Ikatan

Assalamualaikum..

Kadang-kadang Tuhan mahu memberi sesuatu dari arah yang tidak kita sangka-sangka. Saya sepatutnya amat gembira setelah hampir sekian lama menanti restu. Namun saat saya menerima berita itu, perasaan takut itu lebih mengatasi gembiranya. Takut memikirkan tanggungjawab yang bakal datang bersama ikatan itu. Sedang diri ini serasa belum bersedia untuk menerimanya. Masih berbaki beberapa bulan sebelum saya melangkah ke alam itu.. Sedang diri ini rasanya masih lagi seperti anak-anak kecil. Yang air matanya seringkali menitis kerana yang remeh-remeh. Yang masih mahu digula-gulakan dengan yang indah-indah. Saya mengadu kegusaran saya pada seorang teman. Katanya "Jika kamu tidak bersedia... Allah tidak akan memilih kamu untuk menerimanya". Bersediakah saya?

Kata seorang ukhti yang saya jemput di stesen bas lewat petang semalam,

"Perkahwinan itu suatu universitas tinggi yang amat lengkap untuk manusia. Di dalamnya ada fakulti kesabaran, keimanan, dan macam-macam lagi. Dalam masa-masa menantimu ini.. tambahkan ilmu dan sentiasa sabar menjaga. Semoga sentiasa sakinah rumahtanggamu itu nanti ya ukhti.."

Saya hanya tersenyum.. namun hati ini Tuhan sendiri tahu bagaimana golaknya. Saya tahu kisah saya sangat jauh dari sempurna. Menjadi pendamping kepada seorang mujahid yang mahu berjuang di jalanNya tentu bukan satu tugas yang mudah. Di situ nanti memerlukan ketabahan dan ketahanan yang maha hebat. Sedang saya masih amat rapuh, mudah berderai saat diuji dengan sedikit ujian. Tambah situasinya nanti lain dari yang normal. Ikatan itu hanya sekadar ikatan sedang nantinya masing-masing terpisah oleh lautan. Saya sedar saya sedang menongkah arus. Makanya perlu saya buktikan pada yang melihat, walaupun begitu kisahnya, saya masih bisa sampai ke destinasi. Walau tibanya lambat.. walau nanti amat penat.



Taubat...

Assalamualaikum..

Lagi dua hari.. akan genap sebulan saya tidak menulis. Bukan sudah jemu berblog tetapi entah kenapa terasa sudah kering dengan perkongsian untuk semua. Wajarlah saya katakan, jika mahu menulis sesuatu yang bermanfaat untuk mereka yang membaca, hati ini perlu bersih. Amat bersih. Tidaklah saya katakan selama ini hati saya bersih amat. Cuma lewat beberapa minggu kebelakangan ini saya kurang menjaga. Maksud saya menjaga dalam segala segi. Oh~ tak perlu saya terangkan dengan lebih lanjut lagi kerana itu seperti membuka pekung di dada sendiri. Cukuplah saya ucapkan maaf kerana tidak menitipkan apa-apa untuk sekian lama. Maaf kerana menghampakan usaha kamu mengupload page ini dan tiada penambahan yang dilihat. (haha~ macamlah ramai sangat yang membaca.. saya perasan bagus)

Saya akhirnya kembali di bilik kecil ini setelah hampir seminggu ke sana sini. Mungkin boleh juga saya katakan kembali dari sesi-sesi pembersihan diri yang saya rasakan amat kotor itu tadi. Seperti jatuh dalam lumpur yang busuk dan jijik. Tiba-tiba rasa kebersalutan dengan lumpur jijik itu sungguh membahagiakan. Bau busuknya terasa amat harum dan melalaikan. Lalu terus-terus sahaja ingin duduk bergelumang dengannya... walau sering ada sahaja manusia yang melintasi lopak lumpur itu menegur,

"Keluar..sampai bila kamu mahu terus-terusan bermain lumpur itu. Tidak jijikkah?"

Tetapi saya degil. Mungkin bau yang busuk itu telah memabuk dan mengkhayalkan saya. Saya fikir, apa salahnya sekali sekala berseronok, sudah puas nanti basuhlah saja lumpur itu dari badan. Mudah. Namun dalam keseronokan dan kelalaian itu saya tersedar, jika terlalu berlama di dalamnya mungkin bau busuk itu sudah tidak mampu dihilangkan lagi. Walau sekuat mana badan disental dengan berus dawai.. walau berbotol haruman dicurahkan bau itu mungkin terus melekat. Tambah menakutkan jika bau itu terus melekat seumur hidup. Memualkan sesiapa yang berdekatan dengan saya. Malah mungkin yang rapat pun akan menjauhkan diri. Lalu saya cemas.. cepat-cepat mahu keluar.

Berpergian selama seminggu... memberi helaian baru yang bersih untuk saya lukis semula. Dengan kuasaNya ada beberapa perkara yang tidak saya sangka mampu pulih semula. Di hujung gagang saya dengar suara itu riang menyapa. Dan suara-suara yang disekitarnya turut berkongsi kegembiraan. Apa lagi yang saya mampu ucapkan selain dari Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah. Dia yang Maha Berkuasa membuka hati manusia.. Dia Yang Maha Pemurah memandu hati itu untuk pulang kepangkuan kami. Hanya doa yang mampu saya panjatkan. Semoga hatinya terus tetap dan tenang dengan keputusannya kali ini. Hadiah yang mahu saya berikan perlu saya kemas kini semula.. Bagaimana mampu saya menyampaikan kefahaman untuknya andai di kepala dan hati ini sendiri segalanya berselirat dan tersimpul. Malah simpulan itu menjerat dan menjerut diri saya sendiri.

Berpergian selama seminggu... menyaksikan saya merungkaikan simpulan itu satu-satu dan merapikan selirat kefahaman dalam diri saya. Di situ saya merasakan hati yang gelap mula disimbahi cahaya. Hati yang selama ini umpama najis lembu yang kering.. gelap, keras, kering dan rapuh. Mungkin seperti melampau perbandingan saya tetapi itu yang benar saya rasa. Setuju atau tidak itu terpulang kamu. Saya sekarang bercakap tentang hati saya bukan hati orang lain. Hati itu sudah hitam likat dipenuhi titik dan tompokan dosa. Walau dosa kecil-kecil tapi apabila kerap dilakukan.. akhirnya tompok itu menyelaputi juga segenap ruang hati. Bila itu keadaannya, hati sudah tidak lagi sensitif pada perbuatan dosa. Hati sudah tidak lagi sensitif pada kemungkaran. Malah tambah menakutkan dosa yang besar pun nanti sudah tidak terlihat sebagai dosa oleh hati yang hitam itu.. nauzubillahi min zalik.

Allah itu Maha Penyayang.. dicampakkannya ilham taubat. Subhanallah Maha Suci Allah.. bukan sekadar itu.. pengisian program yang lepas ini pun banyak berkisar tentang taubat. Bagaimana mencari taubat nasuha. Terdengar esakan dari rakan di sebelah saya. Dia menangis.. Saat itu saya merenung dan bermenung, mengingat-ingat dosa sendiri. Dalam qiam dan tahajjud saya memaksa hati ini menangis kerana dosa yang bertimbun itu. Tiba-tiba suatu rasa ketakutan menyelinap.. Keras..hati ini sudah terlalu keras. Saya sudah tidak mampu menangis dengan dosa dan kebersalahan itu.. Solat wajib lima waktu terasa ditunaikan sekadar kerana wajibnya bukan kerana rindu pada Ilahi.. Doa yang dipanjatkan saban kali selepas solat serasa hanya lahir dari hafalan di mulut bukan pengharapan dan pengaduan dari hati.. Ya Allah sudah jauh benar aku dari rahmatMu...

Kala senja itu tiba
Ku termenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan

Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan

Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran

Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan

Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali

Azan maghrib sudah berkumandang kini di corong komputer saya.. tinggal dahulu semua. Saya mahu mencari taubat... saya mahu mencari semula cinta Ilahi..