Kecemasan! Neeenong...neeenong!




Melaporkan dari katil hospital wad kanak-kanak.

Alhamdulillah setelah melalui hari-hari yang genting, hari ini dapatlah Ibu tarik nafas lega sikit. Buat pertama kalinya sejak seminggu yang lepas Ayyash tak demam langsung sepanjang hari. Ya, sudah 6 hari ibu, ayah dan si kecil Ayyash berkampung di wad.

Segalanya bermula pada hari Khamis yang lepas. Selepas solat Asar, dapat panggilan daripada pengasuh Ayyash yang kami panggil Mama. Suara Mama cemas. Katanya Ayyash mengigil lepas mandi. Ibu sangkakan Ayyash cuma kesejukan sebab mandi. Tapi seingat Ibu walau Ibu mandikan dengan air sejuk pun Ayyash tak pernah mengigil. Lalu Ibu minta Mama peluk Ayyash kuat-kuat dan bawa Ayyash keluar bawah cahaya matahari. Tapi petang di Kerteh kebelakangan ini selalunya mendung. Mama cemas. Katanya di luar sudah tak ada cahaya matahari. Ibu pandang jam di telefon. Sudah hampir jam 5.30 petang. Baik, Ibu harus segera pulang.

Ibu telefon Ayah minta Ayah ambil ibu di pejabat. Ibu beritahu Ayah, Ayyash mengigil. Cepat-cepat Ayah datang ambil Ibu dan terus ke rumah Mama. Masing-masing terdiam dalam kereta. Dalam hati sangat bimbang pada Ayyash. Sampai di rumah Mama, kelihatan Ayyash dalam dukungan jiran Mama, kawan sepejabat Ibu. Kata Kak Za, Ayyash demam. Ibu terus ambil Ayyash. Badan Ayyash sangat hangat. Ibu capai termometer yang ada di atas meja lalu ukur suhu badan Ayyash. Ya Allah 39.7 celcius! Tak pernah suhu badan Ayyash setinggi itu. Gegas-gegas Ibu dan Ayah bawa Ayyash ke klinik terdekat.

Mujur tak ramai orang di klinik. Ibu ceritakan pada doktor yang Ayyash sudah dua minggu cirit-birit. Hari ini tiba-tiba pula suhu naik terlalu tinggi. Doktor pun tak pasti apa sakit Ayyash. Doktor masukkan ubat ke punggung Ayyash dan minta kami bawa Ayyash secepat yang mungkin ke hospital. Ayah basahkan baju Ayyash dan pakaikan Ayyash baju yang lembap itu. Ibu minta Mama bungkuskan baju Ayyash mana yang ada. Masa dah suntuk nak singgah ke rumah ambil baju, Ayah terus pecut ke Kuantan. Sepanjang jalan Ibu pangku Ayyash. Sepanjang jalan ibu demah kepala dan badan Ayyash dengan air. Sepanjang jalan juga Ibu doa moga Allah bantu Ayyash dan kebahkan demam Ayyash.

Jam 8 lebih kami sampai di hospital pakar. Dalam perjalanan demam Ayyash sudah kebah. Ayyash jadi bertenaga macam biasa. Agak ramai yang menunggu mahu jumpa doktor. Akhirnya giliran tiba jam 9. Tapi sungguh mengecewakan, doktor hanya kata demam dan cirit-birit Ayyash sebagai kelaziman seorang bayi. Tapi hati Ibu kata tidak! Pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan Ayyash. Doktor minta kami pulang. Kalau demam tidak kebah selepas 5 hari baru datang semula. Apakah? Dengan berat hati kami melangkah pulang ke rumah Uwan.

Lewat tengah malam suhu Ayyash naik semula. Ibu dan Ayah masih berkira-kira. Mahu bertahan dengan ubat atau bawa saja Ayyash ke hospital semula. Akhirnya Ibu dan Ayah nekad mahu bawa saja Ayyash ke hospital. Sampai di hospital, setelah diperiksa oleh doktor bertugas, Ayyash terus dimasukkan ke wad. Suhu badan Ayyash ketika itu terlalu tinggi 39.7 celcius! Jururawat bertugas minta Ibu dan Ayah tunggu sehingga demam Ayyash kebah sebelum doktor bertugas mengambil sampel darah Ayyash.


Suhu Ayyash kebah sekitar 3 pagi. Ayyash terus bangun dan senyum pada Ibu. Ibu bawa Ayyash untuk diambil sampel darah. Puas Ibu tahan air mata melihatkan Ayyash meraung saat doktor cuba mengambil sampel darah dari urat-urat halus di kaki Ayyash. Esoknya keputusan darah mengesahkan ada jangkitan kuman dalam darah Ayyash. Lalu doktor mula memberikan Ayyash antibiotik dan memasukkan air ke tubuh kecil Ayyash bagi mengelakkan Ayyash kekurangan air.

Subuh hari kedua Ayyash tiba-tiba menangis tak berhenti-henti selepas Ibu dan Ayah bawa Ayyash berjalan-jalan keliling wad. Kami sangkakan Ayyash kembung, lalu Ibu sapukan minyak angin ke perut Ayyash. Rupa-rupanya Ayyash menangis sebab kakinya sudah bengkak hingga ke lutut! Keras dan mengembang. Urat kecil Ayyash sudah tak mampu menampung air yang masuk. Lalu sekali lagi Ibu menahan hati mendengar raungan Ayyash saat doktor mencari urat baru. Hari ketiga juga begitu. Kaki Ayyash membengkak selepas dimasukkan air.


Ujian darah yang kedua menunjukkan jangkitan terus meningkat. Ujian air kencing akhirnya mengesahkan yang masalah Ayyash bukan di usus tapi jangkitan itu puncanya di salur kencing. Doktor memulakan antibiotik kedua untuk Ayyash. Kesan sampingannya, semakin kuat Ayyash cirit-birit. Ayyash banyak kehilangan air tapi tak boleh nak digantikan dengan IV drip kerana kaki Ayyash akan membengkak. Jadi Ayyash hanya bergantung kepada susu Ibu. Setiap jam Ibu dan Ayah memantau suhu badan Ayyash. Boleh dikatakan setiap 6 jam Ayyash akan kembali demam. Demam dan cirit-birit. Ini berlarutan selama 5 hari kami di wad.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Ujian darah terkini Ayyash menunjukkan jangkitan semakin berkurang. Ujian air kencing Ayyash sudah bebas kuman. Ultrasound scan untuk buah pinggang Ayyash juga menunjukkan keputusan yang normal. Ibu sujud syukur. Alhamdulillah...syukur padaMu ya Allah. Lagi beberapa hari kami akan berada di wad untuk menghabiskan antibiotik sehingga Ayyash benar-benar bebas dari jangkitan. Sementara itu,Ibu dan Ayah sedang menikmati percutian percuma di hotel lima bintang ni. Hehe!

3 kopi panas..:

Unknown berkata...

Sabar yer akak. Saya doakan agar Ayyash cepat sembuh dan membesar dengan sihat.

Aziah Nor berkata...

Semoga ayyash,mama dan ayah ayyash kuat.

Ayyash,gud boy,be strong honey!

Farhan Iqbal berkata...

alhamdulillah semua sihat