Wikipedia di Jerash


"Esok kami ke Jerash kak! Jom ikut?" ketika itu kami sedang duduk menikmati sandwich dan teh yang disediakan tuan rumah.

Saya pula baru sahaja tiba di rumah mereka setelah sejam perjalanan dari Lapangan Terbang Amman. Hilang sudah segala keletihan saya menempuh lebih kurang 16 jam penerbangan dan transit apabila melihatkan wajah-wajah mereka yang amat mesra menyambut kedatangan tetamu dari Malaysia ini. Awalnya saya agak risau kerana hanya sempat memberitahu mereka tentang kedatangan saya di saat-saat akhir sebelum berangkat. Bimbang menyusahkan mereka. Namun jelasnya mereka sungguh meraikan kehadiran saya di sini. Walau ada di antaranya yang saya belum pernah bertemu atau sudah tidak saya ingat namanya, namun sungguh cepat ukhuwah tertaut. Saya sudah jatuh hati pada mereka.

"Jerash tu apa?" saya menyoal kembali.

"Jerash tuh runtuhan kota Rom kak. Esok ada program akhawat di sana. Bolehlah akak join"

"Owh... boleh insyaAllah"

"Lepas subuh esok kita bertolak kak ye?" si adik mengingatkan sebelum pulang malam itu.

Esoknya awal-awal pagi kami keluar rumah. Musim bunga di Jordan, langit mula cerah seawal jam 6 pagi. Cuacanya sejuk mengigit. Alhamdulillah malam sebelumnya saya sungguh lena dan bangun paginya bebas dari kepenatan perjalanan semalam. Setelah singgah mengambil seorang adik di rumahnya, kami menaiki teksi ke stesen bas. Dalam hati diam-diam saya kagum dengan kefasihan adik-adik di sini berbahasa Arab ammiah Jordan... Saya sendiri yang sudah bertahun-tahun cuba belajar Bahasa Arab masih belum mampu bertutur walau dalam perbualan asas.

Setiba di perhentian bas, seorang pakcik Arab menghampiri kami. Dia berbincang sesuatu dengan adik M (tentunya dalam bahasa Arab yang tidak saya fahami) dan selanjutnya mengajak kami mengikutinya. Rupa-rupanya dia menawarkan untuk menghantar kami ke Jerash dengan van hijau tuanya yang separa usang. Tambah lagi hanya ruang depan sahaja yang boleh diisi dengan penumpang. Maka berhimpit-himpitlah kami berlapan di dalam van itu. Ada antara kami yang hampir terkeluar isi perut kerana jalannya yang turun naik bukit dan berbelok-belok.

"Ini baru betul-betul adventure!" kata Kak I di balik niqabnya. Anak kecilnya sudah tertidur di pangkuan sejak awal perjalanan.

Alhamdulillah lebih kurang sejam selepas itu kami sampai ke destinasi. Kami yang paling awal tiba. Tidak berapa lama selepas itu, rombongan penganjur dari Amman pun tiba. Sempat bersalam-salaman dan berkenalan ringkas sebelum bergerak ke dalam kawasan Jerash. Subhanallah... melihat runtuhan kota Rom itu saya sungguh kagum. Hebatnya manusia yang membina kota ini suatu ketika dahulu tanpa bantuan teknologi canggih seperti hari ini. Bagaimana mereka mampu mengangkat bongkah-bongkah batu besar ke atas bukit ini dan menegakkan kota ini tanpa menggunakan simen? Percaya atau tidak, tiang-tiang besar yang menjadi karakteristik khusus binaan Rom ini terdiri dari kolum-kolum yang di susun di atas satu sama lain (juga tanpa simen!). Yang menjadi pertaruhan mereka adalah kiraan saiz yang tepat dan paling optimum untuk memastikan tiang ini berdiri kukuh. Hebatnya...Kepada siapa lagi selayaknya dilimpahkan segala pujian jika tidak Tuhan yang menciptakan mereka yang hebat ini. Subhanallah... subhanallah... subhanallah...


The Temple of Artemis

The South Theatre


The Forum- pasar zaman Rom



Saya memang sangat suka melawat tempat tinggalan sejarah. Yang terbaik yang pernah saya lawati tentunya Andalusia. Jerash mungkin jatuh di tempat kedua setakat ini. Saya gemar melihat kesan-kesan sebuah tamadun yang pernah gah suatu ketika dahulu, membayangkan bagaimana keadaannya di zaman kegemilangan dan bagaimanakah rakyatnya ketika itu.

Namun, dalam runtuhan kota Rom itu kami membina iman dan Islam di hati kami. Kami ke sana atas jemputan Persatuan Penuntut Malaysia Amman untuk sebuah program muslimah. Temanya "Muslimah Cemerlang Pemangkin Ummah Gemilang".Alhamdulillah sememangnya pemergian saya ke Jordan ini dengan 'mindset' mahu mencari tarbiyah diri... dan Allah mengaturkan sebuah program tarbiyah untuk saya di sini dengan permulaan yang sungguh cantik! Sungguh Allah telah mengembalikan kompas saya ke arah yang sepatutnya supaya saya jelas arah dan tujuan saya di sini. Tauhidiq mindset itu take home message yang saya bawa pulang dari kota Jerash.Bagaimana kita seharusnya memahami bahasa-bahasa yang Allah cuba sampaikan dalam setiap detik hidup kita.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), " Ya Tuhan kami, tidaklah engkau menciptakan semua ini sia-sia; Mahasuci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka"
(Ali Imran: 190-191)

Dan tentunya antara yang manis adalah ukhuwah yang terbina di kota Jerash. Alhamdulillah. Seronok dapat seharian bersama-sama adik-adik dari Irbid dan mengenali kakak-kakak dari Amman. Banyak mutiara ilmu yang dapat saya kutip daripada mereka. Moga ada kesempatan berjumpa lagi insyaAllah... Dalam coaster (bas kecil) semasa perjalanan pulang ke Irbid, saya tak henti-henti berfikir... apakah hikmahnya Allah membawa saya ke bumi Jordan ini? Apakah yang mampu saya sumbangkan untuk dakwah di sini. Melihatkan adik-adik yang terlena kepenatan di sekeliling saya, hati bertambah gusar dan semakin tak tentu hala... saya rasakan saya sangat fakir dan tak punya apa-apa untuk diberikan pada mereka... Saya pulang ke Irbid petang itu dengan satu azam yang saya tanam tekad-tekad dalam hati. Hanya doa saya panjatkan pada Allah semoga diberi kekuatan untuk mengotakannya...

19 Mac 2010. Malaysia. 0040

Kurang sejam lagi kami bakal berlepas ke bumi Jordan Bagaimana buminya, masyarakatnya, cuacanya, suasananya... saya sendiri tidak terbayangkan. Tidak pernah berkesempatan menjejakkan kaki ke sana. Saya membayangkan padang pasir yang luas dengan cuaca yang membahang panas. Mungkin sangkaan saya silap, kerana kata Muhammad, Jordan tanah empat musim. Kata Muhammad, sekarang ini musim bunga di Jordan. Lalu difikiran saya segera terbayangkan satu pemandangan yang ganjil, terbayang bunga-bunga comel putih merah tumbuh melata di padang pasir. Cantik! Tapi aneh.

Keluar dari rumah kami di Kerteh lima belas minit selepas jam dua petang. Kata Muhammad hatinya takut. Saya sendiri juga malah takut dan gusar. Sebabnya? Kami sendiri kurang pasti. Bimbang tertinggal apa-apa yang penting barangkalali. Kesannya, setiap kali berhenti di mana-mana perhentian kami pasti membelek-belek beg memastikan pasport dan tiket benar-benar kami bawa dan bukan sekadar angan-anganan. Muhammad sendiri punya sejarah cemas tertinggal pasportnya setahun yg lepas semasa mahu menziarahi saya di UK. Rezeki Allah, kurang beberapa minit sebelum pintu ditutup, pasport itu sampai ke tangannya.

Namun, walau sudah betul-betul pasti segalanya serba ada, tidak mampu menghilangkan kegusaran yang masih bersarang di dada saya. Entah apa sebabnya... Mungkin kerana pemergian kami ini membawa satu tanggungjawab yang besar. Mungkin tanggungjawab yang digalas itulah yang menggusarkan kami, bimbang tidak mampu melunaskan apa yang diharapkan. InsyaAllah... hanya pada Allah kami berdoa moga dipermudahkan segala urusan kami...

Al hamdu lillah...

Salam aleik...

Terlalu banyak perkara yang terjadi dalam hidup kami akhir-akhir ini. Terlalu. Kami menyambut perkara-perkara ini dengan pujian kepada Allah dengan senyuman meniti di bibir kami. Saya masih ingat kata-kata Muhammad ketika dia menyampaikan khabar-khabar gembira ini kepada saya,

"Betul kan kata abang, semua ujian yang Allah beri selama ni untuk uji kesabaran kita. Untuk uji sama ada kita kotakan apa yang kita serukan pada orang lain selama ni. Selagi kita belum lulus, selagi itu kita masih diuji... kalau dah lulus... nah... Allah beri ganjarannya."

Beberapa hari sebelum itu, saya memegang mushaf suci dengan linangan air mata. Mendoakan dikurniakan Allah secebis kesabaran dalam ujian yang bertimpa-timpa. Kepala terasa berat, dada seperti mahu pecah menanggung perasaan yang entah apa rasanya. Muhammad ketika itu hanya mampu menggenggam tangan saya erat, seolah-olah mahu meyakinkan saya bahawa dia juga merasai apa yang saya rasa. Perlahan-lahan dia membisikkan istighfar dan kami sama-sama mengalunkannya, memohon ampun pada Allah atas segala keterlanjuran perasaan selama ini. Muhammad membukakan mushaf, mengajak saya mentadabbur sepotong ayat Allah yang membuat saya langsung menangis dengan lebih teresak,

'Syaitan menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu melakukan kejahatan, sedangkan Allah menjanjikan kamu dengan keampunan dan limpah kurnia dari-Nya dan Allah itu Maha Luas Pengurniaan-Nya dan Maha Mengetahui'

Al-Baqarah:268

Alhamdulillah... Allah mengurniakan rezekinya dari arah yang tidak disangka-sangka. Masih ingat dalam entri-entri awal sepulangnya saya ke tanah air? Saya sudah hampir melupakan permohonan kerja pertama saya itu sehinggalah akhirnya beberapa minggu lepas mereka menghubungi saya untuk sesi temuduga. Alhamdulillah lebih kurang dua minggu selepas itu mereka menghubungi Muhammad menyatakan saya telah diterima dan boleh mula berkhidmat secepat mungkin. InsyaAllah akan mula bekerja sepulangnya kami dari bumi Jordan nanti.

'Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya dia mengadakan jalan keluar untuknya dan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkakannya dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, Dia akan memberi pertolongan yang cukup kepadanya. Sesungguhnya Allah berkuasa melaksanakan segala urusannya.'
Surah Talaq:2-3

Hidup di bawah bayangan Al-Quran, sepatutnya saya merasakan ketenangan dan ketenteraman kerana tangan-tangan Allah yang menguruskan segala perkara dan peristiwa. Seharusnya tiada perkara yang perlu dibimbangkan terutama dalam urusan rezeki kerana segalanya telah diaturkan Allah S.W.T. Bukan mudah membebaskan diri dari rantai-rantai dunia yang mengikat. Tuntutan dunia yang mendesak untuk turut sama berasak-asak bersama yang lain-lain dalam perlumbaan mengumpul harta dan pangkat. Sehingga kadang-kadang lupa matlamat dan tugas sebenar sebagai seorang khalifah dan hamba di bumi Allah. Bukankah Allah membeli hidup orang mukmin itu dengan sesuatu yang lebih menguntungkan?

'Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi ) Janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Ak-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar'

Surah At Taubah:111