Ada apa dengan blog?



Assalamualaikum...

Kata seorang teman saya blog saya ini sudah beralih angin. Bukan setakat rupa yang membalutnya bahkan sehingga ke isinya, semuanya berubah 180 darjah. Bukan itu saja, malah namanya sendiri sudah saya tukar kepada sesuatu yang lebih kontemporari. Dari entry yang jiwa-jiwa kepada entry yang menganalisa keadaaan di sekeliling saya. Entah. Saya sendiri tak pasti atas dasar apa yang menyebabkan saya mengubah setiap inci persinggahan saya ini. Mungkin saya sudah semakin sedar akan tanggungjawab yang dipikul apabila saya berkeputusan untuk menulis kepada umum. Atau mungkin keberadaan saya di tanah air sendiri yang serba menyelesakan dan membahagiakan ini membuatkan saya kurang peka pada rasa hati saya sendiri. Jadi sudah tidak mampu lagi muncul dengan entry jiwa-jiwa yang mungkin jadi kegemaran sesetengah orang untuk dibaca.

Ada apa dengan blog? Zaman ini semua orang bisa ada blog mereka sendiri. Bukannya susah mahu mewujudkan blog. Hanya perlu daftar dan nah...tulisanmu terpampang di alam maya secara percuma. Siapa-siapa pun boleh baca dan ambil tahu tentang kamu. Terpulang pada diri sendiri apa pengisian blog masing-masing. Ada yang memilih untuk menulis tentang hidup mereka sehari-hari. Makan apa hari ini, pakai baju warna apa semalam, buat apa esok... dan lagi ngomel yang entah apa-apa persis catatan mereka dalam diari peribadi. Kalau penulis blog seperti ini mereka saya kira seorang diaris. Mungkin dengan menulis blog merupakan cara mereka mendokumentasikan hidup mereka dan menjadi suatu kepuasan andai catatan sehari-hari itu menjadi tatapan dan bacaan umum. Kalau blog-blog yang seperti ini saya panggil blog bangun-tidur-minum-kopi kerana ceritanya hanya tentang kehidupannya sehari-hari. Saya sendiri pernah menulis blog seperti ini dan malah sehingga sekarang pun kadang-kadang terkeluar juga entry syok sendiri itu.

Saya sendiri kurang faham dengan psikologi orang-orang yang mendapat kepuasan dengan memaparkan kisah hidupnya sehari-hari kepada umum. Kerana saya juga mungkin termasuk dalam kategori orang-orang seperti ini. (hoho! Mentalkah saya?) Kalau diari, kan seharusnya ada privasi. Kalau masa saya kanak-kanak dulu, kata kawan saya, siapa baca diari orang lain nanti mukanya hitam sebelah. Haha.. nak tunjuk betapa punyalah dia tak mahu diarinya dibaca orang. Dan kita sendiri pun selalu 'blog hopping' dari blog ke blog yang entah siapa pemiliknya. Mungkin dari link di blog rakan-rakan atau hasil lompatan blog secara rawak. Malah kadang-kadang berjam-jam dihabiskan di hadapan skrin komputer membaca tentang cerita peribadi si pemilik blog yang entah siapa. Kata kawan saya kita boleh ambil pengajaran dari kisah hidup penulis. Mungkin ada, tapi sejauh mana? Ada satu yang saya terfikir. Mungkin blog boleh jadi medium ta'aruf untuk mengenali peribadi seseorang melalui tulisannya sebelum kamu menghantar rombongan meminang. Tak perlu susah-susah bercinta semata-mata nak kenal hati budi, baca saja kisah hidupnya di blog. (kalau si dia tu bloggerlah) Buang duit dan masa saja. (oh~ saya dah kahwin ye..ehem!)

Ada juga yang menulis kerana blog menjadi medium mereka meluahkan pendapat tentang sesuatu isu. Dari seni sehingga politik atau apa-apa saja isu yang menarik minat masing-masing. Blog juga jadi medium untuk si penulis menyampaikan sesuatu yang dikira tidak banyak diketahui umum. Ini yang menjadikan blog sebagai medium untuk mendapatkan maklumat-maklumat eksklusif yang mungkin tidak akan ditemui di media-media umum. Tambah dalam keadaan sekarang di mana media rasmi dianggap sebagai berat sebelah. Jadi blog menjadi alternatif untuk masyarakat umum mendapatkan sumber maklumat dari pihak lain. Tapi kalau di Malaysia perlu hati-hati dengan apa yang ditulis kerana silap-silap boleh didakwa di mahkamah kerana menyebarkan fitnah. Tambah-tambah kalau anda menulis tentang orang-orang besar atau 'public figure'. Silap-silap perlu keluarkan akuan bersumpah pula kamu nanti. Malah Pak Lah pun sudah mula menyuarakan kebimbangannya dengan kemunculan blog-blog yang seperti cendawan tumbuh, yang dikatakannya sebagai medium untuk menyebarkan khabar angin dan spekulasi yang boleh mengancam kestabilan politik negara. Kalau ditangkap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), boleh disaman RM50 000 atau meringkuk dalam penjara tak lebih setahun.

Sekarang ini artis dan ahli politik pun berblog. Blog boleh jadi medium terbaik untuk membina lingkungan pengaruh. Anda juga mungkin jadi terkenal dengan hanya menulis blog. Kalau anda seorang public figure tentunya ramai yang mahu mengikuti perkembangan setiap detik dalam hidup anda. Mungkin bukan tokoh atau artis itu sendiri yang mewujudkan blog tersebut tetapi diwujudkan oleh peminat-peminatnya. Kira macam fan club lah. Jadi, blog boleh membina komuniti yang mempunyai kemahuan dan minat yang sama. Contohnya saya pernah berjumpa sekumpulan kumpulan usrah akhwat yang ditemukan lewat perkenalan melalui ruangan blog. Masing-masing dari tempat dan latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai kemahuan yang sama iaitu mahu mempunyai kesedaran tentang Islam. Bagus kan?

Blog juga boleh jadi tempat melepaskan emosi. Hati-hati bila berhadapan dengan siapa-siapa pun rakan kamu yang mempunyai blog. Kerana mungkin kisah kamu akan jadi isi entrynya yang akan datang. Pernah seorang rakan saya mengadu yang dia tidak sangka salah fahamnya dengan seorang rakannya ditulis oleh rakannya itu di dalam blog dengan ganasnya. Tidak cukup dengan itu kawan-kawan yang membaca entry tersebut mula menghantar komen. Maka daripada dua orang yang bergaduh akhirnya bertukar menjadi sekumpulan orang yang bergaduh. (hukhuk!) Mungkin blog menjadi tempat melepas emosi kerana tiada siapa disekeliling yang dikira sesuai untuk mendengar makanya si penulis rasa satu dunia patut dengar. Tapi tak semua yang negatif. Blog menjadi tempat melepaskan emosi yang baik apabila apa yang dilepaskan itu adalah yang positif. Contoh perasaan gembira lepas dapat jumpa sahabat-sahabat yang sangat-sangat dikasihi dan menyatakan penghargaan atas persahabatan mereka itu yang mungkin tidak dapat dinyatakan secara lisan. Atau rasa terima kasih dan sayang kepada ibu bapa yang selama ini hanya menjadi sebuah lafaz yang tersimpan. Kalaulah perasaan positif seperti ini diekspresikan di blog, alangkah indahnya dunia per'blog'an. Atau mungkin bukan perasaan dan emosi kepada manusia saja, malah ada yang memilih untuk melampiaskan kesyukuran atas nikmat dan rasa insafnya dengan menulis di blog. Golongan ini memilih blog sebagai refleksi diri masing-masing. Alhamdulillah... paling tidak yang membaca pun akan berfikir dan terbit rasa yang sama dalam hati.

Jadi kalau boleh di senarai pendekkan 'kenapa orang menulis blog':
1. Blog sebagai jurnal : Mendokumentasikan hidup
2. Blog sebagai komentari: Pendapat dan bukan bual kosong
3. Blog sebagai katarsis: Tempat melepaskan emosi
4. Blog sebagai refleksi: Menulis dan Berfikir
5. Blog tempat membina komuniti

Blog seharusnya jadi medium untuk mendidik pembaca. Benar blog itu hak anda maka anda boleh memuatkan apa saja yang terfikir di kepala anda di dalamnya. Mahu dapat ganjaran yang menguntungkan dengan menulis blog? Boleh...senang saja. Anda boleh memilih untuk menjadi penulis blog yang biasa-biasa tanpa apa-apa ganjaran atau menjadi penulis yang diberikan ganjaran sebaik-baik ganjaran dari Yang Maha Besar. Bagaimana? Sucikan hati bersihkan niat dan tanamkan azam dalam setiap ketik jari di butang-butang huruf itu adalah lillahi ta'ala. Kita mungkin tidak pandai memberi ucapan yang hebat yang menggentarkan yang mendengar, kita mungkin tidak mampu mengangkat senjata untuk sama-sama memerangi taghut, tapi mungkin ini medan jihad kita. Kita jihad dengan penulisan. Siapa tahu apa yang kamu tulis hari ini mampu menyentuh hati entah siapa di luar sana dan mengubah hidup mereka? Maka untuk setiap perkataan yang kamu taip di laman peribadi masing-masing, ketahuilah bersamanya ada tanggungjawab yang kamu pikul. Moga Allah sentiasa memandu kita.

Debat

Assalamualaikum...


Dulu-dulu masa saya di sekolah menengah saya aktif dalam pasukan bahas sekolah. Tapi aktif peringkat sekolah sajalah tapi tak pernah terpilih menjadi wakil sekolah sebab sekolah saya ramai sangat org yang petah bercakap. Bila naik tingkatan empat cikgu saya risau sebab tengok rekod ko -kurikulum saya yang macam kosong dan hambar. Cikgu kata nanti susah nak dapat biasiswa. Lalu dia pun suruh saya beralih dari bahas Bahasa Melayu ke bahas Bahasa Inggeris supaya ada harapan jadi wakil sekolah. Betul kata cikgu, masuk sahaja pasukan bahas Bahasa Inggeris terus jadi wakil sekolah... Saya dulu sangat suka jadi pembahas pertama sebab pada saya itu tugas yang paling senang. Saya masih ingat lagi perlawanan pertama dengan pasukan sekolah lain, saya gugup sangat. Beri salam, cakap tajuk bahas lepas tu saya terus duduk semula sebab lidah kelu. Buat malu pasukan aje. Dan tentunya ketika itu saya telah menyebabkan pasukan sekolah saya kalah teruk!Haha!

Jadi bila ada ura-ura mengatakan akan diadakan debat Anwar-Shabery saya tak sabar nak tunggu. Boleh mengimbau kenangan zaman sekolah tambah saya dah lama sangat tak tengok perlawanan bahas. (gian..gian) Saya bayangkan debatnya ala parlimen macam waktu sekolah dulu, nanti pasukan pembangkang ialah Anwar, Lim Kit Siang, Hadi Awang dan pasukan kerajaan Abdullah, Najib dan Shabery. hoho! Rupa-rupanya debat ala US-presidential style. Satu lawan satu. Mujurlah debat zaman saya sekolah dulu tak macam ni, kalau tidak tak merasalah orang gemuruh macam saya ni masuk bahas. Jadi saya dan suami pun duk berfikir-fikir kat mana nak tengok bahas ni memandangkan rumah kami tak ada televisyen (Apa??) Ye...anda tidak salah baca. Rumah kami memang tak ada televisyen sebab minat kami terhadap televisyen telah dihapuskan sejak beberapa tahun yang lampau. Ada internet pun dah lebih dari cukup. Masih boleh online streaming rancangan TV apa...Nak tengok berita boleh baca surat khabar online, boleh tengok berita online. (ala..berita kat TV macam boleh percaya sangat..oops!) Akhirnya dapatlah kami tonton apa yang orang Malaya kata 'debat bersejarah' tu.

Pendapat saya, bahas zaman saya sekolah dulu lagi bagus. Masa itu kalau kami berbahas, kami sangat-sangat tahu apa yang kami bahaskan. Persediaan untuk topik yang akan dibahaskan itu mengambil masa berminggu-minggu lamanya. Apabila topiknya tentang pendidikan, pembahas jadi seperti pakar pendidikan. Apabila isunya tentang polisi kerajaan kami jadi seperti menteri kerajaan. Setiap hujah akan disokong dengan fakta dan statistik yang sahih untuk meyakinkan yang mendengar. Malangnya si pendebat yang berdebat secara langsung di televisyen malam itu seperti tidak tahu dengan sebenar-benar tahu tentang isu yang dibincangkan. Banyak hujah yang tidak disokong dengan bukti yang boleh meyakinkan penonton. Akhirnya dengar macam cakap-cakap kosong saja yang dihiasi janji-janji manis. oh..oh..

Tajuknya " Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak". Tapi hujah-hujah si pembahas berterabur dengan isu-isu lain. Dari isu minyak melalut sampai isu-isu lain sehingga ke tahap mengkritik peribadi lawan. Masing-masing nak menjatuhkan lawan dengan membawa kisah-kisah lama si lawan walaupun ada yang macam tak ada kaitan langsung dengan topik debat. Tak profesional langsung! Kalau debat saya zaman sekolah dulu dah boleh kene penalty sebab lari dari premis ni. Lepas tu bila menjawab soalan pula macam tak terjawab soalan tu. Suruh jawab soalan dia pergi sambung hujah pusingan lepas yang belum habis. Sebab tu saya kata debat budak-budak sekolah lagi bagus. hoho! Kalau tak percaya, cuba beri budak-budak sekolah bahaskan tajuk malam itu dalam Bahas Piala Perdana Menteri. Mesti anda puas hati.

Saya ingat boleh dengar maklumat baru tentang isu minyak. Adalah sedikit tapi kebanyakannya sudah pernah terdengar dan terbaca di media sebelum-sebelum ini. Peluang seperti ini patut dimanfaatkan sebaiknya oleh pemimpin untuk mendidik rakyat dengan isu ini tapi hanya sedikit yang boleh dikutip oleh jutaan rakyat yang mendengar pada malam itu selain dari isu lama yang dibangkitkan kembali menyatakan kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan pihak lawan. Sepatutnya mereka fokus pada isu dan bukannya memberi hujah untuk menaikkan diri sendiri walau tiada kaitan dengan isu yang dibincangkan. Rasa macam nak kasi izin laluan jek kat si pembahas ni. hehe! Walau bagaimanapun, secara optimisnya mungkin ini satu permulaan untuk lebih keterbukaan dalam menyatakan pendapat dan maklumat di negara kita yang tercenta ini.

Keputusan debat malam itu berdasarkan citarasa rakyat Malaysia memandangkan tak ada pengadil malam tu:


Kesimpulannya ialah, saya tak menyesal dan tak sedih pun tak ada TV kat rumah. (haha tak ada kaitan langsung). Lagi bahagia dan aman sebab 'the box is the source of all evil'...hoho!

"Dah..dah..kau budak sekolah apa tahu? Pegi duduk diam-diam jangan campur hal orang tua!"

"Baik pakcik..."

Life is a road..

Senandung Anak Pejuang

Assalamualaikum wmt wbt...

Senandung Anak Pejuang - Soutul Jihad

Duduk-duduk dalam kereta dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Kerteh sambil mendengar halwa telinga yang menenangkan dari corong radio. Tiba-tiba tertarik pada sebuah nasyid yang menarik bait-bait liriknya. Sayu sungguh... tambah dalam suasana malam yang agak melankolik. Huu... terbayang nanti anak-anak saya pula menyanyikan lagu ini dan saya watak ibunya... (berangan..berangan) Lagu ini jadi lagu kegemaran saya dan suami buat masa ini...*senyum*


Senandung anak pejuang

Pada kelembutan seraut senyuman
Pada kelunakan tutur perkataan
Ada terlukis warna kerinduan
Terkenang ayah jauh di rantauan

Ayah selalu menghilang diri
Tinggalkan ibu membilang hari
Kekadang tiada khabar berita
Namun ibu tak pernah berduka

Sesekali hati rasa cemburu
Melihat teman semuanya berayah
Bermanja bermesra kasih berpadu
Hidup gembira tiada gundah

Tidak tertahan menanggung rasa
Kepada ibu segera bertanya
Ke manakah ayah sekian lama
Hingga kini belum menjelma

Ibu termenung di dalam sayu
Senyumnya pudar tiada indah
Mungkin batinnya berlagu sendu
Bila anak rindukan ayah

Kanda memujuk ibu menjawab
Tuturnya lembut penuh hikmah
Ayah pergi ke medan jihad
Mencegah mungkar menegakkan yang hak



"Nanti Fateh nyanyi lagu ni ye, Yana?"

Saya angguk saja sambil tersenyum


Deja Vu!

Assalamualaikum..

Di tengah kegawatan politik Malaysia sekarang... saya tersenyum seorang diri bila terkenang suatu kisah semasa saya masih belajar di sebuah kolej swasta 4 tahun yang lepas. Nama pun kolej swasta, medium bahasa utamanya tentulah Bahasa Inggeris tambah pula satu kelas kebanyakannya pelajar berbangsa Cina yang fasih Inggerisnya. (hoo...kalau tak kerana tajaan dalam mimpi sajalah saya nak belajar di situ. Tak mampu saya..hukhuk!) Nak dijadikan cerita, sedang-sedang tunggu cikgu Fizik datang saya pun bacalah surat khabar Inggeris yang saya pinjam dari kawan sekelas di meja depan. (Masa tu tak ada lagi iklan yes-no-alright yang galakkan remaja baca surat khabar Inggeris untuk tingkatkan kemahiran Bahasa Inggeris tapi saya awal-awal lagi dah menyahut seruan NST.huhu!). Tengah asyik membaca saya terjumpalah satu perkataan yang memang saya tak pernah dengar dan tak faham langsung. Lalu dengan semangat ingin tahu yang membara, saya pun tanyalah pada kelas secara umumnya. Kalau-kalau ada yang sudi menjawab.

"Eh..eh...tau tak maksud sodomy tuh ape?, " tanya saya dengan naifnya.

Satu kelas yang tadinya riuh rendah terus jadi senyap. Semua pandang saya dengan pandangan serong 45 darjah. Lalu terdengar bisikan-bisikan antara mereka. Saya pelik. Laa..tahulah kamu semua hebat English. Takkanlah saya tanya maksud satu perkataan pun kamu semua pandang serong pada saya. Getus saya dalam hati. Sebelum saya sempat berkata sesuatu lagi, rakan sekelas saya, si Petra Nabila (ye..pelari pecut negara tu!) yang duduk di sebelah saya, terus tekup tangannya kat mulut saya.

"Kau ni buat malu aku jek... Kalau ye pun jangan la tanya kuat-kuat. Nanti balik umah aku explain ape maksud perkataan tu," merah padam muka Petra. Saya angguk saja.

Lorr...tanya pun salah ke? Pelik betul! Kebetulan cikgu Fizik kami pun masuk lalu pertanyaan saya itu berlalu bersama angin penghawa dingin yang berhembus malas di kelas kami itu. Saya masih lagi tak faham reaksi kawan-kawan saya terhadap soalan saya. Budak-budak lelaki kat depan saya pun masih gelak-gelak sambil pusing-pusing belakang pandang saya. Cess.. apekah ini? Tak faham saya. Semangat inkuiri saya semakin membara.

Haa.. itu saya 4 tahun lepas. Sekarang ini saya dah faham dah ape maksud perkataan tu. Budak-budak kecil sekarang pun dah tahu dah ape maksud perkataan tu. Yelah..kat mana-mana surat khabar pun keluar berita pasal tu. Sepuluh tahun lepas pun keluar berita pasal tu jugak. Masa tu saya baru darjah enam. Rasa macam Deja Vu lah pulak. Ingat lagi setiap kali tengok berita jam lapan mesti nampak orang turun naik mahkamah bawak tilam. Tapi masa tu saya tak adalah faham sangat apa yang terjadi. (Ye..saya mungkin kanak-kanak yang berfikiran tidak cerdas (read: lembap) ketika itu). Terima saja bulat-bulat apa yang dilaporkan di media. Mungkin kerana ketidak fahaman saya ketika itu maka Allah menakdirkan saya untuk berada sekali lagi dalam situasi seperti itu sekarang dalam keadaan sudah mempunyai akal yang sudah mampu menilai dan berfikir. Malah sekarang sudah tidak lagi menerima saja apa yang disuapkan oleh media cetak dan elektronik rasmi di negara ini tetapi sudah pandai mengorek-ngorek yang tersembunyi dan tersirat melalui pembacaan dari sumber lain. Barulah dapat dengar hikayat dari pihak lain pula. Baru boleh nilai dan timbang2.

Terbaca tulisan Ustaz Zaharuddin tentang persoalan liwat dan politik yang sedang hangat sekarang. Katanya pembaca perlu BERAWAS-AWAS. Tuduhan seseorang melakukan maksiat terkutuk itu tidak sama dengan tuduhan si polan makan rasuah, si polan agen yahudi, si polan amalkan kronisme dan lain-lain lagi. Seseorang yang percaya dan menyebarkan tuduhan zina dan liwat tanpa berhati-hati boleh menyebabkan jatuh kesalahan qazaf yang dosanya amat besar di sisi Islam. Qazaf tu apa? Kalau dari segi bahasa Qazaf maksudnya melontarkan sesuatu seperti batu tetapi dari segi syaraknya bermaksud melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci serta menafikan keturunannya. Dan hukuman bagi kesalahan qazaf adalah tidak diterima kesaksiannya dan dianggap fasiq serta didera. Baca sendiri tulisan beliau di sini.

Pening...pening. (No..no..i'm not pregnant!) Saya pening dah baca berita-berita negaraku Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang ini. (oh..oh). Saya tak menyokong mana-mana dan tak menyebelahi siapa-siapa. Maklumlah saya belum daftar mengundi lagi. hoho! Kepercayaan rakyat pada kerajaan, penguatkuasaaan undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia dah makin terjejas lewat beberapa isu kebelakangan ini. Orang lagi percaya apa yang mereka jumpa di blog-blog peribadi berbanding kenyataan-kenyataan rasmi di media. Setuju dengan kata-kata bekas timbalan presiden US, Walter Mondale yang saya petik dalam The Star Online..

“Political image is like mixing cement. When it’s wet you can move it around and shape it, but at some point it hardens and there is almost nothing you can do to reshape it.”

Mahu tunggu dan lihat saja apa kesudahannya semua ini. Allah lebih mengetahui.. wallahualam


notatangan: ade cerita bersiri 'Jangan Main Belakang' kat Astro Ria..tapi tak ada sebarang kaitan dengan isu hangat politik Malaysia. Kategori U tapi tak sesuai untuk tontonan umum sebab boleh melaghakan..huhu!