
Ikatan

Taubat...
Saya akhirnya kembali di bilik kecil ini setelah hampir seminggu ke sana sini. Mungkin boleh juga saya katakan kembali dari sesi-sesi pembersihan diri yang saya rasakan amat kotor itu tadi. Seperti jatuh dalam lumpur yang busuk dan jijik. Tiba-tiba rasa kebersalutan dengan lumpur jijik itu sungguh membahagiakan. Bau busuknya terasa amat harum dan melalaikan. Lalu terus-terus sahaja ingin duduk bergelumang dengannya... walau sering ada sahaja manusia yang melintasi lopak lumpur itu menegur,
"Keluar..sampai bila kamu mahu terus-terusan bermain lumpur itu. Tidak jijikkah?"
Tetapi saya degil. Mungkin bau yang busuk itu telah memabuk dan mengkhayalkan saya. Saya fikir, apa salahnya sekali sekala berseronok, sudah puas nanti basuhlah saja lumpur itu dari badan. Mudah. Namun dalam keseronokan dan kelalaian itu saya tersedar, jika terlalu berlama di dalamnya mungkin bau busuk itu sudah tidak mampu dihilangkan lagi. Walau sekuat mana badan disental dengan berus dawai.. walau berbotol haruman dicurahkan bau itu mungkin terus melekat. Tambah menakutkan jika bau itu terus melekat seumur hidup. Memualkan sesiapa yang berdekatan dengan saya. Malah mungkin yang rapat pun akan menjauhkan diri. Lalu saya cemas.. cepat-cepat mahu keluar.
Berpergian selama seminggu... memberi helaian baru yang bersih untuk saya lukis semula. Dengan kuasaNya ada beberapa perkara yang tidak saya sangka mampu pulih semula. Di hujung gagang saya dengar suara itu riang menyapa. Dan suara-suara yang disekitarnya turut berkongsi kegembiraan. Apa lagi yang saya mampu ucapkan selain dari Alhamdulillah.. segala puji bagi Allah. Dia yang Maha Berkuasa membuka hati manusia.. Dia Yang Maha Pemurah memandu hati itu untuk pulang kepangkuan kami. Hanya doa yang mampu saya panjatkan. Semoga hatinya terus tetap dan tenang dengan keputusannya kali ini. Hadiah yang mahu saya berikan perlu saya kemas kini semula.. Bagaimana mampu saya menyampaikan kefahaman untuknya andai di kepala dan hati ini sendiri segalanya berselirat dan tersimpul. Malah simpulan itu menjerat dan menjerut diri saya sendiri.
Berpergian selama seminggu... menyaksikan saya merungkaikan simpulan itu satu-satu dan merapikan selirat kefahaman dalam diri saya. Di situ saya merasakan hati yang gelap mula disimbahi cahaya. Hati yang selama ini umpama najis lembu yang kering.. gelap, keras, kering dan rapuh. Mungkin seperti melampau perbandingan saya tetapi itu yang benar saya rasa. Setuju atau tidak itu terpulang kamu. Saya sekarang bercakap tentang hati saya bukan hati orang lain. Hati itu sudah hitam likat dipenuhi titik dan tompokan dosa. Walau dosa kecil-kecil tapi apabila kerap dilakukan.. akhirnya tompok itu menyelaputi juga segenap ruang hati. Bila itu keadaannya, hati sudah tidak lagi sensitif pada perbuatan dosa. Hati sudah tidak lagi sensitif pada kemungkaran. Malah tambah menakutkan dosa yang besar pun nanti sudah tidak terlihat sebagai dosa oleh hati yang hitam itu.. nauzubillahi min zalik.
Allah itu Maha Penyayang.. dicampakkannya ilham taubat. Subhanallah Maha Suci Allah.. bukan sekadar itu.. pengisian program yang lepas ini pun banyak berkisar tentang taubat. Bagaimana mencari taubat nasuha. Terdengar esakan dari rakan di sebelah saya. Dia menangis.. Saat itu saya merenung dan bermenung, mengingat-ingat dosa sendiri. Dalam qiam dan tahajjud saya memaksa hati ini menangis kerana dosa yang bertimbun itu. Tiba-tiba suatu rasa ketakutan menyelinap.. Keras..hati ini sudah terlalu keras. Saya sudah tidak mampu menangis dengan dosa dan kebersalahan itu.. Solat wajib lima waktu terasa ditunaikan sekadar kerana wajibnya bukan kerana rindu pada Ilahi.. Doa yang dipanjatkan saban kali selepas solat serasa hanya lahir dari hafalan di mulut bukan pengharapan dan pengaduan dari hati.. Ya Allah sudah jauh benar aku dari rahmatMu...
Kala senja itu tiba
Ku termenung sendirian
Terasa diriku ini jauh dari rahmat Tuhan
Dosa yang aku lakukan
Menerjah ruang fikiran
Masihkah ada untukku keampunan
Gelap rasa dunia ini
Tanpa cahaya Ilahi
Baru kini kusedari
Jalan yang aku lalui
Memusnah pedoman hidup
Melempar hatiku ini ke lembah kehinaan
Dalam kegelapan itu
Terbit cahaya dari-Mu
Memandu hamba-Mu menuju iman
Menginsafi diri dengan ketaqwaan dan kesabaran
Kau terangi jalanku menuju syurga-Mu
Dan Kau tunjuki dengan hidayah-Mu
Hanyalah pada-Mu kuhadapkan diri
Mohon keampunan
Wahai Yang Maha Pengasih
Bantulah hamba-Mu ini
Yang kian terumbang-ambing
Di dalam arus duniawi
Kuberdoa kepada-Mu
Memohon limpah rahmat-Mu
Mentari hidupku kan bersinar kembali
Azan maghrib sudah berkumandang kini di corong komputer saya.. tinggal dahulu semua. Saya mahu mencari taubat... saya mahu mencari semula cinta Ilahi..
Pinjam dan Pulang

Lebihan..
Sana: awak pakai spec kn?
Sini : a'a
Sana: hmm
Sana: apa jadi kalau awak pakai spec, tapi dekat spec awak tu ada lumpur
Sana: boleh nampak tak?
Sini : tak nampak
Sana: hmm
Sana: tapi kalau lumpur tu bersih
Sana: sure lg clear kn?
Sana: even lebih clear drpd x pakai
Sana: kadang2 kita tak sedar kita pakai spec yg berlumpur
Sana: akhirnya kita nampak segala kotoran jek dlm pandangan kita
Sana: spec yg bersih tu, ibarat pandangan dan neraca awak yg bersih
Sana: atau penilaian awak terhadap sesuatu yg bersih
Sana: ok
Sana: gtg
Sana: wassalamu'alaikum
Sini : waalaikumsalam
--------------------------- Sana signed out ----------------------------------
Saya tersandar mengeluh. Benar katanya... Terfikir betapa akhir-akhir ini saya menjadi seorang yang sangat negatif dalam semua perkara. Banyak bersangka buruk daripada yang baik. Orang tidak mampu tersenyum kerana penat kerja atau sibuk belajar saya fikir sedang marahkan saya... lalu saya berjauh hati. Orang tidak membalas mesej saya di Y!M saya fikir menyombong diri lalu saya benci. Orang tidak menegur saya di jalanan saya fikir sudah lupakan saya lalu saya merajuk. Sensitif benar! Sedang mereka yang terlibat tidak tahu pun saya berkecil hati dengan mereka. Entah apa yang merasuk sehingga buruk benar sikap saya.
Sempit dada dengan masalah.. masalah saya rasakan seperti datang bertimpa-timpa dan sungguh menyesakkan. Apabila duduk semula dan benar-benar berfikir dengan akal yang waras, segala masalah sebenarnya bermula dengan diri saya sendiri. Kerana kurang mampunya saya berlapang dada. Tidak seperti lapangnya tasik..yang jika dicampak batu kocaknya sedikit, tetapi tidak lama sebelum kembali tenang. Hati secetek dan sesempit lopak air dijalanan..yang dengan debu pun mampu dicemar dan dikotorkan. Tiada ruang untuk menerima kekurangan sahabat dan memaafkan kesalahan orang. Bahkan yang lebih teruk lagi buta dengan kekurangan sendiri dalam berukhuwah.. ishk.. Asyik menyalahkan orang lain.
Lewat beberapa hari ini saya sedikit kecewa.. kerana merasakan saya hanya lebihan. Kamu faham bagaimana perasaan menjadi seorang lebihan? Cuba lihat nasi di pinggan yang tidak mampu kamu habiskan. Nasi itu sebelumnya sama sedapnya sahaja dengan nasi-nasi lain yang telah masuk ke perut kamu. Tetapi oleh kerana perut sudah penuh dan sebu, nasi lebihan di pinggan itu sudah tidak mampu lagi kamu masukkan ke perut. Siapa lagi yang mahu makan lebihan kamu? Sudahnya tentu kamu buang saja bukan? Kasihan lebihan itu.. bukankah dia sama sedap dan sama mengenyangkan seperti nasi yang di dalam perut kamu itu?
Tetapi fikir-fikir.. nasi lebihan masih ada gunanya. Bukan hanya menjadi habuan tong sampah. Kalau di rumah saya, emak selalu beri nasi lebihan kepada kucing-kucing kami yang semuanya 15 ekor itu. Berebut-rebut kucing mengerumuni nasi lebihan itu seperti mengerumuni butir-butir emas. Akhirnya tidak sedikit pun bersisa..semuanya langsai mengenyangkan perut-perut kucing. Tiada beza taraf nasi yang mengisi perut kamu dengan nasi yang mengisi perut kucing itu tadi. Kamu makhluk Allah dan begitu juga kucing. Butir-butir nasi itu berjaya mengenyangkan makhluk-makluk Allah... menjadi sumber tenaga untuk masing-masing terus hidup di bumi Allah. Sama sahajakan akhirnya?
Haha~ tentu kamu semua sudah pening dengan apa yang saya bebelkan. Abaikan jika kamu tidak faham. Saya mahu terus.. terus thabat di jalan ini. Tiada sebab untuk saya berjauh hati dengan sesiapa. Saya mahu halau terus perasaan-perasaan busuk yang datang menganggu hati saya. Saya mungkin hanya sebutir pasir di pantai.. atau setitis air di lautan. Tetapi saya juga sebahagian daripada pantai dan lautan itu. Saya mahu sumbang apa yang termampu.. saya mahu jadi kader-kader yang sentiasa sedia dipanggil ke medan juang saat diperlukan. Untuk itu saya perlu sedia dengan segala kelengkapan perang saya. Iman sebagai perisai... ilmu sebagai kelengkapan. Owh..tak lupa doa sebagai senjata.. Saya tidak mahu menjadi lebihan dunia jadi saya perlu memberi sesuatu kepada dunia. InsyaAllah..insyaAllah..
Saya sudah tersenyum semula... menggeleng-geleng kepala mengenangkan keanak-anakan saya lewat beberapa hari ini. Baru usai usrah dengan kakak-kakak dan rakan-rakan tadi. Malam ini liqa' paling besar pernah saya hadiri. Dua puluh tiga orang duduk dalam bulatan.. lutut bertemu lutut. Bagaimana saya boleh rasa keseorangan sedang wajah-wajah ini sentiasa mengambil tahu antara satu sama lain. Saya lihat satu persatu wajah mereka.....dan buat pertama kali saya benar-benar yakin.. Saya sayangkan mereka semua.. amat sayang. Alhamdulillah... syaitan yang mencangkung di hati sudah saya halau jauh-jauh dan kaca mata yang berlumpur itu sudah saya bersihkan ;) Maafkan saya jika menyakiti hati kalian akhir-akhir ini..
Owh..tak lupa..
"SELAMAT HARI JADI KAK MUM (ye..ye Mujahid juga..teehee!)"
Doakan Kak Mum dan Mujahid sentiasa sihat..sentiasa di dalam redha Allah :))
Ruh
"He has been a good husband and also a good father for his five children" kata si isteri.
"He has been a dear friend who always bring happiness to other" kata sahabatnya.
"Never has he failed to make me happy since the day he was born" kata si ibu.
Kata Bro Idris lagi tidak pernah sekali dalam pengalamannya sebagai paderi, hadirin yang datang memberi penghormatan terakhir berkata:
"He leave me and his five children with a very big house and cars," kata si isteri dengan bangga.
"He has been a very successful businessman and has a big company," kata rakan kongsi perniagaannya.
"He has a very good look and good job," kata si ibu.
Apa yang dikenang selepas mati hanya budi dan amalan bukan material atau fizikal. Teringat kata-kata seorang ustaz dalam satu ceramah..jelasnya nilai diri manusia terletak pada ruhiyyah dan bukan lahiriah. Manusia menjadi insan dengan tiupan roh ciptaan Allah.
'Mak sudah tak ada..mak sudah pergi" tangis seorang anak di sisi jasad ibunya. Jika difikirkan.. jasad ibunya masih di hadapan mata malah masih boleh dipeluk dan dicium. Tetapi mengapa si anak menangis meratapi ketiadaan ibunya. Apa yang sudah tiadanya? Apa yang sudah pergi? Ruh yang sudah tiada.. ruh itu yang sudah pergi meninggalkan alam dunia. Jasad itu tidak membawa apa-apa makna tanpa ruh. Jadi ruh yang membawa nilai kepada jasad. Manusia menjadi mulia berbanding makhluk Allah yang lain kerana ruhnya. Jika mulianya itu pada fizikal.. kalau dari segi saiz, ikan paus lebih besar daripada manusia jadi sepatutnya ikan paus lebih mulia. Dari segi cantik, si merak lebih cantik dari manusia maka si merak lebih mulia. Dari segi tangkas, si harimau bintang lebih tangkas dari manusia tetapi adakah si harimau lebih mulia? Tidak.. kerana dengan tiupan ruh manusia dilantik menjadi khalifah di muka bumi. Menjadikan kedudukannya lebih dimuliakan berbanding makhluk yang lain. Hingga malaikat pun perlu sujud kepada Adam.
Ruh itu tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Seperti angin yang oleh dirasakan tiupannya tetapi tidak dapat dilihat apetah lagi dipegang. Ruh itu fungsinya pelbagai dan namanya berbeza ikut peranan yang dimainkan. Tak faham? Ambil contoh seorang wanita. Seorang wanita itu berbeza panggilannya mengikut peranan. Dia dipanggil kakak oleh si adik kerana peranannya sebagai kakak. Di panggil ibu oleh si anak..di panggil isteri oleh si suami..di panggil nenek oleh si cucu..di panggil makcik oleh anak2 jiran. Tetapi hakikatnya die tetap seorang wanita yang sama. Yang namanya sama ada Sheila atau Ain.. (huhu takde kaitan). Ruh juga macam itu.. dipanggil akal apabila ruh itu berfikir dengan menggunakan otak sebagai alat. Dipanggil nafsu apabila ruh itu menguruskan fizikal dan dipanggil hati apabila ruh itu merasa. Semuanya perlu ikut peranan masing-masing jika tidak mahu berlaku kebinasaan..

Kerana akal yang bijak Stephen William Hawking diangkat dan dihormati sebagai among most intelligent men in the world walaupun secara fizikalnya dia serba kekurangan kerana penyakit Motor Neurone Disease and Amyotrophic Lateral Sclerosis yang dihidapinya (tanye budak medic ape maksudnya saya tak tau..huhu!). Tapi.. Stephen Hawking dengan akalnya yang bijak itu tidak percaya kewujudan Tuhan. Jadi mulianya dia di mata dan akal cetek manusia tetapi bagaimana kedudukannya di sisi Tuhan?
Jasad hanya akan mengalami kehidupan di dunia yang sementara ini. Sedangkan roh itu akan kekal selamanya untuk merasai kehidupan seterusnya dan menghadapi perhitungan di hari kemudian..
Hasbiyallah
Alhamdulillah..alhamdulillah.. apa lagi yang mampu saya ucapkan untuk rahmat yang tidak terhingga ke atas hambaNya. Sungguh..
"Barangsiapa bertakwa kepada Allah..Dia akan membuka jalan keluar baginya.Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mengcukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"
Setiap detik..setiap waktu...
Dalam setiap hembusan nafas dan denyutan nadiku...
Allah..Allah..Allah..
Tawakkal..
I am your contact at CEAS. Please come to my office to collect your exam results after 4pm tomorrow (Wednesday). My office is at B7, the Mill.
Regards
Nan Zhang
Ya Allah..tabahkan aku dengan apa sahaja ketentuanMu pada hari ini..
Tanam
Alhamdulillah baru sahaja selesai menyudahkan tugasan kuliah. Sudah dua malam saya tidur jam 4 pagi, menulis essay tentang Carbon Capture and Storage (CCS) yang ditugaskan tutor saya. Apa itu CCS? Dimudahkan cerita.. CCS ini salah satu teknologi untuk kurangkan pelepasan carbon dioxide ke udara untuk elakkan masalah global warming. Kita tangkap carbon dioxide tu.. kumpulkan banyak-banyak dalam tangki dan selepas itu tanamkan gas itu dalam batu bawah laut. Selesai masalah pencemaran! Senang manusia buat kerja kan? Ambil jalan mudah selesaikan masalah tanpa memikirkan akibat dari tindakan mereka. Bayangkan tanah yang menyimpan berjuta-juta tan gas itu akhirnya ditakdirkan bocor suatu hari nanti. Apa akan jadi pada dunia? Itulah manusia. Suka lari atau tanam sahaja masalah mereka. Kadang-kadang ada yang fikir masalah boleh ditanam sekali dengan jasad. Lalu terdengarlah berita orang bunuh orang lain.. orang bunuh diri sendiri. Bila pergantungan tidak sepenuhnya pada Allah.. manusia boleh hancur dengan sesaknya masalah diri.
Sebut pasal tanam.. kamu semua suka bercucuk tanam tak? Suka atau tak suka.. percaya atau tidak saya katakan, sebenarnya setiap hari saya, kamu, kamu, kamu dan kamu (ulang sampai kamu rasakan kamu itu adalah untuk kamu) *maaf kak maryam saya betul-betul suka cara akak tulis blog..hehe* sedang bercucuk tanam di atas dunia ini.Kenapa? Tak percaya? Bukankah dunia ini ladang akhirat. Ad-dunya mazra'atul akhirah, kata Rasulullah. Apa lagi gunanya ladang kalau bukan untuk bercucuk tanam kan? Siapa lagi yang mengusahakan ladang ini kalau bukan kita yang hidup di atas dunia ini?
Terpulang pada kamu sendiri untuk menentukan apa yang kamu akan tuai di akhirat nanti. Kalau mahu buah-buahan yang manis dan ranum, kamu semai benih tumbuhan yang akan menghasilkan buah-buahan idaman kamu itu. Tapi usahanya juga perlu lebih sedikitlah. Perlu dibaja dan disiram sebaik mungkin supaya pokok itu tumbuh subur. Atau kalau kamu malas kamu boleh tanam saja tumbuhan yang senang tumbuh dan tak perlu jagaan rapi. Kaktus sangat mudah tumbuh. Tak perlu siram tak perlu baja..di gurun pun kaktus boleh hidup. Kaktus nampak cantik..boleh buat hiasan di tingkap bilik. Tapi perlu fikir apa yang akan kamu tuai nanti? Sudah la batangnya berduri.. pasti melukakan tangan kamu bila disentuh. Kaktus tidak berbuah.. air dari batangnya juga pahit. Nanti telan air liur sajalah kamu lihat orang lain makan buah-buahan enak masing-masing. Dunia ini tempat menanam..akhirat tempat menuai. Hasilnya kamu akan nikmati sepanjang hidup kamu di akhirat sana. Kalau mahu hidup senang di akhirat perlulah bersusah sedikit di dunia. Kalau kamu memilih untuk berseronok dan bersenang di dunia..ya silakan.. tapi akhirat nanti tidak akan menguntungkan kamu.
Kalau ditanyakan semua orang pasti semua orang mahu tuai buah-buahan enak kelak. Semua orang mahu merasa nikmat syurga bukan? Siapa yang mahu ke neraka? Kalau begitu sepatutnya ladang dunia kita ini penuh dengan pokok buah-buahan yang merimbunlah..sebab semua orang mengharapkan syurga Allah. Tetapi kenapa masih ada pokok-pokok duri yang menjalar. Malah makin bertambah pula mengalahkan pokok-pokok buah. Pelik bukan manusia ini? Mahu makan pokok buah tapi tanam pokok duri. Usaha tak bersesuaian dengan matlamat. Bagi yang betul-betul malas.. langsung tidak berusaha tanam apa-apa. Lalu ladang mereka penuh dengan lalang yang juga tidak memberi manfaat.
Kadang-kadang kita biasa tengok ada petani yang upah orang lain usahakan ladang mereka. Tapi ladang dunia kita ini unik sedikit. Semua orang kene kerja keras dengan tangan mereka sendiri untuk tanam pokok masing-masing. Tak boleh nak upahkan pada orang lain. Allah Maha Adil.. keperluan asas dia bagi sama rata. Cahaya matahari, air untuk mengairi tanaman kita, tanah yang subur.. tenaga untuk semua orang mengusahakannya pun sama saja. Tidak kira di mana saja kamu berada, semuanya sama saja. Islam itukan syumul. Jadi pandai-pandai masing-masinglah kalau mahu hidup senang-senang di akhirat kelak. Semua orang diberi masa dari detik dia dilahirkan sehinggalah hari kematian untuk usahakan ladang masing-masing.
Tapi memang diakui bukan senang nak jaga pokok yang baik. Kadang-kadang kita dah jaga sebaik mungkin.. tiba-tiba datang pula makhluk perosak makan daun, rosakkan buah dan macam-mcam lagi. Kalau kita tak prihatin dan berjaga-jaga dengan makhluk-makhluk perosak ini.. habislah pokok-pokok buah kita dirosakkan. Makhluk-makhluk perosak ni kebanyakannya merosakkan pokok sedikit demi sedikit sampai kadang-kadang tuan punya pokok pun tak sedar pokok sedang dirosakkan. Sedar-sedar pokok tu dah sakit.. Jadi sebagai tuan pokok yang bijaksana dan berpandangan jauh...kita kena kenal jenis-jenis makhluk perosak ni. Kita kene ambil langkah-langkah berjaga-jaga nak hadapi mereka ni. Maksudnya kita perlu kenal musuh-musuh Islam.. anasir-anasir jahiliyah yang boleh merosakkan kita. Zaman sekarang ini kita kadang-kadang tak sedar sesuatu yang dah jadi kebiasaan itu sebenarnya adalah sebahagian daripada usaha orang kafir untuk merosakkan umat Islam. Contoh melalui hiburan, muzik, fesyen, sukan dan macam-macam lagi. Kalau sudah kita kenal pasti perlu la kita jauhkan diri daripadanya.
Kalau pokok-pokok kita pernah rosak kerana makhluk perosak ini.. jangan putus asa. Bila kita sedar kita cuba pulihkan semula pokok kita biar dia sihat semula. Letak racun banyak-banyak biar habis mati semua makhluk perosak itu. Jangan tinggal walau satu. Paling kurang selepas itu kita sudah kenal si perosak dan kita sudah arif bagaimana mahu mengelakkannya atau membunuhnya. Bila sudah ada pengetahuan itu jangan lupa kongsikan dengan petani lain yang dekat dengan kita supaya jangan nanti pokok mereka pun dirosakkan si perosak itu. Takut nanti kalau tanaman mereka rosak, berjangkit pula pada pokok-pokok kita andai tidak kuat pertahanan kita. Singkirkan karat jahiliyah dalam hatimu. Kerana walau sedikit lama-lama karat itu mampu makan diri. Semua orang pasti pernah buat kesilapan dalam hidup tetapi yang penting apabila kita sedar, kita bertaubat mohon keampunan Allah. Cuba tingkatkan diri masing-masing. Jangan lupa seru orang-orang di sekeliling kita juga. Tegur kesilapan mereka agar mereka tak ulang kesilapan yang pernah kita lakukan. Penting bagi kita untuk berada di kalangan orang-orang soleh. Supaya kita terdidik dengan cara hidup mereka. Jadi pandai-pandai pilih linkungan kawan masing-masing. Mengislahkan diri sambil mengislahkan yang lain.
Jadi mari kita nilai semula apa yang sudah kita tanam selama ini. Sihatkah pokok-pokok kita. Mampukah nantinya mengeluarkan buah-buah yang enak. Tengok juga rakan-rakan di sekeliling. Kalau mereka masih leka menanam pokok duri sedarkan mereka. Mungkin mereka tak sedar mereka sedang menanam pokok yang salah. Mungkin mereka tidak sedar pokok itu tidak mendatangkan hasil kepada mereka. InsyaAllah..pokok-pokok yang baik bukan sahaja mengeluarkan buah yang enak tetapi juga merimbun dan memberi teduhan untuk orang lain..
Semoga Allah memberkati kita..insyaAllah
Tidakkah kamu memperhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya menjulang ke langit. Pohon itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhan-nya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu ingat. (Surah Ibrahim: 24-25)

Al-kisah..
Hari ini saya mahu bercerita kisah sepasang suami isteri.
Latar tempat: di mana-mana sahaja di atas bumi Allah yang luas ini
Latar masa: zaman sekarang yang serba moden dan canggih ini
Al-kisahnya..
Sudah beberapa hari si isteri sakit-sakit. Si suami sudah naik risau. Sangkanya sakit isterinya itu sakit yang biasa-biasa sahaja. Si suami membelikan si isteri sebuah buku perubatan yang tebal. Si suami meminta si isteri menghabiskan membaca buku itu dari kulit ke kulit. Kerana kata si suami dengan cara itu sakit si isteri akan sembuh. Isteri yang taat itu lantas menurut arahan suaminya dengan harapan sakitnya akan sembuh sebaik dia menghabiskan muka surat terakhir buku itu.
Malangnya sakit si isteri makin melarat. Bukan sekali malah sudah beberapa kali dikhatamkan buku perubatan tebal itu. Si suami sudah makin risau. Lalu segera dibawa isteri kesayangannya ke klinik. Dengan pendapatan lumayan hasil kerja kerasnya sebagai seorang jurutera, si suami mampu membawa si isteri ke pusat perubatan terkenal yang menyediakan barisan doktor panel yang hebat-hebat. Tambah pula si suami memilih doktor yang paling pakar dalam bidang penyakit yang dideritai si isteri.
Sesudah di periksa si doktor pakar memberi preskripsi ubat yang perlu di ambil. Sudah dicuba ribuan kali dan terjamin keberkesanan ubat ini jika diambil mengikut jadual yang ditetapkan dengan dos yang betul. Sejak dari dahulu sudah berapa ramai yang berjaya disembuhkan. Jadi sudah terbukti kepakaran si doktor dan keberkesanan ubatannya. Sepulangnya ke rumah si suami mengoyakkan surat preskripsi itu kepada dua. Separuh bahagian dibungkus dengan kain kuning dan digantungkan di leher isteri dan selebihnya di rebus dalam air dan kemudian di beri minum kepada si isteri. Si suami yakin benar si isteri pasti akan sembuh...
"Ishk..gilo apo suami isteri ni. Camne la nak sembuh sakit kalau wat camtu?"
"Tak ada akal ka? Nak kata mundur dan jahil tapi berpendidikan..kerjanya hebat.. jurutera tuh!Hantar je diaorang ke rumah sakit jiwa.."
"Apekah? Penulis blog ni sebenarnya yang tak betul pegi tulis cite ngarut2 camni kat blog dia.. Mana ada orang camtu zaman sekarang ni!"
Isk...isk.. ipk.. saya dah agak mesti ramai cakap suami isteri tu gila. Atau pun orang akan cakap saya gila sebab reka cerita tak masuk akal. Tetapi percayakah kamu semua jika saya katakan di zaman sekarang ini ramai benar manusia seperti pasangan suami isteri itu? Atau sebenarnya saya, kamu, kamu, kamu dan kamu (ulang sehingga kamu rasakan kamu itu ditujukan untuk kamu..) *hehe saya tiru cara kak maryam tulis blog* adalah antara yang termasuk dalam golongan orang-orang seperti suami isteri itu yang kita sifatkan sebagai gila@kurang waras@hilang akal dan yang sewaktu dengannya.
"Eh..eh..budak ni..dah pandai cakap orang gila pulak.."
Sebenarnya tanpa kita sedar kita adalah seperti mereka apabila kita melakukan perkara yang sama terhadap buku yang dikirimkan oleh DOKTOR terhebat bagi menyembuhkan penyakit-penyakit kita. Manakan tidak, sejak dari kecil kita dihantar ke kelas mengaji oleh ibu ayah. Malah kita juga mampu mendabik dada kerana ada antara kita yang sudah berkali-kali khatam Al-Quran. Ibu bapa zaman sekarang juga kebanyakan menganggap tanggungjawab mereka memberi didikan agama kepada anak-anak cukup dengan hanya menghantar mereka ke kelas mengaji. Tetapi adakah kita mengira cukup dengan hanya membaca sahaja Al-Quran itu tanpa memahami isinya. Jika tidak difahami isi al-Quran itu manakan pula kita mampu mengambil petunjuk-petunjuk yang digariskan oleh Allah di dalamnya dalam menjalani kehidupan kita sehari-hari. Apakah kita mengira akan lengkap dan sempurna hidup kita sebagai seorang Islam andai kita tidak menjalankan apa yang disuruh dan menghindari bahaya yang disebutkan di dalam kitab Allah itu. Tidakkah kita sama sahaja seperti si isteri yang berharap akan sembuh penyakitnya dengan hanya membaca buku perubatan itu tanpa mengambil sebarang tindakan untuk merawat sakitnya? Bukankah itu juga yang kita lakukan selama ini terhadap kitab Allah? Adakah kita sanggup mengatakan kita sama gila seperti mereka?
Saya masih ingat lagi semasa saya di tingkatan empat, pernah di sekolah saya saban malam hampir sebahagian pelajar asrama puteri dilanda histeria. Entah apa puncanya masing-masing buntu. Saya masih ingat lagi ketika itu saya lihat kakak ketua dorm saya meletakkan naskah Yassin di setiap penjuru bilik. Lantas saya pun bertanyakan tujuannya.
"Buat pagar..jangan kasik makhluk jahat tu masuk" kata ketua dorm saya itu.
Haha~saya yang ketika itu tidak faham apa-apa, percaya sahaja. Lantas setiap malam tidur bertemankan al-Quran di sisi bantal.. kononnya nanti tidak dihampiri makhluk halus. Tetapi bila diingat-ingat semula lucu juga saya memikirkan tindakan saya itu. Apabila difikirkan, tidak ubah seperti tindakan si suami yang menggantung preskripsi ubat di leher isteri dan si isteri yang meminum air rebusan preskripsi itu. Apabila al-Quran hanya dianggap penghalau syaitan dan hantu. Kita mengharapkan berkat daripada al-Quran dan perlindungan daripada Allah tetapi kita tidak melakukan seperti mana yang diarahkan di dalam preskripsi yang diturunkan oleh Allah kepada kita dan yang lebih teruk kita tidak cuba memahami preskripsi itu. Kalau dahulu di asrama setiap malam kami membentuk bulatan di tengah bilik dan beramai-ramai membaca surah al Mulk. Tetapi seingat saya sepanjang lima tahun di asrama tidak pernah sekali pun kami di ajak mentadabbur surah yang kami baca setiap malam itu. Jadi kami ketika itu setia membaca al Mulk setiap malam bukan kerana mengikut amalan Rasulullah dan mahukan fadhilat surah itu tetapi kerana lebih bimbang diganggu makhluk halus seperti yang dimomokkan oleh senior jika tidak membaca al Mulk sebelum tidur. Sedangkan dengan mentadabbur ayat-ayat Allah insyaAllah bertambah keimanan kita kepada kekuasaan Allah. Kita akan percaya bahawa tiada apa yang bisa memudaratkan atau memberi faedah kepada kita jika tidak dengan izin Allah SWT. (Pernah ke keluar dalam surat khabar orang mati dicekik hantu?)
Setiap alat yang kita beli didatangkan dengan buku manual sebagai panduan untuk menggunakannya agar berfungsi seperti yang sepatutnya. Dan kita juga di datangkan dengan manual yang paling lengkap oleh yang menciptakan kita. Dan jika kita hidup berpandukan manual itu (AlQuran dan Sunnah), kita akan berfungsi selari dengan tujuan penciptaan kita di bumi oleh Yang Maha Menciptakan.. wallahualam.
"Kami tidak menurunkan alQuran ini kepadamu agar kamu menjadi susah,tetapi sebagai peringatan untuk orang yang takut (kepada Allah)" (Surah Thaha: 2-3)
*rujukan entry ini dari Dasar- Dasar Islam oleh Abul A'la Al Maududi
Dia..
Malam ini.. saya tiba-tiba jadi sangat rindu pada dia.. Terfikir apa yang sedang dia lakukan sekarang.. bagaimana hidup dia sekarang.. bahagiakah dia? Lalu air mata saya tumpah buat kesekian kalinya. Bila dikira-kira sudah setahun lebih kami terpisah. Jika mahu dipadamkan kenangan antara saya dan dia atau memadamkan terus dirinya dari ingatan saya.. samalah seperti memadam sejarah dua puluh tahun hidup saya. Seperti memadamkan terus kewujudan saya di dunia ini. Kerana sejauh ingatan saya.. sejak sedari saya mula tahu berfikir dan mengingat... dia sudah sedia ada bersama. Menjadi sahabat paling rapat... dan dalam masa yang sama pesaing saya yang paling hebat.
Tiada satu pun kenangan zaman kanak-kanak dalam ingatan saya tanpa kehadiran dia. Malah jarang sekali saya mengingati zaman kanak-kanak saya sebagai 'kisah saya' tetapi hampir kesemuanya menjadi 'kisah kami'. Kami suka amat berangan-angan. Kami selalu angankan hidup yang sempurna bersama apabila dewasa nanti. Kami mahu sebuah rumah yang besar..yang dapat kami hias seenak rasa kami seperti bagaimana kami menghias kamar kecil milik kami ketika itu. Malah janji kami, kami tidak akan pernah berpisah. Kami yakin benar kami akan sentiasa bersama walau apa pun yang terjadi. Dalam pada itu hampir setiap hari ada sahaja hal yang remeh yang kami gaduhkan. Tetapi tidak lama.. sebelum salah seorang mengajak bermain semula. Dan kami menjadi sahabat yang paling rapat seperti tiada apa yang penah berlaku.
Begitu banyak sahabat bersilih ganti sepanjang hidup saya.. baru saya sedar tiada yang dapat mengambil tempatnya. Dia sahabat yang paling baik.. pendengar setia cerita dan omelan saya sebelum tidur saban malam. Malangnya saya tidak menjadi sahabatnya yang paling baik.. Saya tiada di sisinya di saat dia memerlukan. Saya tidak cuba memahami di saat dia mahu seseorang mengerti. Saya mementingkan diri sendiri. Saya pada masa itu hanya memikirkan hal hidup saya sendiri. Dan dia masih tersenyum mendengar omelan saya tentang hal-hal gembira yang berlaku hari demi hari.. masih sudi memeluk saya apabila saat-saat sedih bertandang. Tanpa saya sedar dia juga memendam. Dia belum cukup terbuka dengan saya kerana bimbang saya tidak memahami dan menerima. Kerana katanya hidup saya terlalu ideal... hanya penuh dengan kejayaan dan kisah-kisah yang indah. Sedang hidupnya katanya sangat jauh dari sempurna...
Kepulangan saya yang lepas berlainan dari kepulangan saya sebelumnya. Di tangan saya ada hadiah yang berbalut kemas istimewa untuknya. Dan yang lebih penting daripada itu.. saya mahu berkongsi sesuatu yang amat berharga yang baru saya temui di bumi asing ini. Dan itulah rasanya hadiah yang terbaik tanda kasih sayang saya untuknya. Dan saya tahu lembut hatinya..dia akan menerima. Saya mahu bersamanya ke Jannah. Impian baru saya yang lebih besar untuk kami menggantikan impian zaman kanak-kanak kami.
"Cepat balik.. banyak cerita mahu kongsi"
"Di sini pun..banyak cerita dan perkara mahu dikongsi. Tak bolehkah cerita di telefon ini saja?"
"Tak boleh.. cerita ini hanya untuk awak.. Balik cepat ya.. kita cerita panjang"
Dan kini saya telah pulang.. tidak sabar mahu melunaskan rindu saya padanya. Tetapi sedikit kecewa saat tidak terlihat kelibatnya menyambut kepulangan saya ketika itu. Sibuk barangkali.. saya cuba menenangkan hati. Saya sangat yakin dia masih menunggu saya.
Rupanya saya tiba terlalu lewat. Saya tiba sewaktu sakitnya sudah parah. Dan dia sendiri tidak tertahan dengan kesakitan itu. Tidak sanggup lagi menanti kepulangan saya untuk merawat sakitnya. Lalu dia cuba merawatnya sendiri-sendiri tanpa sedar perbuatannya menambah parah sakit itu. Dan ketika itu saya lihat air mata yang menitis dari semua di sekeliling saya. Entah mengapa ketika itu saya tidak menangis. Kerana apa yang saya dengar ketika itu terlalu buruk untuk menjadi sebuah realiti. Sesuatu yang tidak pernah terjangkau oleh akal saya. Ketika itu saya berharap semuanya hanya sebuah mimpi yang buruk dan apabila saya terjaga semuanya akan seperti sediakala. Seperti yang saya tinggalkan hampir setahun yang dulu.
Rupanya sakit itu sudah lama. Malah simptomnya sudah kelihatan oleh saya sejak sebelum saya pergi jauh meninggalkannya. Cuma ketika itu saya terlalu buta untuk melihat dan mengerti. Saya fikir semua itu sesuatu yang biasa yang akan pulih dengan masa. Malah ketika sakitnya semakin parah pun semua yang mengetahui cuba menyembunyikan daripada pengetahuan saya. Kerana masing-masing bimbang bakal mengganggu konsentrasi saya dalam menghadapi peperiksaan akhir ketika itu. Dan pemergiannya juga dirahsiakan daripada saya. Saya di sini ketika itu hanya disuapkan dengan khabar yang indah-indah tanpa sedikit pun saya sedar ada ujian maha hebat yang sedang dia hadapi. Bersalahnya saya kerana tidak pernah cuba mengerti.
Tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan untuknya di kejauhan ini melainkan doa yang tidak putus untuknya. Semoga setiap derap langkahnya di atas bumi Allah ini sentiasa di bawah redhaNya dan semoga hatinya sentiasa dipandu untuk yang terbaik. Saya mahu dia tahu yang setiap kesilapan itu masih boleh dibaiki dan Allah itu Maha Pengampun. Saya sentiasa cuba tanamkan dalam hati yang ini hanya satu babak dalam kisah kami yang panjang yang telah siap diaturkanNya dan hikmah itu pasti ada di sebaliknya.
....hadiah itu masih terbalut kemas untuknya dan khazanah berharga yang mahu saya kongsikan ini juga masih saya simpan. Andai suatu hari nanti dia kembali... dan saya yakin dia pasti kembali menuntut janji-janji kami dahulu. Saya mahu menyeka air matanya dan merawat sakitnya..
Layar..
"Tunggu! Mahu ke mana?"
"Sambung berlayar."
"Angin sudah bertiup semulakah?"
"Belum."
"Layar sudah baiki?"
"Belum."
"Jadi?"
"Masih boleh berdayung."
"Tak mahu tunggu angin?"
"Mahu tetap arah sendiri."
"Ikut arus?"
"Mungkin ya..Mungkin tidak."
"Kalau ada angin nanti bagaimana?"
"Bersejuk saja.. baju ini jadi layar."
"Oh.. saya mahu ikut.. boleh?"
"Sanggup?"
"Mengapa tidak?"
"Bot ini kecil."
"Asal kamu sanggup terima."
"Tak takut?"
"Takut apa?"
"Sanggup bersejuk?"
"Sanggup."
"Ada bawa bekalan?"
"Sedikit.. Kamu ada bawa jugakah?"
"Mungkin tak cukup."
"Tak apalah.. kitakan saling melengkapi."
"Kalau ribut nanti mudah karam.. bot ini kecil"
"Itu semua kuasa Tuhan bukan? Sedang yang besar pun boleh karam."
"Hmm.."
"Masih ada ruang lagi?"
"Kenapa?"
"Penumpang yang lain menyusul nanti.."
Saya rindu.. amat..
A New Start!
Alhamdulillah.. hari demi hari terus berlalu meninggalkan kenangan persinggahan saya di bumi Al-Manchesteri Darul Aman ini. Baru sahaja tamat peperiksaan akhir semester satu.. dan sudah bermula hari pertama di semester baru. Bagaimana exam saya yang lepas? Alhamdulillah.. hanya syukur yang mampu saya ucap. Tidaklah cemerlang seperti yang saya harapkan tetapi insyaAllah sekarang masanya untuk berdoa dan bertawakkal kepada Allah setelah berusaha sehabis yang termampu. Yakin yang ketentuan Allah itu yang terbaik..
Kadangkala terdetik suatu pemikiran yang serong dan jahat sepanjang menjalani peperiksaan yang lepas. Saat keluar dari dewan peperiksaan kadang-kadang saya masih mengeluh dan merintih.. Mengapa setelah aku bersungguh dan bersengkang mata belajar saban malam..masih begini juga hasilnya? Malah timbul lagi fikiran yang lebih negatif apabila hasad melihatkan rakan-rakan yang lain lebih tenang dan yakin apabila tamatnya peperiksaan. Tidak cukupkah waktu yang saya peruntukkan untuk mengulangkaji selama ini? Mengapa tidak mampu jadi sebijak mereka? Mengapa begini dan mengapa begitu?
"Orang yang beriman menggunakan sebab-sebab kerana dia diperintahkan berbuat begitu, tetapi Allahlah yang menentukan kesan-kesan dan natijahnya. Keyakinan kepada rahmat Allah dan keadilanNya kepada hikmat kebijaksanaan Allah dan ilmuNya itulah satu-saunya tempat perlindungan yang aman dan tempat yang selamat dari bisikan-bisikan dan godaan-godaaan syaitan"
Astaghfirullah...rasanya saya perlu lebih belajar bagaimana untuk memisahkan muqadimah dan natijah kerana diri saya masih belum terpisah daripada konkongan rantaian yang mengaitkan sebab dan kesan. Jumlah masa yang diperuntukkan untuk mengulangkaji dan jumlah buku yang dibaca tidak dapat memastikan kejayaan dalam peperiksaan jika tidak dengan iradat Allah. Segalanya sudah Allah tentukan bukan? Apa hak kamu sebagai hamba untuk mempersoalkan urusan Allah yang menciptakan kamu? Saya perlu lebih muhasabah diri dan membetulkan niat. Belajar dan berusaha kerana menurut perintah Allah bukan kerana mahu cemerlang exam.
Alhamdulillah..hari-hari selepas musim peperiksaan ini setakat ini terisi sebaiknya. Kembali menyibukkan diri dengan berbagai urusan dan program. Planner di dinding sudah penuh terisi sehingga akhir bulan Februari ini. Hujung minggu lepas sempat saya ke Platfield dengan naqibah dan kakak-kakak saya, melepaskan gian bermain basketball yang sudah sekian lama saya tinggalkan sejak cuti musim panas yang lepas. Haha~ stamina saya sudah teruk benar. Baru berlari sedikit sudah termengah - mengah. Hari sebelumnya kami berkumpul mendengar majlis ilmu sepanjang hari di flat saya. InsyaAllah saya benar-benar mahu mengisi masa sebaik yang mungkin. Kerana waktu lapang yang terluang akan memberi ruang kepada syaitan untuk mencelah. Lantas lompong itu bakal dipenuhi pengisiannya yang bakal merosakkan.
Hijrah
Pernah kamu semua rasa apa yang saya rasa? Perasaan mahu meninggalkan sesuatu yang kamu tahu salahnya tetapi amat berat untuk kamu tinggalkan. Oh~..kamu tidak dapat bayangkan apa yang saya rasa? Cuba tanyakan seorang perokok mengapa susah mahu meninggalkan candu itu? Sedang dia tahu betapa asapnya menyesakkan nafas dan menghitamkan peparu malah mungkin memendekkan nyawanya.
Sepi..dia diam..
Tiada jawapan..kerana soalnya dia sudah ketagihan..
Sungguh dahulu saya tidak faham mengapa dia ketagihan kepada sesuatu yang merosakkan. Mungkin seperti itu juga kamu tidak faham apa yang saya rasa sekarang kan?. Tetapi mungkin si perokok itu faham (Jangan cuba merokok..membahayakan kesihatan) Dan kini saya mula faham si perokok. Begini.. kamu sedar apa yang kamu perbuat itu membawa hanya kepada keburukan dan kemurkaan Tuhan.. tetapi mengapa berat untuk kamu tinggalkan? Saya malu amat dengan Tuhan. Berkali memohon ampun.. menyatakan taubat, tetapi setiap kali itu juga saya memungkiri janji saya padaNya.
"Allah itukan Ash-Shakur (Maha Pengampun).. tenanglah.. masih boleh bertaubat mohon keampunan setiap kali kesalahan."
"Tetapi lupakah kamu sifat Al-Hakam (Maha Penghukum) dan Al-Muntaqim (Maha Penyiksa) Nya? Andai setiap taubatmu tidak disertai keazaman untuk meninggalkan?"
Sekarang sudah kamu faham apa yang saya rasa? Hmm..saya kira mungkin kamu masih belum faham. Tahukah kamu saya malu dengan diri sendiri dan dengan semua di sekeliling saya. Mengaku mahu menjadi daiyah.. mengajak yang lain kepada kebaikan sedangkan diri sendiri pun belum diislahkan. Benar orang di sekeliling tidak tahu apa di dalam hati saya.. jadi mengapa mesti saya rasa malu sendiri. Perasaan seperti penjenayah yang bimbang rahsia jenayahnya di ketahui orang. Hidup sembunyi-sembunyi. Tapi saya tahu Allah Maha Mengetahui.. dia Maha Melihat.. Malah dia lebih dekat dari urat leher saya sendiri. Lalu bagaimana lagi mahu sembunyi?
Seperti buah yang kulitnya cantik tetapi isinya membusuk. Adakah saya menipu dunia? Kamu percayakan saya selama ini? Seringkali saya cuba memecut dalam mencari redha Allah. Namun kadang-kadang terjatuh.. bangun pula lambat-lambat sebelum cuba memecut semula. Pastinya pecutan sudah tidak sama kerana langkah sudah pincang kerana kaki saya sudah cedera. Kadang- kadang sudah penat jatuh bangun.. saya hampir putus asa. Saya terfikir.. ada sesiapa di luar sana mahu pegang tangan saya? Mahu pimpin saya supaya tidak terkeluar dari jalan yang saya pilih ini? Atau perlu saya tabah sendiri-sendiri?
Sudah masuk tahun baru Hijrah malam ini. Mungkin ini masa yang terbaik untuk suatu perubahan..untuk suatu azam yang baru. Tidaklah saya mengatakan yang kita perlu tunggu masa dan hari tertentu sahaja untuk memulakan suatu perubahan. Perubahan bukan suatu proses yang ada mula dan akhirnya tetapi berterusan bukan? Mengapa mahu mulakan tahun yang baru ini dengan kesedihan dan penyesalan seperti ini? Mengingati apa yang telah lepas dan menghadirkannya semula dalam fikiran, lantas bersedih di atasnya hanyalah sesuatu yang sia-sia. Bukankah itu hanya membunuh semangat? Saya ingin membina azam.. mahu mulakan diri saya yang baru. Mahu tahu apa azam baru saya? Biar apa yang saya azamkan itu antara saya dengan Dia saja.. bolehkan?
Selama ini saya rasakan saya terlalu banyak mengagak dan meramal. Apa yang bakal terjadi pada saya esok, minggu hadapan, tahun hadapan, dekad hadapan..semuanya saya persoalkan. Akhirnya saya lemas sendiri dalam fikiran dan kemungkinan sedang saya belum pun pasti adakah minit selepas ini saya masih bernafas. Bukankah dakwat sudah kering dan pena sudah diangkat? Apabila hari esok terlalu saya sebukkan dan mencemaskan diri dengan segala kemungkinan yang datang bersamanya maka secara tidak langsung kesedihan yang menimpa semalam akan kembali datang dalam fikiran. Dalam kecemasan dan kekalutan itu jarang sekali saya melihat bagaimana saya yang hari ini. Masih dengan segala lautan nikmat Allah yang tidak terbanding harganya. Kesihatan tubuh badan, orang-orang yang sangat saya sayangi di sekeliling saya dan yang paling berharga nikmat Islam dan iman. Kekesalan hari semalam dan kerisauan untuk hari esok melalaikan saya daripada mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan untuk saya hari ini...
Jangan pernah berputus asa dari rahmat Tuhan..
Selamat Tahun Baru Hijrah..
~Tuhanku.. apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu~
Mabruk!!
A tribute to all my cousins that have just received their PMR results last week..
To Ubay, Zikri and Elin...
Say Alhamdulillah to Him for this success... I do wish that this success will leads to more success in the future... So I hope everyone's ready for the next step in ur life insyaAllah. InsyaAllah I can see each one of you as young people who can bring pride to your family and Islam... Your are all always in my prayer... Well done!
Denting Tangisan Mezquita
Masjid Cordoba dari pintu gerbangnya
Pagi itu awal2 pagi lagi kami sudah keluar dari tempat penginapan kami. Mahu tiba di Le Mezquita Cordoba (Masjid Cordoba dalam bahasa Spanish) seawal jam 8.30 pagi kerana dikatakan tiada bayaran untuk pengunjung yang datang sebelum jam 10 pagi. Mezquita cantik tersergam..pohon-pohon limau membarisi jalan sepanjang dari gerbang ke pintu masuk. Terbayang pula keadaannya di zaman kegemilangan Islam dahulu. Besarnya Mezquita bukan di bina untuk bermegah-megah..tetapi di bina atas pratikaliti. Keluasan asalnya sebenarnya hanya 20% daripada apa yang kita lihat sekarang. Mezquita lambang pesatnya Islam berkembang... 4 kali mengalami pertambahan keluasan kerana tidak mampu menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah. Subhanallah.. terbayang bagaimana sibuknya Mezquita ketika itu..nadi kegiatan umat Islam di kota Cordoba sejak Islam bertapak di situ dengan kedatangan Abdul Rahman I pada tahun 784 M.
Bekas menara azan
Tidak mahu membuang masa kami berkumpul sambil mendengar pengisian dari ameerah jaulah kami di halaman masjid sementara menanti jam sepuluh. Cerita kegemilangan khilafah Islam di Kota Cordoba sehingga zaman kejatuhannya... Masing-masing khusyuk mendengar saat loceng besar di puncak menara tiba-tiba berdenting berkali-kali. Saya memandang ke puncak menara itu... di mana dahulunya di situlah muazzin melaungkan azan.. Allahuakbar! Memanggil umat Islam, menunaikan kewajipan kepada Allah. Dan loceng itu terus berdenting dengan dentingan yang menyesakkan dada saya... Dentingannya yang seolah-olah mengejek mentertawakan.. Tanpa sedar air mata saya mengalir... Sedih pada hakikat kekalahan ini. Tersedar akan hikmah apa yang terjadi kepada kami pagi itu. Diberi peluang oleh Allah mengalami dan menghayati suatu perasaan kehilangan. Mungkin jika mudah-mudah sahaja kami diberi masuk pagi itu..saya tidak berkesempatan merasai perasaan seumpama ini. Pasti lawatan saya hanya lawatan yang kosong..
Tapak tinggalan Medina al Zahra
Terus sahaja saya menuju ke mimbar yang masih dikekalkan binaannya. Sungguh, mimbar itu masih indah seperti dahulu.. dihiasi ukiran ayat al Quran. Cuma mengapa mereka masih mengekalkannya masih menjadi tanda tanya dalam fikiran saya.. Jika benar bencinya mereka kepada agama ini mengapa tidak dihapuskan terus kesan-kesan Islam di sini. Mungkin kekalnya mimbar itu..malah menara muazzin di luar sebagai tanda penghinaan untuk Islam. Supaya dunia tahu pernah wujud Islam di situ tetapi berjaya mereka kalahkan. Marah yang wujud di hati dengan keangkuhan mereka semakin bernyala dengan lukisan yang dipamer di suatu ruangan Mezquita... suatu penghinaan hebat untuk agamaku

Jelas dilukiskan gambar orang Islam yang tunduk sujud kepada pemerintah Kristian yang berdiri angkuh dengan hebat angkatan tentera di belakangnya.. saat penyerahan kunci kota tanda kekalahan Islam..disaksikan dan direstui kononnya oleh malaikat mereka di atas awanan. Kebetulan ketika itu sekumpulan pelawat Jepun barangkali berkumpul di hadapan lukisan itu sambil pemandu pelancongnya menerangkan sesuatu tentang lukisan itu dalam bahasa Jepun. Terangguk-angguk mereka mendengar omelan si pemandu pelancong di hadapan. Apa lagi ceritanya melainkan tentang kekalahan Islam seperti yang tergambar di situ... mahu saja saya mencelah di hadapan. Benar Islamku kalah di bumi Andalus ini tetapi mana mungkin kami tunduk sujud seperti itu? Tidak! Sujud kami hanya pada Allah yang satu..

Marah itu wujud dalam diri saya..tetapi kata seseorang saya tidak patut marah. Mana-mana kerajaan pun yang menakluk sesuatu kawasan akan menunjukkan kekuasaan mereka di tempat taklukan mereka. Dengan apa cara sekalipun kekuasaan itu perlu ditunjukkan. Dan itulah yang kerajaan Kristian lakukan saat berjaya menakluk Cordoba. Dengan menukar masjid kebanggaan umat Islam itu menjadi tempat ibadah mereka. So morally their action is justified? Malah katanya itu juga yang dilakukan Islam saat berjaya menakluk Cordoba. Tapak asal Masjid Cordoba itu pada mulanya merupakan kuil milik orang-orang Roman. Apabila Empayar Rom jatuh, pemerintah ketika itu telah menggantikannya dengan sebuah gereja Kristian. Datangnya Islam sebahagian gereja itu dijadikan masjid tempat umat Islam beribadah. Hasil perluasan kawasan masjid itu menyebabkan sebahagian kawasan gereja terpaksa diambil. Tetapi Islam melakukannya dengan menghormati hak mereka. Kawasan yang diambil untuk perluasan masjid itu dibayar dengan harga tertentu yang dikatakan dengan jumlah itu mereka malah mampu membina sebuah gereja yang baru. Islam tidak merampas..Islam tidak menghina. Tetapi mereka merampas.. mengambil hak kita dan mengubahnya sesuka hati mereka. Tidak cukup dengan itu ditambah dengan penghinaan untuk disaksikan dunia. Maka tidak wajarkah kemarahan saya? Marah kerana cinta bukan kerana benci.. Marah saya berasas kerana kecintaan saya dipijak dan dihina bukan kerana saya bencikan mereka. Marah yang membina semangat untuk bangkit dan berjuang bukan marah yang membawa kerosakan dan persengketaan.
Gereja di kiri dan kawasan masjid yang masih kekal di kanan
Mezquita mungkin masih seperti dahulu..menjadi kunjungan dan tumpuan ramai. Tetapi tempat yang pernah menjadi tempat manusia berkumpul untuk sujud kepada Allah sekarang menjadi tempat manusia menyekutukan Allah.. Dua kontras berbeza yang tidak mungkin bersatu.. antara keimanan dan kekufuran. Loceng diluar terus berdenting... dan hati ini terus menangis.. selagi belum ada pahlawan Islam membela maruah yang tercalar dan menegakkan Islam di bumi ini. Jangan menunggu dan mengharapkan sesiapa kerana bumi ini menanti diri aku sendiri untuk membela nasibnya..
Catatan dari Al-Hambra

Ke mana-mana sahaja langkahan saya di dalam istana indah itu..mata pasti tertancap pada ukiran-ukiran ayat Al Quran yang terukir indah di dindingnya. Wa La Ghalib Ilallah..terukir di mana-mana. Kerajaan Islam di Granada ketika itu terpaksa bersekongkol dengan Ferdinand III menawan kota Seville kerana perjanjian feudalisme yang terpaksa ditandatangani demi keselamatan rakyat. Granada bukan lagi bandar merdeka ketika itu. Harga kebebasan Granada terpaksa dibayar dengan kejatuhan Seville di tangan Kristian. Tiada Penguasa Selain Allah..kepasrahan dan kebergantungan Sultan Muhammad Al Ahmar terhadap Allah terukir di setiap inci Istana Merah itu..

Mengimbau sejarah hitam Andalus..1492.. Menyaksikan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol itu akhirnya tumpas di tangan Ferdinand dan Isabella yang bersatu demi melihat kejatuhan Islam. Menangislah Sultan Abu Abdillah saat palang-palang salib didirikan di julangan menara Al-Hambra.. meranapkan kemegahan Islam yang pernah bertapak di situ. Saat itu menyaksikan sinar Islam yang terus memudar di Sepanyol
“Janganlah engkau menangisi kejatuhan kerajaan ini seperti seorang perempuan kerana engkau gagal mempertahankan maruah pemerintahan kerajaan Islam seperti seorang lelaki.” tajam kata si ibu melihatkan Sultan itu menangis..
Keindahan Al-Hambra sedikit sebanyak diselit dengan unsur2 Renaissance saat kota itu mengalami perubahan demi perubahan. Al-Hambra tidak terlepas menerima bahana kebencian mereka terhadap Islam. Ukiran memuji kebesaran Allah cuba dihancurkan dengan pelbagai cara. Namun Allah juga yang memelihara.. ia masih kekal utk kita tatapi sehingga ke hari ini. Charles V yang cuba menandingi kehebatan binaan Al-Hambra juga akhirnya berputus asa.. hilang minat lantas meningalkan istananya separuh siap. Manakan tidak..Al- Hambra di bina dengan rasa kecintaan kepada Tuhan yang menciptakan alam yang juga penuh dengan keindahan. Dekorasi Al-Hambra bukan yang sia-sia tetapi untuk mengingatkan pemiliknya kepada keagungan Allah SWT. Ilhamnya dari keindahan syurga yang dinyatakan dalam ayat-ayat Al-Quran..

Catatan saya di hari kedua di bumi Andalus.. di Granada.Nantikan catatan saya di Cordoba dan Seville selepas ini..
Motor Abah...
10 sebab kenapa saya tak akan update blog saya..
"Kenapa ni? Kenapa ni?apa yang telah terjadi?"tanya kakak flat saya apabila melihat ramai orang di luar flat sepulangnya dia dari kelas.
" Adik flat kamu tak nak update blog dah. Kami kecewa..kami mahu dia sambung tulis blog"kata peminat setia blog saya sambil menangis teresak-esak. (saya perasan best jap)
Tenang-tenang semua..saya belum lagi berputus asa menulis apatah lagi berniat untuk mendelete blog saya yang tak best ini dari ruang maya. Fenomena 'Tidak-Mengupdate-Blog-isme' ini hanya akan melanda selama 3 minggu dari sekarang. InsyaAllah selepas itu sistem pertahanan dan perjalanan hidup penulis akan kembali seperti sediakala setelah dirawat dengan intensif. (apakah saya melalut itu?) Disini saya listkan 10 sebab kenapa saya tidak akan berkesempatan mengupdate blog saya untuk 3 minggu yang akan datang:
- 8 Dis : Lab Report DEADLINE!
- 10 Dis : Artikel BK DEADLINE!
- 11 Dis : Engineering Design TEST!
- 12 Dis : C Programming Coursework DEADLINE!
- 14 Dis : Transport Phenomena+ Earth Materials TEST
- 16 Dis - 20 Dis : Saya pergi SPAIN!! (yeay!)
- 21 Dis - 28 Dis : Winter Retreat kat Conventry
- Saya sibuk horror hell gell cikeding beng2 piew piew punye sibuk.
- Saya sure tertekan sebab banyak sangat kerja
- Saya seorang yang unorganised lagi pemalas..huhu!
"Eee..tolonglah..perasan gell ah die nih!"
"Dia ingat ramai sangat ah orang yang nak baca blog die tuh..boleh blah!"
Yela..yela..saya blah la ni. (huk!) Have to finish my lab report yang kene hantar esok nih. Doakan saya berjaya mengharungi lautan data dan nombor-nombor yang memeningkan ini..huk!Aite.. jumpa lagi 3 minggu dari sekarang..itupun kalau Allah masih benarkan saya bernafas dengan udaraNya. InsyaAllah jaga iman dan amal..wassalam..
Nota kaki: sure korg semua tertanya siapa yang selalu menyibuk menyampuk dalam entry2 saya kan? Nanti kalau saya ada masa saya kenalkan korg dgn 'dieorg'. Walaupun dieorg pengkritik tetap yang selalu kutuk saya..tapi saya sayang dieorg sebab selalu tegur salah saya.
Terima Kasih Tuhan..

Singgah sebentar di blog dalam kesibukan hari ini. Berkongsi lagu yang terngiang-ngiang di telinga sepanjang malam ini saat saya agak tertekan dek kerana beban tugasan yang terlalu+amat banyak..Maaf andai ada hati yang disakiti. Saya tak bermaksud menyakiti sesiapa..tanpa sedar keserabutan fikiran tergambar di wajah dan laku..maafkan saya..
Terimakasih wahai Tuhanku
Yang sentiasa melimpahkan Rahmat-Nya
Membenarkan aku menghadap-Mu Tuhan
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Untuk bercakap dengan-Mu Tuhan
Mengizinkan kuminta pada-Mu
Memuja-memuji sepenuh hatiku
Memohon munajat pada-Mu Ya Rabbi
Terimakasih wahai Tuhanku
Yang sentiasa melimpahkan Rohmat-Nya
Membenarkan aku menghadap-Mu Tuhan
Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Untuk bercakap dengan-Mu Tuhan
Mengizinkan kuminta pada-Mu
Memuja-memuji sepenuh hatiku
Memohon munajat pada-Mu Ya Rabbi
Tapi aku khuatir ketika menghadap-Mu
Tidak pula pandai beradab dengan-Mu
Aku mula bimbang kalau aku derhaka
Dalam ketaatan bukan rahmat dari-MU yang kudapat
Tapi ku kan dapat kemarahan-Mu
Ya Rabbal Alamin Maafkanlah Aku
Ya Rabbal Alamin Maafkanlah Aku
oh~ tak lupa jugak..SELAMAT HARI JADI KAK AIN!!Moga bertambah keberkatan usiamu InsyaAllah.. (huhu..warna font ikut warna baju tema penganjur sambutan birthday kali ni)
"Saya cantikkan?" ~untuk APA?~
Uuuhh..kali ini sudah betul-betul lama saya tidak menulis entry baru untuk blog ini. Tadi baru saudara saya bertanya kenapa sudah sekian lama tidak ada entry terbaru. Sudah kehabisan ideakah? Huhu..bukan kehabisan idea..banyak sahaja perkara baru yang terjadi setiap hari yang sangat ingin saya kongsikan bersama tetapi betul-betul tiada masa untuk duduk dan menulis., Akhir-akhir ini jadual harian saya sangat padat dan kerja-kerja universiti juga kian bertambah. Sudah hampir 4 hujung minggu berturut-turut saya tidak lekat di bilik..pasti ada sahaja program yang akan kami hadiri. Alhamdulillah masa digunakan sebaik yang mungkin insyaAllah.. tidak mahu di bunuh oleh masa-masa yang kosong.
Ada sesuatu yang sangat menggembirakan saya hari ini. Saya sedikit lewat ke kelas hari ini.. Berkejar-kejar ke kelas pagi td..masuk sahaja ke dewan kuliah mata saya melilau mencari tempat kosong. Mujur ada satu kerusi kosong di sebelah rakan saya. Sedang saya sibuk mengeluarkan alat tulis dari beg..sahabat itu mencuit lengan saya.
"Kamu nampak tak apa yang saya nampak?" soalnya sambil mengunjukkan pandangan ke barisan hadapan. Saya yang kebingungan cuba mencari apa yang luar biasa hari ini. Lama saya memerhatikan dan akhirnya saya temui. Alhamdulillah..bisik saya dalam hati
"Hari ini hari pertamanya.." ujar sahabat saya itu lagi sambil tersenyum penuh makna.
Kami berbalas senyuman dan tumpuan kami seterusnya untuk pensyarah yang sedang mengajar di hadapan. Namun persoalan masih berlegar-legar di kepala saya. Apa yang mendorong dia berubah? Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah..Alhamdulillah. Benarlah hidayah itu milikNya dan beruntunglah sesiapa yang dipilih untuk memilkiNya. Hijrah kepada sesuatu yang lebih baik..insyaAllah sahabat..saya akan sentiasa menyokong kamu.
"Cantiknya kamu hari ini," sempat saya mencuit dia sebelum keluar daripada dewan kuliah. Dia hanya tersenyum sambil tangannya membetulkan tudungnya. Kelihatan sedikit kekok barangkali tetapi insyaAllah akan terbiasa...
- Perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih. Mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.
- Perempuan yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung dan minyak panas dituangkan ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang suka menyakiti hati suami dengan kata-katanya.
- Perempuan digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya. Mereka adalah perempuan yang menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.
- Perempuan diikat dua kakinya serta dua tangannya sampai ke ubun dan dibelit beberapa ular dan kala jengking. Mereka adalah perempuan yang boleh solat dan berpuasa tetapi tidak mahu mengerjakannya, tidak berwuduk dan tidak mahu mandi junub. Mereka sering keluar rumah tanpa mendapat izin suaminya terlebih dulu dan tidak mandi iaitu tidak bersuci selepas habis haid dan nifas.
- Perempuan yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang menyala. Mereka adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.
- Perempuan yang bermuka hitam dan memakan tali perutnya sendiri.
- Perempuan yang telinganya pekak, matanya buta, diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat drp api neraka,otaknya keluar dari lubang hidungnya dan badannya berbau busuk kerana berpenyakit sopak dan kusta.
- Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.
- Perempuan yang kepalanya seperti kepala babi dan badannya pula seperti keldai. Mereka adalah perempuan yang suka mengadu domba dan sangat suka berdusta.
- Perempuan rupanya berbentuk anjing dan beberapa ular serta kala jengking masuk ke dalam mulutnya dan keluar melalui duburnya. Mereka adalah perempuan yang suka marah kepada suaminya dan memfitnah orang lain.
Waahh..walaupun bertudung saya masih boleh menggayakan jeans boot cut kegemaran saya. Pakai sahaja baju turtle neck untuk menutup leher dan berlengan panjang. Saya tidak mahu ketinggalan menggayakan t-shirt comel-comel yang fancy, tiada masalah..sarungkan sahaja di atas baju berlengan panjang itu. Nah kamu sekarang ikon remaja masa kini macam Mawi. nanti pasti ada yang berkata: