Minyak!Minyak!


Assalamualaikum...

Semalam duduk-duduk dengan suami, berbincang dan merancang kewangan kami dalam jangka pendek dan jangka panjang. Maklumlah baru mahu mulakan hidup sendiri-sendiri. Perancangan perlu betul, tak boleh lagi suka-suka berbelanja sana-sini seperti zaman solo dulu. Kalau dahulu fikir tentang diri sendiri saja, sekarang perlu fikir berdua dan ambil kira tentang rumah juga. Tambah lagi dalam keadaan ekonomi gawat kerana naiknya harga minyak yang mengakibatkan kenaikan harga barangan harian. Mahu membeli belah pun berfikir berpuluh kali akan keperluannya. Kalau tidak perlu maka pendamkan saja hasrat. Bimbang nanti duit gajian tidak cukup hingga ke hujung bulan. Makanya jadi suri rumah pada masa-masa seperti ini pun sudah makin mencabar. Otak ligat berfikir bagaimana mahu lebih jimat menguruskan perbelanjaan rumah dan bantu meringankan beban suami. Tapi alhamdulillah saya syukur... hidup kami walau tidak senang tapi segalanya serba mencukupi dalam keadaaan yang amat sederhana.

Duduk-duduk di rumah ini saya dilatih suami supaya jadi warga yang mahu berfikir. Kalau dahulu saya sedikit pun tidak ambil pusing tentang naiknya harga minyak kerana saya sendiri bukanlah seorang pemandu kereta. Yang saya tahu asalkan kereta jalan sudah. Tapi saya tahu saya tidak boleh selamanya begitu. Saya perlu ambil tahu bukan kerana naiknya harga minyak itu akan hanya menjejaskan hidup kami. Tetapi saya perlu ambil tahu untuk jadi seorang warga yang peduli. Kata lagi mahu jadi jurutera minyak... makanya perlu ambil tahu apa yang terjadi dalam industri minyak. huhu! Kalau tidak, maunya nanti jadi jurutera minyak berotak kosong. Macam tin kosong. Bunyinya saja bising tetapi isinya zero! Lalu saya mula berdikit-dikit mengambil tahu. Dari isu minyak membawa kepada isu-isu lain yang berkait. Tentang kerajaan... tentang pemikiran masyarakat... tentang ketelusan... tentang kewangan... tentang segala-galanya yang bersambung dan terus kait-mengait dalam jalinannya yang rumit.

Masyarakat yang tidak mahu membaca dan mengambil tahu adalah masyarakat yang sesungguhnya 'tidak-pedulisme'. Hasilnya mereka ini hanya tahu menuding-nuding jari menyalahkan si polan dan si polan tanpa terlebih dahulu cuba berusaha memahami keadaan. Kerana pemikiran seperti itu, maka terdengarlah berita kakitangan PETRONAS dipukul kerana dipersalahkan atas kenaikan harga minyak. Apakah? (Terus saya rasa cuak nak biar suami keluar pergi kerja pakai uniform putih hijau yang ada logo PETRONAS tu.hukhuk!) Ini contoh betapa 'ignorant'nya masyarakat. Kerana kurang baca dan kurang ambil tahu. Yang mereka tahu hanya fikir poket mereka yang makin kering dan perut yang makin kempis. Bukankah kakitangan syarikat minyak itu juga tersepit seperti mereka? Hidup mereka juga terjejas kerana naiknya harga emas hitam itu, tiada pengecualian! (eh... eh taklah... kami dengar org2 PETRONAS dapat minyak free 2-3 barrel simpan belakang rumah..!)

Oleh kerana mahu jadi warga yang peduli saya merajinkan diri membaca tentang isu semasa terutama isu minyak ini. Suami saya tunjukkan transkrip bicarawara Tan Sri Hassan Marican dalam rancangan Bersemuka Bersama Media. (Mula-mula cuba tonton rakaman rancangan itu yang diupload di youtube tapi lembap sangat pula, macam siput). Peluang yang baik untuk dengar terus penerangan dari Pengarah dan Ketua Eksekutif syarikat minyak nasional negara ini. Dalam rancangan itu, Tan Sri di temuramah dan diajukan soalan tipikal yang menghantui fikiran rakyat yang pening dengan kenaikan harga minyak oleh seorang pengacara dan dua wartawan media yang mewakili Bernama dan The Edge. (Rasa macam tengah baca buku "Isu Kenaikan Harga Minyak For Dummies" kui2!) Aduh... saya fikir saya seorang saja yang lembap fikiran tentang pengetahuan am... rupa-rupanya... kelakar juga bila membaca soalan si wartawan itu. Kalau betul pun tak tahu sangat tentang petroleum... rajin-rajinkanlah diri pergi buat study dulu tentang isu yang akan dibincangkan sebelum masuk rancangan televisyen. Dah malu satu Malaya..hukhuk! Aduh...

Antara soalan-soalan yang saya rasa Tan Sri tak perlu jawab tapi patut suruh yang bertanya pergi baca buku adalah:

1. Kenapa tak gali minyak onshore (atas darat) macam Saudi?

PERANTARA: Apa bezanya, misalnya kita minyak di Malaysia dari segi kita mengeluarkan minyak di Malaysia dengan di Saudi misalnya, tak boleh ke, misalnya kata di Angkasapuri kita tebuk atau kita sedut minyak di bawah bangunan Angkasapuri? Misalnya, di Saudi tu, ia berada di bawah pasir sahaja, Tan Sri?

TAN SRI HASSAN MARICAN: Walaupun di bawah pasir, memang di Saudi, reserved minyaknya 250 bilion tong berbanding dengan kita yang ada 5 bilion tong dan reserved kita terdapat di dalam laut bukan di darat. Dan kita telah mula membangun dan menjalankan minyak daripada laut dalam yang kosnya begitu tinggi.

SAYA: Aduhla.. kenapa nak gali bawah Angkasapuri? Buat susah-susah aja. Kenapa tak cuba saja gali depan rumah awak, cuba tengok ada minyak atau tidak? Sebab kos carigali minyak onshore lebih murah daripada offshore, si pengacara pelik fikir kenapalah PETRONAS susah payah buang duit pergi gali minyak tengah laut. Kenapa tak ikut saja macam Saudi? Kan senang... boleh jimat kos carigali. Saya tanya adik saya yang tingkatan satu itu pun tahu kenapa kita tak gali minyak atas darat. "Sebab kita tak ada minyak atas darat la kak chik. Minyak kitakan semua kat laut" jawab adik saya. Hukhuk!

2. Kenapa perlu reserve duit untuk labur?

Tan Sri Hassan Marican: Bezanya dengan kita, seperti yang saya katakan tadi, kita telah meraih keuntungan RM570 bilion. Kita telah bayar kepada Kerajaan RM336 bilion. Bakinya, PETRONAS telah menggunakan wang itu untuk pelabur di dalam negara seperti paip saluran gas PGU, loji-loji penapisan, loji-loji petrokimia dan sebagainya. Dan ini proses value added yang telah dilakukan, telah memberikan keuntungan yang lebih kepada PETRONAS dan justeru itu kepada Kerajaan.

THE EDGE : Kalau kita tak labur? (WHAT?!?)

Tan Sri Hassan Marican: Kalau kita tak labur, Kerajaan tidak akan menerima pembayaran sebanyak RM336 bilion. Dalam jangkaan saya mungkin pembayaran kepada kerajaan akan cuma lebih kurang RM161 bilion.

SAYA: Wawawa! Dah namanya pun bisness mestilah keuntungan yang mereka dapat perlu dilabur untuk pembangunan dan tambah untung. Cuba bayangkan awak ada kedai jual sayur. Untung jual sayur tu untuk tampung makan pakai anak isteri. Selebihnya buat beli baja atau benih baru. Kalau awak guna semua untung tu untuk makan pakai atau pergi funfair tapi tak labur untuk beli benih baru...lama2 habislah bekalan sayur awak di kebun. Habis awak nak meniaga apa pulak lepas tu? Kalau tak beli baja macam mana sayur-sayur nak tumbuh sehat. Hasilnya orang pun tak minat nak beli sayur awak yang tak cukup hijau tu. Mudahkan? Nak gali minyak, nak bina loji perlu ada modal. Dari mana nak dapat modal? Dari sebahagian keuntungan yang mereka dapatlah. Ke bulih mintak modal dengan kerajaan?? oh..oh..

Tapi fikir-fikir semula patut juga keluar soalan-soalan seumpama itu. Mungkin soalan itu terdetik di hati ramai orang pun cuma tak tahu nak tanya pada siapa. Bagus juga RTM ni. Walaupun rancangan-rancangannya agak kusam dan tak semeriah Astro Ceria tetapi banyak yang informative contohnya macam rancangan Bersemuka Bersama Media ni. Boleh dengar terus dari mulut individu-individu yang dipertanggungjawabkan untuk satu-satu isu. Kalau Astro Ceria tu boleh kira dengan jari (itupun tak habis semua jari guna kot) bilangan rancangan yang membina minda. Semuanya saya lihat mempromosi dan mengdoktrinkan hedonisme. Terbaru rancangan Jangan Lupa Lirik dari Encik Aznil yang dah bosan merosakkan masyarakat dengan Akademi Fantasianya. Aduh.. buatlah rancangan Jangan Lupa Ayat Al-Quran ke... Pastu muncul pulak Akademi Nasyid. Ingatkan dah bagus tapi..tepuk dahi saya tengok! Sebiji seperti Akademi Fantasia yang ditopengkan dengan topeng Islami. Cumanya pesertanya tidak nyanyi lagu pop tetapi menyanyikan lagu nasyid. Peserta perempuan bertudung ala kadar dengan bersolek setaraf artis. Siap ada kategori solo atau berkumpulan. oh..oh! Rosak..rosak!

Huu..apakah saya melalut dari isu minyak naik kepada isu Akademi Nasyid? Kalau mahu baca sendiri transkrip yang saya maksudkan di atas boleh pergi ke laman web Jabatan Penerangan Malaysia. Macam-macam jenis transkrip rancangan RTM ada di situ. Seronok juga baca. (Tambah untuk suri rumah yang tak ada kerja macam saya ni). Baca jangan tak baca! Jangan jadi warga yang tahu merungut saja tapi tak mahu ambil tahu punca masalahnya. Mohon maaf tersalah bahasa. wassalam!


Sampai Bila, PLKN?


Assalamualaikum...

Hujung minggu lepas saya pulang ke rumah emak dan abah. Sampai sahaja di rumah abah mengunjukkan sekeping surat rasmi yang di pos laju. Di satu sudut sampul surat berwarna putih itu terpampang logo rasmi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Aduh... lagi surat memanggil saya ke kem latihan PLKNkah? Saban tahun saya menerima surat panggilan ke kem latihan dan saban tahun jugalah saya terpaksa memperbaharui kebenaran penangguhan. Suatu proses yang membazir wang pos dan masa saya! Tidak bolehkah pihak pengurusan PLKN lebih efisyen dengan mengambil tahu berapa lama tempoh pengajian saya, (awal-awal sudah saya catatkan dalam permohonan penangguhan saya yang tempoh pengajian saya sehingga tamat universiti adalah 6 tahun!) yang tentunya sepanjang tempoh itu tidak mengizinkan saya mengikuti latihan, daripada setiap tahun menganggu ketenteraman hidup saya dengan surat penangguhan ini? (Membazir kertas dan tenaga posmen aja kerjanya!)

Saya merupakan angkatan pertama yang diwajibkan mengikuti program khidmat negara ini sebab saya lahir tahun 1986. Ketika nama-nama peserta pertama PLKN diumumkan, nama saya tidak tersenarai selepas saya dan rakan-rakan menyemak melalui sistem pesanan ringkas. Lega hati! Namun bila membaca akhbar keesokan harinya, nama saya terpampang jelas antara ribuan nama-nama peserta yang terpilih! Alamak! Saya rasakan ketika itu saya seperti seekor tikus makmal yang sedia dihantar ke makmal untuk dijadikan bahan uji kaji vaksin baru yang entah apa kesannya. Kalau vaksin itu racun, maka matilah. Kalau vaksin itu penawar, maka hiduplah. Namun ditakdirkan beberapa hari selepas itu saya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke pusat persediaan untuk ke luar negara. Fuuuh... terselamat! Umpama tikus makmal yang gembira kerana berjaya melepaskan diri dari sangkar sebelum dihantar ke makmal uji kaji, saya dengan riang gembira mengisi borang penangguhan.

Tetapi sejak daripada itu, daripada tamat SPM pada tahun 2004 hinggalah tahun 2008 ini (sudah 4 tahun!) hidup saya dihantui oleh jemputan ke kem latihan dan penangguhan yang terpaksa diperbaharui setiap tahun. Apa tidak gila? Mahu buat tidak peduli bimbang nanti dikenakan tindakan undang-undang. Kalau dahulu orang yang tak hadirkan diri ke PLKN setelah dipanggil boleh dikenakan denda dan penjara di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003. PLKN diadakan dengan tujuan 'melahirkan warga perkasa yang mempunyai sikap terpuji dan jati diri untuk terus mempertahankan maruah negara' (oh..oh..) tetapi kalau sudah dipaksa dan diburu seperti ini mana mungkin anak-anak muda seusia saya mampu cintakan negaranya yang 'budiman' ini. Tambah pula orang seperti saya yang bukan sengaja tidak mahu hadir tetapi ada kekangan masa dan keadaan yang tak mengizinkan. Tapi mungkin lepas ramai orang kritik kerajaan dengan tindakan mereka dakwa mendakwa itu, hukuman untuk peserta yang tidak hadir PLKN dah diubah biar nampak macam murni sikit. Hukuman denda dan penjara digantikan dengan tindakan menjalankan khidmat masyarakat. Clap..clap..!

Apakah tidak mungkin insan-insan seperti saya ini digugurkan terus saja dari senarai peserta PLKN? Setahu saya dari lebih kurang 460 000 remaja hanya 85 000 yang terpilih. Apalah salahnya digantikan saja nama saya dengan yang lain? (cop..cop.. mana aci! habis yang tak terpilih tuh terlepas macam tu ajelah? Cukup ke sebahagian saja yang jadi patriotik dan berjati diri?) Kalau nak difikirkan saya memang langsung tak berpeluang ke PLKN. Tamat saja belajar nanti harus terus lapor diri untuk bekerja pula bagi membayar pinjaman pelajaran dengan si penaja saya. (Doakan saya dapat kelas satu supaya tidak hidup dengan hutang piutang). Tambah saya sekarang sudah pun berkahwin. Kalau dah beranak kecil nanti mahu disuruhnya saya meninggalkan keluarga saya tiga bulan semata-mata mahu menjadi warganegara yang patriotik? Lapang tak lapang pun lepas saya pencen nantilah.. baru ada masa mahu ke PLKN. Boleh? Kalau pun saya boleh hadir ke PLKN selepas2 ini (yang entah bila) adakah saya yang sudah 'tua' ketika itu akan menjalani latihan yang sama dengan adik-adik lepasan SPM yang jauh lebih muda daripada saya? Bukan nak double graded kerana saya lebih tua tak mahu bercampur dengan yang muda, tapi fikirlah sendiri. Kemampuan ketika itu pastinya sudah terbatas kerana usia yang meningkat manakan sama dengan mereka yang belasan tahun! Tak cukupkah kem Biro Tatanegara yang sudah saya hadiri sebelum ke luar negara?



Saya tengok iklan PLKN di televisyen. Macam seronok je. Punyalah gembira semua pelatih sampai kawad pun boleh menari-nari dan menyanyi. Suruh menyapu taman pun mereka menari-nari. Kalau yang nakal-nakal tu pergi PLKN terus jadi budak baik. (siap nangis terharu mak dia..hukhuk!). Dahlah dapat elaun RM 150 setiap bulan, makan dan tidur percuma pulak tu. Lumayan...siapa yang tak nak? Tapi saya pelik sampai tak tidur malam berfikir kenapa program yang digambarkan seseronok itu sampai perlu diwajibkan dan dikenakan tindakan undang-undang jika tidak hadir. Siapa yang tak mahu sesuatu yang menyeronokkan dan lumayankan? Habis.. mana silapnya PLKN ni? Sehinggakan jurulatih pun ramai yang tidak hadir ke kem latihan walaupun sudah mendaftarkan diri. Inikan pula si pelatih..

Apa silapnya PLKN? Adakah kerana statistik kematian peserta PLKN yang sudah mencecah 16 orang sejak ia mula dijalankan 4 tahun itu? Sehingga kerajaan terpaksa melancarkan Sasaran Kematian Sifar PLKN'. Kalau saya sudah jadi ibu nanti mesti saya rasa berat hati nak lepaskan anak-anak ke kem latihan. Siapa tahu pulang tak pulangnya anak selepas itu mungkin hidup atau mungkin mati. Baik saya jadi macam Al-Khansa' yang menangis kerana anaknya semua syahid di medan perang menegakkan Islam daripada anak-anak mati di kem latihan kerana mahu menanam semangat patriotik kepada negara.(Menanam semangat kebangsaan ada ke dalam Islam?) Itu belum lagi ambil kira komen kawan-kawan yang sudah ke PLKN. Terbaru seorang adik lepasan SPM menghantar pesanan ringkas kepada suami saya, mengeluh dengan kurangnya penegasan dalam menjalankan suruhan agama di kem latihannya. Jika solat wajib pelatih-pelatih pun tidak dipantau, apatah lagi ibadah-ibadah lain? Belum lagi fikir tentang pergaulan lelaki dan perempuan di kem. Jurulatih yang diamanahkan menjaga kebajikan pelatih juga ibarat pagar makan padi apabila kes cabul dan rogol turut dilaporkan. Kecederaan, kematian, cabul, rogol, gaduh, histeria... apa lagi yang mahu ditunggu untuk kerajaan me'rehat'kan seketika PLKN untuk dikaji semula pelaksanaannya?

Tidak dinafikan mungkin ada kebaikan dari pelaksanaan PLKN ini. Namun kesan-kesan itu mungkin terlalu subjektif untuk dinilai. Atau mungkin saya sendiri belum menyaksikan dengan mata kepala sendiri akan hasil-hasil baik PLKN ini. Jika tidak sudah pasti akan saya tulis dan catatkan di sini untuk pertimbangan yang adil.

"Apalah kau cakap psl PLKN? Siapa yang peduli pasal PLKN sekarang ni? Orang sekarang sibuk dengan harga minyak naik tau tak? Tak pun kisah l*w*t tuuh... Sebuk pasal PLKN lak..kisah basi tu tau tak?"

oh... oh...

Kerja yang ikhlas

Assalamualaikum...

Akhirnya dapat juga menembuskan diri ke alam maya selepas hampir dua hari terputus hubungan. 5 bintang saya berikan untuk perkhidmatan TMNet di Malaysia ini mengalahkan perkhidmatan BT (phone line provider in UK like TELEKOM in Malaysia) yang hanya layak mendapat satu bintang saja.

Berurusan dengan BT sangat menguji kesabaran saya. Perlu menanti berjam-jam di talian khidmat pelanggan sebelum panggilan anda di jawab operator. Kalau anda bernasib baik panggilan anda akan dijawab dan kemudian di paskan berkali-kali kepada beberapa lagi operator dari department berbeza sehingga ketemu department yg sesuai untuk menjawab kemusykilan atau menyelesaikan masalah anda. Katanya tindakan akan diambil selewatnya 3 hari bekerja tetapi setelah seminggu berlalu kami masih di tinggal terkapai-kapai tanpa talian telefon. Minggu berganti bulan akhirnya genap 3 bulan kami tidak bertalian telefon dan tidak berinternet. Oleh kerana internet itu penting sepenting makan nasi kepada kami yang bergelar pelajar maka jadilah hidup kami tak tentu hala. Kami tidak ada pilihan lain kerana BT satu-satunya syarikat yang membekalkan talian telefon yang diperlukan untuk mendapatkan internet. Saya yang sudah hampir hilang sabar menelefon semula, makin sakit hati apabila kakak operator memberitahu mereka tidak pernah menyimpan sebarang rekod aduan saya di talian khidmat pelanggan mereka. Saya yang sudah menipis kesabaran itu apa lagi... terus saja mengamuk di talian. Bayangkan itu sudah kali ke 4 saya menelefon mengadukan perkara yang sama!! Selepas kejadian amuk itu barulah seminggu selepas itu talian akhirnya disambung ke rumah kami. Alhamdulillah.

Siapa kata tiada yang bagus tentang Malaysia? TMNet sangat2 bagus. Two thumbs up!! Semalam saya menelefon ke talian khidmat pelanggannya. Hanya tunggu selama beberapa saat untuk disambungkan pada operator tanpa perlu mendengar lagu2 instrumental yang menjengkelkan dan iklan-iklan produk mereka. Operator menyambut mesra dan terus sahaja membantu saya menyelesaikan masalah yang saya hadapi. Siap beri arahan satu persatu untuk set up semula talian internet di laptop saya sambil dengan penuh sabar menunggu saya yang buta IT ini untuk mencari icon2 yang si operator sebutkan. Disuruh cuba sambung untuk beberapa minit dan jika gagal boleh cuba menelefon semula untuk buat laporan supaya ada technician datang merawat masalah kemudiannya. Saya gagal mendapat sambungan internet dan hari ini saya menelefon semula. Kagum saya bila dia ingat nama saya walaupun saya bukan pemegang akaun internet ini (akaun internet ini di daftarkan atas nama suami saya). Siap ingat lagi apa masalah dan aduan saya semalam. Selepas mencuba sekali lagi seperti semalam bersama operator akhirnya laporan dibuat. Saya diminta menunggu selewat-lewatnya tempoh dua hari bekerja.

Sejam kemudian saya menerima panggilan telefon dari technician TMNet. Wah! Cepatnya! Kagum saya! Dia memastikan masalah saya dan bertanya waktu yang sesuai untuk datang. Bila saya katakan saya mengagak masalahnya berkaitan dengan modem, dia kemudiannya membalas "Saya baru saja tukar modem dengan suami cik hari tu" Waaahh!! That was months ago. Lagi saya kagum sebab dia boleh ingat dengan detailnya apa masalah internet kami yang lepas. Encik technician akhirnya berkeputusan untuk datang menghantar modem baru tetapi dia seperti membaca keserba salahan saya kerana suami tiada di rumah kerana keluar bekerja. Mahu tunggu suami pulang mahu tak mahu waktu makan tengah hari nanti bermakna waktu rehat untuk encik technician juga. "Tak apelah cik.. saya datang kasi modem dan tunggu luar pagar. Cik cuba pasang sendiri tengok macam mana. Ok tak?" Bagusssnyaaaa perkhidmatannya!

Letak saja gagang telefon saya lalu teringat perbualan dengan suami beberapa hari yang lepas. Kami bincang tentang ikhlas dan ihsan dalam pekerjaan semasa perjalanan pulang dari Kuantan ke Terengganu. Kebetulan waktu itu tertarik dengan perbincangan di IKIM yang kami dengar lewat corong radio kereta. Kata si ahli panel, dalam bekerja yang penting perlu ikhlas. Barulah kita akan buat dengan bersungguh apa-apa saja yang kita kerjakan dan hasilnya juga akan seperti apa yang kita mahukan. Tukang masak contohnya, kalau dia ikhlas dalam bekerja dia tidak hanya akan fikir mahu meyudahkan tempahan makanannya, tetapi akan juga ambil kira sama ada masakannya itu nanti bermanfaat atau tidak untuk si pelanggan. Sama ada masakannya itu sihat dan bersih untuk santapan pelanggan. Kalau si tukang masak betul-betul ikhlas, setiap biji telur yang diguna akan dibasuh dahulu dan dibaca basmallah sebelum dipecahkan. Sehingga begitu sekali telitinya. Sebab itu walau ke mana pun kita pergi masakan ibu kita tetap nombor satu kerana ia dimasak dengan ikhlas dan penuh kasih sayang. Kalau kita ikhlas, kita akan betul-betul jaga hak orang yang membayar perkhidmatan kita. Bukan semata-mata mengejar manfaat untuk diri kita saja.

Suami saya menambah, kita boleh lihat perbezaan orang yang bekerja dengan ikhlas atau tidak. Peniaga contohnya... kalau dia meniaga dengan ikhlas dia tidak hanya fikir untuk dapat untung, untung dan untung. Tetapi dia juga akan fikir kebajikan pelanggannya. Adakah produk jualannya menepati keperluan pelanggannya? Adakah harga yang ditetapkan berbaloi dengan produk dan khidmat yang diberikan. Biarlah untungnya sedikit tetapi mungkin dengan keikhlasan itu akan mengikat hati pelanggan untuk kembali apabila dia berpuas hati dengan perkhidmatan kita. Siapa tahu? Kalau Allah redha, lagi dimurahkan lagi rezeki kita insyaAllah. Kalau kita ikhlas dalam bekerja barulah ada berkat rezeki kita. Suami saya lalu menceritakan pengalaman seorang rakannya. Rakannya itu di Singapura atas urusan kerja. Pada malam itu dia menelefon ke pihak hotel minta dikejutkan sebelum jam 8 pagi kerana perlu mengejar jadual penerbangan. Kemudian dia menempah pula teksi untuk menghantarnya ke lapangan terbang. Ditakdirkan Allah gagang telefon biliknya tidak diletakkan dengan betul maka pada keesokannya pihak hotel tidak dapat mengejutkannya bangun. Begitu juga dengan si pemandu teksi yang ditempahnya. Kerana prihatinnya si pemandu teksi yang bimbangkan pelanggannya tertinggal penerbangan entah bagaimana diusahakan juga mendapatkan nombor bilik si pelanggan. Lalu dia sendiri yang naik ke bilik si pelanggan dan mengetuk pintu sehingga pelanggan terbangun tidur dan terus memecut ke lapangan terbang. Dan bayarannya... sama saja! Tiada extra charge! Itu contoh ikhlas dalam bekerja... dan setiap kali si lelaki itu kembali ke Kota Singa itu, pasti dia akan menelefon ke syarikat teksi yang sama jika memerlukan teksi walaupun mungkin tidak lagi bersua dengan si pemandu budiman itu.

Penat berbual-bual kami singgah untuk mengisi perut. Malam itu kami memilih untuk mencari restoran atau gerai orang-orang kampung dengan niat untuk bantu peniaga Melayu. Malam sebelumnya saya meminta untuk makan di restoran mamak kerana perut begitu kepingin mee goreng mamak. Kami akhirnya sangat kecewa. Niat untuk bantu perniagaan saudara seagama dan seakidah (sebangsa pulak tuh!) Terkejut juga apabila di caj RM10 untuk sepinggan nasi goreng paprik dan mee rebus serta dua gelas air suam. (Harga minyak naikla makcik! Takkan tak tau kooot??!) Nak kata sedap tak adalah sedap mana pun jika dibandingkan dengan masakan di restoran mamak semalam yang jauh lebih murah bayarannya. Sudahlah layanannya macam mahu tak mahu (senyum pun tidak, manis lagi senyuman si mamak!), lambat pulak tu! Meja penuh dengan ranting2 dan bersemut tak ada sesiapa datang lapkan (Kami pula yang terkial-kial menguis-nguis semut dengan ranting2). Alahai...

"Takpe..takpe..sabar, kita nak tolong orang kampung..." kata suami saya menyabarkan saya yang sudah kelihatan mula mahu membebel.

Macam mana mahu tolong kalau mereka tak mahu tolong diri sendiri! Baik lagi saya pergi makan restoran mamak. Huuu... tak kisahlah kalau hak saya tak tertunai oleh si tuan punya kedai. Tapi kamu jawablah sendiri dengan Allah nanti... Ikhlas itu sangat halus. Bukan mudah untuk dapat ikhlas dan kita pun kadang-kadang tidak tahu sama ada kita ikhlas atau tidak dalam setiap perbuatan kita. Ikhlas itu adalah apabila kita melakukan sesuatu tanpa mengharapkan apa-apa balasan langsung melainkan keredhaan Allah. Langsung tak mengharap apa-apa. Titik! Ikhlaskah saya dalam menulis di sini? Wallahualam... hanya Allah yang menilai