Memaparkan catatan dengan label Pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pengalaman. Papar semua catatan

Tentang perkahwinan..

Assalamualaikum..

Aduh..payah juga menguruskan hal nikah kahwin ni ya? Sudah sebulan di rumah ini saya disibukkan dengan perkara-perkara recah dan remeh. Baru sekali dapat meloloskan diri ke program tarbiyah. Selebih waktunya di'tahan' di rumah atas sebab banyak perkara yang perlu diselesaikan sebelum majlis. Mujur ada internet di rumah. Paling kurang dapat juga saya melakukan sesuatu dari meja ini. Kalau ikut Islam sajakan mudah.. Kalau masa sekolah dulu mahu hafal rukun nikah ingat saja SISWA!
S - suami
I - isteri
S - saksi
W - wali
A - akad

Kalau sudah berkemampuan, cukup saja semua rukun ini sudah boleh nikah. Kemudian adakan saja sedikit jamuan kecil bagi meraikan dan menghebahkan pernikahan itu. Mudah bukan? Tapi masyarakat Melayu disibukkan dengan adat-adat yang dicelup entah dari mana. Yang bukan sahaja menyusahkan dan menambah beban tapi bertentangan langsung dengan matlamat sebenar walimatul urus. Dengan upacara sandingnya, tepung tawarnya, perlu pula sewa baju lagak pakaian diraja yang bukan sedikit belanjanya. Kadang-kadang ambil masa berbulan-bulan membuat persiapan untuk hari bahagia itu. Lari terus dari matlamat sebenar walimatul urus. Majlis perkahwinan yang sepatutnya bebas dari sebarang penonjolan kemewahan dan sepatutnya hanya mementingkan semangat persaudaraan Islam. Aduh.. apa guna pintunya saja terhias cantik tetapi rumahnya nanti kosong bukan? (ini saya ambil kata seseorang). Tengok saja majlis pasangan popular Erra dan Yusry yang makan belanja ratusan ribu ringgit hingga layak digelar 'wedding of the year'! Akhirnya tidak sampai beberapa tahun perkahwinan, mereka berpisah kerana katanya sudah tidak sehaluan. Bukanlah saya bergembira atas kisah sedih mereka..cuma mahu mengambil sebagai teladan. Tak salahkan?

Ramai antara sahabat sebaya sudah mempunyai pilihan hati masing-masing. Ada antaranya yang sudah bertahun-tahun bercinta. Bila ditanya bila mahu melangsungkan, masing-masing mengeluh. Bukan tidak mahu tapi duit masih belum cukup. Kalau tidak ada paling kurang RM20 000 dalam akaun simpanan, jangan mimpilah mahu menikah. Kalau menikah di negeri saya ini mahar yang wajibnya hanya RM22.50. Tetapi yang membebankan ialah wang hantaran yang melambung mengikut harga pasaran itu. Tidak dinafikan saya juga tidak dapat lari dari adat dan tradisi perkahwinan yang sudah bersebati dengan masyarakat. Emak juga mahu melihat anak perempuannya ini seperti anak-anak gadis orang lain. Tambah pula saya anak gadisnya yang pertama. Saya juga mahu melihat emak saya gembira. Mahu tidak mahu apa yang boleh saya toleransikan dengan emak saya ikutkan saja, selagi tidak bercanggah dengan syara'. Baru saja tadi saya di 'brain wash' oleh mak andam yang juga jiran belakang rumah.

"Kamu ni kenapa awal sangat kahwinnya? Belajar dulu kasi habis, kemudian ade kerjaya dulu. Barulah fikir pasal kahwin. Dah ada duit banyak baru seronok buat kenduri kahwin boom bam! Ini tidak.. nak buat mewah sikit, kene fikir bajet,"

Saya hanya tersenyum pada makcik itu. Bajet itu alasan saya saja, soalnya saya memang tidak mahu. Namun perasaan perlu hormatkan dia selaku orang tua lebih mengatasi keinginan hati saya untuk membalas cakap-cakapnya. Kasihan dia jadi mangsa keadaan. Terperangkap dalam mentaliti materialistik yang kolot dan mengarut yang entah ditetapkan oleh siapa. 'Kemampuan untuk bernikah' dalam masyarakat hari ini terletak pada segulung ijazah, lumayannya gaji dan besarnya kereta dan rumah. Yang menyebabkan remaja-remaja hari ini terperangkap dalam hubungan cinta terlarang sementara menunggu diri masing-masing 'mampu'. Kemudian orang-orang tua mahu bising-bising pula dengan meningkatnya statistik khalwat, zina, buang anak dan anak luar nikah.

------------------------ iklan sekejap ----------------------------

"Kami dulu pun muda jugak.. zaman kami dulu tak ada pun masalah-masalah sosial mcm korg ni? Makin menjadi-jadi pulak budak-budak muda zaman sekarang ni ye Kak Timah (bukan nama sebenar), " kata Makcik Eton (juga bukan nama sebenar) sambil terjuih-juih mulutnya menyatakan kekecewaan dia terhadap muda mudi zaman sekarang. Makcik-makcik yang lain mengangguk-angguk mengiyakan.

Kelihatan Makcik Timah melangkah pulang..

Tiba-tiba sebuah motosikal berhenti tidak jauh daripada tempat makcik-makcik itu berkumpul dan berbual. Gadis genit yang membonceng turun sambil si lelakinya membantu menanggalkan topi keledarnya. Mereka berbual-bual sebentar, sesekali ketawa kecil sambil si gadis mencubit manja lengan si jejaka. Makcik-makcik hanya memerhati dari jauh. Sempat si jejaka melambai sambil tunduk hormat pada emak si gadis sebelum berlalu pergi.

"Anak perempuan kamu tu Eton? " tanya Cik Timah. Makcik Eton mengangguk-angguk sambil tersenyum-senyum.
"Rapat benar dengan budak lelaki tu aku tengok? Sporting benar pulak kamu pun. Mengapa tak dinikahkan saja diaorg? Anak kau pun dah habis belajar kan?"
"Ish..biarlah dulu dia org berkawan Timah.. Biar serasi betul-betul dulu, duit pun belum cukup lagi tu. Aku ingat nak buat majlis kahwin dia org besar-besar nanti. Maklumlah Milah tu je lah anak perempuan aku sorang"

----------------------------- iklan tamat ------------------------------

Semasa awal-awal minta keizinan emak untuk menikah, emak membantah. Katanya saya masih muda amat, belum cukup matang untuk melalui alam rumahtangga. Tapi bukankah emak dulu pun berkahwin dengan abah semasa seusia dengan saya sekarang? Kata emak saya tak boleh bandingkan dahulu dan sekarang. Dahulu lain..sekarang lain. Kalau dahulu gadis seusia saya hanya belajar hingga tamat sekolah, kemudian duduk di rumah menunggu pinangan. Gadis zaman sekarang sudah panjang langkah, belajar pun sudah lebih tinggi jadi umur seperti saya ini masih perlu tumpu perhatian pada pelajaran dan jangan sibuk mahu berumah tangga. Tapi emak.. benar zaman dan keadaannya berbeza tapi fitrah manusia tetap sama kan? Fitrah manusia ingin berpasangan dan berteman. Dan Islam memberi penyelesaian untuk menyalurkan fitrah ini, melalui pernikahan. Pernikahan itu menjaga kehormatan diri.. menjauhkan perbuatan zina dan mukadimahnya.

Tetapi bercinta sebagai pra-syarat perkahwinan suatu kemestian yang sudah diterima sosial. Masyarakat sekeliling lebih pelik dan bising bila budak berumur 21 tahun seperti saya menyatakan hasrat mahu berumah tangga. Tetapi mereka melihat pemuda-pemudi seusia saya sesuka hati berpegangan tangan dan berpelukan tanpa sebarang ikatan itu sebagai biasa-biasa saja. Itu lebih normal pada pandangan mereka. Dunia sekarang sudah terbalik. Alasan mahu menjaga diri dan hati tidak cukup untuk menutup mulut orang-orang sekeliling. Apatah lagi kalau saya menjawab, saya berkahwin kerana mahu melajukan lagi kerja dakwah saya. Mahu juga nanti saya digelar extremis. Kadang-kadang ada juga saya goyah bila diasak dengan kata-kata orang. Namun kembali saya mengingatkan diri tentang tujuan asal perkahwinan saya. Akhirnya saya berkeputusan untuk diam saja...

Waah.. panjang pula bebelan saya kali ini. Luahan perasaan setelah sekian lama saya pendam sendiri-sendiri. Lagi pun sudah lama benar tak update blog yang kata Encik Kambing makin tak lawa ini. Permisi dulu ya.. mak ajak ke kedai beli bunga telur pula. Haih.. baru saya tahu telur yang selama ini sy fikir dari ayam itu datangnya dari pokok berbunga renda warna-warni kuikui!

Ikatan

Assalamualaikum..

Kadang-kadang Tuhan mahu memberi sesuatu dari arah yang tidak kita sangka-sangka. Saya sepatutnya amat gembira setelah hampir sekian lama menanti restu. Namun saat saya menerima berita itu, perasaan takut itu lebih mengatasi gembiranya. Takut memikirkan tanggungjawab yang bakal datang bersama ikatan itu. Sedang diri ini serasa belum bersedia untuk menerimanya. Masih berbaki beberapa bulan sebelum saya melangkah ke alam itu.. Sedang diri ini rasanya masih lagi seperti anak-anak kecil. Yang air matanya seringkali menitis kerana yang remeh-remeh. Yang masih mahu digula-gulakan dengan yang indah-indah. Saya mengadu kegusaran saya pada seorang teman. Katanya "Jika kamu tidak bersedia... Allah tidak akan memilih kamu untuk menerimanya". Bersediakah saya?

Kata seorang ukhti yang saya jemput di stesen bas lewat petang semalam,

"Perkahwinan itu suatu universitas tinggi yang amat lengkap untuk manusia. Di dalamnya ada fakulti kesabaran, keimanan, dan macam-macam lagi. Dalam masa-masa menantimu ini.. tambahkan ilmu dan sentiasa sabar menjaga. Semoga sentiasa sakinah rumahtanggamu itu nanti ya ukhti.."

Saya hanya tersenyum.. namun hati ini Tuhan sendiri tahu bagaimana golaknya. Saya tahu kisah saya sangat jauh dari sempurna. Menjadi pendamping kepada seorang mujahid yang mahu berjuang di jalanNya tentu bukan satu tugas yang mudah. Di situ nanti memerlukan ketabahan dan ketahanan yang maha hebat. Sedang saya masih amat rapuh, mudah berderai saat diuji dengan sedikit ujian. Tambah situasinya nanti lain dari yang normal. Ikatan itu hanya sekadar ikatan sedang nantinya masing-masing terpisah oleh lautan. Saya sedar saya sedang menongkah arus. Makanya perlu saya buktikan pada yang melihat, walaupun begitu kisahnya, saya masih bisa sampai ke destinasi. Walau tibanya lambat.. walau nanti amat penat.



Pinjam dan Pulang

Salam kembali

Hari ini saya mahu berkisah tentang kejadian pagi tadi... Awal-awal pagi lagi saya keluar seperti biasa.. sudah berjanji untuk bertemu dan berbincang mengenai rumah kami untuk tahun akademik depan di Oxney. Pagi ini seperti pagi-pagi yang lainnya.. tiada banyak beza.. sama seperti pagi semalam semasa saya keluar awal-awal pagi ke taman untuk beriadah. Musim bunga sudah menjengah.. matahari masih malu-malu memancarkan cahayanya. Hujung minggu kali ini minggu rehat kami.. setelah hujung-hujung minggu kami sepanjang bulan lepas dan yang mendatang selepas ini bakal dipenuhi pelbagai program dan aktiviti. Rehat mungkin perkataan yang kurang tepat tetapi lebih kepada time off untuk memberi sedikit ruang kepada diri sendiri. Menilai dan mencari kekuatan. Kata seorang ukhti.. kalau pisau itu hari-hari digunakan, hingga untuk mengasahnya sebentar pun dirasakan merugikan masa, lambat laun akan tumpul juga... InsyaAllah.. jalan yang kita pilih ini menjanjikan kerehatan abadi di akhirat sana. Kerana penat lelah kita sekarang ini bukan untuk mencari kerehatan dunia.. insyaAllah..insyaAllah.

"Tak rugi ke habiskan MASA berjam-jam dalam bas travel ke tempat program? Keluar DUIT lagi.. By the time balik dari program sudah habis TENAGA kamu..terjelepuk kepenatan di bilik. Hujung minggukan sepatutnya untuk rehat dan refresh DIRI sebelum mula pengajian minggu yang baru?"

Bukankah kita telah mengaku bahawa Allah itu pemilik segala sesuatu? Jadi.. masa yang 24 jam sehari itu, duit sponsor yang berkepuk di bank, tenaga dari makanan yang diproses di perut, serta diri yang sentiasa mahu rehat ini juga milik Allah. Kerana semua itu adalah 'sesuatu'. Sesuatu yang Allah pinjamkan.. Bila namanya pinjaman maka perlu dipulangkan kepada Pemiliknya jika dituntut kerana ia bukan milik kita. Dan juga kerana namanya pinjaman penggunaanya juga perlu sesuai dengan kehendak Pemilik asalnya. Konsepnya mudah saja.. Saya (dan saya percaya kebanyakan daripada kamu, kamu, kamu dan kamu yang sedang membaca) contohnya, merupakan pelajar yang mendapat pinjaman pendidikan dari kerajaan. Hidup saya di negara orang ini saya biaya dengan wang pinjaman itu. Maka oleh kerana saya menggunakan pinjaman itu, ada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh penaja yang perlu saya patuhi (kene score.. takleh kahwin masa study.. jangan buat masalah disiplin etc). Dan bila sudah tamat pengajian saya perlu memulangkan pinjaman itu. Bagaimana? Dengan cara berkhidmat untuk penaja saya itu ( 2 tahun kerja untuk setiap tahun pengajian.. huk!) . Saya boleh juga memilih untuk bekerja dengan yang pihak lain.. tetapi mana mungkin saya mampu membayar semula pinjaman yang memakan jumlah ratusan ribu ringgit itu.

Samakan konsepnya? Segala apa yang kamu ada sekarang.. dari sebesar-besar hingga sekecil-kecil perkara adalah pinjaman daripada Allah. Kamu mampu hidup di dunia ini dengan izin Allah dan kurnianNya yang melaut luas itu. Jadi segala pinjaman Allah ini patut digunakan bersesuaian dengan kehendak Allah... mematuhi setiap syariat yang telah ditetapkan. Jadi sudah sepatutnya segala pinjaman itu digunakan untuk menjalankan tanggungjawab ubudiah kita kepada Allah sebagai tanda syukur kita kepadanya.. dan juga tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini. Bolehkah kalau kamu mahu lari dari tanggungjawab itu? Atau memilih untuk tidak mahu akur dengan syariat Allah? Atau tidak sanggup meluangkan masa, tenaga dan wang kamu untuk menegakkan agama Allah? Boleh..tentunya boleh.. dengan syarat seperti pinjaman pelajaran tadilah. Pulangkan atau ganti semula segala apa yang kamu pinjam dan gunakan sekarang (ini termasuk pancaindera, anggota, masa dan bahkan nyawa kamu!) atau jangan gunakan pinjamannya langsung untuk hidup. Mampu?

Owh berbalik pada kisah pagi tadi.. pagi tadi suatu pinjaman telah ditarik semula. Takdir Allah.. hanya kenderaan kami itu yang mahu diambil semula. Jika yang menerpa ke arah kami itu sebuah bas dan bukan kereta Vauxhall hijau muda itu, jika seat belt itu tidak saya kemaskan (seperti mana lazimnya saya) atau jika ada kenderaan lain yang turut meluru dari arah bertentangan, mungkin ada lagi pinjaman-pinjaman lain yang pulang kepada pemiliknya. Mungkin itu satu peringatan daripada Yang Maha Memiliki itu. Bahawa dia mampu menarik apa sahaja miliknya pada bila-bila masa. Syukur... syukur yang amat kerana saya masih diberi peluang untuk terus meminjam. Saya harap pulangnya saya kepada Pemilik saya bukan dalam kerehatan amal..

Setiap sesuatu ada hikmahnya..


Wassalam..

Lebihan..

Sana: but a take home message
Sana: awak pakai spec kn?
Sini : a'a
Sana: hmm
Sana: apa jadi kalau awak pakai spec, tapi dekat spec awak tu ada lumpur
Sana: boleh nampak tak?
Sini : tak nampak
Sana: hmm
Sana: tapi kalau lumpur tu bersih
Sana: sure lg clear kn?
Sana: even lebih clear drpd x pakai
Sana: kadang2 kita tak sedar kita pakai spec yg berlumpur
Sana: akhirnya kita nampak segala kotoran jek dlm pandangan kita
Sana: spec yg bersih tu, ibarat pandangan dan neraca awak yg bersih
Sana: atau penilaian awak terhadap sesuatu yg bersih
Sana: ok
Sana: gtg
Sana: wassalamu'alaikum
Sini : waalaikumsalam

--------------------------- Sana signed out ----------------------------------

Saya tersandar mengeluh. Benar katanya... Terfikir betapa akhir-akhir ini saya menjadi seorang yang sangat negatif dalam semua perkara. Banyak bersangka buruk daripada yang baik. Orang tidak mampu tersenyum kerana penat kerja atau sibuk belajar saya fikir sedang marahkan saya... lalu saya berjauh hati. Orang tidak membalas mesej saya di Y!M saya fikir menyombong diri lalu saya benci. Orang tidak menegur saya di jalanan saya fikir sudah lupakan saya lalu saya merajuk. Sensitif benar! Sedang mereka yang terlibat tidak tahu pun saya berkecil hati dengan mereka. Entah apa yang merasuk sehingga buruk benar sikap saya.

Sempit dada dengan masalah.. masalah saya rasakan seperti datang bertimpa-timpa dan sungguh menyesakkan. Apabila duduk semula dan benar-benar berfikir dengan akal yang waras, segala masalah sebenarnya bermula dengan diri saya sendiri. Kerana kurang mampunya saya berlapang dada. Tidak seperti lapangnya tasik..yang jika dicampak batu kocaknya sedikit, tetapi tidak lama sebelum kembali tenang. Hati secetek dan sesempit lopak air dijalanan..yang dengan debu pun mampu dicemar dan dikotorkan. Tiada ruang untuk menerima kekurangan sahabat dan memaafkan kesalahan orang. Bahkan yang lebih teruk lagi buta dengan kekurangan sendiri dalam berukhuwah.. ishk.. Asyik menyalahkan orang lain.

Lewat beberapa hari ini saya sedikit kecewa.. kerana merasakan saya hanya lebihan. Kamu faham bagaimana perasaan menjadi seorang lebihan? Cuba lihat nasi di pinggan yang tidak mampu kamu habiskan. Nasi itu sebelumnya sama sedapnya sahaja dengan nasi-nasi lain yang telah masuk ke perut kamu. Tetapi oleh kerana perut sudah penuh dan sebu, nasi lebihan di pinggan itu sudah tidak mampu lagi kamu masukkan ke perut. Siapa lagi yang mahu makan lebihan kamu? Sudahnya tentu kamu buang saja bukan? Kasihan lebihan itu.. bukankah dia sama sedap dan sama mengenyangkan seperti nasi yang di dalam perut kamu itu?

Tetapi fikir-fikir.. nasi lebihan masih ada gunanya. Bukan hanya menjadi habuan tong sampah. Kalau di rumah saya, emak selalu beri nasi lebihan kepada kucing-kucing kami yang semuanya 15 ekor itu. Berebut-rebut kucing mengerumuni nasi lebihan itu seperti mengerumuni butir-butir emas. Akhirnya tidak sedikit pun bersisa..semuanya langsai mengenyangkan perut-perut kucing. Tiada beza taraf nasi yang mengisi perut kamu dengan nasi yang mengisi perut kucing itu tadi. Kamu makhluk Allah dan begitu juga kucing. Butir-butir nasi itu berjaya mengenyangkan makhluk-makluk Allah... menjadi sumber tenaga untuk masing-masing terus hidup di bumi Allah. Sama sahajakan akhirnya?

Haha~ tentu kamu semua sudah pening dengan apa yang saya bebelkan. Abaikan jika kamu tidak faham. Saya mahu terus.. terus thabat di jalan ini. Tiada sebab untuk saya berjauh hati dengan sesiapa. Saya mahu halau terus perasaan-perasaan busuk yang datang menganggu hati saya. Saya mungkin hanya sebutir pasir di pantai.. atau setitis air di lautan. Tetapi saya juga sebahagian daripada pantai dan lautan itu. Saya mahu sumbang apa yang termampu.. saya mahu jadi kader-kader yang sentiasa sedia dipanggil ke medan juang saat diperlukan. Untuk itu saya perlu sedia dengan segala kelengkapan perang saya. Iman sebagai perisai... ilmu sebagai kelengkapan. Owh..tak lupa doa sebagai senjata.. Saya tidak mahu menjadi lebihan dunia jadi saya perlu memberi sesuatu kepada dunia. InsyaAllah..insyaAllah..

Saya sudah tersenyum semula... menggeleng-geleng kepala mengenangkan keanak-anakan saya lewat beberapa hari ini. Baru usai usrah dengan kakak-kakak dan rakan-rakan tadi. Malam ini liqa' paling besar pernah saya hadiri. Dua puluh tiga orang duduk dalam bulatan.. lutut bertemu lutut. Bagaimana saya boleh rasa keseorangan sedang wajah-wajah ini sentiasa mengambil tahu antara satu sama lain. Saya lihat satu persatu wajah mereka.....dan buat pertama kali saya benar-benar yakin.. Saya sayangkan mereka semua.. amat sayang. Alhamdulillah... syaitan yang mencangkung di hati sudah saya halau jauh-jauh dan kaca mata yang berlumpur itu sudah saya bersihkan ;) Maafkan saya jika menyakiti hati kalian akhir-akhir ini..

Owh..tak lupa..

"SELAMAT HARI JADI KAK MUM (ye..ye Mujahid juga..teehee!)"

Doakan Kak Mum dan Mujahid sentiasa sihat..sentiasa di dalam redha Allah :))

Hasbiyallah

Assalamualaikum wmt wmt..

Alhamdulillah..alhamdulillah.. apa lagi yang mampu saya ucapkan untuk rahmat yang tidak terhingga ke atas hambaNya. Sungguh..

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah..Dia akan membuka jalan keluar baginya.Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mengcukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"

Setiap detik..setiap waktu...

Dalam setiap hembusan nafas dan denyutan nadiku...

Allah..Allah..Allah..

Denting Tangisan Mezquita

Sambungan catatan saya di hari ketiga di bumi Andalus..Cordoba

Masjid Cordoba dari pintu gerbangnya

Pagi itu awal2 pagi lagi kami sudah keluar dari tempat penginapan kami. Mahu tiba di Le Mezquita Cordoba (Masjid Cordoba dalam bahasa Spanish) seawal jam 8.30 pagi kerana dikatakan tiada bayaran untuk pengunjung yang datang sebelum jam 10 pagi. Mezquita cantik tersergam..pohon-pohon limau membarisi jalan sepanjang dari gerbang ke pintu masuk. Terbayang pula keadaannya di zaman kegemilangan Islam dahulu. Besarnya Mezquita bukan di bina untuk bermegah-megah..tetapi di bina atas pratikaliti. Keluasan asalnya sebenarnya hanya 20% daripada apa yang kita lihat sekarang. Mezquita lambang pesatnya Islam berkembang... 4 kali mengalami pertambahan keluasan kerana tidak mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah. Subhanallah.. terbayang bagaimana sibuknya Mezquita ketika itu..nadi kegiatan umat Islam di kota Cordoba sejak Islam bertapak di situ dengan kedatangan Abdul Rahman I pada tahun 784 M.

Tidak sabar mahu menikmati keindahan dalam masjid yang pernah menjadi masjid terbesar di dunia itu.. kami bersegera ke pintu masuk tetapi ditahan dua orang pengawal berbadan tegap berpakaian serba hitam di pintu. Kami tidak dibenarkan masuk sehingga jam sepuluh pagi malah perlu pula beratur membeli tiket berharga 8 euro! Alasannya kerana kami terlalu ramai jadi di kira sebagai pelawat berkumpulan. Bimbang jika kami dibenarkan masuk akan mengganggu orang-orang Kristian yang sedang ber'ibadah' di dalam ketika itu, menurut mereka. Kecewa benar saya kerana berpenat sahaja kami bergegas seawal pagi mengejar peluang masuk percuma ke Mezquita.. terpaksa pula menunggu sejam lebih di halaman masjid itu. Marah? Sedih? Bayangkan perasaan seperti anda dihalang masuk ke rumah sendiri kerana bimbang menggangu penceroboh yang sedang menggunakan kemudahan di dalam rumah anda. Perlu pula membayar cukai di pintu rumah sebelum dibenarkan masuk. Ya Allah..agaknya beginilah perasaan umat Islam ketika dihalang masuk ke rumah Allah ini saat kota mereka dijajah Kristian.

Bekas menara azan


Tidak mahu membuang masa kami berkumpul sambil mendengar pengisian dari ameerah jaulah kami di halaman masjid sementara menanti jam sepuluh. Cerita kegemilangan khilafah Islam di Kota Cordoba sehingga zaman kejatuhannya... Masing-masing khusyuk mendengar saat loceng besar di puncak menara tiba-tiba berdenting berkali-kali. Saya memandang ke puncak menara itu... di mana dahulunya di situlah muazzin melaungkan azan.. Allahuakbar! Memanggil umat Islam, menunaikan kewajipan kepada Allah. Dan loceng itu terus berdenting dengan dentingan yang menyesakkan dada saya... Dentingannya yang seolah-olah mengejek mentertawakan.. Tanpa sedar air mata saya mengalir... Sedih pada hakikat kekalahan ini. Tersedar akan hikmah apa yang terjadi kepada kami pagi itu. Diberi peluang oleh Allah mengalami dan menghayati suatu perasaan kehilangan. Mungkin jika mudah-mudah sahaja kami diberi masuk pagi itu..saya tidak berkesempatan merasai perasaan seumpama ini. Pasti lawatan saya hanya lawatan yang kosong..


Tapak tinggalan Medina al Zahra


Mezquita kami tinggalkan sebentar kerana mengejar masa ke Medina al- Zahra, 5km dari pusat bandar Cordoba. Medina Al-Zahra tidak ubah seperti bandar ideal Putrajaya di Malaysia di mana segalanya ada di sini. Pusat pemerintahan khalifah yang dibina selepas lapan tahun Abd Rahman III mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah pada tahun 929 M. Mengapa al-Zahra? Kerana katanya di bina untuk seseorang wanita bernama Azzahra..betul atau tidak Wallahualam... Allah lebih mengetahui . Tetapi Medina al-Zahra pada saya lambang kemakmuran khalifah Islam ketika itu. Di situlah pusat pentadbiran..dan sebuah masjid yang dikatakan hanya mengambil masa sebulan untuk disiapkan di bina. Medina al Zahra hari ini hanyalah runtuhan2 bagunan setelah beberapa kali melalui peperangan demi peperangan dalam abad ke 11. Berdiri di puncak tertinggi yang melihatkan keseluruhan kawasan bandar lama di kaki pergunungan Sierra Morena itu.. dapat kami bayangkan indahnya Medina al Zahra semasa sempurnanya. Tetapi saya tidak dapat menghayati sepenuhnya Medina al Zahra kerana mungkin hati saya masih tertinggal di Mezquita yang belum berjaya kami masuki pagi tadi. Tidak sabar mahu kembali ke pusat bandar Cordoba.

Selepas Zuhur kami kembali di Mezquita.. MasyaAllah di dalamnya lebih indah. Masih lagi kelihatan seperti sebuah masjid kecuali dengan chapel-chapel yang dibina sepanjang dindingnya dan dua bahagian dewan solat yang ditukar sebagai kawasan gereja utama. Cantuman batu bata merah putih membentuk gerbang-gerbang indah masjid itu. Bukan binaan yang sia-sia kerana fungsinya membalikkan bunyi agar suara imam kedengaran jelas di setiap pelosok masjid yang luas itu, menggantikan teknologi pembesar suara yang kita miliki hari ini.

Terus sahaja saya menuju ke mimbar yang masih dikekalkan binaannya. Sungguh, mimbar itu masih indah seperti dahulu.. dihiasi ukiran ayat al Quran. Cuma mengapa mereka masih mengekalkannya masih menjadi tanda tanya dalam fikiran saya.. Jika benar bencinya mereka kepada agama ini mengapa tidak dihapuskan terus kesan-kesan Islam di sini. Mungkin kekalnya mimbar itu..malah menara muazzin di luar sebagai tanda penghinaan untuk Islam. Supaya dunia tahu pernah wujud Islam di situ tetapi berjaya mereka kalahkan. Marah yang wujud di hati dengan keangkuhan mereka semakin bernyala dengan lukisan yang dipamer di suatu ruangan Mezquita... suatu penghinaan hebat untuk agamaku


Jelas dilukiskan gambar orang Islam yang tunduk sujud kepada pemerintah Kristian yang berdiri angkuh dengan hebat angkatan tentera di belakangnya.. saat penyerahan kunci kota tanda kekalahan Islam..disaksikan dan direstui kononnya oleh malaikat mereka di atas awanan. Kebetulan ketika itu sekumpulan pelawat Jepun barangkali berkumpul di hadapan lukisan itu sambil pemandu pelancongnya menerangkan sesuatu tentang lukisan itu dalam bahasa Jepun. Terangguk-angguk mereka mendengar omelan si pemandu pelancong di hadapan. Apa lagi ceritanya melainkan tentang kekalahan Islam seperti yang tergambar di situ... mahu saja saya mencelah di hadapan. Benar Islamku kalah di bumi Andalus ini tetapi mana mungkin kami tunduk sujud seperti itu? Tidak! Sujud kami hanya pada Allah yang satu..

Marah itu wujud dalam diri saya..tetapi kata seseorang saya tidak patut marah. Mana-mana kerajaan pun yang menakluk sesuatu kawasan akan menunjukkan kekuasaan mereka di tempat taklukan mereka. Dengan apa cara sekalipun kekuasaan itu perlu ditunjukkan. Dan itulah yang kerajaan Kristian lakukan saat berjaya menakluk Cordoba. Dengan menukar masjid kebanggaan umat Islam itu menjadi tempat ibadah mereka. So morally their action is justified? Malah katanya itu juga yang dilakukan Islam saat berjaya menakluk Cordoba. Tapak asal Masjid Cordoba itu pada mulanya merupakan kuil milik orang-orang Roman. Apabila Empayar Rom jatuh, pemerintah ketika itu telah menggantikannya dengan sebuah gereja Kristian. Datangnya Islam sebahagian gereja itu dijadikan masjid tempat umat Islam beribadah. Hasil perluasan kawasan masjid itu menyebabkan sebahagian kawasan gereja terpaksa diambil. Tetapi Islam melakukannya dengan menghormati hak mereka. Kawasan yang diambil untuk perluasan masjid itu dibayar dengan harga tertentu yang dikatakan dengan jumlah itu mereka malah mampu membina sebuah gereja yang baru. Islam tidak merampas..Islam tidak menghina. Tetapi mereka merampas.. mengambil hak kita dan mengubahnya sesuka hati mereka. Tidak cukup dengan itu ditambah dengan penghinaan untuk disaksikan dunia. Maka tidak wajarkah kemarahan saya? Marah kerana cinta bukan kerana benci.. Marah saya berasas kerana kecintaan saya dipijak dan dihina bukan kerana saya bencikan mereka. Marah yang membina semangat untuk bangkit dan berjuang bukan marah yang membawa kerosakan dan persengketaan.

Gereja di kiri dan kawasan masjid yang masih kekal di kanan


Mezquita mungkin masih seperti dahulu..menjadi kunjungan dan tumpuan ramai. Tetapi tempat yang pernah menjadi tempat manusia berkumpul untuk sujud kepada Allah sekarang menjadi tempat manusia menyekutukan Allah.. Dua kontras berbeza yang tidak mungkin bersatu.. antara keimanan dan kekufuran. Loceng diluar terus berdenting... dan hati ini terus menangis.. selagi belum ada pahlawan Islam membela maruah yang tercalar dan menegakkan Islam di bumi ini. Jangan menunggu dan mengharapkan sesiapa kerana bumi ini menanti diri aku sendiri untuk membela nasibnya..

Catatan dari Al-Hambra


Lorong ke Istana Al Hambra semangnya sangat indah dan mendamaikan..tetapi hati saya bergolak dengan bauran perasaan. Antara kagum dan 'izzah dengan peninggalan agung kerajaan Islam yang suatu masa dahulu pernah bertapak di bumi Andalus ini dan perasaan sayu yang membaluti sejarah kejatuhannya.

Ke mana-mana sahaja langkahan saya di dalam istana indah itu..mata pasti tertancap pada ukiran-ukiran ayat Al Quran yang terukir indah di dindingnya. Wa La Ghalib Ilallah..terukir di mana-mana. Kerajaan Islam di Granada ketika itu terpaksa bersekongkol dengan Ferdinand III menawan kota Seville kerana perjanjian feudalisme yang terpaksa ditandatangani demi keselamatan rakyat. Granada bukan lagi bandar merdeka ketika itu. Harga kebebasan Granada terpaksa dibayar dengan kejatuhan Seville di tangan Kristian. Tiada Penguasa Selain Allah..kepasrahan dan kebergantungan Sultan Muhammad Al Ahmar terhadap Allah terukir di setiap inci Istana Merah itu..

Mengimbau sejarah hitam Andalus..1492.. Menyaksikan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol itu akhirnya tumpas di tangan Ferdinand dan Isabella yang bersatu demi melihat kejatuhan Islam. Menangislah Sultan Abu Abdillah saat palang-palang salib didirikan di julangan menara Al-Hambra.. meranapkan kemegahan Islam yang pernah bertapak di situ. Saat itu menyaksikan sinar Islam yang terus memudar di Sepanyol

“Janganlah engkau menangisi kejatuhan kerajaan ini seperti seorang perempuan kerana engkau gagal mempertahankan maruah pemerintahan kerajaan Islam seperti seorang lelaki.” tajam kata si ibu melihatkan Sultan itu menangis..

Keindahan Al-Hambra sedikit sebanyak diselit dengan unsur2 Renaissance saat kota itu mengalami perubahan demi perubahan. Al-Hambra tidak terlepas menerima bahana kebencian mereka terhadap Islam. Ukiran memuji kebesaran Allah cuba dihancurkan dengan pelbagai cara. Namun Allah juga yang memelihara.. ia masih kekal utk kita tatapi sehingga ke hari ini. Charles V yang cuba menandingi kehebatan binaan Al-Hambra juga akhirnya berputus asa.. hilang minat lantas meningalkan istananya separuh siap. Manakan tidak..Al- Hambra di bina dengan rasa kecintaan kepada Tuhan yang menciptakan alam yang juga penuh dengan keindahan. Dekorasi Al-Hambra bukan yang sia-sia tetapi untuk mengingatkan pemiliknya kepada keagungan Allah SWT. Ilhamnya dari keindahan syurga yang dinyatakan dalam ayat-ayat Al-Quran..


Lewat dari satu ruang ke ruang yang lain di dalam istana ini akhirnya membawa saya keruangan ini. Menikmati tenangnya air di kolam yang membalikkan keindahan binaan di sekitarnya di permukaan. Namun tidak terkesan ketenangan itu di hati saya saat dada sebak memikirkan nasib umat Islam di bumi Andalus selepas terserahnya kunci Al Hambra ke tangan Ferdinand. Kehinaan dan penyeksaan berterusan saat Inquisition dilakukan oleh pemerintah Kristian.

Cuba membayangkan diri sebagai seorang Islam di zaman itu..saya tidak tahu sama ada saya tergolong dalam golongan yang sanggup dihalau keluar dari Sepanyol atau dicampak ke dalam unggun api kerana mempertahankan keimanan terhadap Allah Maha Esa atau mungkinkah saya ketika itu antara yang bergelar Moriscoues (gelaran untuk umat Islam yang menukar agama ketika itu). Nauzubillah hi min zalik.. Sesungguhnya Islam dan keimanan saya belum diuji sehebat itu.

'Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?' (Al-ankabut:2)

Al-Hambra saya tinggalkan dengan perasaan yang bercampur baur. Mengingatkan diri bahawa setiap apa yang terjadi adalah ketetapan daripada Allah SWT tidak kira sama ada kelihatan baik atau buruk oleh akal yang cetek ini. Segala yang berlaku adalah yang terbaik kerana Allah Maha Mengetahui. Hilangnya permata Al-Hambra juga ketetapan Allah. Makanya pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap ketetapan itu.

Sempat kami singgah mengusaikan kewajipan sebagai hambaNya di Masjid Jami' Granada. Kesedihan yang terusung dari Kota Al-Hambra tadi sedikit terubat di rumah Allah yang serba sederhana ini. Seawal usia 3 tahun tiada apa yang boleh dimegahkan dengan binaannya jika dibandingkan dengan masjid2 yang tersergam hebat dan indah di tanah air kita sendiri apatah lagi dengan Istana Merah yang melatari pemandangannya. Tetapi mungkin sejarah dan pengorbanan yang dilakukan untuk melihat satu-satunya masjid di Granada ini tertegak yang mampu menumbuhkan harapan dan membaluti kesedihan. Moga wujudnya ia menjadi titik mula kepada kebangkitan Islam di bumi Andalus. Dan selama itu Al Hambra menjadi saksi setia. Menanti saat disucikan kembali dengan sinar Islam yang pernah menyinari setiap pelosok bumi itu..


Catatan saya di hari kedua di bumi Andalus.. di Granada.Nantikan catatan saya di Cordoba dan Seville selepas ini..

Motor Abah...

Entah kenapa hari ini saya betul-betul teringatkan abah. Tiba-tiba hati jadi sangat rindu pada abah. Memang diakui saya lebih rapat dengan emak berbanding abah. Emak sudah jadi seperti seorang sahabat saya yang paling rapat. Kepada emak saya akan ceritakan segalanya. Tiada rahsia di antara saya dan emak. Cuma dengan abah, bual-bual kami selalunya yang penting-penting saja. Tentang pelajaran, wang belanja, yuran sekolah dan masa depan.
Kebetulan suatu hari dalam salah satu panggilan mingguan saya ke rumah, abah yang menjawab panggilan:
"Assalamualaikum abah..Nana ni"
"Waalaikumsalam..Nana anak abah..ape khabar?"
"Alhamdulillah sihat. Mak ada?"
"Ada ni..mahu cakap dengan mak saja?Tak mahu cakap dengan abah?" tanya abah.
Saya terdiam. Selama ini kalau saya menelefon ke rumah, jika berkebetulan abah yang menjawab, pasti terus sahaja dipanggil emak untuk melayan saya berbual. Terasakah abah?Sungguh saya tidak ada niat mengenepikan abah. Cumanya biasanya perbualan saya, saya kira tidak sesuai untuk dicakapkan dengan abah. Bimbang nanti tidak mendapat respon sewajarnya. Abah orangnya kelakar dan suka berlucu. Tetapi abah biasanya tegas.
"Mahu kongsi rahsia dengan mak saja ya? Tak mahu kongsi dengan abah? Abah mahu tahu juga..." ujar abah seolah-olah merajuk.
"Eh tidaklah..mana ada rahsia..borak perkara biasa2 aje dengan emak"
Abah tergelak mendengar kekalutan saya di hujung talian. Dia seolah-olah menghidu keserba salahan saya. Dia faham mengapa anak perempuannya ini lebih rapat dengan ibu barangkali. Lalu abah segera menyerahkan telefon ke tangan emak. Abah selalu kata emak sentiasa tertunggu-tunggu di tepi telefon setiap hujung minggu menanti panggilan saya. Malah kalau abah bercakap lama sedikit di telefon dengan saya, abah katakan emak sudah melompat-lompat di sisinya cuba merampas telefon dari tangannya..huhu! Pasti terdengar suara emak sayup dibelakang menafikan kata abah. Dan akhirnya kami sama-sama ketawa saja.
Dahulu abah ada sebuah van besar untuk mengangkut kami adik beradik ke mana sahaja. Tiba saja hujung minggu pasti ada saja rancangan abah. Sama ada pulang ke kampung yang hanya setengah jam dari rumah kami, berjalan di bandar atau berkelah di pantai. Pulang saya selepas setahun di luar negara, saya lihat sudah tiada van putih yang banyak berjasa kepada kami itu. Kata abah, abah terpaksa jualkan kerana kesempitan wang. Saya tahu abah sedih dan susah hati. Pasti selepas ini susah mahu membawa anak-anak ke mana-mana. Yang tinggal hanya motor cabuk abah, yang abah tunggang ke tempat kerja. Atau jika sudah terlalu lama kami tidak keluar, abah akan pinjam kereta Abang Long. Melepaskan gian kami berjalan-jalan di pantai atau ke kampung.
Pernah suatu pagi saya meminta abah menghantarkan saya ke stesen bas untuk berprogram di Kuala Lumpur. Cuaca memang sudah sedia mendung dan hujan renyai sejak pagi lagi. Abah risau bagaimana mahu menghantar saya dengan motornya. Dia tidak mahu saya basah kuyup dalam hujan. Tetapi kami tiada pilihan..saya perlu juga mengejar bas yang berlepas awal pagi itu. Setelah hujan sedikit reda kami keluar. Emak membungkus beg pakaian saya dengan plastik agar tidak basah. Hujan semakin melebat dalam perjalanan ke stesen bas. Abah bertanya andai saya mahu berhenti berteduh. Namun masa sudah suntuk, saya bimbang terlepas bas.
"Teruskan saja abah. Nana boleh tahan.." ujar saya sambil terketar menahan sejuk yang mengigit.
Lalu abah melajukan pecutan motor agar segera sampai ke destinasi kami. Sepanjang jalan abah tidak henti bertanya keadaan saya yang membonceng di belakangnya. Sedang dia sendiri sudah basah kuyup meredah hujan. Manakan tidak baju hujannya diberikan kepada saya untuk dipakai tambah saya berlindung di belakang abah. Dada saya sebak mengenangkan pengorbanan abah. Dalam diam air mata saya bersatu dengan air hujan yang bertitisan di wajah saya. Abah.. Betapa dalam keadaan seperti itu abah masih hanya memikirkan keadaan anaknya ini tanpa sedikit pun mempedulikan keadaan dirinya sendiri. Akhirnya kami tiba ke stesen bas. Abah membukakan helmet dari kepala saya. Saya mencium tangan abah sebelum berkejar mendapatkan bas. Sempat abah meminta maaf melihatkan baju kurung saya yang basah kuyup itu. Abah..untuk apa maaf mu itu?
Saya sentiasa menjadi pembonceng setia abah apabila pulang bercuti. Pergi saya ke mana saja sentiasa di hantar dan di ambil abah. Malah sejak saya kecil lagi bagitu. Cuma bezanya dahulu dengan van putih itu dan sekarang di atas motor ini.
"Nana suka naik motor abah?" tanya abah suatu petang saat dia membonceng saya ke bandar.
"Suka..boleh main-main dgn angin. Naik kereta tak boleh cilok2. Lambat sampai sebab lekat kat trafik,"abah tergelak mendengar kata-kata saya.
"Nanti abah kumpul duit beli kereta. Senang Nana mahu ke mana-mana. Nana sabar ya.. doakan selalu abah murah rezeki untuk anak-anak" ujar abah.
Saya hanya tersenyum mendengar janji abah. Sedang saya tahu impian abah masih jauh dari jangkauan. Tetapi saya tahu abah sangat kuat berusaha ke arah itu. Saya sentiasa mendoakan abah.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
"Eh Nana..kejap ye...abah dah balik,"ujar emak saat rancak berbual telefon dengan saya.
"Pulang dari mana mak?"
"Balik dari bawa Damia pusing-pusing naik motor tadi.. Damia suka benar kalau atuknya bawak pusing- pusing naik motor. Setiap petang mahu dibawa naik motor abah"
Saya hanya tersenyum. Benar..sangat seronok pusing-pusing ambil angin membonceng motor abah. Sedang si kecil itu pun menghargainya..apatah lagi anakmu ini... Baru saya sedar..saya merindukan saat-saat itu.
~Pertama kali menulis entry blog dengan linangan air mata~

Pergi Tak Kembali..

Salaam..

Sudah lewat pukul 10 malam..bermakna sudah genap 24 jam saya tidak tidur..wah..tahniah untuk diri saya sendiri. Inilah akibat suka menangguh-nangguh kerja. Saya tahu saja hujung minggu saya kali ini akan disibukkan dengan berprogram di Birmingham tetapi masih bertangguh-tangguh menyiapkan tugasan yang diberi tutor sejak dua minggu yang lepas. Saya berkira saya masih ada masa sehari suntuk sepulangnya dari Birmingham itu nanti untuk menyudahkan kerja-kerja yang masih berbaki. Manusia hanya merancang.. tidak saya sangka.. bangunnya saya subuh semalam dalam keadaan tekak yang meloya dan badan yang meningkat suhunya. Sepanjang hari muntah-muntah dan badan sudah lembik tak bermaya. Manakan tidak..yang di dalam perut sudah habis dikeluarkan sedang saya tidak berselera untuk menjamah apa-apa pun. Hasilnya saya terbaring saja di katil sepanjang hari.. Cuba-cuba juga untuk bangun menyambung kerja.. tetapi akhirnya rebah juga ke katil. Saya benar-benar tidak larat.. kepala pula pusing memikirkan kerja yang perlu dihantar esok.

Alhamdulillah..lewat malam semalam demam saya sudah sedikit kebah. Maka dapatlah saya duduk membelek-belek buku rujukan dan menaip essay yang masih banyak perlu saya siapkan. Sudah puas tidur sepanjang hari.. saya tidak sedar malam sudah menganjak ke pagi. Pagi itu saya melangkah ke kelas dengan hati yang kusut memikirkan tugasan yang belum berjaya saya siapkan. Otak pula ligat memikirkan alasan yang boleh saya berikan kepada tutor saya nanti. Alhamdulillah.. syukur sgt2..kebetulan pula pagi ini dia mahu bergegas ke Norway jadi dia tidak ambil pusing sangat soal tugasan yang diberikannya dua minggu lepas itu. Lantas saya pulang ke bilik dengan penuh semangat..azam mahu menyudahkan juga essay itu hari ini. Lalu seharian jugalah saya mengadap komputer ini. Akhirnya sebelum maghrib saya berjaya juga menyempurnakannya..Alhamdulillah. Tika itu perut saya berbunyi minta di isi.. oh~ maafkan aku perutku kerana menzalimi hakmu sejak semalam lagi.

Sesudah makan malam bersama flatmate yg sy kasihi, kami beramai-ramai berjalan ke Oxney Road, menghadiri seerah circle kami. Lewat depan Lidl saya terlihat jambangan2 bunga dan kad2 di pinggir jalan besar itu. Segera teringat kemalangan yang berlaku di jalan ini minggu lepas. Mungkin jambangan bunga dan kad2 itu diletakkan oleh ahli keluarga dan sahabat handai mangsa yang digilis bas itu (ngeri!!). Tiba2 sambil berjalan itu saya terfikir.. Jika semalam saya bangun dalam keadaan tekak yang meloya dan badan yang panas.. bagaimana pula jika esok saya tidak bangun-bangun lagi.. tidur untuk selama-lamanya. Jika semalam saya bangun dalam keadaan panik kerana ada tugasan tutorial yang belum saya siapkan dan bimbang ditolak markah oleh tutor saya.. bagaimana kalau esok sy bangun dengan perasaan takut yang teramat.. kerana pergi menemuiNya dengan amalan yang masih belum cukup dalam keadaan belum sempat bertaubat..bimbang ditolak ke neraka oleh yang Maha Menguasai. Nauzubillah hi minzalik.. sudah bersediakah aku sedang maut boleh menjengah bila2 masa..tidak akan dipercepat mahu dilambatkan walau sedetik.

Setelah muhasabah diri baru saya sedar yang saya jarang mengingati janji Allah yang pasti itu.. Selalu menangguh untuk beramal dan meminta keampunan Allah kerana kematian itu saya rasakan amat jauh dari saya. Saya sering terpedaya dengan tubuh badan yang sihat sejahtera dan umur yang muda remaja. Tetapi apabila teringat apa yang terjadi dua tahun lepas kepada sahabat saya, saya disedarkan semula akan hakikat kematian. Kematian akan menyapa sesiapa sahaja tanpa mengira usia...

Saya masih ingat lagi..pagi Jumaat itu saya dan rakan-rakan serumah seperti biasa berkejar mahu ke kelas. Turunnya saja kami ke bawah, saya lihat ada beberapa orang polis yang sibuk keluar masuk kawasan flat kami. Saya yang sudah terlambat mahu mengejar bas..malas mahu ambil tahu mengapa mereka di situ. Tiba-tiba seorang polis menahan kami,

"Maaf, nak minta bantuan kamu semua. Tolong camkan mayat itu jika mayat itu kawan kamu"

Kami semua terkejut yang amat. Masing-masing akur saja menuruti polis itu ke satu sudut flat kami. Sepanjang itu saya tidak berhenti berdoa, janganlah si mangsa itu rakan kami. Sempat saya meneliti satu persatu wajah-wajah di keliling saya, masing-masing dengan wajah tertanya-tanya. Bila sampai saja di tempat kejadian...lemah lutut saya..serasa tidak mampu berdiri. Di situ dia terbujur kaku..dengan wajah pucat tidak bernyawa. Ya Allah tabahkan hati kami menghadapi dugaan ini.Ya..dia sahabat kami. Yang sama-sama makan malam bersama kami semalam. Yang sama-sama berbual dan bergurau senda semalam. Sekarang sudah kaku di situ.. Masing-masing terdiam tidak dapat menahan air mata. Tak sangka sebegini cepat dia pergi dan sebegitu singkat persahabatan kami (baru 2 bulan kami berkenalan).

Lewat tengahari itu, selepas sesi post mortem baru kami mendapat serba sedikit maklumat tentang apa sebenarnya yang berlaku. Arwah dikatakan jatuh dari tingkat 5 flat kami.. semasa berusaha memanjat tembok untuk mencapai tudungnya yang tersangkut diampaian setelah jatuh dari ampaian flatnya di tingkat 6. Terdengarkan khabar itu ayah arwah meraup wajah..

"Mengapalah perlu diusahakan juga tudung yang sehelai itu.. kalau mahu berapa helai yang baru pun ayah sanggup belikan nak.." keluh ayahnya

Benarlah kematian itu datang seperti yang dijanjikan. Tidak semestinya menunggu si tua yang sakit. Macam-macam yang boleh menjadi sebab kepada kematian. Apabila tiba ketentuanNya ia akan datang jua.

Setiap insan..pasti merasa..saat perpisahan terakhir.. Dunia yang fana..akan ditinggalkan hanya amalan yang dibawa...

(eh2..maaf ternasyid pulak)

"Oh dia ni dah buang tebiat dah ni..ni dah tak lame la nih" (kata seorang pengkritik tetap blog)
"Ala..pasni dah takleh bace die merapu dalam blog dia" (konon2 peminat setia blog saya la ni)

Oh~ tenang-tenang semua saya bukan buang tebiat.. Cuma mahu tergolong dalam orang2 yang bijak.. orang2 yang sentiasa mengingati mati dan bersedia menghadapinya. Owh mata sudah mengantuk ni...saya perlu 'mati' seketika. Andai saya tidak terbangun lagi esok.. maafkan saya atas segala kesalahan saya..halalkan makan minum..kalau ada terhutang budi ke..terhutang duit ke boleh tuntut dari mak abah saya..kepada kakak2 flat saya saya amanahkan harta benda saya di Villa Leamington ini kepada anda semua. Katakan pada mak dan abah saya saya sangat sayang mereka.Ya Allah..ampunkan dosaku..

Nak kongsi dengan semua video yang best ni..yang ditayangkan kat Timur Tengah suatu masa dulu..semoga sebagai peringatan untuk kita semua..insyaAllah..




So..yang tengah mengadap komputer tuh..kalau dah masuk waktu baik korang pegi solat cepat2. Nanti jadi macam mamat dalam video nih..tak sempat solat dah jadi mayat.. ish..ish..


Di mana sahaja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, walaupun di dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. (Surah An Nisa:78)

Aidilfitri..

Malam ini malam satu Syawal...iftar terakhir saya sambut bersama kakak2 seflat, berbuka puasa di Nandos. Muka saya yang cemberut kerana mengenangkan ada ujian matematik di pagi Syawal esok dan kuliah dari pagi ke petang pada Hari Raya saya kali ini menyebabkan Kak Ain bersimpati lantas membayarkan makan malam saya malam ini. Terlalu sedikit makanan yang saya jamah dan tidak mampu saya habiskan. Nyata perasaan saya tidak mengizinkan makanan itu mengisi perut..otak benar2 berserabut mengenangkan subjek yang belum habis di ulangkaji dan coursework yang memeningkan. Oh~ beginikah satu Syawal saya pada kali ini? Sempat kami singgah sebentar ke rumah kakak2 senior di Rusholme..menumpang kasih dan kemeriahan hari raya mereka. Bertakbir bersama rakan-rakan di rumah itu sebelum dihidang lagi dengan juadah enak. Perut sudah terlalu kenyang! Terpaksa pula pulang awal mengenangkan ulangkaji yang belum disudahkan.

Satu jam juga masa yang dihabiskan bermenung di hadapan komputer sebelum saya mula membuka buku dan mengulangkaji. Benar-benar tidak bersemangat untuk belajar. Lagu raya berkumandang di corong speaker komputer saya. Tiba-tiba terkenang sambutan Hari Raya di tanah air bersama keluarga. Masuk tahun ini sudah tahun ketiga saya berjauhan daripada mereka di satu syawal. Sungguh..saya rindu suasana berhari raya bersama keluarga.

Keluarga saya keluarga yang sederhana sahaja..emak mengambil upah menjahit baju membantu menambah pendapatan abah. Bila tiba musim hari raya seperti ini biasanya emak tidak menang tangan menyiapkan tempahan baju. Dan biasanya urusan membuat kuih raya diserahkan sepenuhnya kepada anak perempuan sulungnya ini. Sayalah biasanya yang merancang juadah hari raya kami. Biasanya malam raya seperti ini saya dan emak bersengkang mata. Emak di mesin jahit menyiapkan baju raya kami adik beradik yang terpaksa dikemudiankan demi menyiapkan tempahan jiran dan saya yang terbongkok-bongkok menguli tepung di dapur..menambah jenis kuih untuk hidangan di pagi raya. Saya hanya pandai mengadun dan menguli tetapi belum pandai menjaga api pembakar. Dan biasanya emaklah yang berulang alik dari dapur ke mesin jahitnya..menjaga api agar tidak hangus biskut-biskut raya kami. Dan biasanya sambil itu kami berbual diiringi lagu dari corong radio, berselang seli dengan bunyi mesin jahit emak. Ahli keluarga yang lain sudah nyenyak tidur, tidak sedikit pun terganggu dengan bunyi mesin jahit itu kerana sudah kalih. Ini saat-saat istimewa saya dan emak di Aidilfitri saban tahun. Dan sedar tidak sedar azan subuh berkumandang. Emak akan mengejutkan semua untuk solat subuh dan solat Aidilfitri di masjid. Pagi raya emak akan sibuk menyiapkan anak-anak dengan pakaian baru..dan saya pasti dapat melihat senyum puas emak bila melihat kami gembira di pagi raya. Senyuman yang sangat saya rindui.

Aidilfitri tahun ini kata emak sangat berbeza dari tahun-tahun yang lepas. Saya tahu emak sayu..anak-anak, sebahagiannya tidak dapat bersamanya di pagi raya. Kata emak sudah masuk tahun ketiga kuih raya tunjuk-tunjuk saja kerana penguli tepungnya sudah tidak ada. Kata emak sudah tiada yang menemankannya menjahit sehingga jauh malam. Malah abah juga sudah menjadi terlalu sensitif akhir-akhir ini. Tersentuh hati mendengarkan cerita emak semasa saya menelefonnya minggu lepas. Cerita emak, hari itu seperti biasa posmen datang menghantar surat. Musim-musim raya seperti ini..emak bertanyakan abah kad raya siapa yang tiba hari ini.Abah katakan hanya ada sekeping kad raya untuknya lalu segera dia hilang ke dalam bilik bersama kad raya itu. Lama dia di bilik tidak keluar-keluar walau puas emak bertanya dari luar kad raya siapa yang diterimanya. Saat emak masuk ke bilik emak lihat abah teresak menangis. Di tangannya ada sekeping kad ucapan hari raya kiriman saya. Maaf abah..tidak terniat menuntut air mata abah.

Aidilfitri saya sejak dua tahun lepas berlalu begitu sahaja tanpa apa yang istimewa. Malah saya mungkin sudah immune dengan kesyahduan di pagi raya.Cuma Aidilfitri tahun lepas saya kira meninggalkan kesan yang sedikit signifikan dalam hidup saya. Insiden air mata saya pada 2 Syawal tahun lepas membawa sesuatu yang istimewa untuk hidup saya kini. Suatu perasaan yang tidak dapat saya jelaskan ketika itu kini sudah jelas letak duduknya. Sungguh..saya bersyukur dengan segala apa yang ditentukanNya. InsyaAllah semoga ditetapkan hati untuk sesuatu yang lebih diredhai..

Salam Aidilfitri untuk semua..Maaf zahir batin..

Hati versus Akal

Assalamualaikum wmt wbt

Pernah suatu petang saya duduk2 berbual bersama emak di ruang tamu. Adik2 saya yang kecil turut di situ, menyiapkan kerja rumah masing2. Abah sudah berpesan jangan dibenarkan mereka keluar bermain selagi belum disiapkan kerja sekolah tambah pula mentari masih terik di luar. Adik saya yang bongsu saya lihat sangat bersungguh menyiapkan kerja rumahnya, mungkin sudah berjanji dengan rakan-rakannya untuk keluar bermain petang itu. Sesekali dia menggaru kepalanya yang separa botak itu apabila ada soalan latihan yang tidak mampu dijawab. Tiba-tiba saya lihat adik menumbuk-numbuk dadanya dan menampar-nampar mulutnya sendiri. Hairan saya melihat perlakuan adik. Saya cuit emak yang sedang ralit menjahit lalu menunjuk ke arah adik..

" Adik kenapa tumbuk2 dada macam tu? Buat kerja rumah elok2..soalan yang tak tahu tanya pd kak chik" ujar emak.
" Selalu dia buat macam tu..tak tahulah kenapa budak ni? " emak berbisik kepada saya.

Adik diam, wajahnya mencuka. Saya pandang adik..Rasa ingin benar tahu kenapa sehingga begitu dia memperlakukan dirinya. Pasti itu bukan sekadar hukuman untuk dirinya kerana tidak mampu menjawab soalan latihan yang ditugaskan. Saya bertanya kepadanya apabila saya lihat dia sekali lagi menumbuk2 dadanya dan diikuti dengan tamparan kecil di mulutnya. Apa yang tidak kena dengan adik??

" Adik geram la kak chik..hati adik tak mahu berhenti-henti bercakap sebab tu adik tumbuk2 dada ni suruh dia berhenti"
" Dia cakap apa? " tanya saya yang hairan mendengar pengakuan adik.
" Dia selalu cakap..mak jahat..mak jahat..jangan ikut cakap mak..mak tak sayang adik.." kata dia perlahan.
" Jadi kenapa tampar mulut? "
" Takut apa yang hati adik cakap keluar kat mulut. "

Masya Allah..Saya masih ingat lagi ketika itu adik baru berumur 8 tahun (sekarang dia sudah berumur 10 tahun). Sayangnya masa itu saya tidak ambil pusing tentang hal itu.. memikirkan remeh perasaan seorang budak kecil seperti adik. Entah kenapa tiba2 malam ini saya teringat semula tengahari yang terik itu.. Mungkin kerana sekarang saya sedang mengalami situasi yang sama dengan apa yang adik alami. Bila kehendak dan keinginan hati meminta sesuatu yang bertentangan dengan waras akal. Tapi saya selalunya tidak sekuat adik yang kecil itu. Saya tidak mampu menumbuk2 dada seperti adik, demi melatih hati supaya mengikut kata akal yang waras. Sering juga mulut saya menuturkan kata sebelum berfikir. Saya tidak seperti adik yang mampu menampar-nampar mulutnya memberi peringatan jangan terlalu becok berkata. Maka seringnya saya menyerah saja kepada keinginan hati walau saya tahu salahnya. Mungkin tidak tepat jika saya katakan keinginan itu dari hati tetapi lebih kepada nafsu mungkin. Nafsu yang sentiasa mendesak untuk dipenuhi dan selalunya amat sukar dikawal. Saya selalunya kalah..

Ramadhan ini buktinya. Jika hari2 lain mungkin boleh diletakkan kesalahan itu kepada syaitan yang menghasut.
" Oh~ aku buat salah ni mesti sebab syaitan yang goda2 aku ni " ialah kata-kata untuk membuang rasa berdosa dalam diri.
Jika begitu di bulan mulia ini sepatutnya saya tidak langsung terniat melakukan dosa kerana syaitan semua diikat dan tiada lagi yang menghasut ke arah dosa. Bila memuhasabah diri, kenapa masih ada keinginan melakukan dosa?? Saya tahu sesuatu perkara itu salah dan tidak harus saya lakukan tetapi masih berkeinginan melakukannya. Oh~ rupanya saya terlupa akan kewujudan nafsu. Nafsu yang telah melalui latihan intensif oleh syaitan sepanjang tahun sebelum mereka diikat sebulan di bulan Ramadhan. Nafsu yang telah melalui keterbiasaan melakukan dosa akan terus berfungsi merosakkan manusia walau dengan tiada wujud syaitan untuk mengendalikannya. Ia sudah jadi automatik!! Bahaya..bahaya!! Saya dalam bahaya! Lalu bagaimana saya dapat meng'switch off' kan nafsu yang sudah jadi automatik ini??

Sepatutnya Ramadhan ini medan latihan saya untuk menjinakkan semula nafsu.. Kerana cabarannya sepatutnya semakin berkurangan tanpa wujudnya syaitan. Ramadhan semakin meninggalkan sedang tidak banyak kemajuan dalam latihan diri yang mampu saya sempurnakan. Keluarnya dari Ramadhan ini sepatutnya sebagai hamba Allah yang lebih baik dari segala segi..amalnya dan akhlaknya. Jika masih sama seperti sebelumnya maka jelas tiada apa yang dimanfaatkan daripada Ramadhan itu melainkan sekadar berlapar dahaga kosong sahaja... Tinggal berbaki beberapa hari saja dan saya tidak pasti akan bertemu lagi dengan Ramadhan seperti ini.. Masih berkesempatankah saya?

~Tuhan..leraikanlah dunia yang mendiam di dalam hatiku. Kerana di situ tidak ku mampu menghirup dua cinta..Hanya cinta mu ku harap tumbuh..dibajai bangkai nafsu yang ku bunuh..~

Dear Saudari Pelik binti Ajaib

Assalamualaikum..

Sungguh saya tidak sangka yang tahun pertama di universiti (bahkan minggu pertama ini!) akan jadi sesibuk ini. Saya tidak langsung berkesempatan untuk duduk2 di hadapan komputer, menitipkan entry terbaru untuk blog ini. Barangkali juga kerana bulan Ramadhan, jadi malam2 saya biasa terisi dengan aktiviti bersama kawan2 dan kakak2..mengimarahkan Villa Leaminton kami yang indah permai ini. =)) Hari ini kelas hanya separuh hari, jadi petang ini dapatlah saya meluangkan sedikit masa menulis untuk blog ini. Hmm...kejap..nak fikir sebentar apa yang dapat saya kongsi kali ini *thinking...*

Sebenarnya saya berasa pelik...kenape saya berasa pelik? Sebab dunia ini sememangnya sudah pelik. Mentaliti penghuninya juga sudah ikut2 pelik. Perkara-perkara baik sudah dipandang sebagai sangat pelik sebab manusia pun sudah jadi pelik. Manusia jadi pelik sebab nilai2 kurang baik sudah sangat bersebati dalam masyarakat. Sudah berakar umbi dan diterima sebagai norma hidup kini. Kalau dahulu perkara-perkara tak elok ini dipandang pelik tetapi sekarang tidak lagi. Sebab itulah saya katakan masyarakat sekarang sudah pelik sebab nilai2 yang pelik sudah dianggap sangat biasa.

(eh minah!ape yang ko merapik kat atas tuh..ape ko wat perangai pelik2 nih?)

Saya teringat apabila saya pulang bercuti musim panas tahun ini, ramai yang anggap saya sudah menjadi semakin pelik. Kenapa? Kerana baju saya sudah longgar..dan tudung saya sudah besar. Lantas saya di pandang seperti makhluk bermata satu. Oh~kenapa ni? Apa yang tidak kena dengan saya?

Terkenang perbualan dengan seorang kakak semasa menghadiri kem motivasi dengan adik2 pusat2 persediaan:
"Kamu nih peserta program apa kat cni?" (kebetulan pada masa yang sama ada beberapa program berasingan berlangsung serentak di situ)
"Oh..saya dengan kawan2 join program motivasi untuk persediaan pelajar ke luar negara"
"Owh..persediaan ke mane ye? ke Mesir ke?"
"Eh tak..ke UK insyaAllah" (lalu kakak itu memandang saya dengan pelik)

Lantas teringat perbualan dengan saudara saya yang masih kecil:
"Seingat saya..akak nih dulu belajar kat UK..kenapa bila balik nih macam balik dari Mesir?" (oh~ Mesir lagi)

Oh..barulah saya faham..rupanya saya telah menongkah arus normaliti. Kalau belajar di UK perlu la kena gayanya. Patutlah bila saya pulang bercuti tahun lepas tiada yang mengatakan saya pelik. Kerana waktu itu saya dianggap seorang pelajar yang 'normal'. Kerana baju saya yang singkat dan seluar saya yang ketat bertepatan dengan persepsi mereka tentang orang yang belajar di luar negara mungkin. Sepatutnya ketika itulah saya di pandang pelik..Bertudung konon menutup aurat tetapi ada bahagian yang terdedah dan kelihatan susuk tubuh yang tidak seberapa indah. Tak ubah seperti tudung lauk atas meja bimbang dihinggap lalat tapi tudung saji yang diguna berlubang sana sini. (tak ke pelik tu?) Lalat pun suka2 hati masuk hinggap pada makanan lalu berpesta pora (ayat edisi siasat sket..hehe!) mengisi perut sehingga kenyang. Tinggallah makanan itu basi saja di situ, tiada sesiapa yang sudi menjamah lagi akhirnya (hiperbola sangatkah analogi saya?) Lantas tercapaikah matlamat sebenar makanan itu tadi ditudungkan?

Bercakap tentang perubahan, teringat perbualan saya dengan kakak2 semasa moreh semalam. Berbincang tentang betapa pentingnya istiqamah dengan apa yang kita lakukan. Kerana itu perubahan perlu sedikit-sedikit dan jangan terus drastik. Para sahabat contohnya belajar, faham dan yakin melalui satu proses yang panjang. Jadi keyakinan mereka itu mantap dan kuat lantas kerana itu mereka sanggup menghadapi apa juga cabaran dalam mempertahankan keimanan mereka. Proses penanaman iman itu merupakan suatu proses yang panjang. Apa yang menyebabkan kita mahu berubah sebenarnya? Adakah kerana ikut-ikutan dan mahukan pujian orang atau sememangnya kita sudah faham dan yakin bahawa kita berubah kerana semata-mata mengharap rehda Allah? Uuh..ketika itu hati sedikit tersentuh. Memuhasabah diri sendiri. Memang secara luarannya saya banyak berubah tetapi adakah proses perubahan itu turut berlaku di dalam diri saya? Saya lihat masih ada lagi perkara2 yang sepatutnya saya tinggalkan masih belum mampu saya halau terus dari diri saya. Saya kadangkala masih seperti saya yang dulu..masih ada sifat mazmumah yang belum mampu dibuang. Jadi sebenarnya berjayakah proses transformasi ini? Umpama kulit sahaja yang berganti baru sedang isi di dalam belum disembuhkan.. masih bernanah dan berulat. oh~ Sepatutnya apa yang terlihat di luar adalah refleksi daripada apa yang terhasil di dalam hati.

Tapi seorang ukht menambah.. yang ini sedikit melegakan hati saya.
"Ada sesetengah orang yang perlukan sesuatu yang ekstrim. Contohnya mengubah seluruhnya dirinya secara mendadak dan kemudian dengan itu secara tidak langsung dia membaiki sedikit demi sedikit dalamannya. Rasanya tidak salah cara ini..at least i think it works well for me"

Saya fikir ada betulnya juga. Apabila kita sudah berkeputusan untuk membawa perubahan pada luaran kita walau dalamnya belum cukup mantap, paling kurang kita ada rasa kepeluan untuk membangunkan dalaman kita supaya seiring dengan perubahan yang kita telah lakukan. Proses yang dinamakan PERUBAHAN itu bukanlah suatu proses yang statik yang akan berhenti apabila selesai. Saya rasa ia adalah suatu proses yang dinamik dan berterusan. InsyaAllah selagi kita rasa diri kita belum cukup baik..selagi itu pasti ada usaha untuk kita membaikkan diri. Semoga saya terus istiqamah dengan apa yang saya usahakan sekarang. Doakan saya ye, semua?

wassalam..

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." (Surah As Shaff ayat 2-3)

Kembali Di Sini

Assalamualaikum..

Sudah agak lama saya tidak menulis..barangkali rakan-rakan yang baru berjinak-jinak dengan blog cabuk saya ini sudah terfikir yang saya sudah jemu barangkali. Sebenarnya sejak entry yang terakhir itu saya disibukkan dengan persiapan untuk pulang semula ke bumi United Kingdom ini. Meluangkan lebih masa bersama keluarga dan mencukupkan apa yang kurang. Alhamdulillah saya sudah selamat sampai di sini bandar Manchester ini setelah melalui perjalanan yang sangat menguji kesabaran saya.

Manakan tidak, setibanya di kaunter check in (setelah hampir dua jam menunggu kaunter dibuka) saya diberitahu penerbangan pada hari itu sudah penuh jadi tiada tempat lagi untuk saya kerana kebetulan ada rombongan besar pelajar Malaysia ke Mesir pada malam itu. Mahu tidak mahu terpaksa saya menunggu sehingga jam 2.30 pagi bagi mengetahui untung nasib saya. Sama ada berjaya untuk menyelitkan diri dalam penerbangan pada malam itu atau esok pagi sahaja saya berlepas. Alhamdulillah rezeki saya..masih ada tempat untuk saya pada malam itu meski hati ini sedikit berharap agar dapat saja saya ditukarkan ke penerbangan pagi esok. Dapatlah saya meluangkan sedikit lagi masa bersama keluarga malam itu. Tepat jam 3 pagi saya berlepas meninggalkan tanah air tercinta.

Dari Heathrow saya perlu mengambil bas ke Manchester dan perjalanan memakan masa selama dua jam. Saya bersendirian kini kerana Sarah terpaksa meneruskan perjalanannya ke Glasgow. Badan sudah sangat letih setelah 14 jam di dalam penerbangan di tambah dengan transit di Doha. Setibanya di Birmingham saya perlu menukar bas lain untuk sampai ke Manchester. Perut pula sudah berbunyi minta di isi...melihatkan vendor machine saya segera menyelongkar beg tangan saya mencari dompet. Muka saya pucat tidak berdarah..Purse saya hilang!!! Sempat saya beristighfar perlahan dan cuba menenangkan diri sendiri. Saya cuba juga mencari di dalam beg-beg yang lain tapi jelas mengecewakan. Air mata sudah bergenang...saya panik.! Sudahlah bersendirian di tempat asing itu, tiada satu sen pun dalam poket saya ketika itu. Dalam telefon bimbit saya pula tiada nombor sesiapa yang dapat saya hubungi untuk meminta bantuan..(oh~~). Saya sudah mula teresak di situ. Yang ada dalam kepala saya cuma dua nombor telefon..ayah saya dan seorang yang lain di Malaysia.

Mahu tidak mahu terpaksa saya menghubunginya mengadu nasib dan meminta bantuan kerana saya sudah benar-benar buntu..Kasihan dia yang saya ganggu tidurnya seawal2 pagi di tanah air. Tidak lama selepas itu ada akhawat yang menghubungi saya selepas itu..menenangkan saya dan mencadangkan tindakan yang selanjutnya (Thanx a lot!!). Segera saya menelefon bank membatalkan kad debit saya. Saya cuba bertenang dan berfikir semula di mana mungkin saya purse saya itu tercicir..mustahil pula di curi orang sedang beg tangan saya itu sentiasa tersangkut di bahu. Mungkin di dalam bas kerana tabiat saya tidak pernah menutup beg tangan saya..jadi barangkali sudah tercicir. Lantas teringat bebelan emak ketika berjalan di pasar dengannya, mengingatkan saya supaya sentiasa menutup beg tangan saya. (Oh~inilah akibat ingkar cakap ibu) Saya cuba2 nasib bertanya di kaunter andai ada insan yang baik hati terjumpa purse saya lantas di pulangkannya ke kaunter National Express itu. Belum sempat saya habis bertanya, wanita di kaunter itu mengunjukkan purse merah jambu itu kepada saya. Alhamdulillah..syukur sangat-sangat..Semoga dikurniakan kebaikan kepada insan yang baik hati itu..amiin..

Lewat jam 11 malam akhirnya saya selamat sampai ke Manchester. Alhamdulillah hati sangat lega apabila melihatkan wajah-wajah yang saya kenali setibanya di tempat tinggal saya. Saya sudah sangat penat malam itu..tetapi masih belum juga dapat melelapkan mata. Hanya berbaring di katil sambil merenung siling. Sedar tidak sedar sudah kembali semula saya di sini. Sudah berakhir 4 bulan yang sangat menyeronokkan (kadang2 sedikit bosan) dan saya kembali meneruskan perjuangan saya yang belum selesai di bumi asing ini. Kembali memuhasabah diri akan bagaimana terisinya masa-masa kosong saya ketika bercuti di tanah air. Waktu peralihan dari zaman kolej ke universiti..Banyak yang saya kutip sepanjang 4 bulan itu..cuma semuanya masih tersimpan berlonggok di dalam guni khazanah dalam kepala saya. Belum lagi dikeluarkan satu persatu untuk dinilai dan digunakan mana yang baik.

Melihat kembali cuti saya kali ini rasanya jauh lebih baik daripada cuti yang lepas. Alhamdulillah.. masa yang lapang saya gunakan untuk mencari sebanyak mungkin ilmu dan proses tarbiyah diri juga berterusan. Cuti saya juga tidak sunyi kerana sering sahaja ditemani rakan-rakan dan kakak-kakak yang mempunyai keinginan yang sama dan berjuang di jalan yang sama. Abah dan emak yang pada mulanya berat melepaskan setiap kali saya meminta izin keluar akhirnya sudah mula faham akan keinginan dan kecenderungan saya. Cuma tidak dapat di elak ada juga masa yang saya bazirkan dengan kelalaian sendiri. Sama ada dengan bermalas-malasan di rumah atau dengan aktiviti yang tidak meningkatkan iman..oh~ Sedang banyak kerja yang saya rancangkan dalam kepala tetapi hanya berapa kerat sahaja rancangan itu yang berjaya saya usahakan.

Kini sudah hampir seminggu saya mengikuti induksi di universiti. Dalam kesibukan itu sedar tidak sedar, esok Ramadhan menjengah kembali. Ramadhan saya kali ini pastinya jauh berbeza daripada Ramadhan saya sejak dua tahun yang lepas. InsyaAllah..harapnya dengan suasana yang berbeza di sini saya kembali bersemangat mengejar rahmat dan mencari keberkatan bulan yang mulia ini. Di tambah pula dengan rakan-rakan dan kakak-kakak di sekeliling saya yang saya lihat turut bersemangat mahu menghidupkan malam-malam Ramadhan kami. Ramadhan saya kali ini pastinya lebih meriah... =))

Entry saya kali ini saya akhiri dengan sajak yang sempat seorang sahabat bacakan sepulangnya kami dari majlis menyambut Ramadhan tadi..

Andai Ini Ramadhan Terakhir

Wahai dikau... renunglah engkau akan nasib diri

Wahai qalbu... sedarkah engkau akan gerak hati

Wahai aqal... terfikirkah engkau akan apa yang bakal terjadi
Andai ini merupakan Ramadhan yang terakhir kali
Buatmu sekujur jasad yang bakal berlalu pergi
Tatkala usia bernoktah di penghujung kehidupan duniawi
Pabila tiba saat tepat seperti yang dijanji Ilahi
Kematian... adalah sesuatu yang pasti

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu siangnya engkau sibuk berzikir
Biarpun anak tekak kering kehausan air
Tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
Mendayu... merayu... kepada-NYA Tuhan Yang Satu

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu solatmu kau kerjakan di awal waktu
Solat yang dikerjai... sungguh khusyuk lagi tawadhu'
Tubuh, minda, dan qalbu... bersatu memperhamba diri
Mengadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"Inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi Rabbil 'alamin"
[Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tidak akan kau persiakan walau sesaat yang berlalu
Setiap masa tak akan dipersia begitu saja
Di setiap kesempatan juga masa yang terluang
Alunan Al-Quran bakal kau dendang... bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu malammu engkau sibukkan dengan pesta-pestaan
Bertarawih.. . berqiamullail. .. bertahajjud. ..
Mengadu... merintih... meminta belas kasih
"Sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
Tapi... aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"
Oleh itu duhai Ilahi... kasihanilah daku hamba-MU ini

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu dirimu tak akan melupai mereka yang tersayang
Ayuh ke mari kita meriahkan Ramadhan
Kita buru... kita cari... suatu malam idaman
Yang lebih berkat dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
Tentu engkau bakal bersedia batin dan zahir
Mempersiap diri... rohani dan jasmani
Menanti-nanti jemputan Izrail
Di kiri dan kanan ... lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi...
Andai ini Ramadhan terakhir buat kami
Jadikanlah ia Ramadhan paling bererti... paling berseri...
Menerangi kegelapan hati-hati kami
Menyuluhi diri ke jalan menuju redha serta kasih sayang-Mu Ya Ilahi
Semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun saudara...
Tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
Samada Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali
Hanya yang termampu bagi seorang hamba itu
Berusaha... bersedia... meminta belas-NYA
Andai benar ini Ramadhan terakhir buat kita...

Andai ini Ramadhan terakhirku Ya Allah...moga Ramadhan ini Ramadhan yang terbaik untukku amiin..