bazirkan dengan kelalaian sendiri. Sama ada dengan bermalas-malasan di rumah atau dengan aktiviti yang tidak meningkatkan iman..oh~ Sedang banyak kerja yang saya rancangkan dalam kepala tetapi hanya berapa kerat sahaja rancangan itu yang berjaya saya usahakan.

Kini sudah hampir seminggu saya mengikuti induksi di universiti. Dalam kesibukan itu sedar tidak sedar, esok Ramadhan menjengah kembali. Ramadhan saya kali ini pastinya jauh berbeza daripada Ramadhan saya sejak dua tahun yang lepas. InsyaAllah..harapnya dengan suasana yang berbeza di sini saya kembali bersemangat mengejar rahmat dan mencari keberkatan bulan yang mulia ini. Di tambah pula dengan rakan-rakan dan kakak-kakak di sekeliling saya yang saya lihat turut bersemangat mahu menghidupkan malam-malam Ramadhan kami. Ramadhan saya kali ini pastinya lebih meriah... =))

Entry saya kali ini saya akhiri dengan sajak yang sempat seorang sahabat bacakan sepulangnya kami dari majlis menyambut Ramadhan tadi..

Andai Ini Ramadhan Terakhir

Wahai dikau... renunglah engkau akan nasib diri

Wahai qalbu... sedarkah engkau akan gerak hati

Wahai aqal... terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi
Andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir kali
Buatmu sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian... adalah sesuatu yang pasti

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya engkau sibuk berzikir
Biarpun anak tekak kering kehausan air
Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
Mendayu... merayu... kepada-NYA Tuhan Yang Satu

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjai... sungguh khusyuk lagi tawadhu'
Tubuh, minda, dan qalbu... bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"Inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi Rabbil 'alamin"
[Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tidak akan kau persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal kau dendang... bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu malammu engkau sibukkan dengan pesta-pestaan
Bertarawih.. . berqiamullail. .. bertahajjud. ..
Mengadu... merintih... meminta belas kasih
"Sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
Tapi... aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
Oleh itu duhai Ilahi... kasihanilah daku hamba-MU ini

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu dirimu tak akan melupai mereka yang tersayang
Ayuh ke mari kita meriahkan Ramadhan
Kita buru... kita cari... suatu malam idaman
Yang lebih berkat dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu engkau bakal bersedia batin dan zahir
Mempersiap diri... rohani dan jasmani
Menanti-nanti jemputan Izrail
Di kiri dan kanan ... lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi...
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
Jadikanlah ia Ramadhan paling bererti... paling berseri...
Menerangi kegelapan hati-hati kami
Menyuluhi diri ke jalan menuju redha serta kasih sayang-Mu Ya Ilahi
Semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun saudara...
Tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
Samada Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali
Hanya yang termampu bagi seorang hamba itu
Berusaha... bersedia... meminta belas-NYA
Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita...

Andai ini Ramadhan terakhirku Ya Allah...moga Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik untukku amiin..