Dia sudah tidak menangis lagi

"Hebat tak saya abang?", tanya isteriku melalui telefon ketika aku sedang melangkah keluar menuju ke kereta selepas selesai menghantarnya pergi, untuk kembali ke United Kingdom.

"Kenapa?", aku bertanya kembali meminta kepastian.

"Hmm... mestilah. Saya tak nangis pon masa abang hantar saya tadi." Balas isteriku.

Hehe... baru aku perasan. Dia sudah menjadi semakin tabah... Semakin rasional dalam berhadapan dengan kehidupan.

Malah, ketika baru sahaja dia melalui mesin pengimbas, untuk mengesahkan passport, abang iparku menyapa, "Sabar ye.. tak lama lagi jek tu". Padahal memang perpisahan itu sedikitpun tidak meninggalkan kesedihan, cuma kadang2 terasa geli, sebab tak biasa orang tepuk2 bahu menenangkan aku.

Pelik bukan? Adakah kerana kasih antara kami semakin kurang? Hmm...

Jika dahulu, sampai sahaja di UK, terus telefon dicapai menelefonku, lalu berbicara panjang mengungkapkan nada rindu. Tapi kini, cukup daripadanya, "Saya dah sampai ni" untuk aku membalas"Alhamdulillah" dan panggilan ringkas itu ditamatkan kerana aku sedang dalam sesi pengisian dengan adik-adik di Malaysia, sedang dia harus segera berehat untuk esok meneruskan tanggungjawab membantu adik-adik yang baru tiba. Alhamdulillah masing-masing disibukkan dengan tugas dan tanggungjawab pada Allah, terutama saat ramadhan menjelang.

Lebih aku terasa, jika dahulu panggilan kami akan dihiasi dengan perbualan kosong, tapi kini syukur kerana masing-masing berlumba-lumba berkongsi pelbagai cerita, daripada kegembiraan berkenalan dengan adik-adik yang peramah dan begitu berlapang dada, hinggalah kegugupan masing-masing dalam berusaha menyampaikan mesej Islam kepada semua. Lalu segera segala pendapat dikongsi, dan dibuahkan hingga mendapat penyelesaian yang terbaik. Sungguh ia sangat membantu, kerana aku langsung tidak rasa keseorangan bekerja, walaupun seribu satu kekurangan sentiasa memujuk aku berehat.

Rupa-rupanya pengalaman hidup bersama telah kembali menyegarkan iman kami. Bukan sahaja isteriku, malas aku juga turut tidak terasa kehilangan, walaupun sedar kami akan kembali hidup berjauhan selaku suami isteri selama beberapa purnama. Kerana selama lebih kurang tiga bulan, kami mentarbiyyah antara satu sama lain. Sama-sama mengingatkan antara satu sama lain, bahawa kasih yang teragung bagi kami, bukan milik pasangan kami, tetapi ia milik Allah.

Mungkin mudah diungkapkan, tetapi sukar dilaksanakan terutama buat pasangan yang baru berkahwin seperti kami (walaupun sudah lebih setahun) Kita boleh berkata, "aku sayang Allah lebih daripada ibu bapaku", "Aku sayang Allah lebih daripada diriku", atau mungkin "Aku sayang Allah lebih daripada geweku"...

Tetapi benarkah kita telah menyayangi Allah lebih daripada segalanya? Mampukah kita meninggalkan ibu bapa kita kerana Allah? Mampukah kita meninggalkan kekasih kita kerana Allah? Mampukah kita meninggalkan segala yang kita ada; pekerjaan, pelajaran, kehidupan kerana Allah? Tepuk dada tanya selera. Tetapi yang pasti, At-Taubah: 24 masih belum kita imani, jika kita keberatan mengorbankan segala-galanya, jika tuntutan Islam menuntutnya.

Mungkin itulah yang diimani oleh Bilal hingga sanggup mengungkapkan "Ahad.. Ahad.. Ahad" walau batu betan-tan beratnya menindih perut. Mungkin itulah yang diimani para sahabat hingga sanggup meninggalkan isteri selama berbulan-bulan, demi mempertahankan Islam. Mungkin itulah yang diimani oleh Mus'ab hingga sanggup meninggalkan ibunya saat ibunya membantah ketundukannya kepada Allah SWT.

Dan aku... bagaimana? Semoga Allah menjadikan aku dan isteriku seperti mereka, walau kami cuma baru belajar bertatih mengenai cinta kepada Allah.

Pernah suatu ketika, dia menangis, saat aku mengungkapkan kata-kata "Abang tak tahu nak buat macam mana lagi... Abang tak tahu apa peranan abang sekarang... Abang rasa letih dgn macam-macam benda yang mengarut-ngarut... abg nak rehat kejap"

Lalu kata-kata itu disambarnya, dengan tangisan yang lebih esak.

"Saya tak nak abang, kalau abang tak nak Allah." Itulah kata-katanya menegaskan pendirian dalam hati, walau dengan seribu satu ketidak relaan.

Dan kini, dia sudah tidak menangis lagi, kerana aku sudah kembali disisinya.

Perpisahan kali ini...

Aku melihat jam yang tertera di skrin telefon bimbit. Sudah jam 8.40 pagi. Bermakna sudah lebih tiga jam aku menunggu di balai berlepas ini. Masih lagi berbaki dua jam penantian sebelum pesawat yang dijadualkan membawa aku ke destinasi seterusnya berlepas. Novel 528 muka surat yang aku minta dibekali untuk menghilangkan jemu dalam perjalanan yang panjang ini baru sahaja habis kubaca. Bosan. Balai berlepas ini sudah semakin lengang berbanding ketika aku tiba tadi lebih kurang jam lima pagi. Hanya lagu-lagu Inggeris dari kiosk kopi di hadapanku yang berkumandang lembut menjadi halwa telinga. Bau kopinya yang harum menusuk hidungku, memberi semacam aroma yang menyegarkan. Yang mengingatkan aku pada pagi-pagi di kota Manchester saat aku melewati kedai-kedai kopi mewah dalam perjalanan ke kuliah. Kalau tidak di dalam bulan Ramadhan, sudah pasti segelas kopi sudah berada dalam genggaman aku ketika ini. Aku mengerling waktu yang tertera di sudut kanan skrin komputer riba yang sedang aku gunakan. Sudah menunjukkan jam 3.48 petang. Angka-angka kecil itu masih menunjukkan waktu di tanah air, Malaysia. Hanya jam di telefon bimbit yang telah ku ubah kepada waktu di sini supaya lebih mudah aku merujuk waktu penerbangan. Malah telah ku tetapkan penggeranya setengah jam sebelum penerbangan, bimbang kalau-kalau aku terleka dan bakal terlepas pula penerbangan nanti.

Fikiranku kembali melayang ke tanah air. Kira-kira pada waktu begini tentu si dia sudah siap-siap dalam perjalanan pulang ke rumah kami di Kerteh dari bandar Kuala Lumpur. Semalam katanya dia akan bertolak selepas Zuhur dari rumah kakaknya yang kami tumpangi sebelum bertolak ke lapangan terbang. Bagaimana agaknya dia seorang diri dalam perjalanan? Biasanya jika berulang alik ke Kuala Lumpur dari Pantai Timur, sentiasa ada aku di sisinya menemankan. Walaupun mungkin kadang kala aku hanya lena sepanjang perjalanan. Tapi pernah katanya itu sudah cukup memberikan kekuatan untuk dia terus-terus memandu agar cepat sampai ke destinasi. Dan kalau-kalau dia sendiri yang mengantuk dan penat, maka mahu tidak mahu terpaksa juga berhenti di bahu jalan untuk terlelap barang seminit dua. Tetapi jika perjalanan kami terdesak dengan desakan masa, akan diusahakannya membangunkan aku agar melayannya bual-bual tentang apa-apa sahaja. Atau jika kehabisan isi bual, cukup kami ikut menyanyi lagu-lagu atau cuba-cuba mengikut taranum al-Quran dari corong radio. Lakukan apa sahaja supaya mata dan fikiran kembali segar untuk meneruskan perjalanan. Detik-detik seperti itu yang membuatkan aku tidak pernah jemu menemankannya ke mana saja. Sama ada sama-sama ke program tarbiyah atau untuk memenuhi urusan kerjanya. Entah berapa kali dia menyarankan alangkah eloknya kalau aku juga mahir memandu supaya dapat kami bergilir-gilir andai masing-masing sudah kepenatan. Tetapi hingga hari ini aku masih bertangguh-tangguh mahu mendaftar di kelas memandu dengan alasan kesuntukan masa. Hakikatnya, aku masih belum berani. Nanti-nantilah…

Perjalanan pulang ke bumi asing ini pada kali ini aku kira agak berbeza dari perjalanan sebelum-sebelum ini. Kepulangan kali ini menyaksikan aku melangkah masuk ke tahun kelima pengajianku di sini dan mungkin juga menjadi tahun terakhir aku berjauhan dari mereka yang tersayang di tanah air. Atau mungkin juga kerana ini mungkin menjadi penerbanganku yang terakhir meninggalkan mereka, maka hati aku menjadi lebih kuat. Lebih kuat dengan azam untuk menghabiskan pengajian dan pulang ke pangkuan mereka selama-lamanya untuk berbakti dengan sepenuh hati. Kepulangan aku ke sini pada kali ini menjadi berbeza kerana aku tidak sedikit pun menitiskan air mata saat meninggalkan wajah-wajah yang amat aku kasihi itu. Mungkin aku sudah menjadi kalih dengan perpisahan yang aku kira hanya sementara ini, andai umurku masih panjang dengan izin Allah. Dan untuk hati aku menjadi kuat dan teguh untuk menghadapi perpisahan seperti ini memerlukan latihan yang bertahun-tahun lamanya. Yang menyaksikan entah berapa banyak air mataku tumpah setiap kali berhadapan dengan perpisahan seperti ini saban tahun. Dan akhirnya untuk tahun yang terakhir ini aku berjaya menjadi seorang yang kuat untuk tidak kalah dengan emosi sebuah perpisahan.

Aku menjadi lebih kuat kerana aku kira terlalu banyak tugas yang perlu aku langsaikan di sini. Dan aku merasa diri kurang berguna lantaran terlalu banyak berenak-enak dalam percutian musim panas yang lepas. Lantas semangat yang melonjak-lonjak untuk kembali ke tempat aku berjuang ini membuatkan aku semakin tidak sabar untuk pulang. Dia tidak sedikit pun berkecil hati melihatkan aku yang tidak terkesan dengan perpisahan kali ini. Kerana katanya itu menunjukkan aku sudah semakin kuat. Dan itu juga menunjukkan hati ini sudah berfungsi seperti mana sepatutnya untuk seorang yang mengaku dirinya mujahidah. Bahawa kenyataan itu menunjukkan hati ini sudah terlarut dengan tanggungjawabnya sehingga akhirnya mampu mengenepikan keinginan untuk memanja-manjakan diri sendiri. Justeru malah dia bangga. Kerana katanya dia memiliki seorang isteri yang turut serta di jalan ini. Jalan yang dirintis oleh Rasulullah dan para sahabat. Aku berdoa moga hati kami terus istiqomah dan tsabat.

Aku mempunyai satu kebiasaan sejak dari di bangku sekolah lagi. Selepas satu percutian yang panjang, aku biasanya menganggap kembalinya aku dari percutian itu adalah satu permulaan baru untuk aku mengubah apa-apa saja yang aku kira perlu diubah. Lalu aku biasanya kembali dengan resolusi-resolusi dan keazaman untuk berubah kepada kebaikan setelah untuk seketika waktu aku memuhasabah diri. Dari pengalaman sebelum-sebelumnya, aku menyaksikan ada perkara yang berhasil ku ubah dan ada yang semangatnya hanya hangat-hangat di awal sahaja lalu akhirnya gagal. Di sebalik perbezaan yang aku rasakan tadi, kepulangan kali ini masih juga mempunyai kesamaan itu. Bahawa aku menyimpan keazaman untuk mengubah sikap dan tabiat yang aku kenal pasti menghasilkan kegagalan. Moga aku dikurniakan Allah kekuatan untuk menunaikan. Kepulangan aku kali ini juga beserta tanggungjawab yang entah dari mana aku rasakan pertanggung jawabannya. Kerana tiada siapa yang mengatakan dengan jelas bahawa akulah yang bakal dipertanggung jawabkan dengan tanggungjawab itu. Kembalinya aku kali ini bukan sebagai adik-adik yang perlu digula-gulakan dengan kemanjaan. Sebaliknya aku sendiri perlu kuat agar mampu meneduhkan yang lain.

Penggera telefon bimbitku berbunyi menyedarkan aku dari keasyikan menuliskan sebuah catatan ini. Menandakan yang aku harus bersiap-siap dan melangkah mantap. Sudah berakhir masa untuk aku bersenang-senang dan aku harus lebih serius menghadapi kehidupan yang perlu aku sifatkan sebagai sebuah perjuangan. Dan dengan basmallah, aku memulakan langkahan ini…

Balai berlepas 8D

Lapangan Terbang Heathrow London

Kurang setengah jam, jam sebelas pagi

Salam Ramadhan


Assalamualaikum wmt. wbt..

Rasanya sudah agak lama saya biarkan blog ini bersawang tanpa entry baru. Entry terakhir pada 27 Ogos 2008, 4 hari sebelum kita ditemukan lagi dengan bulan Ramadhan yang mulia. Maaflah... terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam minggu-minggu terakhir saya di tanah air ini. Tambah lagi apabila pesta ibadat umat Islam telah bermula. Saya juga tidak mahu terlepas daripada mengejar pahala. Siapa tahu tidak sempat ketemu lagi dengan bulan yang penuh barakah ini tahun depan? Jadi manfaatkan sebaiknya masa yang ada.

Tahun ini senang sikit nak mengira sudah hari ke berapa berpuasa, kerana 1 Ramadhan jatuh pada 1 September. Bila difikir-fikir, kita ni dah terlalu asyik guna kalendar Masihi dalam kehidupan seharian sampai melupakan kalendar yang sepatutnya lebih dekat dengan kita, kalendar Hijrah. (saya sendiri pun!hukhuk!). Kalendar Masihi ikut peredaran matahari dan kalendar Hijrah pula ikut peredaran bulan. (nak baca lebih tentang kalendar Hijrah?) Kalau ada teringat nak guna kalendar Hijrah pun adalah apabila nak menentukan bila mula puasa, bila hari raya dan sambutan hari kebesaran Islam yang lain. Kalau hari-hari istimewa begitu baru kita maklum yang..

"Esok puasa...esok satu Ramadhan la ye?"

"Hari ni satu Syawal..jom sembahyang raye!"


Macam Upin&Ipin jek kite nih kan? Asyik cerita tentang puasa dan raya saja. Alang-alang sebut pasal adik Upin&Ipin bolehlah saya promosikan laman web mereka untuk yang belum tahu. Oleh kerana rumah saya tiada televisyen makanya sering saja terlepas aksi mereka yang comel dan bijak ini. Jadi saya tonton saja di laman web rasmi mereka. Maklumlah, saya pun peminat setia budak2 botak comel berdua ni. (kan best dapat anak comel dan pandai mcm Upin&Ipin..hehe!). Syabas untuk team Upin&Ipin! Tak dinafikan dengan watak anak-anak comel dan innocent ini, mereka mampu untuk mendidik bukan sahaja kanak-kanak malah orang-orang dewasa yang turut menonton kan? Moga usaha kalian dikurniakan ganjaran setimpal oleh Allah S.W.T.

Sedar tak sedar hari ini sudah 15 Ramadhan, berbaki separuh sahaja lagi untuk kita sama-sama mengejar pahala yang berganda-ganda nilainya dalam bulan penuh barakah ini. Sepatutnya hari ini kita sudah khatam 15 juz' tapi kami ini sudah ketinggalan beberapa juz' kerana saya sendiri yang beberapa hari lepas terlantar kerana demam dan batuk-batuk. Nampaknya dalam dua tiga hari ini kami perlu marathon tadarus nih! Semalam lebih istimewa kerana kami sempat tilawah sambil menikmati desiran ombak yang sungguh menenangkan di tepian pantai. Tenangnya... setelah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kami sibuk ke sana sini dengan pelbagai urusan. Kebanyakan masa dihabiskan dalam di atas kereta kami yang sudah semakin uzur walau usianya belum pun sampai setahun. (teruk kene gasak dengan kami!) Malah bersahur pun di tengah jalan! huhu! Jadi ambil sehari dua untuk mencari ketenangan...bak kata orang putih "sharpen the saw". huhu! (iyolah tu..).

15 Ramadhan bermakna hari ini juga 15 September. Bermakna esok adalah tarikh yang dinanti-nanti oleh rakyat Malaysia yang mengambil tahu masam manis pahit masin politik negara. Adakah benar akan terjadi 16 September seperti yang di canang-canangkan sebelum ini? Saya sebagai rakyat jelata hanya tunggu dan lihat. Saya sendiri sudah semakin kurang ambil tahu tentang politik negara kebelakangan ini. Sudah membosankan dan memeningkan kepala saja. Hanya sesekali mendengar komentar dari suami yang lebih rajin membaca dan mengambil tahu perkembangan politik. Mahu saja saya suruh dia menyumbangkan paling tidak secawan kopi kepada kita di sini...tapi alasannya sering saja tiada masa. oh..oh!

Sudah panjang membebel...banyak kerja lain menanti untuk disudahkan. Hari ini hari terakhir saya di teratak kesayangan kami ini. Semalam sudah siap mengemas rumah dan barang-barang yang perlu dibawa pulang sudah tersimpan rapi dalam bagasi besar. Kurang beberapa hari saja lagi saya akan berlepas meninggalkan tanah air. Hari ini hari terakhir kami berbuka puasa berdua di rumah ini, jadi saya merancang-rancang mahu menyediakan juadah istimewa. Nasi minyak, ayam masak merah, roti jala, kari ayam dan donut coklat sudah tersenarai dalam menu hari ini. Malam nanti akan berangkat pulang ke kampung pula... Sebelum berundur rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan kepada awak yang sedang membaca:

SALAM RAMADHAN !
SEMOGA RAMADHAN KITA KALI INI LEBIH BAIK DARI YANG SEBELUMNYA

Wassalam...