Masyarakat Meja

Di dalam sebuah masyarakat meja, tinggallah si pemadam, si pensil, si pembaris, si pengasah dan si pen. Mereka hidup rukun damai di atas meja itu. Hari-hari, ada sahaja warkah yang dihasilkan oleh mereka. Hari-hari hidup mereka ceria dan penuh senyuman. Cuma kadang-kadang si pensil dan pen bertelingkah, siapakah yang patut menulis? Dan kadang-kadang si pen, mahupun si pensil berkeras membuat garisan lurus tanpa pembaris. Dan kadang-kadang si pensil enggan dirinya ditajamkan si pengasah. Dan kadang-kadang si pembaris mahu berehat dan enggan membantu si pen mahupun si pensil. Dan kadang-kadang juga si pemadam begitu rapat dengan si pen, hingga kalau-kalau si pen tersalah tulis pun mahu di padamnya juga. Begitulah kerukunan mereka, hingga kalaupun tiada komputer dan internet di atas meja itu, mereka mampu hidup bergembira, berutusan dengan dunia lain melalui warkah yang mereka hasilkan.

Antara yang paling rapat di antara mereka, tidak lain dan tidak bukan pastinya si pensil dengan si pemadam. Kemesraan mereka, hingga kadang-kadang membuat yang lain cemburu. Kerapnya si pen yang selalu cemburu dengan mereka. Tapi mereka terus bekerjasama. Andai si pensil menulis, pastinya si pemadam berada di sisi melihat hasil tulisannya yang menawan. Andai ada yang tersilap, lalu si pensil terus memanggil si pemadam untuk membantunya. Andai ada yang tercomot yang tidak disedari dek si pensil, si pemadam tolong memadamnya. Dan andai si pensil lihat si pemadam letih dan sudah haus, silap tulisannya di garisnya sendiri agar orang tahu itu kesalahannya.

Suatu hari masyarakat meja mahu menulis diari mereka. Mereka sama-sama bergandingan menghasilkan rentak tulisan yang terbaik. Sambil mencorak kehidupan mereka, mereka berpakat menulis lagu-lagu puisi agar catatan mereka tidak hambar. Si pensil dan si pen bergantian menulis catatan mereka. Kalau ada yang tercomot, si pemadam tampil kehadapan mengemaskan diari mereka. Kalau si pensil tumpul, si pengasah dengan gembira menawarkan diri untuk berkhidmat. Kalau si pen ingin membuat garisan, si pembaris tampil kehadapan menghulurkan bantuan.

Sambil menulis, si pen membunyikan irama yang seiring dengan puisi mereka. Si pensil pula melagukan puisi karya mereka tanda menyahut dendangan irama si pen. Disuruhnya teman-teman yang lain; si pemadam, si pengasah dan si pembaris ikut melagukan puisi karya mereka.

Si pemadam menyanyi sama. Si pemadam yang kadang-kadang berkhayal, tiba-tiba tersalah melagukan bait puisi mereka. Disangkanya puisi itu yang salah, lalu dipadamnya bait puisi itu.

Si pen kehairanan, “Eh apsal awak padam baris ni,betul la si pensil tulis macam tu?”

“Eh ye ke? Lagu ni sebenarnya macam mana ye? Boleh tak tolong nyanyi semula untuk saya?” pinta si pemadam.

“Ape la awak ni pemadam, lagu best ni pun awak tak tau? Penat-penat jek saya tulis. Tak larat saya nak nyanyi untuk awak dah” Marah si pensil pada si pemadam.

“Hmmm… saya tak tau… saya baru jek lagi tulis puisi. Lagipun saya memang lembap.” Si pemadam cuba menjelaskan kesalahannya. Perlahan-lahan, wajahnya berubah kemerahan. Sikit-sikit, dia agak terguris mendengar herdikan marah si pensil.

“Awak dah lama dengan kami tulis atas meja ni. Lagu tu kita dah selalu nyanyi. Awak bukan orang baru lagi… Awak tak patut berkhayal sampai tersilap” tambah si pensil lagi.

“Hmm… saya tak la baru sangat. Lagipun kalau saya lama di sini pun, saya tetap kadang-kadang buat silap.” Si pemadam menokok lagi membalas. Walaupun tiada tangisan di mata, hatinya sudah menangis teresak-esak.

Risau takut-takut matanya pula yang berair, si pemadam cuba mencari alasan beredar dari situ. “Saya rindu nak masuk laci. Saya nak rehat-rehat dalam pensil box.” Terus si pemadam bergerak menuju laci untuk mengadu pada si pensil box.

Si pensil tiba-tiba perasan kata-katanya sudah mengguris hati halus si pemadam… Dia kaget sebentar. Difikirkan apa-apa tindakan yang patut dilakukannya. Didorong dek rasa bersalah, diambilnya sehelai nota kecil, ditulisnya dengan ungkapan maaf, "Maaf si pemadam... Saya tidak sengaja... Saya terkasar dengan awak..."

Lalu nota itu dibentuknya menjadi pesawat kertas dan dilemparkannya pada si pemadam. Si pemadam membacanya. Tapi dia tetap terdiam. Luka hatinya yang terguris agak dalam. Dia tetap ingin masuk ke dalam laci berjumpa si pensil box.

Tapi sayang laci itu terkunci. Dan pensil box masih di dalamnya. Si pemadam menjerit-jerit dari luar. “Pensil box, saya nak jumpa awak… saya nak rehat-rehat dalam awak” ujar si pemadam dengan suara serba kemurungan. Matanya kini sudah berair kemerahan.

“Kenapa ni si pemadam? Bukan awak seronok main tulis-tulis atas meja ke?” si pensil box cuba menyiasat kemurungan si pemadam dengan jeritan dalam laci.

“Saya kena marah. Awak tahu saya lembap. Saya kena marah. Saya lembap.”

“Awak kena marah? Awak kena marah sebab apa?”

“Kawan saya marah saya” ujar si pemadam yang masih agak keberatan menceritakan hal sebenar.

“Dulu masa belajar dengan awak, saya selalu lupa apa yang awak ajar, tapi awak tak marah saya. Awak ajar saya satu-satu. Saya tak nak duduk atas meja dah. Nanti saya kena marah sebab saya lembap...”

“Hmm… siapa yang marah awak ni? Awak tak nak cerita elok-elok?”

“Tak nak.. saya tak nak…”

Cuba awak cerita satu-satu kat saya. Kalau tak nanti saya salah faham.”

“Tak nak.. saya tak nak… saya nak masuk laci! Saya nak jumpa awak!” Bunyi tangis si pemadam makin kuat... Sedunya makin menyelangi bait-bait kata-katanya...

"Huhu... Cerita la sayang... Cerita la... nanti saya pening"

Akhirnya si pemadam akur lalu membuka cerita sebenar, “Hmm… saya berkhayal masa tulis lagu puisi. Saya ingat saya salah. Lepas tu saya padam. Lepas tu diorang marah saya”

“Sebab tu jek diorg marah awak?”

“Lepas tu saya minta diorang ajar saya balik lagu tu, tapi diorg marah saya”

“Diorg marah awak macam mana?”

“Diorang cakap saya suka berkhayal. Diorang cakap saya suka tak ambil peduli lagu apa yang kami tengah nyanyi”

“Hmm… siapa yang marah awak ni? Si pen ke?” Si pensil box cuba juga untuk mengetahui perkara sebenar yang membenihkan manik-manik air mata si pemadam.

“Hmm.. saya tak nak bagitau… Nanti awak ingat dia jahat… tapi dia tak jahat… saya yang lembap”

“Eh tak la… awak kena bagitau kat saya, supaya saya tak salah faham… sebab awak nangis teruk sangat ni... Dan saya tau sebab apa dia marah awak.”

“Hmmm… si pensil...” Pujuk rayu si pensil box sedikit membuka muka hati si pemadam untuk menyuarakan pokok pangkal hatinya terguris.

“Oh… si pensil… patutlah awak merajuk sampai nak masuk laci. Sebab si pensil tu yang marah awak. Kan dia yang paling rapat dengan awak kan?”

“Hmm… saya nak masuk laci! Saya nak jumpa awak!” Si pemadam menjerit kebudak-budakan.

“Dia tak minta maaf balik pada awak?”

“Hmm.. Ada… dia baling kertas roket macam budak-budak tulis minta maaf kat saya”

“Oh… hmmm… memang dia tak sengaja tu… lagipun saya yakin dia sayang gila kat awak… sebab itu dia marah kalau awak selalu tersilap”

“Hmmm… saya nak masuk laci! Saya nak jumpa awak!!!”

“Hmmm… sudahlah… kuncinya tak pada saya… kalau tak dapat masuk pun, awak masih dapat dengar suara saya kan?”

“Hmmm… saya nak masuk laci!!! Saya nak jumpa awak!!!!!”

“Hmm… kalau boleh saya juga mahu awak ke sini… tapi laci ini berkunci. Biar saya nyanyi dari sini ye?”

“Hmm…” si pemadam mahu tidak mahu terpaksa menganguk mendengar nasihat si pensil box… lalu didendangkannya lagu kegemaran si pemadam. Perlahan-lahan mata yang berair itu mula kuyu dan si pemadam terlelap perlahan-lahan. Satu kata terungkap dari bibirnya sebelum dia hanyut dalam lautan mimpi, “Maaf si pensil… saya lembap… awak jangan marah saya ye…” dan akhirnya si pemadam terlena.

"Sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula si pensil dengan si pemadam"

Si Pengembala Kambing dengan Si Penunggang Unta

Hmm... aku menarik nafas separa kepenatan.Padang ragut terdekat, masih sekitar dua tiga perhentian... Namun, tiada apa yang mampu aku lakukan melainkan terus memerhatikan kambing-kambing gembalaan di atas kuda pacuanku. Risau kalau-kalau di makan serigala.

Dalam serba ketidak tentuan itu, terasa seolah-olah ada tempias yang merembes. Kupandang ke langit,

"Pelik... hari nampak cerah.. takkan sudah mahu berhujan panas?" degusku dalam hati.

Aku berhenti seketika. Menoleh ke langit kiri dan kanan. Kalau-kalau nampak awan hitam yg berkejaran kepadaku. Hampa.. Tiba-tiba, entah bagaimana, pandanganku terarah pada titisan air mata seorang penunggang unta yang membawa beban, cuba mengawal untanya. Walau dia tampak lebih muda daripadaku, azamnya mengawal unta itu kuat tidak terkata. Namun aku kaget melihat pacuannya yang diiringi air mata serta raut wajah bermuram duka...

Ingin kutegurinya dan bertanya, namun gusar bahasa kami tidak sama. Ingin kuselami wajah duka itu, namun gusar kalau-kalau aku teman tidak diundang.
Aku cuba memikirkan daripada manakah datangnya tangisan itu... "Oh... kakinya tergari pada unta yang ditungganginya... mungkin sebab inikah dia menangis?" Aku cuba menduga. Nampak seaakan-akan tepat tekaanku.
Aku memberanikan diri bertanya.. "Mengapa menangis?"

"Unta ini liar sangat... susah aku mengawalnya... aku sudah tersimpang jauh dari hala tujuku.. teman-temanku sudah tidak kelihatan.. aku kini berpergian seorang diri.. " Balas si penunggang unta.

"Mengapa kakimu bergari?" aku cuba menjelaskan kehairanan diriku.
Lalu dia menjawab, "Awal perjalanan tadi, aku takut kejatuhan... aku belum pandai menunggang... tambah lagi unta ini membawa beban dan amanah orang padaku.. jadi aku menambat kaki ku dengan gari tadi."

"Mengapa tidak bebaskan sahaja tambatan kakimu jika sudah kejauhan?" aku bertanya kehairanan..

"Kuncinya sudah hilang... tiada siapa tahu membukanya lagi... aku tidak risau tambatan ini... aku risau keseorangan... Aku risau isi yang kubawa ini, cuma nanti jadi beban dan membusuk.."

Sedih aku mendengar keluhan itu. Ingin ku melompat sahaja memanjat unta itu. Kalaupun aku tidak mampu membuka simpulan kakinya, setidak-tidaknya biar aku tolong mengawal unta itu. Liarnya bukan calang-calang. Kudaku juga liar, tapi aku tidak kisah kerana sudah lama bersama kuda ini. Sudah ku tahu karenahnya. Tapi mampukah unta itu menampung dua penumpang? Apatah lagi sudah sarat dengan muatan. Atau.. baikkah jika aku cuba tambat kudaku pada untanya? Hmm... agak sukar... kudaku terlalu liar. Manakan suka ditambat-tambat. Rentaknya juga tidak sama dengan rentak unta itu.

Hmm... mungkin perlu aku paksakan juga menambat si kuda liarku pada untanya itu. Tampak sudah tiada pilihan. Tapi nanti pengembara yang lain dibelakang pasti berbisikan.. "Eh.. tak malu pengembala itu... tadi ada kuda sendiri.. kini mahu menagih unta orang." Pasti tercalar egoku... sejak dahulu aku gah menjadi pengembala yang berkelana dengan kuda liar. Apakah kata mereka jika melihat aku cuba menambat unta orang?
Semakin lama, jarak aku dan penunggang unta itu semakin dekat. Aku serba tidak kena. Perlukah aku membantunya? Aku sudah semakin sukar menahan sebak. Kambing-kambing gembalaanku, perlu juga aku fikirkan. Hampir juga aku menangis walau bukan aku yang ditimpa musibah. Aku berfikir sejenak... benakku buntu.

Aku terdiam. lalu si penunggang unta bertanya, "Kamu mahu kemana?"

"Ke padang ragut terdekat itu. Sebelum sampai hala tuju ku" aku membalas meneruskan dialog kami.

"Aku mahu ikut, boleh?"

"Bagaimana mampu kau ikut?"

"Aku tidak kisah.. bagaimana saja.. tapi tolong aku kawal unta ini..."

"Aku boleh naik tolong pacu untamu.. tapi jalanku dan jalanmu tidak sama.. dan tak mungkin untamu mampu menampungku"

"Aku tak tahu.. aku tidak kisah.. apa-apa sahaja.. "

"Atau mungkin lebih baik aku tambat untamu pada kudaku... "

"Asal boleh aku ikut..."

"Tapi untamu itu liar... kudaku juga liar... mustahil dapat diatur rentak lari yang sama"

"Aku tidak tahu... aku nak ikut..."

"Jalanku jauh... hujungnya tidak nampak..."

"Aku tolong kamu cari arah"

"Tapi ia banyak duri"

"Tidak mengapa.. aku tolong kamu kalau kena duri..."

"Mungkin kau juga luka nanti"

"Tolonglah aku.. aku sudah tidak mahu keseorangan.. beban itu juga aku perlu teman menjaganya.. tolonglah aku..."

Hmm... aku termenung lagi. Namun, kini aku sudah membuat keputusan. Padang ragut terdekat sudah tidak jauh. Selepas sahaja padang ragut itu, jalannya tampak lebih sukar. Pasti unta itu perlahankan geraknya dan kudaku sudah tidak begitu laju. Saat itu, akan kutambat agar terkawal kedua-duanya. Aku sudah berkeputusan. Pedulikan cakap-cakap di belakang sana..

Malam itu...


Segalanya sudah siap.. saudara dan kenalan juga sudah riuh memenuhi ruang tamu. Memandang diri sendiri yang siap didandan seperti bagaimana layaknya seorang pengantin di malam nikah, saya seolah-olah tidak percaya bahawa dalam beberapa ketika lagi saya bakal bergelar seorang isteri. Di dalam kereta sepanjang perjalanan menuju ke Masjid Abu Bakar As-Sidiq itu, debar dan keterharuan dalam hati bercampur lantas menjadi satu perasaan yang sangat sukar untuk saya mengertikan..tetapi cukup indah untuk saya rasakan. Ini bukan pertama kali saya melewati jalan ke masjid itu, bahkan sejak kecil saya terbiasa berulang alik dari rumah ke kelas agama di perkarangan masjid itu bersama rakan-rakan. Tetapi malam itu saya rasakan, sepanjang jalan itu suasananya luar biasa indahnya. Lampu jalan yang biasa-biasa itu saya rasakan umpama kandil-kandil dan pelita-pelita cantik yang memancarkan cahaya lembut yang sangat mengasyikkan. Lucu bukan?

Dewan solat tempat akad nikah dilangsungkan sudah dipenuhi oleh kerabat, sahabat dan juga wajah-wajah yang sebentar lagi bakal menjadi sebahagian daripada keluarga saya. Sayu dan sebak hati saat menjabat tangan abah, tanda mewakilkan wali kepada imam yang menikahkan kami malam itu. Saya lihat ada airmata yang bergenang di mata abah saat saya mencium tangannya sebelum dituntun Mak Ngah ke hadapan dewan solat muslimat. Lantas saya didudukkan di atas kusyen merah hati disamping emak. Nun tidak jauh dihadapan saya, dia yang berpakaian baju melayu sedondon berwarna kuning air duduk tenang di atas hamparan baldu marah hati bertekat benang emas.

Majlis dimulai dengan mengajak hadirin beristighfar dan melafazkan kalimah syahadah. Entah mengapa saat itu seperti meresap suatu kesayuan yang amat, lantas air mata saya mula mengalir. Sayu dan hiba mengenangkan kebocahan dah keharuan perasaan selama ini dan bagaimana Allah dengan rahmatNya mengizinkan kami untuk menamatkan dengan jalan yang terbaik ini, melunaskan perasaan cinta dan fitrah dengan cara yang diredhai Allah SWT. Allahuakbar.. Teringat gurauan saya dengan sahabat saya saat sebelum berangkat malam itu, yang saya katakan bahawa saya tidak akan menangis seperti mana lazimnya pengantin perempuan di acara akad yang pernah kami hadiri sebelum ini. Nah..sekarang lihatlah air mata saya mengalir tanpa henti, saya tenggelam dalam perasaan saya sendiri. Perasaan sedikit reda saat saya mula menghayati satu demi satu bait perkataan dalam khutbah ringkas yang disampaikan oleh imam yang bakal mengakad kami.

Imam akhirnya menjabat tangannya erat apabila tiba saat akad nikah dilafazkan. Alhamdulillah..segala puji bagi Allah… dengan sekali lafaz saya selamat bergelar isterinya. Saat itu air mata yang sebentar tadi reda mengalir semula. Wujud suatu kelegaan yang nyaman, mendinginkan segenap ruang dalam hati saya. Debar dan haru sebentar tadi diganti dengan ketenangan yang amat. Seketika saya cemas, kerana tiba-tiba saya rasakan golak perasaan padanya tiba-tiba hilang, seperti tiada rasa apa-apa lagi. Hingga kemudiannya saya sedar yang perasaan itu telah dimurnikan dengan lafaz ijab kabul tadi. Dalam doa yang diaminkan, saya mohon dengan amat pada Allah agar dikurniakan barakah atas pernikahan kami ini. Usai itu, dia lantas mengambil tempat dihadapan saya dan menyerahkan kotak hijau berisi mahar. Lantas kami beriringan kehadapan mihrab, menunaikan solat dua rakaat sebagai munajat kesyukuran kami atas nikmat kurniaan Allah ini. Alhamdulillah.. alhamdulillah.. hanya pujian yang mampu saya panjatkan pada Allah.


Saat pertama kali mencium tangannya, saya sudah nekadkan dalam diri bahawa pada lelaki inilah saya akan berbakti. Bahawa sudah terserah tanggungjawab mentarbiyah dan menjaga saya selama ini daripada abah kepadanya. Lantas kepada suami saya inilah ketaatan saya selepas daripada saat ini. Dan dia membalas salaman saya dengan kucupan di ubun-ubun beserta doa yang diajarkan Rasulullah, memohon dengan sungguh dari Allah akan kebaikan dari kebaikan dan perlindungan dari kejahatan watak isterinya ini. Saya memejam mata menghayati satu persatu ulas perkataan yang keluar dari bibirnya dan halus saya mengucapkan insyaAllah... insyaAllah... amin ya rabbal alamin. Masih, air mata saya belum mahu berhenti mengalir..



Saya kembali tenang selepas itu. Selepas usai merakam kenangan bersama ahli keluarga, kami berangkat pulang menyambung majlis di rumah. Sepanjang perjalanan di dalam kereta itu tangan kami tergenggam erat. Saya mahu tangan itu memimpin saya seumur hidup dan sepanjang hayat tanpa pernah lepas atau jemu. Dan saya harap tangan ini kembali bertaut di syurga nanti… Dalam remang suasana malam sepanjang perjalanan pulang itu, saya melihat segaris senyuman di wajah lelaki yang telah amat saya kasihi itu…