Cita-cita dan pilihan

Hujan - Dugaannya


Bapanya mahukannya jadi seorang askar,
Bukan cita-citanya,
Bukan impiannya.


Dia terlalu muda tuk tinggalkan keluarga,
Bila tiba masanya,
Pilu mula terasa.


Berkecamuk hati,hatinya sendiri,
Persoalannya kini,sampai bila mampu ku bertahan,
Mampukah ku bertahan?


Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi tuhan saja tahu.
Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi tuhan saja tahu.


Beginikah selalunya cinta,
Diakhiri sengsara,
Setelah dicurahkan semua.


Cuba ku dalami,
Sampai termimpi mimpi,
Namun apa yang ku jumpa,
Semuanya sama.


Berkecamuk hati,hatinya sendiri,
Persoalannya kini,sampai bila mampu ku bertahan,
Mampukah ku bertahan?


Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi tuhan saja tahu.
Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi tuhan saja tahu.


Ini semua dugaan Nya,(2X)



Hmmm... sambil dalam perjalanan ke pejabat pagi tadi, lagu ini menjadi teman buat aku tersingkap kembali cita-cita lama... Dulu masa remaja, aku sebenarnya nak jadi cikgu... Tapi nak dijadikan cerita, bila sebut jek kat ayah, ayah terus cakap... "Ishk... rentikan la... Bukannya senang jadi cikgu..."

Begitulah ayah... baginya kesibukan menjadi cikgu lebih teruk daripada yang disangka... Masakan tidak, jika orang lain ketika dahulu cuma memulakan kerja sekitar jam 9 pagi, seorang guru perlu memulakan tanggungjawab seorang guru seawal jam 7 pagi... Dan selepas tamat sekolah, buku murid-murid pula terpaksa disemak. Dan hujung minggu selalunya terisi dengan mengawasi aktiviti ko-kurikulum pelajar. Bagi ayah, dengan gaji yang diterima seorang guru, memang agak kurang sepadan dengan beban tugas yang dipikul. Dan aku secara tidak langsung, merasa agak terhalang meneruskan cita-cita itu.... namun hingga kini, azam menjadi seorang pendidik masih lagi terpahat, apatah lagi melihat kakakku kini sudahpun bergelar seorang guru apabila kini ayah lebih positive pada proffesionnya itu. Mungkin bukan pendidik di sekolah, tapi di university, apabila pengalaman kerja yang secukupnya berjaya aku timba.

Dan aku yakin, pengalaman ini bukan milik aku seorang. Ramai yang sebenarnya memiliki pilihan hati masing-masing, dalam apa jua aspek kehidupan, namun terhalang disebabkan desakan dan tekanan daripada orang sekeliling. Ramai yang nak jadi jurutera, tapi akhrinya beralih kepada perubatan disebabkan cita-cita ibu bapa. Ada pula yang pada asalnya cuma berminat dengan kanak-kanak, atau hanya ingin menjadi suri rumah, namun disebabkan datang daripada keluarga yang susah, dia mengubah dirinya untuk sesuai mendapat biasiswa Petronas agar dapat menjadi pengurang beban isi rumah yang lain. Bahkan ada juga yang asalnya ingin belajar di Mesir, tetapi disuruh melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Ada juga yang ingin belajar melukis, tetapi disuruh bermain piano. Ada pula yang ingin menyertai Pengakap, tetapi dipaksa oleh abang senior agar menyertai Persatuan Kadet Bersatu Malaysia... Dan macam-macam lagi cerita rakyat jelata di luar sana...

Dan pilihan yang tidak seiring dengan kehendak hati, bakal mengukirkan seribu satu raut wajah;


Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi tuhan saja tahu.
Wowo,
Nampak ketarakah dilema di wajah ku,
Wowo,
Diluarnya tenang tapi tuhan saja tahu.


Namun buat yang benar-benar dalam dilema, pastinya raut wajah yang gundah akan nampak jelas. Seolah-olah bagai insan yang kebingungan. Hingga kini, aku sendiri gagal mencari jawapan untuk merawat penyakit hati ini.


Tetapi kalau dahulu, selalunya aku akan mengikut nasihat insan-insan disekeliling. Dan perkara pertama yang dinilai semestinya hujah yang dikeluarkannya. Namun kini bergantung kepada hujah sahaja tidak cukup, kerana pernah dulu seorang teman berkongsi denganku, suatu ketika seorang mufti pernah ditanya tentang halal haram sesuatu hukum, lalu mufti itu berkata, "Kamu nak ia jadi halal, atau haram? Kalau halal hujahnya begini... begini dan begini... Dan kalau haram hujahnya begini.. begini dan begini.." Aku sedikit tersentak... sebenarnya memang benar... walaupun perbincangan masih berkisar sekitar panduan yang agung, Al-Quran dan Al-Hadis, hujahnya masih boleh diputar belitkan, terutama dalam perkara-perkara yang tiada dalil secara jelas.

Lalu apakah nilai yang mampu kita gunakan kalau keadaan ini berlaku?

Jawapannya ada dalam bait terakhir hadis 6 dalam kumpulan hadis 40 Imam Nawawi.

"Sesungguhnya dalam jasad itu ada seketul daging. Apabila soleh daging itu maka solehlah jasad itu keseluruhnnya. Dan apabila fasad daging itu maka fasadlah jasad itu keseluruhannya."

Ya... hatilah jawapannya. Hati orang yang membuat pilihan, mahupun hati orang yang diminta pandangan itu. Cuma hati yang bersih dapat memilih jalan yang tepat. Sebab itulah kita disuruh untuk bersolat dalam memohon petunjuk Allah, agar solat itu dapat membersihkan hati kita dan disegarkan untuk membuat pilihan. Tidak cukup dengan itu, tingkah laku haruslah dijaga sama ada dalam pandangan, pendengaran mahupun percakapan, agar hati kita turut terjaga.

Bagi aku, hujah yang layak dipakai cumalah daripada insan yang benar-benar baik percakapnnya dan tingkah lakunya, ataupun daripada mereka yang telahpun membuktikan apa-apa yang dikotakannya. Sukar untuk kita membaca hati orang lain, tetapi lukisan hati selalunya terpampang pada tingkah laku dan percakapan seseorang. Memang pada asalnya kita harus menilai apa-apa yang ingin disampaikan, walaupun dia seorang pencuri, namun disebabkan kita sendiri juga kadang-kadang cetek ilmunya, maka terpaksalah kita menggunakan nilai luaran sebelum menerima nilai dalaman daripada perkara yang ingin disampaikan.

Maka sebab itulah aku mengutamakan hubungan hati aku dengan insan yang aku minta pendapat sebelum pendapat itu sendiri aku nilai. Alasannya mudah, kerana dalam dunia ini terlalu banyak perkara yang khilaf (berbeza-beza), namun masih banyak perkara yang utama yang ramainya orang sepakat. Dalam hal ini, tiada khilaf dalam menilai akhlak seseorang, dan selalunya akhlaklah yang menentukan perkataan seseorang itu. Namun akhlak yang baik itu mestilah berdasarkan persoalan aqidah yang selamat dan ibadah yang sahih. Sebab itulah selalunya ayah sentiasa menjadi rujukanku terutama ketika aku masih belum mengenal dunia, kerana dia antara insan yang paling dekat dengan hatiku...

Saya dan mereka...


Assalamualaikum...

Tahun ini, buat pertama kalinya setelah beberapa tahun saya ditarbiyah, akhirnya saya dapat merasakan diri saya benar-benar ditarbiyah. Jika sebelum ini saya hanya menerima tanpa ada peluang untuk memberi. Mengenali mereka, lantas cuba untuk menyentuh hati mereka, membuatkan saya belajar begitu banyak perkara. Mengenali mereka menjadikan saya seorang ibu yang perlu amat memahami, seorang kakak yang perlu sedia mendengar dan menasihati, seorang sahabat tempat berkongsi gelak dan tangis, seorang chef yang perlu menguasai apa2 juga jenis masakan timur atau barat, sebuah kaunter pertanyaan yg perlu ada seribu satu maklumat tentang apa-apa saja perkara dan yang terpenting seorang murabbi yang bukan saja mengajar tetapi mendidik.

Mengenali mereka membuatkan saya tidak punya masa lagi untuk duduk bersenang-senang, kerana setiap mereka membutuhkan perhatian yang sama rata dan punya keperluan unik masing-masing. Mengenali dan menyentuh hati mereka menjadikan saya seorang yang baru. Menjadikan saya lebih berusaha untuk melengkapi diri bagi menjadi yang terbaik untuk mereka. Menjadi qudwah bukan semudah yang saya sangka selama ini. Kini saya faham betapa susah mahu menjadi murabbi ideal yang saya impikan selama ini. Kerana murabbi juga seorang manusia biasa yang tidak lari dari silap dan salahnya. Bersama mereka menjadikan saya lebih takut andai dosa-dosa yang membelenggu diri akan menghijab mereka dari hidayah Allah. Lantas saya berusaha untuk menyucikan diri dan lebih dekat pada Pencipta. Kerana saya tahu hanya Dia yang memegang hati-hati mereka ini. Bagaimana mungkin saya boleh menarik mereka untuk lebih dekat pada Allah sedang saya sendiri jauh?

Bersama mereka, ada kepentingan diri yang perlu saya ketepikan.Sudah berakhir masa bermanja-manja dengan kerehatan dan kemalasan. Malah kepenatan setelah menghabiskan hari yang panjang itu dengan segala tanggung jawabnya adalah kepuasan yang tiada taranya. Sepatutnya tiada satu detik pun yang mampu saya sifatkan sebagai masa luang kerana tanggung jawab lebih banyak dari masa. Sedetik saya bersenang di kamar, masih ada antara mereka yang belum di ziarah, masih ada antara mereka yang masih belum ditanya khabar hari ini dan masih ada di antara mereka yang bergelut dengan perasaan sendiri melawan al-hawa. Jika tidak pun, masih ada buku-buku yang perlu ditelaah, masih ada 'ayat-ayat cintaNya' yang perlu ditadabburi, masih ada nota-nota kuliah yang perlu difahami atau masih ada hak ukhuwah yg belum terpenuhi. Maka masih adakah masa untuk bersenang-senang wahai diri?Namun hati ini perlu hati-hati. Setiap saat perlu meluruskan niat.... segalanya lillahi ta'ala. Jika tidak natijahnya hanya kepenatan sedang tiada ganjaran di sisi Allah....

Dahulu saya selalu terfikir, bagaimana mahu memupuk kasih pada mereka yang baru saya kenali ini? Bagaimana mahu melarutkan diri dengan mereka bagi mencairkan kedinginan dan kebekuan sifat keakuan yang sekian lama bertampuk dalam diri. Bagaimana untuk memikirkan permasalahan dan persoalan mereka seperti saya memikirkan permasalahan dan persoalan diri sendiri. Tetapi kini saya faham perasaan itu tidak datang dengan keterpaksaan. Perlahan-lahan kasih itu akan datang dengan kerelaan diri. Meruntuhkan satu persatu dinding yang membentengi, menyingkap tirai-tirai yang menghalangi, menjernihkan kekeruhan yang mengaburi... membuka hati untuk menerima dan memberi. Perlahan-lahan diri menyayangi mereka seperti mana menyayangi diri sendiri, malah lebih-lebih lagi. Sehingga kegusaran mereka menjadi kerisauan diri, kesedihan mereka menjadi kegundahan di hati dan kegembiraan mereka menerbitkan senyuman untuk diri. Dan saya harap saya tidak bersendiri. Saya harap mereka juga merasakan apa yang saya rasakan saat ini. ya Allah tautkanlah hati-hati ini....

Maaflah jika sudah jarang-jarang berkesempatan untuk menjengah laman ini. Sebabnya? Sudah saya terangkan seperti di atas. Pemilik laman ini yang seorang lagi juga tidak kurang sibuknya. Malah dia lebih-lebih lagi... Sudah beberapa kali berjanji mahu mencoret sesuatu tetapi belum lagi berhasil. Ada keutamaan yang perlu diutamakan bukan? Saya yakin kamu yang membaca juga begitu....

Selamat Hari Lahir!


The birthday girl is the one who sits at the front in black..
(no.. no..that girl in cream is not her twin..haha!)


May Allah grant you with his blessings and rahmah
May you have great years ahead
Dan moga sentiasa thabat di jalan ini...

Selamat Hari Lahir the twins!!

Jom belajar bahasa Arab!

Assalamualaikum..

Hari ini sampai satu perhentian di dalam bas, saya turun. Rupa-rupanya tak ada kelas hari ini. Mujur jiran saya, yang juga rakan sekelas menelefon memberitahu. Jika tidak saya jadi seperti seorang lagi rakan saya yang sudah pun sampai ke dewan kuliah yang lengang pagi ini. Kecewa sedikit. Kelas hari ini kelas Process Fluid Dynamics, kelas kegemaran. Semester satu, tahun akhir ini, saya tidak ada banyak kelas untuk dihadiri. Kelas hanya lebih kurang 2 jam sehari, 4 hari seminggu. Tak ada sebarang projek atau kerja kumpulan pula. Kadang-kadang mati akal juga kerana kebosanan tiada apa yang boleh saya lakukan. Hendak mengulangkaji pun sudah puas kerana terlalu banyak masa kosong. Habis semua nota saya tulis semula cantik-cantik dan kemas-kemas. Selalunya, berangan sajalah mahu ada nota yang kemas. Semuanya seperti cakar ayam saja kerana dicatat dalam dewan kuliah sambil-sambil memberi perhatian kepada pensyarah di depan.

Lalu semester ini saya bertekad mahu beri tumpuan yang lebih kepada tarbiyah dengan kelapangan yang Allah berikan. Semester depan mungkin sudah tidak berpeluang lagi kerana sudah mula ada projek dan kerja kumpulan. Minggu lepas saya mendaftar ke kelas Bahasa Arab di International Society. Kelasnya hanya sekali seminggu, sejam setengah setiap kali kelas. Bayarannya pula hanyalah £30 untuk 10 kali kelas alhamdulillah. Isnin lepas buat pertama kalinya saya ke kelas bahasa arab. Gurunya seorang sukarelawan, Moustaffa namanya. Moustaffa berasal dari Egypt, sedang menghabiskan Phd nya dalam bidang yang saya sendiri tidak pasti. Ahli kelas pula hanyalah seramai lebih kurang 10 orang berbilang bangsa.

Awal kelas, Moustaffa minta semua pelajar memperkenalkan diri dimulai dengan dirinya sendiri. Kami diminta juga memberitahu mengapa kami mengambil kelas Bahasa Arab. Saya terkejut juga kerana saya sangkakan kelas ini pastinya bakal dipenuhi oleh pelajar Muslim. Rupa-rupanya hanya saya, Hassan dan Munirah yang beragama Islam. Dan hanya saya seorang saja pelajar Malaysia. Ada yang datang belajar kerana semester ini dia perlu menyiapkan tesis tentang Timur Tengah dan ada yang sedang mengkaji konflik Israel dan Palestin, jadi mereka fikir akan lebih mudah jika boleh berbahasa Arab serba sedikit. Gadis di sebelah saya pula mahu belajar bahasa Arab kerana katanya mahu memulakan kariernya fesyennya nanti di Dubai. Hassan mencelah, jarang akan didengar ada orang berbahasa Arab lagi di Dubai. Mungkin Hassan sendiri dari sana, melihatkan perawakan dan raut wajahnya. Tidak kurang juga yang mahu belajar semata-mata kerana berminat dengan bahasa Arab yang dikatakannya berbunyi enak dan ada yang mahu belajar kerana rakan sekuliah kebanyakannya berbahasa Arab di sini. Hanya saya dan Hassan saja yang memberi sebab mahu belajar bahasa Arab kerana mahu lebih mudah memahamkan al Quran. Selesai semua memperkenalkan diri kami memulai kelas.

Saya lupa ini kelas Arabic for Beginners di UK. Kalau di Malaysia paling kurang pelajarnya walau se'beginners' mana pun pasti tahu serba sedikit huruf-huruf hijaiyah. Paling kurang tahu menulis dan tahu bunyinyalah. Jadi kelas pertama ini dimulakan dengan mengenal huruf satu persatu dan belajar menyebutnya. Belajar fathah, kasrah dan sebagainya. Aduh... bagaimana ini? Mungkin Moustaffa dapat mengesan perubahan air wajah saya lalu dia bertanya adakah saya sudah mahir menulis. "Alhamdulillah... I have learnt Arabic for three years before" jawab saya. Moustaffa senyum dan mengangguk faham. Dia tuliskan nombor telefon bimbitnya atas kertas nota saya dan minta saya menelefonnya sebelum datang ke kelas minggu depan. Jika masih belajar huruf maka saya tidak perlu datang. Lalu saya dibenarkan pulang, begitu juga dengan Hassan. Malam itu saya menghantar pesanan ringkas untuk Mosutaffa. Mahu berbincang untuk mengikuti kelas berasingan bagi yang sudah ada asas bahasa Arab seperti saya dan Hassan. Tambah teman serumah dan beberapa rakan lain turut berminat mahu menyertai kalau boleh. Moustaffa berjanji mahu menelefon semula esoknya. Dia positif.

Mengapa saya belajar bahasa Arab? Sebab saya tak nak jadi macam lelaki orang putih kat dalam video kat bawah ni.



Haha.. kalaula orang putih tu tahu bercakap bahasa Arab, sudah tentu dia dapat rezeki rimau. Kereta Ferrari sebiji dan sebuah rumah mewah. Hehe! Kawasan saya duduk ni pun ramai orang arab kaya-kaya kot. Kot-kot la ada yang offer rumah sebiji, nanti saya tak faham saya ingat dia mintak apa pulak. Haha! Tapi, bukan itulah sebab sebenar belajar bahasa syurga ini. Ada sebab lain yang lebih menuntut. Cuba tonton video ini pula:



Ha... ape lelaki Arab tu cakap? Pi belajar bahasa Arab dulu kalau nak faham. Hehe! Sebab saya pun tak faham sangat. Tanya-tanya, rupa-rupanya lelaki itu sebenarnya memetik salah satu kata-kata Ibnu Taimiyah rahimahullah:

"Merupakan sesuatu yang sudah diketahui bersama bahawasanya belajar dan mengajarkan bahasa Arab hukumnya fardhu kifayah. Sesungguhnya bahasa Arab merupakan bagian dari agama dan mengetahuinya wajib, karena memahami Al-Qur’an dan sunnah wajib. Dan keduanya tidak dapat dipahami kecuali dengan bahasa Arab dan apa yang suatu kewajiban tidak akan terwujud kecuali dengannya maka sesuatu itu menjadi wajib.”

Bahasa Arab adalah syiar Islam kerana dengan menguasainya ibadah-ibadah kita seperti solat, berdoa dan mempelajari al Quran akan terpenuhi dengan sempurna.

Perhatikan pula kata-kata Imam Syafi’I rahimahullah, “Tidaklah kebodohan dan perbedaan-perbedaan yang terjadi pada manusia (umat muslim) melainkan karena mereka meninggalkan bahasa Arab dan mereka lebih memilih bahasa Aristoteles (bahasa orang barat).”

Jadi, dengan memahami bahasa Arab menjadikan kita selamat dari syubhat-syubhat dan bid’ah. Beliau juga berkata, “Tak seorang pun akan mengetahui jelasnya ilmu-ilmu dalam Al Qur’an selama orang itu tidak mengetahui luasnya bahasa Arab, luasnya cakupannya, luasnya masalah dan tingkatannya dan barangsiapa memahaminya maka dia akan selamat dari terkena syubhat seperti yang terjadi pada orang-orang yang tidak memahaminya”.

As-Suyuti rahimahullah berkata, “Sesungguhnya saya telah menemukan orang-orang sebelum Imam Syafi’I, mereka mengisyaratkan seperti yang saya duga bahwa sebab terjadinya bid’ah adalah tidak memahami bahasa Arab.” Hasan Bashri berkata terhadap orang-orang Ahlu Bid’ah, “Yang menghancurkan mereka adalah ketidaktahuan mereka terhadap bahasa Arab.”

Kuatnya bahasa Arab merupakan salah satu sebab kemuliaan Islam dan kaum muslimin. Musthofa Shodiq Arrofi’ berkata, “Tidaklah bahasa suatu kaum itu rendah kecuali mereka akan direndahkan dan kemuliaannya tidaklah menjadikan kekuasaan itu pergi meninggalkan mereka. Oleh karena itu, penjajah asing mewajibkan (bahasa mereka untuk dipelajari) kepada kaum yang mereka jajah.”

Bahasa Arab merupakan sarana terkuat untuk mewujudkan persatuan dan hubungan diantara umat muslim. Pada saat mereka bersemangat mengajarkan bahasa Arab guna mewujudkan kedekatannya kepada bahasa Arab, maka akan terwujud keseragaman pada zahirnya (yaitu dengan bahasanya) sehingga terwujud pula keseragaman di hati mereka, dikarenakan mereka dapat memahami peradaban dan keyakinan beragama yang sama.



Firman Allah S.W.T:

“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa al–Qur’an berupa al–Qur’an dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya." (QS. Yusuf:2)

Banyaaaaak sangat sebab kenapa kamu perlu belajar bahasa Arab. Kalau ada peluang jangan menangguh-nangguh. Jom-jom belajar bahasa Arab!


notakaki: Suami saya tak kasi anak-anak kami nanti panggil ummi atau abi selagi ummi dan abinya tak fasih berbahasa arab. haha! Jadi kalau saya nak anak2 panggil ummi kene pi belajar bahasa arab cepat2. huhu!

Rujukan: Diterjemahkan bebas dari Kitab al – ‘Arabiyah Baina Yadaika. Di salin dari belajarislam.com

Manusia...

Assalamualaikum wmt wbt...


Hari ini saya mengisytiharkan hari rehat untuk diri saya sendiri. Rehat untuk mengemaskini apa yang berteraburan dalam fikiran saya. Tambah buah-buah hati saya di sini semuanya berjalan-jalan di tempat indah hari ini. Maka tiada sesiapa yang boleh saya tuju untuk menghilangkan sunyi dan mengumpul secebis redha Allah. Mahu bual-bual dengan suami, dia pula nun jauh di tengah laut sana. Email terbaru katanya dia sedang menyelenggara kontraktor di atas platform. Tak sabar mahu tunggu kepulangan, kerana saya di sini punya banyak modal untuk dikongsi dan diceritakan. Masih ingat pesanannya sebelum meninggalkan saya untuk terbang ke platform beberapa hari yang lepas, "Sibukkan diri awak dengan 'buah-buah hati' kesayangan, gunakan kekosongan ketiadaan saya untuk rapatkan ukhuwah dengan mereka, jadikan alQuran sebagai teman menghilang sunyi... kalau pun tidak berkesempatan membaca, cukuplah mendengar tilawahnya. Kalau ada masa tadabbur maksudnya... " Dan sekarang bila buah-buah hati saya berpergian, saya bersendirian di bilik. Dengan tilawah Mishary Efasy sebagai halwa telinga...

Lewat beberapa duduk sembang-sembang dengan adik-adik kebelakangan ini, kami sempat kupas dua surah yang apabila diturunkan, Rasulullah SAW amat gembira. Sehinggakan apabila bertemu Jabir, Rasulullah lantas menyuruh dia membacakan kedua surah ini yang Rasulullah katakan tiada surah yang seumpama dengannya. (diriwayatkan dari Imam Malik, Muslim, At-Tirmizi, Abu Daud dan An-Nasai'). Rasulullah gembira kerana merasakan naungan kasih sayang Allah melalui surah ini. Allah dengan kasih sayangNya membuka perlindungan dan naungan kepada hambaNya yang serba lemah ini untuk berlindung dari kejahatan yang jelas atau terang. Qul a'uzubirabbil falaq dan Qul a'uzubirabbin nas adalah seruan kasih dari Allah.

Sungguh kedua surah ini sungguh signifikan di hati saya lewat tempoh kebelakangan ini. Di saat saya rasakan syaitan umpama mencucuk2 hati untuk berenak-enak. Lantas diri kadangkala terasa amat lemah lalu tunduk kepada acuhan syaitan laknatullah. Malah kadang-kadang tanpa cuba melawan saya akur. Bermalas-malasan sedang terlalu banyak tanggungjawab lain yang tertangguh, menjadi hamba kepada hawa nafsu sendiri. ya Allah ampunkan hambaMu ini. Bila tersedar baru tengadah, cepat-cepat mohon taubat tetapi bukan sekali taubat itu saya mungkiri. Di waktu yang lain perkara yang sama berulang lagi. Dan syaitan melompat kegirangan kerana anak adam ini berjaya diperdayakan. Astaghfirullah...

An-Nas menceritakan hakikat musuh yang paling utama untuk umat manusia. Analoginya jelas. Anda tahu siapa musuh anda yang perlu anda perangi. Bukan sahaja anda tahu itu musuh anda, malah anda juga tahu dari arah mana dia akan mula menyerang dan melemahkan pasukan anda. Tidak cukup itu diceritakan kepada anda titik kelemahan musuh itu dan anda dilengkapkan dengan senjata yang paling canggih untuk mengalahkan musuh itu. Pastinya mudah anda mengatur strategi untuk memenangi pertempuran yang dikatakan akan berlangsung sepanjang zaman sehingga hari kiamat ini. Anda tahu pintu masuk serangan mereka adalah pada hati yang lalai, maka segera persiapkan bala tenteramu untuk mengawal hatimu dengan zikrullah... sentiasa mengingati Allah. Anda tahu musuhmu itu akan lari bergelimpangan apabila berhadapan dengan senjata orang mukmin di medan pertempuran. Tetapi jangan sekali lalai, kerana musuh itu akan cuba menyerang semula apabila bala tentera anda sudah mula leka. Dan dia tidak akan pernah jemu, akan datang dan pergi sehingga bila-bila pun. Kerana musuh itu telah mengisytiharkan perang dengan anda sejak dari Adam diciptakan sehingga nanti bumi ini bakal dihancurkan untuk hari perhitungan. Namun jangan gusar, kerana Allah tidak akan membiarkan anda sendirian mengharungi pertempuran yang hebat ini. Bukan hanya dengan keris dan tombak. Allah malah membekali setiap tenteranya dengan iman sebagai perisai, zikir sebagai kelengkapan perang dan doa sebagai senjata.

Tetapi terpulang kepada anda sama ada untuk kekal bertahan melawan atau mengaku kalah saja. Jadi tawanan mereka dan secara tak langsung jadi ejen mereka untuk melemahkan bala tentera manusia. Ganjarannya lumayan dan tunai di dunia... iaitu segala jenis kenikmatannya. Walau mungkin ganjaran mereka itu tidak selumayan ganjaran menjadi tentera Allah yang setia, yang bakal dinikmati di hari pembalasan kelak. Syurga yang indah tiada taranya. Dan ketika itu manusia yang sudah menikmati dunia sepuas hati dan sekehendak mereka akan merasai hukuman atas kebelotannya. Manusia tawanan musuh ini adalah ejen yang lebih berkesan untuk melemahkan bala tentera manusia dari dalam. Kalau musuh itu ya sudah jelas kaum manusia tahu akan kejahatannya dan betapa dia wajib diperangi. Tetapi kalau manusia yang berjiwakan motto musuh-musuh ini, siapa pun yang akan mengesyaki mereka? Kerana mereka kelihatan sama saja seperti kita. Malah mungkin terdiri dari orang-orang yang rapat di sekeliling kita, yang kita sayangi dan percayai. Tetapi mereka mungkin menjadi ejen pembisik kejahatan kepada hati kita. Kerana harus ingat, musuh kita yang utama itu ada dari golongan jin dan juga manusia. Lalu mereka mempergunakan kepercayaan kita itu untuk melaksanakan agenda musuh yang utama. Menarik manusia jauh dari Allah dan menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan.

.......... sebak....................

Hanya Allah sebagai sandaran. Kepada Allah kita pulangkan. ya Allah cekalkan hati ini menghadapi godaan musuh-musuhMu ini ya Allah... Moga hatiku ini lebih teguh dengan ingatan padaMu ya Allah. Peliharakan insan-insan di sekelilingku juga ya Allah. Moga mereka menarik aku ke arah mengingatiMu dan bukan menjadi wakil musuh yang cuba memikatku dengan keindahan palsu dunia yang sementara ini ya Allah. Aku mohon perlindungan Engkau ya Allah.

(to be continue...)


Hati ini lemah saat ini...

Satu Syawal

Assalamualaikum...


Hari ini sudah masuk 10 Syawal. Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Salam Aidilfitri kepada kamu, kamu, kamu dan kamu (ulang sehingga kamu rasa kamu itu adalah untuk diri kamu..hehe!). Terlebih dahulu saya mohon ampun maaf andai selama ini ada di dalam coretan saya yang mengguris hati kalian semua. Atau ada ketidak senangan yang saya ciptakan dalam pertemuan kita di dalam bas, di pinggir jalan atau di dewan program, saya mohon seribu kemaafan. Semoga dengan kemaafan kalian itu, memudahkan urusan saya di akhirat kelak. Moga Allah merahmati kita semua...insyaAllah.

Bagaimana lebaran kalian tahun ini? Aidilfitri saya tahun ini masih sama saja seperti tahun-tahun sebelumnya. Tapi tahun ini di sebalik keriangan satu syawal, ada kesedihan yang bertampuk di hati. Bukan kerana tidak dapat beraya bersama keluarga dan yang tersayang di tanah air itu, bukan kerana tidak dapat makan nasi impit dan kuah kacang buatan emak yang amat saya rindui dan bukan kerana saya tidak ada baju baru untuk dipakai di hari raya ini. Tetapi saya meninggalkan Ramadhan tahun ini, tanpa sempat menghabiskan 30 juzu' al Quran. Kesibukan ke sana sini di Manchester sepulangnya dari cuti musim panas menyebabkan saya kelelahan dan tidak sempat2 mencari masa menghabiskan bacaan walaupun tahun ini saya berpuasa penuh. (no..no...i'm not pregnant!) Ah alasan saja... hendak seribu daya bukan?

Tahun ini sudah tahun kelima saya beraya di perantauan. Sedih? Kesyahduan pagi raya sudah tidak terkesan lagi di hati saya. Pagi raya ini hanya nasi lemak yang mampu saya sediakan untuk teman serumah dan adik-adik yang datang bertandang kerana raya tahun ini datangnya mengejut. Tak sempat memenuhkan peti ais dengan ayam dan daging untuk dibuat rendang. Apatah lagi untuk membeli bahan-bahan lain untuk masakan istimewa. Malam raya kami sambut sekadarnya... bertakbir bersama-sama sahabat-sahabat dan usai itu kami menikmati kuih raya yang dibawa pulang masing-masing dari kampung. Paginya selepas sarapan kami berkejar-kejar ke McDougall (masjid di kawasan saya) untuk solat sunat Aidilfitri. Kami sedikit terlambat kerana jemaah baru selesai solat. Maka kami solat sendiri-sendiri saja. Tidak sempat bersalaman dengan sahabat handai, saya terpaksa berlari-lari pula ke kelas. Biasanya saya ponteng saja kelas pertama di pagi hari raya, tetapi tahun ini saya berazam tidak mahu terlepas walau satu pun kelas. Maklumlah sudah di tahun akhir pengajian. Di dalam bas di pertengahan jalan, tiba-tiba saya diserang gastrik. Perut merajuk kerana terkejut dengan perubahan waktu makan. Sakitnya bukan kepalang. Terpaksa berpatah balik pulang ke rumah. Tiba di rumah saya terlantar di katil hingga ke petang. Teman-teman serumah yang lain semuanya ada kelas penuh hari ini jadi saya bersendirian saja di rumah. Itulah satu Syawal saya tahun ini. Menarik kan? hehe!

Raya kedua lebih istimewa, atau mungkin boleh saya katakan hari raya terbaik saya di perantauan. Seawal subuh kami sibuk memasak untuk tetamu yang bakal datang bertandang ke rumah terbuka kami. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Lebih kurang 70 orang tetamu yang datang memeriahkan hari raya kami. Hidangannya sederhana saja. Nasi impit (yang kami himpit sendiri tau!), lontong, kuah kacang (satu versi tak pedas dari cik H dan satu versi pedas gaban dari cik Z), rendang ayam istimewa cik I, dan roti jala dari rumah jiran. Semuanya habis licin kecuali seperiuk besar kuah lodeh yang diberi kepada jiran lelaki di lorong sebelah. Tetamu bertali arus sehingga jam 10 malam baru akhirnya saya terbaring kepenatan. Hari-hari selepas itu terisi dengan rumah-rumah terbuka yang lain. Alhamdulillah... syawal sentiasa membawa kemurahan rezeki.

Tiada apa yang menarik untuk lebaran saya kali ini. Sama saja seperti tahun-tahun sebelumnya. Tahun depan mungkin berbeza. Kerana saya akhirnya kembali kepangkuan keluarga di tanah air. Bagaimana agaknya rasanya beraya di Malaysia semula? Sungguh ...saya sendiri sudah lupa bagaimanakah kemeriahan itu. Dan saya belum pernah berhari raya di Malaysia sebagai bukan budak sekolah. Tamat saja SPM terus saja tercampak ke bumi asing ini.(agak-agak masih ada duit raya lagi tak untuk saya sekarang? Ganti duit-duit raya yang saya tak dapat sejak lima tahun lepas...haha!). Apa-apa sajalah yang saya bebelkan.

Maaf kali ini caca merba catatannya. Tak ada faedah pun yang mampu diberi melainkan catatan hari raya yang tidak sepertinya ini. Banyak mahu dikongsi tapi nanti-nantilah... Bila ada masa lebih dan keinginan untuk menulis lagi...

Salam Aidilfitri dan ampun maaf dari saya...

Wassalam

Winter Retreat is coming!!!


Assalamualaikum...

Jom pakat ramai2 serbu Lock Lomond Disember ni. InsyaAllah it is worth for your time and money spent. Boleh tengok the details of the programme HERE!

InsyaAllah we'll be going there to.. so sape nak jumpe saya bolehlah kite date kat sana sambil bergolek-golek di dalam salji...hehe! Jangan risau saya pun tak pandai ski...so mari tergolek bersama-sama..

Tak sabar nak jumpe speakers yg best2 cam Dr Kamal Helbawy, Bro Ismail Patel etc. Rugi tak pegi...!

TARIKH & MASA
Brothers : 20 - 23 Disember 2008
Sisters : 23 - 26 Disember 2008

LOKASI
Loch Lomond Youth Hostel, Scotland

AKTIVITI MENARIK
Cabaran ski anak muda, outdoor games, indoor games, aktiviti 'team building' , aktiviti yang menarik, pengisian yang mantap dan banyak lagi!

DI ANTARA TAJUK PENGISIAN YANG MENARIK
1. In Search of Excellence
2. The Awakening of The Soul
3. Islam & The West
4. Superpower Student

YURAN PENYERTAAN
£30 seorang / 40 Euro seorang
£35 seorang / 45 Euro seorang (jika mendaftar selepas 1 Disember)

Yuran pendaftaran tidak termasuk yuran ski, yuran ski bergantung kepada bilangan peserta yang berminat untuk menyertai trip ski kami.

Dia sudah tidak menangis lagi

"Hebat tak saya abang?", tanya isteriku melalui telefon ketika aku sedang melangkah keluar menuju ke kereta selepas selesai menghantarnya pergi, untuk kembali ke United Kingdom.

"Kenapa?", aku bertanya kembali meminta kepastian.

"Hmm... mestilah. Saya tak nangis pon masa abang hantar saya tadi." Balas isteriku.

Hehe... baru aku perasan. Dia sudah menjadi semakin tabah... Semakin rasional dalam berhadapan dengan kehidupan.

Malah, ketika baru sahaja dia melalui mesin pengimbas, untuk mengesahkan passport, abang iparku menyapa, "Sabar ye.. tak lama lagi jek tu". Padahal memang perpisahan itu sedikitpun tidak meninggalkan kesedihan, cuma kadang2 terasa geli, sebab tak biasa orang tepuk2 bahu menenangkan aku.

Pelik bukan? Adakah kerana kasih antara kami semakin kurang? Hmm...

Jika dahulu, sampai sahaja di UK, terus telefon dicapai menelefonku, lalu berbicara panjang mengungkapkan nada rindu. Tapi kini, cukup daripadanya, "Saya dah sampai ni" untuk aku membalas"Alhamdulillah" dan panggilan ringkas itu ditamatkan kerana aku sedang dalam sesi pengisian dengan adik-adik di Malaysia, sedang dia harus segera berehat untuk esok meneruskan tanggungjawab membantu adik-adik yang baru tiba. Alhamdulillah masing-masing disibukkan dengan tugas dan tanggungjawab pada Allah, terutama saat ramadhan menjelang.

Lebih aku terasa, jika dahulu panggilan kami akan dihiasi dengan perbualan kosong, tapi kini syukur kerana masing-masing berlumba-lumba berkongsi pelbagai cerita, daripada kegembiraan berkenalan dengan adik-adik yang peramah dan begitu berlapang dada, hinggalah kegugupan masing-masing dalam berusaha menyampaikan mesej Islam kepada semua. Lalu segera segala pendapat dikongsi, dan dibuahkan hingga mendapat penyelesaian yang terbaik. Sungguh ia sangat membantu, kerana aku langsung tidak rasa keseorangan bekerja, walaupun seribu satu kekurangan sentiasa memujuk aku berehat.

Rupa-rupanya pengalaman hidup bersama telah kembali menyegarkan iman kami. Bukan sahaja isteriku, malas aku juga turut tidak terasa kehilangan, walaupun sedar kami akan kembali hidup berjauhan selaku suami isteri selama beberapa purnama. Kerana selama lebih kurang tiga bulan, kami mentarbiyyah antara satu sama lain. Sama-sama mengingatkan antara satu sama lain, bahawa kasih yang teragung bagi kami, bukan milik pasangan kami, tetapi ia milik Allah.

Mungkin mudah diungkapkan, tetapi sukar dilaksanakan terutama buat pasangan yang baru berkahwin seperti kami (walaupun sudah lebih setahun) Kita boleh berkata, "aku sayang Allah lebih daripada ibu bapaku", "Aku sayang Allah lebih daripada diriku", atau mungkin "Aku sayang Allah lebih daripada geweku"...

Tetapi benarkah kita telah menyayangi Allah lebih daripada segalanya? Mampukah kita meninggalkan ibu bapa kita kerana Allah? Mampukah kita meninggalkan kekasih kita kerana Allah? Mampukah kita meninggalkan segala yang kita ada; pekerjaan, pelajaran, kehidupan kerana Allah? Tepuk dada tanya selera. Tetapi yang pasti, At-Taubah: 24 masih belum kita imani, jika kita keberatan mengorbankan segala-galanya, jika tuntutan Islam menuntutnya.

Mungkin itulah yang diimani oleh Bilal hingga sanggup mengungkapkan "Ahad.. Ahad.. Ahad" walau batu betan-tan beratnya menindih perut. Mungkin itulah yang diimani para sahabat hingga sanggup meninggalkan isteri selama berbulan-bulan, demi mempertahankan Islam. Mungkin itulah yang diimani oleh Mus'ab hingga sanggup meninggalkan ibunya saat ibunya membantah ketundukannya kepada Allah SWT.

Dan aku... bagaimana? Semoga Allah menjadikan aku dan isteriku seperti mereka, walau kami cuma baru belajar bertatih mengenai cinta kepada Allah.

Pernah suatu ketika, dia menangis, saat aku mengungkapkan kata-kata "Abang tak tahu nak buat macam mana lagi... Abang tak tahu apa peranan abang sekarang... Abang rasa letih dgn macam-macam benda yang mengarut-ngarut... abg nak rehat kejap"

Lalu kata-kata itu disambarnya, dengan tangisan yang lebih esak.

"Saya tak nak abang, kalau abang tak nak Allah." Itulah kata-katanya menegaskan pendirian dalam hati, walau dengan seribu satu ketidak relaan.

Dan kini, dia sudah tidak menangis lagi, kerana aku sudah kembali disisinya.

Perpisahan kali ini...

Aku melihat jam yang tertera di skrin telefon bimbit. Sudah jam 8.40 pagi. Bermakna sudah lebih tiga jam aku menunggu di balai berlepas ini. Masih lagi berbaki dua jam penantian sebelum pesawat yang dijadualkan membawa aku ke destinasi seterusnya berlepas. Novel 528 muka surat yang aku minta dibekali untuk menghilangkan jemu dalam perjalanan yang panjang ini baru sahaja habis kubaca. Bosan. Balai berlepas ini sudah semakin lengang berbanding ketika aku tiba tadi lebih kurang jam lima pagi. Hanya lagu-lagu Inggeris dari kiosk kopi di hadapanku yang berkumandang lembut menjadi halwa telinga. Bau kopinya yang harum menusuk hidungku, memberi semacam aroma yang menyegarkan. Yang mengingatkan aku pada pagi-pagi di kota Manchester saat aku melewati kedai-kedai kopi mewah dalam perjalanan ke kuliah. Kalau tidak di dalam bulan Ramadhan, sudah pasti segelas kopi sudah berada dalam genggaman aku ketika ini. Aku mengerling waktu yang tertera di sudut kanan skrin komputer riba yang sedang aku gunakan. Sudah menunjukkan jam 3.48 petang. Angka-angka kecil itu masih menunjukkan waktu di tanah air, Malaysia. Hanya jam di telefon bimbit yang telah ku ubah kepada waktu di sini supaya lebih mudah aku merujuk waktu penerbangan. Malah telah ku tetapkan penggeranya setengah jam sebelum penerbangan, bimbang kalau-kalau aku terleka dan bakal terlepas pula penerbangan nanti.

Fikiranku kembali melayang ke tanah air. Kira-kira pada waktu begini tentu si dia sudah siap-siap dalam perjalanan pulang ke rumah kami di Kerteh dari bandar Kuala Lumpur. Semalam katanya dia akan bertolak selepas Zuhur dari rumah kakaknya yang kami tumpangi sebelum bertolak ke lapangan terbang. Bagaimana agaknya dia seorang diri dalam perjalanan? Biasanya jika berulang alik ke Kuala Lumpur dari Pantai Timur, sentiasa ada aku di sisinya menemankan. Walaupun mungkin kadang kala aku hanya lena sepanjang perjalanan. Tapi pernah katanya itu sudah cukup memberikan kekuatan untuk dia terus-terus memandu agar cepat sampai ke destinasi. Dan kalau-kalau dia sendiri yang mengantuk dan penat, maka mahu tidak mahu terpaksa juga berhenti di bahu jalan untuk terlelap barang seminit dua. Tetapi jika perjalanan kami terdesak dengan desakan masa, akan diusahakannya membangunkan aku agar melayannya bual-bual tentang apa-apa sahaja. Atau jika kehabisan isi bual, cukup kami ikut menyanyi lagu-lagu atau cuba-cuba mengikut taranum al-Quran dari corong radio. Lakukan apa sahaja supaya mata dan fikiran kembali segar untuk meneruskan perjalanan. Detik-detik seperti itu yang membuatkan aku tidak pernah jemu menemankannya ke mana saja. Sama ada sama-sama ke program tarbiyah atau untuk memenuhi urusan kerjanya. Entah berapa kali dia menyarankan alangkah eloknya kalau aku juga mahir memandu supaya dapat kami bergilir-gilir andai masing-masing sudah kepenatan. Tetapi hingga hari ini aku masih bertangguh-tangguh mahu mendaftar di kelas memandu dengan alasan kesuntukan masa. Hakikatnya, aku masih belum berani. Nanti-nantilah…

Perjalanan pulang ke bumi asing ini pada kali ini aku kira agak berbeza dari perjalanan sebelum-sebelum ini. Kepulangan kali ini menyaksikan aku melangkah masuk ke tahun kelima pengajianku di sini dan mungkin juga menjadi tahun terakhir aku berjauhan dari mereka yang tersayang di tanah air. Atau mungkin juga kerana ini mungkin menjadi penerbanganku yang terakhir meninggalkan mereka, maka hati aku menjadi lebih kuat. Lebih kuat dengan azam untuk menghabiskan pengajian dan pulang ke pangkuan mereka selama-lamanya untuk berbakti dengan sepenuh hati. Kepulangan aku ke sini pada kali ini menjadi berbeza kerana aku tidak sedikit pun menitiskan air mata saat meninggalkan wajah-wajah yang amat aku kasihi itu. Mungkin aku sudah menjadi kalih dengan perpisahan yang aku kira hanya sementara ini, andai umurku masih panjang dengan izin Allah. Dan untuk hati aku menjadi kuat dan teguh untuk menghadapi perpisahan seperti ini memerlukan latihan yang bertahun-tahun lamanya. Yang menyaksikan entah berapa banyak air mataku tumpah setiap kali berhadapan dengan perpisahan seperti ini saban tahun. Dan akhirnya untuk tahun yang terakhir ini aku berjaya menjadi seorang yang kuat untuk tidak kalah dengan emosi sebuah perpisahan.

Aku menjadi lebih kuat kerana aku kira terlalu banyak tugas yang perlu aku langsaikan di sini. Dan aku merasa diri kurang berguna lantaran terlalu banyak berenak-enak dalam percutian musim panas yang lepas. Lantas semangat yang melonjak-lonjak untuk kembali ke tempat aku berjuang ini membuatkan aku semakin tidak sabar untuk pulang. Dia tidak sedikit pun berkecil hati melihatkan aku yang tidak terkesan dengan perpisahan kali ini. Kerana katanya itu menunjukkan aku sudah semakin kuat. Dan itu juga menunjukkan hati ini sudah berfungsi seperti mana sepatutnya untuk seorang yang mengaku dirinya mujahidah. Bahawa kenyataan itu menunjukkan hati ini sudah terlarut dengan tanggungjawabnya sehingga akhirnya mampu mengenepikan keinginan untuk memanja-manjakan diri sendiri. Justeru malah dia bangga. Kerana katanya dia memiliki seorang isteri yang turut serta di jalan ini. Jalan yang dirintis oleh Rasulullah dan para sahabat. Aku berdoa moga hati kami terus istiqomah dan tsabat.

Aku mempunyai satu kebiasaan sejak dari di bangku sekolah lagi. Selepas satu percutian yang panjang, aku biasanya menganggap kembalinya aku dari percutian itu adalah satu permulaan baru untuk aku mengubah apa-apa saja yang aku kira perlu diubah. Lalu aku biasanya kembali dengan resolusi-resolusi dan keazaman untuk berubah kepada kebaikan setelah untuk seketika waktu aku memuhasabah diri. Dari pengalaman sebelum-sebelumnya, aku menyaksikan ada perkara yang berhasil ku ubah dan ada yang semangatnya hanya hangat-hangat di awal sahaja lalu akhirnya gagal. Di sebalik perbezaan yang aku rasakan tadi, kepulangan kali ini masih juga mempunyai kesamaan itu. Bahawa aku menyimpan keazaman untuk mengubah sikap dan tabiat yang aku kenal pasti menghasilkan kegagalan. Moga aku dikurniakan Allah kekuatan untuk menunaikan. Kepulangan aku kali ini juga beserta tanggungjawab yang entah dari mana aku rasakan pertanggung jawabannya. Kerana tiada siapa yang mengatakan dengan jelas bahawa akulah yang bakal dipertanggung jawabkan dengan tanggungjawab itu. Kembalinya aku kali ini bukan sebagai adik-adik yang perlu digula-gulakan dengan kemanjaan. Sebaliknya aku sendiri perlu kuat agar mampu meneduhkan yang lain.

Penggera telefon bimbitku berbunyi menyedarkan aku dari keasyikan menuliskan sebuah catatan ini. Menandakan yang aku harus bersiap-siap dan melangkah mantap. Sudah berakhir masa untuk aku bersenang-senang dan aku harus lebih serius menghadapi kehidupan yang perlu aku sifatkan sebagai sebuah perjuangan. Dan dengan basmallah, aku memulakan langkahan ini…

Balai berlepas 8D

Lapangan Terbang Heathrow London

Kurang setengah jam, jam sebelas pagi

Salam Ramadhan


Assalamualaikum wmt. wbt..

Rasanya sudah agak lama saya biarkan blog ini bersawang tanpa entry baru. Entry terakhir pada 27 Ogos 2008, 4 hari sebelum kita ditemukan lagi dengan bulan Ramadhan yang mulia. Maaflah... terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam minggu-minggu terakhir saya di tanah air ini. Tambah lagi apabila pesta ibadat umat Islam telah bermula. Saya juga tidak mahu terlepas daripada mengejar pahala. Siapa tahu tidak sempat ketemu lagi dengan bulan yang penuh barakah ini tahun depan? Jadi manfaatkan sebaiknya masa yang ada.

Tahun ini senang sikit nak mengira sudah hari ke berapa berpuasa, kerana 1 Ramadhan jatuh pada 1 September. Bila difikir-fikir, kita ni dah terlalu asyik guna kalendar Masihi dalam kehidupan seharian sampai melupakan kalendar yang sepatutnya lebih dekat dengan kita, kalendar Hijrah. (saya sendiri pun!hukhuk!). Kalendar Masihi ikut peredaran matahari dan kalendar Hijrah pula ikut peredaran bulan. (nak baca lebih tentang kalendar Hijrah?) Kalau ada teringat nak guna kalendar Hijrah pun adalah apabila nak menentukan bila mula puasa, bila hari raya dan sambutan hari kebesaran Islam yang lain. Kalau hari-hari istimewa begitu baru kita maklum yang..

"Esok puasa...esok satu Ramadhan la ye?"

"Hari ni satu Syawal..jom sembahyang raye!"


Macam Upin&Ipin jek kite nih kan? Asyik cerita tentang puasa dan raya saja. Alang-alang sebut pasal adik Upin&Ipin bolehlah saya promosikan laman web mereka untuk yang belum tahu. Oleh kerana rumah saya tiada televisyen makanya sering saja terlepas aksi mereka yang comel dan bijak ini. Jadi saya tonton saja di laman web rasmi mereka. Maklumlah, saya pun peminat setia budak2 botak comel berdua ni. (kan best dapat anak comel dan pandai mcm Upin&Ipin..hehe!). Syabas untuk team Upin&Ipin! Tak dinafikan dengan watak anak-anak comel dan innocent ini, mereka mampu untuk mendidik bukan sahaja kanak-kanak malah orang-orang dewasa yang turut menonton kan? Moga usaha kalian dikurniakan ganjaran setimpal oleh Allah S.W.T.

Sedar tak sedar hari ini sudah 15 Ramadhan, berbaki separuh sahaja lagi untuk kita sama-sama mengejar pahala yang berganda-ganda nilainya dalam bulan penuh barakah ini. Sepatutnya hari ini kita sudah khatam 15 juz' tapi kami ini sudah ketinggalan beberapa juz' kerana saya sendiri yang beberapa hari lepas terlantar kerana demam dan batuk-batuk. Nampaknya dalam dua tiga hari ini kami perlu marathon tadarus nih! Semalam lebih istimewa kerana kami sempat tilawah sambil menikmati desiran ombak yang sungguh menenangkan di tepian pantai. Tenangnya... setelah dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kami sibuk ke sana sini dengan pelbagai urusan. Kebanyakan masa dihabiskan dalam di atas kereta kami yang sudah semakin uzur walau usianya belum pun sampai setahun. (teruk kene gasak dengan kami!) Malah bersahur pun di tengah jalan! huhu! Jadi ambil sehari dua untuk mencari ketenangan...bak kata orang putih "sharpen the saw". huhu! (iyolah tu..).

15 Ramadhan bermakna hari ini juga 15 September. Bermakna esok adalah tarikh yang dinanti-nanti oleh rakyat Malaysia yang mengambil tahu masam manis pahit masin politik negara. Adakah benar akan terjadi 16 September seperti yang di canang-canangkan sebelum ini? Saya sebagai rakyat jelata hanya tunggu dan lihat. Saya sendiri sudah semakin kurang ambil tahu tentang politik negara kebelakangan ini. Sudah membosankan dan memeningkan kepala saja. Hanya sesekali mendengar komentar dari suami yang lebih rajin membaca dan mengambil tahu perkembangan politik. Mahu saja saya suruh dia menyumbangkan paling tidak secawan kopi kepada kita di sini...tapi alasannya sering saja tiada masa. oh..oh!

Sudah panjang membebel...banyak kerja lain menanti untuk disudahkan. Hari ini hari terakhir saya di teratak kesayangan kami ini. Semalam sudah siap mengemas rumah dan barang-barang yang perlu dibawa pulang sudah tersimpan rapi dalam bagasi besar. Kurang beberapa hari saja lagi saya akan berlepas meninggalkan tanah air. Hari ini hari terakhir kami berbuka puasa berdua di rumah ini, jadi saya merancang-rancang mahu menyediakan juadah istimewa. Nasi minyak, ayam masak merah, roti jala, kari ayam dan donut coklat sudah tersenarai dalam menu hari ini. Malam nanti akan berangkat pulang ke kampung pula... Sebelum berundur rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan kepada awak yang sedang membaca:

SALAM RAMADHAN !
SEMOGA RAMADHAN KITA KALI INI LEBIH BAIK DARI YANG SEBELUMNYA

Wassalam...

STUDENT LIFE IN MANCHESTER

Assalamualaikum...

Saya terjumpa video ni di youtube masa pusing-pusing kat situ cari video yang best dan latest untuk tatapan adik-adik saya di mukhayyam hujung minggu ni. Alhamdulillah...lepas ni kalau orang tanya "Macam mana ya agaknya hidup di Manchester?", boleh saya kasi je terus tengok video ni.



The daily routine that they showed was very true and similar to mine since pelakon-pelakon utamanya coursemate saya... haha! Jadi rutin harian mereka lebih kurang rutin sayalah. (cume saya tak main tennis petang2..saya pegi jogging jek..kui2). Pastu siap ajar masak spaghetti bolognaise lagik tu...mantap tul coursemate saya ini.

Untuk adik-adik yang bakal ke Manchester September ini. Saya ucapkan selamat datang ke Manchester Darul Aman...

Wassalam

Tentang Sumpah

Assalamualaikum...

Saya teringat zaman saya kecil-kecil dahulu...

Cerita 1:

"Tau tak semalamkan saya pergi Sunway Lagoon! Best!Jangan jeles..."
"Ish..tipulah. Sumpah?"
"Sumpaaah! Wallahi..wabillahi saya pergi Sunway Lagoon dengan mak saya"
"Ish...bestnye!"

Cerita 2:

"Eh..berani aw duduk dalam kelas sorang-sorang? Semalam kite nampak lembaga hitam dalam kelas tu," kata kawan saya yang mahu ajak saya ponteng kelas tambahan pada hari itu.
"Tipulah...mana ada hantu siang-siang hari. Sumpah awak nampak hantu?" kata saya.
"Ish awak ni..main sumpah-sumpah pulak. Mak kite kata tak baik main sumpah-sumpah nanti kene makan sumpah tau," wajah kawan saya tu pucat sikit. Tak tahulah sebab dia tipu ke atau memang betul die nampak hantu..huhu!

Cerita 3:

"Saya dah bayarlah duit awak tu..."
"Mana ada! Awak belum bayar lagi la!"
"Thumpah saya dah bayar" (kunun-kunun bile sebut thumpah tu tak dikire bersumpah la)
"Tak baek awak sumpah-sumpah palsu. Nanti jadi sumpah-sumpah baru awak tau!"

Ha.. yang di atas itu semua insiden zaman kita kanak-kanak tak mumayyiz. Kalau dahulu nak tahu kawan bercakap benar atau bohong, minta saja die bersumpah. Kalau mahu lagi yakin suruh bersumpah dengan wallahi wabillahi. Kalau dia berani sebut dua-dua tu, pasti dia tak cakap bohong. Kalau gaduh pun, bila dua-dua berdegil tak mahu mengaku salah, mulalah masing-masing bersumpah. Tapi masa kecil dulu yang saya tahu kalau sumpah bohong nanti kena makan sumpah. Kena makan sumpah tu yang saya faham masa tu, kalau kita sumpah bohong nanti apa yang kita sumpahkan itu jatuh pada kita semula. Yang paling mengarut saya dengar, kalau kita sumpah bohong nanti kita disumpah jadi sumpah-sumpah. Sumpah-sumpah dalam Bahasa Inggeris orang panggil 'chameleon'. Huhu! Tapi saya pun tak tahu macam mana rupa sumpah-sumpah. Sat saya 'google' kan ye?

Ini sumpah-sumpah. Dia boleh tukar2 warna kulit die ikut suka dia.

Itu tadi kisah kanak-kanak belum baligh. Kanak-kanak yang belum faham dan tak tahu betul salah. Mana kanak-kanak macam itu dapat idea bersumpah-sumpah macam itu? Tentu bukan mereka pandai-pandai reka sendiri tapi ikut-ikutan dari orang-orang yang lebih tua yang lebih tahu. Itu zaman saya kecik-kecik dahulu. Kanak-kanak zaman sekarang mesti lagi pakar bab-bab bersumpah ni. Sebab di televisyen dalam berita perdana, hampir setiap hari ada berita tentang sumpah. Hari ini si polan bersumpah kata dia betul, hari ini si polan yang lain bersumpah kata dia tak bersalah, hari esok orang ini bersumpah kata dia bercakap benar, tulat pihak yang lagi satu pula bersumpah yang dia tidak berbohong. Sumpah bersumpah ni nampak macam trend pula sekarang, terutama di kalangan ahli politik dalam musim-musim pilihanraya ni. Masing-masing bersumpah mahu buktikan diri sendiri benar. Pening kepala rakyat... oh..oh!

Bila tengok berita, nampak macam senang saja bersumpah. Tak sampai pun berapa minit. Kata mufti Perlis, sebenarnya tak perlu pun beria-ia buat di masjid sambil mengadap kiblat dan memegang al-Quran (atau panggil surat khabar dan TV..oops!). Tapi bila dengar dan hayati lafaz sumpah mereka saya pun takut. Lafaz sumpahnya bukan calang-calang. Kalau bohong kesannya bakal mendapat azab dan laknat Allah sampai ke hari kiamat. Nauzubillah... Jadi tidak mungkin ada orang yang siuman mahu membohongi sumpah mereka. Melainkan mereka yang tidak percaya yang Allah S.W.T Maha Berkuasa. Siapa-siapa pun boleh bersumpah. Kita hanya mampu melihat yang dizahirkan "Oh...si polan telah bersumpah." Tapi apa yang ada di dalam hati yang bersumpah hanya Allah yang tahu. Maka kita serah saja pada Allah untuk mengadili, kerana Dia Yang Maha Adil dan Maha Mengetahui.

Tapi ada hikmah juga berlaku semua ini. Paling kurang saya sudah kenal perkataan mubahalah yang saya tidak pernah dengar sebelum ini. Lalu saya cari bacaan tentang mubahalah ini. Sebab kalau kita tidak tahu kita perlu ambil tahu. Jangan dengar saja lebih kurang, lalu pengetahuan yang sedikit dan cetek itu jadi modal untuk di canang sana sini. Dengan pengetahuan yang lebih kurang itu jugalah yang menjadi asas untuk menghukum orang ini salah, orang ini betul. Bukan dipengaruhi fikiran rasional tetapi lebih kepada emosional. Hanya ambil tahu maklumat yang dihidang di depan mata tanpa ada usaha mahu cari lebih dalam dan buat pertimbangan adil. Baca sana sini, saya rasa artikel tulisan mufti Perlis dalam laman peribadinya adalah antara yang terbaik dan mudah untuk difahami tentang hukum sumpah, qazaf dan mubahalah. Penerangannya saya rasakan tidak bias kepada mana-mana pihak tetapi khusus untuk beri kefahaman Islam tentang isu sumpah yang jadi trend popular kini. Kalau mahu ambil peduli, boleh cuba klik pada capaian di bawah ini:

Mubahalah Agar Umat Tidak Berbalah

Hilang Hala Tuju Tenggelam Dalam Isu

Terbaca satu ayat di dalam artikel kedua yang begitu terkesan pada hati saya. Sungguh, selepas ini saya tidak lagi mahu berkata apa-apa tentang apa yang di luar pengetahuan dan tidak pasti sama sekali. Saya hanya mahu tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi. Berbekal keyakinan bahawa Allah itu Maha Adil dan Dia Maha Berkuasa memelihara agamaNya.

Allah menyebut: (maksudnya): “Ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah al-Nur ayat 15).

Wallahualam...

Selepas Setahun Perjanjian Itu...


Sudah setahun berlalu sejak hari bersejarah itu. Alhamdulillah sehingga kini tidak berkurang walau sedikit rasa cinta dan kasih sayang yang mula bercambah sejak lafaz ijab kabul itu. Malah dengan rahmat Allah perasaan itu semakin bertambah dari hari ke hari antara kami. Ikatan ini , bukan ikatan yang biasa-biasa. Ada kesenangan-kesenangan yang datang bersamanya yang boleh sama-sama dirasa. Tetapi bersamanya juga hadir amanah yang besar. Ikatan ini datang bersama 'mitsaqan ghalizan'. Ada yang harus dijaga dalam perjanjian yang berat ini. Ada yang harus diperjuangkan kerana amanah ini. Untuk itu, ikatan ini memerlukan hati yang sama-sama menerima, jiwa yang rela, sikap yang menenteramkan dan kesiapan untuk berjuang bersama.

Setahun yang lepas, perjanjian yang berat itu telah kami ikrarkan. Bersaksikan Allah, para malaikat dan juga tetamu yang hadir. Perjanjian yang bukan main-main. Jika tidak masakan Rasulullah menyebut tentang amanah ini dalam peringatan suci terakhirnya semasa haji wida' baginda.

"Aku nasihatkan kalian untuk selalu berbuat baik" kata-kata terakhir dari Rasulullah itu terus tersemat dalam hati sebagai bekal mengendali bahtera perkahwinan yang bukan selamanya indah-indah saja. Kerana kami maklum lautan yang terbentang untuk diharungi itu nanti tidak selamanya tenang. Saat badai datang melanda, perlu tenang dan lapang dada. Perkahwinan bukan sekadar melunaskan fitrah tetapi perkahwinan juga membentuk akhlak. Selepas setahun mengharunginya, saya akur dengan kata-kata seorang ukhti saat sebelum saya menikah. Bahawa pernikahan itu adalah universitas tertinggi kehidupan. Merupakan universitas yang paling lengkap, yang di dalamnya ada pelbagai fakulti yang mendidik kita. Fakulti kesabaran, fakulti toleransi, fakulti keredhaan dan berbagai-bagai lagi. Tinggal lagi kita sahaja, sama ada jiwa kita sedia ditarbiyah atau tidak. Jika sedia, maka apa saja ujian yang datang daripadanya akan kita harungi satu-satu tanpa pernah putus asa langsung menarik diri dari institusi ini. Nauzubillah..

Beberapa hari yang lepas, genap setahun sejak perjanjian itu kami ikrarkan. Tiada apa yang istimewa kami lakukan. Pagi-pagi lagi ibu saya sudah mengusik "Tak ada 'candle light dinner' ke malam ni?" Kami senyum-senyum saja. Cukuplah dengan sujud tanda syukur kami kerana masih diizinkan Allah dalam cinta dan berkasih sayang antara satu sama lain. Malah pada hari itu saya meninggalkannya untuk berpergian selama 2 hari ke program tarbiyah. Alhamdulillah... sejak di bawah tanggungjawabnya saya tiada masalah untuk keluar atas urusan tarbiyah. Kadangkala berseorangan saja seperti hari itu, apabila dia terpaksa memenuhi tuntutan kerja tetapi dalam kebanyakannya kami hadir bersama-sama.

Menjadi suri kepadanya tidaklah sesukar mana. "Suami kamu inikan ikhwah?" katanya saat saya menyatakan kerisauan meninggalkan makan pakainya untuk berprogram selama seminggu. Setiap hari saya belajar perkara baru tentang urusan rumah tangga sambil dia sendiri bersabar menerima andai ada kekurangan dan kerap membantu tanpa diminta. Menjaga makan dan pakainya menjadi satu tugas yang dilakukan penuh rela dengan tiada sedikit pun keberatan. Malah menjadi satu kepuasan kepada diri apabila segalanya terlihat terjaga dengan baik.

"Pahala menghidangkan suami segelas air itu sama seperti pahalanya menunaikan ibadah haji" kata ibu mertua sambil tersenyum saat saya menghulurkan suami secawan teh. Saya senyum kembali.
"Mana aci macam tu mak... Kalau macam tu sudah berapa kali Yana haji? Abang sekali pun belum ni" Kami sama-sama tergelak melihat wajahnya yang cemberut kecemburuan.

Alhamdulillah... cuti musim panas kali ini juga menyaksikan ramai sahabat ikhwah dan akhawat melangkah ke alam perkahwinan. Afwan belum ada satu pun yang kami mampu hadir kerana pelbagai kekangan. Namun doa kami sentiasa mengiringi antum. Semoga dikurniakan keluarga yang sakinah dan mawaddah.

Allah..moga dengan cinta antara kami ini dapat kami meraih cintamu dan jangan sekali-kali kau biarkan cinta ini melebihi kecintaan kami kepada Mu dan kekasih Mu, Rasulullah S.A.W. Semoga kami bertemu lagi nanti di syurga dengan aku sebagai ketua bidadarinya...



Menjadi seorang asing....

Assalamualaikum wmt wbt...

Dah lama tak menulis. Dikurung selama enam hari di dunia yang serba asing dan serba menguji ketahanan mental, spiritual dan fizikal saya. Nampak macam hebat saja dunia itu kan? Sehingga begitu sekali teruji tahanannya. Suami menghantar sehingga ke laman menara berkembar dan dari situ saya dan tahanan lain beramai-ramai menaiki bas ke tempat asing itu. Sejak dari dalam bas lagi saya sudah mula merasa asing dengan sekitar saya. Sepanjang jalan saya berfikir... merekakah yang pelik-pelik atau saya ini yang ganjil? Saya lihat mereka riang bergelak ketawa, barangkali gembira bertemu rakan-rakan lain yang sudah sekian lama tidak ketemu. Tetapi dalam hati saya tidak sedikit pun terkuit kegembiraan.. Entah. Saya membuang pandang ke luar tingkap cuba-cuba menenangkan hati yang tak keruan sambil telinga disumbatkan dengan lagu-lagu pilihan sendiri. Cuba menghiburkan hati sendiri walau tiada satu pun melodi dan bait lirik dari pemain kecil itu melekat di hati apatah lagi menghiburkan. Tiba-tiba berkumandang Ghuraba'. Hati saya merintih. Sungguh itu apa yang saya rasa ketika itu.

Hari-hari yang saya lalui selepas itu tidak menjanjikan yang indah-indah. Hari pertama diisi dengan permainan kanak-kanak yang menjengkelkan dengan objektif memecahkan kebekuan antara rakan-rakan sekumpulan yang baru saja dikenali. Batas hubungan lelaki perempuan langsung tidak terjaga. Semuanya main langgar saja.

"Buat satu bulatan dengan ahli kumpulan kamu!"

Saya berlari-lari menempatkan diri di antara ahli kumpulan yang perempuan supaya tidak terhimpit antara lelaki.

"Okey sekarang rapat-rapat sikit... Pegang tangan orang yg berhadapan dengan kamu. Pastikan orangnya lain-lain untuk kedua-dua belah tangan!"

Saya kaget. Di hadapan saya kebanyakannya ahli kumpulan yang lelaki. Cepat-cepat tarik lengan baju supaya telapak tangan beralas. Mahu dibantah, saya tidak mampu kerana hampir semua peserta di padang itu sudah mula menghulurkan tangan ke tengah bulatan tanpa banyak soal . Saya pejam mata. Dalam hati tawakkal pada Allah moga diampunkan dosa saya dan diselamatkan saya dari dosa bersentuhan dengan yang bukan mahram seperti ini. Tangan saya turut hulurkan ke tengah bulatan sambil cuba sedaya mungkin menggapai tangan peserta perempuan yang lain. Alhamdulillah Allah selamatkan, tangan kiri dan kanan mengenggam tangan rakan sekumpulan yang perempuan. Tangan-tangan kami berselirat dalam satu simpulan yang memeningkan yang perlu dirungkai untuk menghasilkan semula sebuah bulatan. Kami ikut berhimpit dan tersepit antara lelaki dan perempuan bersama tangan yang bersimpul. Hati rasa ingin menangis. Ini bukan pertama kali saya bermain permainan seumpama ini malah telah berulangkali. Tapi ini kali pertama bercampur antara lelaki dan perempuan seperti ini...

Entah bagaimana, Allah membantu.. awal-awal lagi saya berjaya meleraikan simpulan langsung terkeluar dari kusutan itu. Dari luar saya melihat mereka bersungguh meleraikan simpulan. Ada yang terangkul, ada yang tergesel. Sungguh merimaskan. Saya lihat mereka ketawa gembira. Entah mengapa saya tidak turut merasakan kegembiraan itu kerana pada saya semua itu salah. Ini tidak Islami... Tidak salah bermain seperti itu sesama satu jantina malah itu permainan yang sangat bagus untuk menautkan ukhuwah. Tapi apabila bercampur begini ia menjadi pintu masuk syaitan untuk merosakkan insan. Tidak terlihatkah?

Keesokannya kami merentas hutan dalam dakian empat puncak dan malamnya kami berkhemah di tepi tasik. Alhamdulillah kumpulan kami tiba awal dan kami berpeluang memilih tapak mendirikan khemah. Khemah perempuan dan lelaki kami asingkan sejauh yang mungkin dalam tapak yang terhad itu. Saya cuba menyaran kumpulan-kumpulan selepas itu turut mengasing khemah lelaki dan perempuan tetapi tidak berhasil. Khemah lelaki dan perempuan dibina berjajar antara satu sama lain, pintunya hadap berhadap dan kalau tidak pun sebelah menyebelah. Bukan silap mereka juga kerana mereka tiada pilihan. Kawasan perkhemahannya terhad. Malamnya ramai-ramai berkumpul mengeliling unggun api sambil main teka-teki. Gelak ketawa lagi. Aduh!

Sudahlah sudah... Apa-apa saja yang saya bebelkan di sini. Saya tidak mahu mengingati walau sesaat pun hari-hari saya di sana. Tiada satu pun foto yang saya simpan untuk kenang-kenangan. Cukuplah kulit yang makin gelap dibakar matahari setelah hampir seharian berkayak dari Lumut dan mengelilingi Pangkor. Cukuplah merasa bagaimana mabuk laut kerana dilambung ombak sepanjang berkayak. Saya bukanlah seorang yang anti aktiviti outdoor. Saya malah suka mencabar kemampuan fizikal dan ketahanan mental saya dengan aktiviti seumpama itu. Menjadi pelajar Geologi membuatkan saya harus selalu turun naik bukit semasa ber'field trip' setiap tahun. Saya malah punya sijil sebagai juru ajar renang, 'rock climbing', kayak dan memanah sepanjang belajar di Atlantic College Wales. Bukan mahu menunjuk kebolehan cuma mahu membuktikan bebel2 saya di atas itu bukan kerana benci di penat-penatkan dengan aktiviti fizikal tetapi saya benci pada bagaimana ia dilaksanakan tidak di atas garis syariat di sana. Rasulullah malah menggalakkan umatnya menjaga fizikal dengan beriadah dan menguasai kemahiran-kemahiran tertentu seperti menunggang kuda, renang dan memanah. Semua aktivitii yang dijalankan di sana langsung tidak salah malah begitu bermanfaat andai mereka mengambil kira batas-batas islami. Seperti menjaga batas hubungan peserta lelaki dan wanita atau paling tidak mengatur jadual aktiviti agar peserta boleh menunaikan solat pada waktunya. Kalau pun itu semua tidak penting bagi mereka paling kurang perlu sensitif pada peserta yang mahu menjaga.

Allah tidak meletakkan saya di situ sekadar sia-sia. Banyak yang saya balajar sepanjang enam hari di situ. Bagaimana dalam keadaan tertentu kita tidak selamanya mampu menarik yang lain untuk melihat apa yang kita lihat. Bagaimana dalam keadaan tertentu kita tidak mampu mengajak orang lain kepada apa yang kita fikirkan benar andai antara kita dan mereka tidak berpegang pada nilai yang sama. Bagaimana dalam keadaan-keadaan seperti itu kita menjadi lebih mementingkan diri sendiri dengan cuba sedaya upaya menyelamatkan diri sendiri dari 'terkorban'. Bagaimana mahu menyelamatkan yang lain dari panasnya api andai diri sendiri terbakar bukan? Saya belajar bagaimana perlu diri tidak boleh merasa selesa dengan lingkungan yang ideal tetapi apabila tercampak dalam kelompok yang asing, saya hilang arah dan ikut hanyut dalam rentak mereka. Saya belajar berfikir bagaimana untuk mempertahankan prinsip yang saya pegang tanpa membuatkan orang sekeliling yang berpegang pada prinsip dan nilai yang berbeza merasa tidak selesa dan malah menimbulkan rasa hormat mereka walau prinsip kami berbeza.

Langsung teringat hadis Rasulullah....

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, "Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing".

(H.R. Muslim)

Moga kita termasuk dalam golongan yang beruntung itu. Mohon ampun tersalah kata.

Ada apa dengan blog?



Assalamualaikum...

Kata seorang teman saya blog saya ini sudah beralih angin. Bukan setakat rupa yang membalutnya bahkan sehingga ke isinya, semuanya berubah 180 darjah. Bukan itu saja, malah namanya sendiri sudah saya tukar kepada sesuatu yang lebih kontemporari. Dari entry yang jiwa-jiwa kepada entry yang menganalisa keadaaan di sekeliling saya. Entah. Saya sendiri tak pasti atas dasar apa yang menyebabkan saya mengubah setiap inci persinggahan saya ini. Mungkin saya sudah semakin sedar akan tanggungjawab yang dipikul apabila saya berkeputusan untuk menulis kepada umum. Atau mungkin keberadaan saya di tanah air sendiri yang serba menyelesakan dan membahagiakan ini membuatkan saya kurang peka pada rasa hati saya sendiri. Jadi sudah tidak mampu lagi muncul dengan entry jiwa-jiwa yang mungkin jadi kegemaran sesetengah orang untuk dibaca.

Ada apa dengan blog? Zaman ini semua orang bisa ada blog mereka sendiri. Bukannya susah mahu mewujudkan blog. Hanya perlu daftar dan nah...tulisanmu terpampang di alam maya secara percuma. Siapa-siapa pun boleh baca dan ambil tahu tentang kamu. Terpulang pada diri sendiri apa pengisian blog masing-masing. Ada yang memilih untuk menulis tentang hidup mereka sehari-hari. Makan apa hari ini, pakai baju warna apa semalam, buat apa esok... dan lagi ngomel yang entah apa-apa persis catatan mereka dalam diari peribadi. Kalau penulis blog seperti ini mereka saya kira seorang diaris. Mungkin dengan menulis blog merupakan cara mereka mendokumentasikan hidup mereka dan menjadi suatu kepuasan andai catatan sehari-hari itu menjadi tatapan dan bacaan umum. Kalau blog-blog yang seperti ini saya panggil blog bangun-tidur-minum-kopi kerana ceritanya hanya tentang kehidupannya sehari-hari. Saya sendiri pernah menulis blog seperti ini dan malah sehingga sekarang pun kadang-kadang terkeluar juga entry syok sendiri itu.

Saya sendiri kurang faham dengan psikologi orang-orang yang mendapat kepuasan dengan memaparkan kisah hidupnya sehari-hari kepada umum. Kerana saya juga mungkin termasuk dalam kategori orang-orang seperti ini. (hoho! Mentalkah saya?) Kalau diari, kan seharusnya ada privasi. Kalau masa saya kanak-kanak dulu, kata kawan saya, siapa baca diari orang lain nanti mukanya hitam sebelah. Haha.. nak tunjuk betapa punyalah dia tak mahu diarinya dibaca orang. Dan kita sendiri pun selalu 'blog hopping' dari blog ke blog yang entah siapa pemiliknya. Mungkin dari link di blog rakan-rakan atau hasil lompatan blog secara rawak. Malah kadang-kadang berjam-jam dihabiskan di hadapan skrin komputer membaca tentang cerita peribadi si pemilik blog yang entah siapa. Kata kawan saya kita boleh ambil pengajaran dari kisah hidup penulis. Mungkin ada, tapi sejauh mana? Ada satu yang saya terfikir. Mungkin blog boleh jadi medium ta'aruf untuk mengenali peribadi seseorang melalui tulisannya sebelum kamu menghantar rombongan meminang. Tak perlu susah-susah bercinta semata-mata nak kenal hati budi, baca saja kisah hidupnya di blog. (kalau si dia tu bloggerlah) Buang duit dan masa saja. (oh~ saya dah kahwin ye..ehem!)

Ada juga yang menulis kerana blog menjadi medium mereka meluahkan pendapat tentang sesuatu isu. Dari seni sehingga politik atau apa-apa saja isu yang menarik minat masing-masing. Blog juga jadi medium untuk si penulis menyampaikan sesuatu yang dikira tidak banyak diketahui umum. Ini yang menjadikan blog sebagai medium untuk mendapatkan maklumat-maklumat eksklusif yang mungkin tidak akan ditemui di media-media umum. Tambah dalam keadaan sekarang di mana media rasmi dianggap sebagai berat sebelah. Jadi blog menjadi alternatif untuk masyarakat umum mendapatkan sumber maklumat dari pihak lain. Tapi kalau di Malaysia perlu hati-hati dengan apa yang ditulis kerana silap-silap boleh didakwa di mahkamah kerana menyebarkan fitnah. Tambah-tambah kalau anda menulis tentang orang-orang besar atau 'public figure'. Silap-silap perlu keluarkan akuan bersumpah pula kamu nanti. Malah Pak Lah pun sudah mula menyuarakan kebimbangannya dengan kemunculan blog-blog yang seperti cendawan tumbuh, yang dikatakannya sebagai medium untuk menyebarkan khabar angin dan spekulasi yang boleh mengancam kestabilan politik negara. Kalau ditangkap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), boleh disaman RM50 000 atau meringkuk dalam penjara tak lebih setahun.

Sekarang ini artis dan ahli politik pun berblog. Blog boleh jadi medium terbaik untuk membina lingkungan pengaruh. Anda juga mungkin jadi terkenal dengan hanya menulis blog. Kalau anda seorang public figure tentunya ramai yang mahu mengikuti perkembangan setiap detik dalam hidup anda. Mungkin bukan tokoh atau artis itu sendiri yang mewujudkan blog tersebut tetapi diwujudkan oleh peminat-peminatnya. Kira macam fan club lah. Jadi, blog boleh membina komuniti yang mempunyai kemahuan dan minat yang sama. Contohnya saya pernah berjumpa sekumpulan kumpulan usrah akhwat yang ditemukan lewat perkenalan melalui ruangan blog. Masing-masing dari tempat dan latar belakang yang berbeza tetapi mempunyai kemahuan yang sama iaitu mahu mempunyai kesedaran tentang Islam. Bagus kan?

Blog juga boleh jadi tempat melepaskan emosi. Hati-hati bila berhadapan dengan siapa-siapa pun rakan kamu yang mempunyai blog. Kerana mungkin kisah kamu akan jadi isi entrynya yang akan datang. Pernah seorang rakan saya mengadu yang dia tidak sangka salah fahamnya dengan seorang rakannya ditulis oleh rakannya itu di dalam blog dengan ganasnya. Tidak cukup dengan itu kawan-kawan yang membaca entry tersebut mula menghantar komen. Maka daripada dua orang yang bergaduh akhirnya bertukar menjadi sekumpulan orang yang bergaduh. (hukhuk!) Mungkin blog menjadi tempat melepas emosi kerana tiada siapa disekeliling yang dikira sesuai untuk mendengar makanya si penulis rasa satu dunia patut dengar. Tapi tak semua yang negatif. Blog menjadi tempat melepaskan emosi yang baik apabila apa yang dilepaskan itu adalah yang positif. Contoh perasaan gembira lepas dapat jumpa sahabat-sahabat yang sangat-sangat dikasihi dan menyatakan penghargaan atas persahabatan mereka itu yang mungkin tidak dapat dinyatakan secara lisan. Atau rasa terima kasih dan sayang kepada ibu bapa yang selama ini hanya menjadi sebuah lafaz yang tersimpan. Kalaulah perasaan positif seperti ini diekspresikan di blog, alangkah indahnya dunia per'blog'an. Atau mungkin bukan perasaan dan emosi kepada manusia saja, malah ada yang memilih untuk melampiaskan kesyukuran atas nikmat dan rasa insafnya dengan menulis di blog. Golongan ini memilih blog sebagai refleksi diri masing-masing. Alhamdulillah... paling tidak yang membaca pun akan berfikir dan terbit rasa yang sama dalam hati.

Jadi kalau boleh di senarai pendekkan 'kenapa orang menulis blog':
1. Blog sebagai jurnal : Mendokumentasikan hidup
2. Blog sebagai komentari: Pendapat dan bukan bual kosong
3. Blog sebagai katarsis: Tempat melepaskan emosi
4. Blog sebagai refleksi: Menulis dan Berfikir
5. Blog tempat membina komuniti

Blog seharusnya jadi medium untuk mendidik pembaca. Benar blog itu hak anda maka anda boleh memuatkan apa saja yang terfikir di kepala anda di dalamnya. Mahu dapat ganjaran yang menguntungkan dengan menulis blog? Boleh...senang saja. Anda boleh memilih untuk menjadi penulis blog yang biasa-biasa tanpa apa-apa ganjaran atau menjadi penulis yang diberikan ganjaran sebaik-baik ganjaran dari Yang Maha Besar. Bagaimana? Sucikan hati bersihkan niat dan tanamkan azam dalam setiap ketik jari di butang-butang huruf itu adalah lillahi ta'ala. Kita mungkin tidak pandai memberi ucapan yang hebat yang menggentarkan yang mendengar, kita mungkin tidak mampu mengangkat senjata untuk sama-sama memerangi taghut, tapi mungkin ini medan jihad kita. Kita jihad dengan penulisan. Siapa tahu apa yang kamu tulis hari ini mampu menyentuh hati entah siapa di luar sana dan mengubah hidup mereka? Maka untuk setiap perkataan yang kamu taip di laman peribadi masing-masing, ketahuilah bersamanya ada tanggungjawab yang kamu pikul. Moga Allah sentiasa memandu kita.

Debat

Assalamualaikum...


Dulu-dulu masa saya di sekolah menengah saya aktif dalam pasukan bahas sekolah. Tapi aktif peringkat sekolah sajalah tapi tak pernah terpilih menjadi wakil sekolah sebab sekolah saya ramai sangat org yang petah bercakap. Bila naik tingkatan empat cikgu saya risau sebab tengok rekod ko -kurikulum saya yang macam kosong dan hambar. Cikgu kata nanti susah nak dapat biasiswa. Lalu dia pun suruh saya beralih dari bahas Bahasa Melayu ke bahas Bahasa Inggeris supaya ada harapan jadi wakil sekolah. Betul kata cikgu, masuk sahaja pasukan bahas Bahasa Inggeris terus jadi wakil sekolah... Saya dulu sangat suka jadi pembahas pertama sebab pada saya itu tugas yang paling senang. Saya masih ingat lagi perlawanan pertama dengan pasukan sekolah lain, saya gugup sangat. Beri salam, cakap tajuk bahas lepas tu saya terus duduk semula sebab lidah kelu. Buat malu pasukan aje. Dan tentunya ketika itu saya telah menyebabkan pasukan sekolah saya kalah teruk!Haha!

Jadi bila ada ura-ura mengatakan akan diadakan debat Anwar-Shabery saya tak sabar nak tunggu. Boleh mengimbau kenangan zaman sekolah tambah saya dah lama sangat tak tengok perlawanan bahas. (gian..gian) Saya bayangkan debatnya ala parlimen macam waktu sekolah dulu, nanti pasukan pembangkang ialah Anwar, Lim Kit Siang, Hadi Awang dan pasukan kerajaan Abdullah, Najib dan Shabery. hoho! Rupa-rupanya debat ala US-presidential style. Satu lawan satu. Mujurlah debat zaman saya sekolah dulu tak macam ni, kalau tidak tak merasalah orang gemuruh macam saya ni masuk bahas. Jadi saya dan suami pun duk berfikir-fikir kat mana nak tengok bahas ni memandangkan rumah kami tak ada televisyen (Apa??) Ye...anda tidak salah baca. Rumah kami memang tak ada televisyen sebab minat kami terhadap televisyen telah dihapuskan sejak beberapa tahun yang lampau. Ada internet pun dah lebih dari cukup. Masih boleh online streaming rancangan TV apa...Nak tengok berita boleh baca surat khabar online, boleh tengok berita online. (ala..berita kat TV macam boleh percaya sangat..oops!) Akhirnya dapatlah kami tonton apa yang orang Malaya kata 'debat bersejarah' tu.

Pendapat saya, bahas zaman saya sekolah dulu lagi bagus. Masa itu kalau kami berbahas, kami sangat-sangat tahu apa yang kami bahaskan. Persediaan untuk topik yang akan dibahaskan itu mengambil masa berminggu-minggu lamanya. Apabila topiknya tentang pendidikan, pembahas jadi seperti pakar pendidikan. Apabila isunya tentang polisi kerajaan kami jadi seperti menteri kerajaan. Setiap hujah akan disokong dengan fakta dan statistik yang sahih untuk meyakinkan yang mendengar. Malangnya si pendebat yang berdebat secara langsung di televisyen malam itu seperti tidak tahu dengan sebenar-benar tahu tentang isu yang dibincangkan. Banyak hujah yang tidak disokong dengan bukti yang boleh meyakinkan penonton. Akhirnya dengar macam cakap-cakap kosong saja yang dihiasi janji-janji manis. oh..oh..

Tajuknya " Hari ini membentuk kerajaan, esok turun harga minyak". Tapi hujah-hujah si pembahas berterabur dengan isu-isu lain. Dari isu minyak melalut sampai isu-isu lain sehingga ke tahap mengkritik peribadi lawan. Masing-masing nak menjatuhkan lawan dengan membawa kisah-kisah lama si lawan walaupun ada yang macam tak ada kaitan langsung dengan topik debat. Tak profesional langsung! Kalau debat saya zaman sekolah dulu dah boleh kene penalty sebab lari dari premis ni. Lepas tu bila menjawab soalan pula macam tak terjawab soalan tu. Suruh jawab soalan dia pergi sambung hujah pusingan lepas yang belum habis. Sebab tu saya kata debat budak-budak sekolah lagi bagus. hoho! Kalau tak percaya, cuba beri budak-budak sekolah bahaskan tajuk malam itu dalam Bahas Piala Perdana Menteri. Mesti anda puas hati.

Saya ingat boleh dengar maklumat baru tentang isu minyak. Adalah sedikit tapi kebanyakannya sudah pernah terdengar dan terbaca di media sebelum-sebelum ini. Peluang seperti ini patut dimanfaatkan sebaiknya oleh pemimpin untuk mendidik rakyat dengan isu ini tapi hanya sedikit yang boleh dikutip oleh jutaan rakyat yang mendengar pada malam itu selain dari isu lama yang dibangkitkan kembali menyatakan kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan pihak lawan. Sepatutnya mereka fokus pada isu dan bukannya memberi hujah untuk menaikkan diri sendiri walau tiada kaitan dengan isu yang dibincangkan. Rasa macam nak kasi izin laluan jek kat si pembahas ni. hehe! Walau bagaimanapun, secara optimisnya mungkin ini satu permulaan untuk lebih keterbukaan dalam menyatakan pendapat dan maklumat di negara kita yang tercenta ini.

Keputusan debat malam itu berdasarkan citarasa rakyat Malaysia memandangkan tak ada pengadil malam tu:


Kesimpulannya ialah, saya tak menyesal dan tak sedih pun tak ada TV kat rumah. (haha tak ada kaitan langsung). Lagi bahagia dan aman sebab 'the box is the source of all evil'...hoho!

"Dah..dah..kau budak sekolah apa tahu? Pegi duduk diam-diam jangan campur hal orang tua!"

"Baik pakcik..."

Life is a road..

Senandung Anak Pejuang

Assalamualaikum wmt wbt...

Senandung Anak Pejuang - Soutul Jihad

Duduk-duduk dalam kereta dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Kerteh sambil mendengar halwa telinga yang menenangkan dari corong radio. Tiba-tiba tertarik pada sebuah nasyid yang menarik bait-bait liriknya. Sayu sungguh... tambah dalam suasana malam yang agak melankolik. Huu... terbayang nanti anak-anak saya pula menyanyikan lagu ini dan saya watak ibunya... (berangan..berangan) Lagu ini jadi lagu kegemaran saya dan suami buat masa ini...*senyum*


Senandung anak pejuang

Pada kelembutan seraut senyuman
Pada kelunakan tutur perkataan
Ada terlukis warna kerinduan
Terkenang ayah jauh di rantauan

Ayah selalu menghilang diri
Tinggalkan ibu membilang hari
Kekadang tiada khabar berita
Namun ibu tak pernah berduka

Sesekali hati rasa cemburu
Melihat teman semuanya berayah
Bermanja bermesra kasih berpadu
Hidup gembira tiada gundah

Tidak tertahan menanggung rasa
Kepada ibu segera bertanya
Ke manakah ayah sekian lama
Hingga kini belum menjelma

Ibu termenung di dalam sayu
Senyumnya pudar tiada indah
Mungkin batinnya berlagu sendu
Bila anak rindukan ayah

Kanda memujuk ibu menjawab
Tuturnya lembut penuh hikmah
Ayah pergi ke medan jihad
Mencegah mungkar menegakkan yang hak



"Nanti Fateh nyanyi lagu ni ye, Yana?"

Saya angguk saja sambil tersenyum


Deja Vu!

Assalamualaikum..

Di tengah kegawatan politik Malaysia sekarang... saya tersenyum seorang diri bila terkenang suatu kisah semasa saya masih belajar di sebuah kolej swasta 4 tahun yang lepas. Nama pun kolej swasta, medium bahasa utamanya tentulah Bahasa Inggeris tambah pula satu kelas kebanyakannya pelajar berbangsa Cina yang fasih Inggerisnya. (hoo...kalau tak kerana tajaan dalam mimpi sajalah saya nak belajar di situ. Tak mampu saya..hukhuk!) Nak dijadikan cerita, sedang-sedang tunggu cikgu Fizik datang saya pun bacalah surat khabar Inggeris yang saya pinjam dari kawan sekelas di meja depan. (Masa tu tak ada lagi iklan yes-no-alright yang galakkan remaja baca surat khabar Inggeris untuk tingkatkan kemahiran Bahasa Inggeris tapi saya awal-awal lagi dah menyahut seruan NST.huhu!). Tengah asyik membaca saya terjumpalah satu perkataan yang memang saya tak pernah dengar dan tak faham langsung. Lalu dengan semangat ingin tahu yang membara, saya pun tanyalah pada kelas secara umumnya. Kalau-kalau ada yang sudi menjawab.

"Eh..eh...tau tak maksud sodomy tuh ape?, " tanya saya dengan naifnya.

Satu kelas yang tadinya riuh rendah terus jadi senyap. Semua pandang saya dengan pandangan serong 45 darjah. Lalu terdengar bisikan-bisikan antara mereka. Saya pelik. Laa..tahulah kamu semua hebat English. Takkanlah saya tanya maksud satu perkataan pun kamu semua pandang serong pada saya. Getus saya dalam hati. Sebelum saya sempat berkata sesuatu lagi, rakan sekelas saya, si Petra Nabila (ye..pelari pecut negara tu!) yang duduk di sebelah saya, terus tekup tangannya kat mulut saya.

"Kau ni buat malu aku jek... Kalau ye pun jangan la tanya kuat-kuat. Nanti balik umah aku explain ape maksud perkataan tu," merah padam muka Petra. Saya angguk saja.

Lorr...tanya pun salah ke? Pelik betul! Kebetulan cikgu Fizik kami pun masuk lalu pertanyaan saya itu berlalu bersama angin penghawa dingin yang berhembus malas di kelas kami itu. Saya masih lagi tak faham reaksi kawan-kawan saya terhadap soalan saya. Budak-budak lelaki kat depan saya pun masih gelak-gelak sambil pusing-pusing belakang pandang saya. Cess.. apekah ini? Tak faham saya. Semangat inkuiri saya semakin membara.

Haa.. itu saya 4 tahun lepas. Sekarang ini saya dah faham dah ape maksud perkataan tu. Budak-budak kecil sekarang pun dah tahu dah ape maksud perkataan tu. Yelah..kat mana-mana surat khabar pun keluar berita pasal tu. Sepuluh tahun lepas pun keluar berita pasal tu jugak. Masa tu saya baru darjah enam. Rasa macam Deja Vu lah pulak. Ingat lagi setiap kali tengok berita jam lapan mesti nampak orang turun naik mahkamah bawak tilam. Tapi masa tu saya tak adalah faham sangat apa yang terjadi. (Ye..saya mungkin kanak-kanak yang berfikiran tidak cerdas (read: lembap) ketika itu). Terima saja bulat-bulat apa yang dilaporkan di media. Mungkin kerana ketidak fahaman saya ketika itu maka Allah menakdirkan saya untuk berada sekali lagi dalam situasi seperti itu sekarang dalam keadaan sudah mempunyai akal yang sudah mampu menilai dan berfikir. Malah sekarang sudah tidak lagi menerima saja apa yang disuapkan oleh media cetak dan elektronik rasmi di negara ini tetapi sudah pandai mengorek-ngorek yang tersembunyi dan tersirat melalui pembacaan dari sumber lain. Barulah dapat dengar hikayat dari pihak lain pula. Baru boleh nilai dan timbang2.

Terbaca tulisan Ustaz Zaharuddin tentang persoalan liwat dan politik yang sedang hangat sekarang. Katanya pembaca perlu BERAWAS-AWAS. Tuduhan seseorang melakukan maksiat terkutuk itu tidak sama dengan tuduhan si polan makan rasuah, si polan agen yahudi, si polan amalkan kronisme dan lain-lain lagi. Seseorang yang percaya dan menyebarkan tuduhan zina dan liwat tanpa berhati-hati boleh menyebabkan jatuh kesalahan qazaf yang dosanya amat besar di sisi Islam. Qazaf tu apa? Kalau dari segi bahasa Qazaf maksudnya melontarkan sesuatu seperti batu tetapi dari segi syaraknya bermaksud melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci serta menafikan keturunannya. Dan hukuman bagi kesalahan qazaf adalah tidak diterima kesaksiannya dan dianggap fasiq serta didera. Baca sendiri tulisan beliau di sini.

Pening...pening. (No..no..i'm not pregnant!) Saya pening dah baca berita-berita negaraku Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang ini. (oh..oh). Saya tak menyokong mana-mana dan tak menyebelahi siapa-siapa. Maklumlah saya belum daftar mengundi lagi. hoho! Kepercayaan rakyat pada kerajaan, penguatkuasaaan undang-undang dan sistem kehakiman Malaysia dah makin terjejas lewat beberapa isu kebelakangan ini. Orang lagi percaya apa yang mereka jumpa di blog-blog peribadi berbanding kenyataan-kenyataan rasmi di media. Setuju dengan kata-kata bekas timbalan presiden US, Walter Mondale yang saya petik dalam The Star Online..

“Political image is like mixing cement. When it’s wet you can move it around and shape it, but at some point it hardens and there is almost nothing you can do to reshape it.”

Mahu tunggu dan lihat saja apa kesudahannya semua ini. Allah lebih mengetahui.. wallahualam


notatangan: ade cerita bersiri 'Jangan Main Belakang' kat Astro Ria..tapi tak ada sebarang kaitan dengan isu hangat politik Malaysia. Kategori U tapi tak sesuai untuk tontonan umum sebab boleh melaghakan..huhu!